Satu lagi laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat ekoran pendedahan media berhubung monopoli bekalan ubat-ubatan hospital dan klinik kesihatan kerajaan.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, siasatan perlu dilakukan untuk menyiasat sebarang kemungkinan wujudnya unsur rasuah dalam kontrak yang diberikan.
“Pada 13 Jun, saya dimaklumkan terdapat dakwaan (unsur) rasuah dalam kontrak tender perubatan di Kementerian Kesihatan dari tahun 2013 sehingga 2016 yang bernilai RM3.7 bilion.
“Banyak aduan kepada saya tentang harga ubat yang tinggi. Kita telah membandingkan dengan negara lain untuk ubat sama dan mendapati harga di Malaysia 30 peratus hingga 148 peratus lebih tinggi,” katanya kepada media selepas membuat laporan di SPRM Selangor hari ini.
Monopoli bekalan ubatan negara ini katanya memungkinkan sebab mengapa harga ubat-ubatan meningkat.
Beliau mengambil contoh harga bekalan ubat-ubatan barah yang mencecah ribuan ringgit.
“Harga ubat kanser mencecah RM2,000 hingga RM9,000, sekarang kita tahu mengapa harga ubat itu mahal,” ujar beliau.
Laporan kepada SPRM itu disertai dokumen setebal 150 muka surat melibatkan dakwaan monopoli yang dikawal tiga syarikat membabitkan pegawai tinggi kerajaan dan ahli politik.
“Saya mohon agar SPRM menyiasat siapa syarikat, pegawai dan jumlah komisen serta perkara berkaitan dalam isu monopoli ini,” katanya lagi.