ZAHID DINASIHAT BEREHAT

Fitnah terhadap Ngeh Koo Ham tidak masuk akal; Ismail Sabri tewas di mahkamah


Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Yaakob bersetuju membayar pampasan dan kos kepada Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham selepas Mahkamah Sesyen Ipoh mengarahkan berbuat demikian, semalam.
Pemimpin Barisan Nasional (BN) itu diarahkan membayar pampasan sebanyak RM80,000 dan kos berjumlah RM5,000 kepada pemimpin DAP berkenaan selepas didapati bersalah memfitnah.
Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebook pada 1 Februari 2015 menuduh Ngeh adalah pemilik restoran Old Town White Coffee yang diragui status halalnya, selain menuduh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak itu sebagai anti Islam.
Pejabat Ahli Parlimen Beruas dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa Ngeh tidak memiliki saham atau kepentingan dalam Old Town White Coffee, malah dakwaan anti Islam tidak benar dan tidak masuk akal.
“Beliau menjelaskan bahawa sebagai seorang wakil rakyat beliau telah setiap tahun mengadakan sambutan Hari Raya Aidil Fitri, menghadiri majlis-majlis perkahwinan, pengkebumian dan kesyukuran.
“Beliau juga pernah mengadakan majlis berkhatan beramai-ramai untuk masyarakat orang Islam. Datuk Ngeh mempunyai ramai kawan-kawan yang beragama Islam dan mempunyai pekerja-pekerja yang beragama Islam.
“Beliau juga senantiasa membantu orang Islam yang miskin dan memberikan bantuan kewangan kepada masjid dan surau.
“Beliau juga menghadiri program-program Islam seperti majlis korban Aidil Adha, bacaan tahlil, Maulidur Rasul, awal Muharram dan program Iftar semasa bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sumbangan terhadap Islam-Melayu ketika dalam kerajaan negeri
Malah, ketika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di Perak, Ngeh juga bersetuju meluluskan antaranya:
(i) menaikkan elaun untuk guru-guru agama (sekolah KAFA).
(ii) meluluskan elaun perkapita kepada 22 Sekolah Agama Rakyat.
(iii) meluluskan tanah 45 ekar kepada Sekolah Pondok Tahfiz Al Quran Pak Teh di Pengkalan Hulu, Hulu Perak.
(iv) meluluskan 1,000 hektar tanah untuk 26 Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz Al-Quran di Perak.
(v) meluluskan bonus untuk guru-guru PASTI (Sekolah Pra Sekolah Islam).
(vi) meluluskan bantuan bulanan RM200.00 bagi rakyat termiskin di mana kebanyakan mereka adalah orang Melayu Islam.
Tegasnya, DAP mengamalkan dasar inklusif dan memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya.
“Datuk Ngeh berharap rakyat menolak mereka yang membuat fitnah, mengamalkan fahaman perkauman dan agama yang sempit dan ekstrem yang boleh memecah belahkan rakyat.  
“Datuk Ngeh ingin melihat rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya hidup dalam keadaan aman damai dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan berjaya,” ujarnya. 


ANWAR WAJAR DIBERI JAWATAN KHAS KABINET – PELABUR