Anwar Desak Najib Jelaskan Urusan Tunai RM3.5 Bilion 1MDB




KUALA LUMPUR 20 JUN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut penjelasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak tentang hubungan "akrab" antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Limited sehingga mengeluarkan dana secara tunai berjumlah RM3.5 bilion.

Menurut Anwar, kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib juga bercanggah dengan laporan audit yang dikeluarkan oleh KPMG bersabit pelaburan pembangunan tanah pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang mahu dinaik taraf menjadi Bandar Malaysia.

"Isunya kerana bayaran pelaburan yang dibuat oleh 1MDB, RM3.5 bilion kepada Petro Saudi International Limited secara tunai. Jadi saudara bayangkan, ini kerjasama yang paling hebat dalam dunia, (urusan) tunai," kata beliau pada sidang media di parlimen tadi.

Malah Anwar sebelum itu di Dewan Rakyat berhujah, penyata kewangan enam bulan pertama sehingga 30 September 2010 menunjukkan 1MDB mengalami kerugian RM158.3 juta dengan kos operasi enam bulan sebanyak RM20.5 juta.

Justeru ujarnya, pengumuman keuntungan 1MDB oleh Najib disangsikan kebenarannya apatah lagi dana melalui jaminan bon kerajaan persekutuan ditambah sebanyak RM10 bilion sehingga 2013, menjadikan jumlah keseluruhan RM15 bilion untuk syarikat pembangunan strategik tersebut.

Sebelum ini pada 2009, Anwar menimbulkan kesangsian terhadap keuntungan RM425 juta yang diuar-uarkan 1MDB pada tahun pertama pengoperasiannya selepas syarikat itu diberikan wang permulaan berjumlah RM5 bilion melalui bon kerajaan pada ketika itu.

Anwar turut mendakwa kerajaan tidak menyatakan sebarang jaminan terhadap kepentingan rakyat yang melibatkan hartanah paling berharga di ibu negara yang dipercayai boleh menjana pulangan ekonomi berpuluh bilion ringgit.

Sehubungan dengan itu beliau sekali lagi menimbulkan persoalan tentang syarikat PetroSaudi yang didaftarkan di Cayman Islands dan British Virgin Islands, di mana kedua-dua tempat itu merupakan kawasan bebas cukai.

Jelas menurutnya, perjanjian antara kedua-dua buah syarikat tersebut cuba untuk diselindungi melalui kepentingan yang dirahsiakan.

"(Maklumat) daripada laporan KPMG melalui akaun yang diaudit. Kami juga cari sebab tanggapan yang diberikan kepada umum di mana PetroSaudi yang bertapak di Saudi dan sebab ianya merupakan syarikat luar negara, kita ada masalah (mendapatkan maklumat)," jawab beliau kepada wartawan.

Beliau kemudian menyatakan bahawa projek seumpama ini seharusnya mempunyai ketelusan kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat tempatan khususnya bekas pegawai tentera dan beberapa syarikat berkepentingan Bumiputera.

Jelasnya lagi, kaum Bumiputera juga harus diberi keutamaan di samping pelaksanaan tender terbuka bagi membolehkan rakyat tempatan bersaing bagi meraih keuntungan melalui projke-projek berkenaan.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu kemudian menyifatkan pembayaran secara tunai melibatkan usahasama kedua-dua syarikat itu tidak pernah berlaku dalam sejarah perjanjian antara syarikat.

Justeru beliau tidak menolak kemungkinan berlaku ketidaktelusan selain kerajaan tidak bersikap adil kepada golongan yang berhak dan layak menyertai pembidaan tender itu.

Tiada Alasan Untuk Tidak Siasat Ibrahim Ali




KUALA LUMPUR 20 JUN: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengarahkan pihak berkuasa menyiasat kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali di bawah Akta Hasutan 1948 bersabit ugutan kepada kaum Cina menjelang perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai nanti.

"Tidak ada lagi perkara yang lebih jelas untuk menyiasat beliau di bawah Akta Hasutan," kata Khairy kepada media di lobi parlimen hari ini.

Ibrahim dalam ucapannya di Kampung Baru semalam bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau turut memberi amaran kepada kepada masyarakat Cina supaya tidak keluar rumah atas alasan "apa sahaja boleh berlaku" pada hari tersebut.

