
Seramai dua daripada suspek berusia 14 dan 17 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau kira-kira jam 11.50 pagi di kawasan Kampung Jawa pada 28 April 2026. Foto Polis Daerah Tawau
TAWAU, 28 Apr – Polis menahan tiga remaja lelaki bagi membantu siasatan kes jenayah seksual melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian berasingan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, dua daripada suspek berusia 14 dan 17 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau kira-kira jam 11.50 pagi semalam di kawasan Kampung Jawa, Tawau.
Menurutnya, seorang lagi suspek berusia 17 tahun ditahan dalam tangkapan susulan kira-kira jam 1.45 petang hari sama di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Tangkapan dibuat susulan laporan polis diterima Sabtu lalu berhubung dakwaan perbuatan jenayah seksual yang berlaku terhadap mangsa di beberapa lokasi berasingan sekitar Daerah Tawau sejak November tahun lalu hingga Februari tahun ini.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian dengan suspek berbeza, termasuk di kawasan rumah dan premis awam.
“Seorang lagi individu turut disiasat berhubung satu kejadian berasingan yang berlaku di sebuah sekolah, di mana mangsa dipercayai dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Polis turut menjalankan soal siasat serta mendapatkan keterangan lanjut bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan,” katanya.
Tambah ACP Jasmin, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko jenayah seksual.
“Kes seperti ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara,” katanya. – Polis Daerah Tawau


No comments:
Post a Comment