MP BN Batu Sapi maut nahas jalan raya

MP BN Batu Sapi maut nahas jalan raya

TERKINI @ 01:23:04 PM 09-10-2010
October 09, 2010

KOTA KINABALU, 9 Okt — Ahli Parlimen Batu Sapi Edmund Chong dari PBS-BN meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu hari ini.

Mendiang berusia 54 tahun yang memenangi kerusi itu tanpa cabaran pada 2004 mengekalkannya dua tahun lalu.

Chong dipercayai menunggang motosikal Kawasaki 750 di Jalan Sembulan-Tanjung Aru membabitkan kereta Mercedez kira-kira 11.40 pagi tadi.

Wakil rakyat ini meninggal dunia dua hari sebelum Parlimen dijadual bersidang.

Kematian ini turut membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-13 ketika negara bersiap sedia untuk menyaksikan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan.

Pada 8 Mac 2008, Chong memperoleh 9,479 undi berbanding calon Bebas Chung Kwong Wing yang mendapat 5,771 undi.

Chong lahir di Sandakan dan merupakan jurutera mekanikal sebelum dipilih sebagai wakil rakyat enam tahun lalu.

Mendiang yang beristerikan Linda Tsen Thau Lin mempunyai empat anak dan beliau juga bendahari agung PBS dan ketua bahagian Elopura.

MENYUSUL LAGI