Khairy kemudian menyifatkan kenyataan tersebut sebagai menakut-nakutkan warga Cina.

Justeru beliau mengajak rakyat untuk mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Ibrahim itu dan tindakan tegas harus dikenakan ke atas ahli parlimen tersebut.

"Saya menegaskan kepada masyarakat Cina bahawa pandangan ahli parlimen ini tidak mewakili suara Melayu majoriti. Kita masyarakat Melayu menghormati semua kaum," ujar beliau lagi.

Khairy berkata beliau akan tetap mengetuai perhimpunan Pemuda Umno pada 9 Julai nanti untuk menyatakan sokongan kepada SUruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun memberi jaminan tidak akan bertembung dengan penyokong Bersih.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum itu melebel Ibrahim sebagai pengecut dengan bertindak mengugut kaum Cina.

Sehubungan itu Nurul Izzah berkata masyarakat tidak perlu takut dengan ugutan tersebut.






Azmin beri 48 jam kepada Timbalan Pengerusi SPR: "Jawab, atau letak jawatan!"

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali memberi tempoh 48 jam kepada Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar untuk menjawab tuduhannya bahawa SPR menipu dalam Daftar Pemilih Induk 2010 yang diwartakan pada Mei 2011.

Sambil menunjukkan salinan Daftar Pemilih terkini sehingga 30 September 2010, Azmin (gambar kanan) berkata terdapat 11 orang pengundi termasuk enam orang Melayu dan lima orang Cina didaftarkan dengan alamat Rumah 1E, Kampung Klang Gate, iaitu kediaman ibunya - yang tinggal berseorangan sejak kematian ayahandanya pada tahun 1999.

"Saya memberi tempoh 48 jam kepada Wan Ahmad Wan Omar, jawab, kalau tidak letak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi SPR," tegasnya, sebelum berseloka, "Mungkin dia dengar ucapan saya 'anak Cina anak saya', dia masuk pengundi Cina dalam rumah ibu saya."

Azmin Ali juga merangkap jawatan Pengarah Pilihan Raya dalam PKR, dan beliau membuat aduan yang sama sebelum PRU pada tahun 2008. Bukan dengan itu sahaja, Azmin juga mengemukakan bagaimana 48 orang pengundi Cina dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih untuk Kampung Klang Gate Baharu, sebuah kampung tradisional Melayu dengan 100% penghuninya berketurunan Melayu.

Malah, beliau mendedahkan bagaimana alamat palsu, bersifat pangsapuri (misalnya 22-5-14) wujud untuk Kampung Klang Gate yang tidak mempunyai bangunan tinggi.

"Wan Ahmad Wan Omar, kalau kamu berminat dengan politik, sila letak jawatan, ayuh mari bertanding dengan saya di parlimen Gombak dalam pilihan raya yang akan datang," sebelum beliau menambah, "Itupun kalau Presiden setuju saya menjadi calon. Saya pun tak tahu lagi sama ada saya jadi calon atau tidak."

Sebelum ini, Azmin menyelar kepincangan dan penyelewengan sistem pilihan raya, berkata, "Orang yang kotor tidak. Orang yang bersih tidak kotor. Orang yang menolak bersih maknanya orang itu kotor. Apabila Najib dan SPR menolak BERSIH, maknanya mereka adalah manusia yang paling kotor dalam negara ini."

"Apabila mereka tidak mahu dibersihkan, maknanya mereka ingin kekal dalam kekotoran. Hanya dengan sistem pilihan raya yang tempang dan kotor, UMNO akan terus menjamin kuasa mereka dalam negara ini,"katanya.

Malah, beliau mengambil kesempatan untuk menyindir Perdana Menteri Najib Razak (gambar kiri), dan isterinya, Rosmah Mansor, apabila berkata, "Hanya di Malaysia, bomoh digunakan untuk menetapkan tarikh pilihan raya."

"Di Indonesia, di Filipina, di Thailand, tiga tahun sebelum pilihan raya rakyat sudah tahu tarikh pilihan raya. Tetapi di Malaysia, hanya Najib, Rosmah, dan bomoh sahaja yang menentukan tarikh pilihan raya," katanya dalam Konvensyen Pilihan Raya PKR yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, dihadiri kira-kira 4,000 orang, petang tadi.

PKR harap bertanding di kawasan campuran

Dalam sidang media yang diadakan selepas konvensyen tersebut, Azmin Ali menyatakan hasrat PKR untuk bertanding di kawasan campuran. Ketika diminta MerdekaReview untuk mengulas, beliau berkata, "Kalau kita tengok balik sejarah Barisan Alternatif dan juga Pakatan Rakyat, Keadilan diberikan tugas untuk bertanding di kawasan-kawasan campuran mulai tahun 1999. Dan kawasan-kawasan ini secara relatifnya memang kawasan-kawasan yang sukar. That's why itu kita kalah teruk (tahun) 1999 dan juga 2004."

"Tetapi kita terus bekerja, dan kita telah membuktikan kepada teman-teman Pakatan Rakyat bahawa kita telah mendapat sokongan yang baik di kawasan-kawasan campuran kerana keyakinan kita kepada gagasan baru yang menolak perkauman dan meneruskan perjuangan berasaskan keadilan sosial. Dan sekarang nampaknya rakyat mula menerima termasuk orang-orang Melayu. Maka kita ingin menegaskan bahawa kawasan-kawasan ini cukup sesuai untuk diwakili Keadilan dalam pilihan yang akan datang."

Apabila ditanya apakah PAS dan DAP meminta untuk bertanding di kawasan campuran yang dimaksudkan, Azmin (gambar kanan) menjawab, "Belum dibuat secara rasmi...". Wartawan menyusul dengan soalan "secara tidak rasmi?", Azmin hanya menjawab "Saya tidak pasti."

Dalam sidang media tersebut, Azmin Ali tidak menolak kemungkinan berlaku "swapping", iaitu pertukaran kawasan antara parti dalam Pakatan Rakyat, di kawasan yang belum dimenangi. Untuk kerusi yang telah dimenangi parti politik masing-masing, ia dijangka akan terus dipertanding parti yang menang di kawasan tersebut.

Ketika ditanya kawasan yang dimenangi calon PKR, tetapi wakil rakyat kemudiannya berpaling tadah - apakah kerusi ini akan diberi laluan oleh PAS dan DAP, agar PKR boleh bertanding semula, beliau menjawab, "Saya ingin menegaskan bahawa undi yang diperolehi oleh Keadilan bukan kerana calon yang berkenaan. Tetapi rakyat hari ini memilih untuk mempertahankan sistem dua parti. Maka mereka membuat keputusan sama ada (memilih) Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Calon yang berkenaan walaupun datang daripada Keadilan, tapi mewakili Pakatan Rakyat."

"Dan kita nyatakan dengan tegas bahawa kerusi-kerusi itu dimenangi oleh Keadilan kerana rakyat yakin parti yang mampu membawa perubahan bukan individu yang berkenaan," Kata Azmin Ali ketika merujuk kepada sesetengah kerusi parlimen seperti Bayan Baru (Zahrain Hashim), Bandar Kulim Baharu (Zulkifli Noordin) dan sebagainya.

Apabila ditanya lagi sama ada PAS dan DAP sudi memberi laluan kepada PKR, Azmin berkata, "Saya bagi pihak parti mengatakan kita telah mengambil pendirian bahawa Keadilan akan terus mewakili kawasan-kawasan yang berkenaan, Keadilan! Kita akan letak calon yang terbaik kali ini."

Wartawan mendesak dengan soalan sama ada PAS dan DAP telah bersetuju dengan kenyataan di atas, Azmin Ali berkata, "Kita akan maklumkan kepada mereka, ini pendirian parti bahawa kemenangan dalam pilihan raya lepas bukan kerana individu berkenaan tetapi kerana Keadilan."

Sebelum ini, Azmin Ali dalam ucapan beliau menegaskan bagaimana Parti KeADILan berkembang dari sebuah parti politik yang tidak ditaruh harapan, kepada sebuah parti terbesar dalam PRU tahun 2008 dengan jumlah kerusi parlimen terbanyak dalam barisan pembangkang.

"Walaupun pada peringkat awa,l penganalisa politik melontarkan dakwaan bahawa parti ini tidak akan bertahan lama dengan gagasan yang berani ini. Tetapi Alhamdulillah setelah 12 tahun parti ini terus berkembang dengan pantas, maju dan mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum di seluruh negara."

Beliau memberi stastitik, bagaimana Parti Keadilan Nasional yang bertanding pada tahun 1999, memperolehi 773,679 undi (11.67%), menurun kepada 617,518 undi (8.9%) pada tahun 2004, dan sokongan rakyat melonjak kepada 1,509,080 undi (18.58%) pada tahun 2008.

Konvensyen Pilihan Raya PKR Anwar: 5% lagi untuk robah lanskap politik

"Saudara tahu? Kalau kita rebut peluang kali ini, berapa percent? Another 5%..." Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim meneruskan, "Dari 1999, kita mula. Dalam tempoh singkat, 12, 13 tahun, saudara hanya perlu 5% sahaja lagi untuk merobah seluruh lanskap politik di negara ini."

"Tak usah fikir yang merunsingkan, membebankan. Apa kata kalau Anwar dihukum? Itu kerja mereka (musuh politik). Rancangan mereka. Rancangan penjenayah zaman edan... Tak usah nak fikir teori banyak-banyak."

"Saudara, ada pilihan raya, kita menang. Insyaallah. Ada yang katakan, what's the senario? Anwar masuk penjara. So what? Anwar masuk penjara tapi kita menang. Best senario, Anwar tak masuk penjara. Kita pun menang."

Demikianlah kata-kata Anwar Ibrahim yang disambut dengan tepukan dan sorakan, ketika berucap dalam Konvensyen Pilihan Raya PKR, di Pusat Konvensyen Shah Alam, petang semalam Kira-kira 4,000 orang perwakilan dan penyokong hadir memenuhi dewan, mengikuti acara yang dipersembahkan dengan pendekatan yang dinamik dan moden.

Anwar juga menambah, dengan penyelewengan dan kepincangan yang berlaku dalam sistem pilihan raya negara kita, pembangkang memerlukan undi 55% untuk mengalahkan pesaing politiknya, kerana terpaksa berdepan dengan pengundi hantu dan sebagainya.

Dinamik, moden, interaksi

Berbeza dengan ceramah politik yang sarat dengan hanya ucapan pemimpin politik sebelum ini, konvensyen kali ini diselit dengan tayangan video yang menarik, nyanyian sama ada untuk menyindir musuh politik, mahupun menyuntik semangat kepada penyokong.

Malah, ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul (gambar kiri) tampil untuk menyanyi lagu yang diubahsuai, menambah unsur hiburan dalam acara politik ini. Lebih-lebih lagi, pentas berbentuk "T" direka untuk memberi lebih ruang pemidato berinteraksi dengan hadirin, bahkan sesetengah pemimpin seperti Anwar dan Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung) tidak menggunakan rostrum ketika berucap.

Konvensyen ini diadakan khas sebagai persiapan PKR berdepan dengan PRU ke-13, yang dijangka bakal berlangsung tidak lama lagi. Selain pimpinan utama, PKR menampilkan wakil-wakil dari kaum orang asli (dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak), anak muda Cina, wanita kaum India untuk berucap - untuk menonjolkan kepelbagaian dalam partinya yang bersifat inklusif ini.

Malah, Anwar Ibrahim mempertahankan pendirian perjuangan partinya untuk semua suku kaum, meskipun berdepan dengan kritikan sesetengah pemimpin yang keluar parti dan mendakwa partinya tidak membela hak kaum tertentu.

"Saya nak tanya orang India, orang Melayu, Cina, Orang Ulu, Iban, Murut, Kadazan, Dusun, Bugis, Melanau, mana ada parti di negara ini yang sanggup hadapi risiko memperjuangkan nasib semua suku kaum dalam negara ini dengan istiqamah dengan yakin? Ini negeri orang Iban, ini negeri orang Cina, ini negeri orang Melayu, ini negeri orang Dusun... No compromise! Mahu bersama kita, baik orang Melayu atau Cina, India, ini pendirian kita."

Malah, Anwar mengingatkan UMNO-BN yang cuba menakut-nakutkan Melayu bahawa kedudukan kaum tersebut akan tergugat seandainya tampuk kerajaan diambil alih Pakatan Rakyat.

"Saya nak bagi tahu, Melayu mempunyai juga budaya berjuang. Melayu punyai juga budaya faham apa erti keadilan. Dan Melayu sebagai orang Islam juga dituntut untuk melaksanakan kebebasan dan keadilan bagi semua. Dan Melayu ini yang kita harus angkat bersama Cina, India, Iban, Kadazan dan yang lain-lain. Tidak timbul soal mengkhianati sesiapa!" tegas Anwar.

Beliau memberi kata-kata penyuntik semangat, dengan interaksi dari bawah pentas, "Saudara tak ada pengalaman nak lawan UMNO? (Ada!) Saudara tidak tahu pasal harga barang? (Tahu!) Saudara tak pernah dengar kes IPP? (Tahu!) Saudara tak tahu PKFZ? (Tahu!) Saudara tak tahu Teoh Beng Hock jatuh? (Tahu!) Tak pernah dengar Sarbani? (Tahu!) Saudara tak tahu TV3 punya cerca? (Tahu!) Saudara tak tahu Utusan Malaysia itu perkakas siapa? (Tahu!) Dah pass! Tak payah runsing dok (ketawa)."

Antara mesej yang disampaikan...

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menjadi pemidato pertama, menekankan bahawa Anwar Ibrahim adalah aset penting buat PKR, sambil menunjukkan gambar bagaimana Anwar disambut dengan lautan manusia ke mana beliau berada - satu keadaan yang menjadi mimpi ngeri buat UMNO-BN, katanya. Selaku Setiausaha Agung, beliau turut memberi taklimat agar akar umbi mempersiapkan jentera untuk menghadapi pilihan raya.

Nurul Izzah (gambar kiri), satu-satunya Naib Presiden yang berucap, berkongsi pengalaman dan pandangannya yang baru melawat ke Turki untuk memerhati perjalanan pilihan raya di situ. Beliau yang bersama dalam perjalanan ketika Menteri Kewangan Turki, Mehmet Simsek berkempen, melihat dengan mata sendiri bagaimana pemimpin itu tabah berdepan dengan cemuhan kaum Kurdis. Dengan pengalaman sedemikian, Nurul mendakwa dirinya "sudah tidak takut dengan PERKASA ke, apa ke..."


DIPETIK DARIMERDEKA REVIEW DENGAN SEDIKIT PENYESUAIAN TARIKH DAN WAKTU

Pak Samad : Sejarah Buktikan Demonstrasi Jalanan Capai Matlamat


KUALA LUMPUR 20 JUN : Hasrat merealisasikan demokrasi tulen di negara ini boleh dijayakan melaluinya turunnya rakyat ke demonstrasi-demonstrasi jalanan, kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Menurut beliau, sejarah membuktikan betapa perubahan boleh dicapai apabila rakyat turun secara beramai-ramai untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka mengenai polisi yang dibawa oleh sesebuah kerajaan.

"Itu orang kata, (tapi) mana-mana demonstrasi pun, mesti turun ke jalan raya. Takkan nak duduk dalam dewan saja kan? Ini fenomena dunia dan saya fikir kalau tak di jalan raya takkan berhasil," kata beliau kepada TV Selangor selepas Majlis Pelancaran Bersih 2.0 di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendapat bahawa demonstrasi jalanan bukan merupakan budaya demokrasi di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein sebelum ini mencadangkan agar Bersih 2.0 melakukan himpunan di stadium atau tempat tertutup lain.

Bagaimanapun Datuk A. Samad Said atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad menyatakan, hal itu tidak tepat dan bersesuaian dengan agenda tuntutan perubahan mereka.

Malah ketika memberi ucapan ringkas perasmian Bersih 2.0, beliau menyampaikan sepotong Ucapan dari bekas gabenor Massachusetts yang membawa kepada kemerdekaan Amerika dari jajahan kolonial British.

"200 tahun lalu, tokoh Amerika Samuel Adams dan kelompok kecil telah menumpahkan teh di pelabuhan Boston. Samuel berkata, ia tidak memerlukan majoriti untuk berjaya, tetapi minoriti yang bekerja terus dan tanpa penat untuk menyalakan unggun semangat.

"Kita nyalakan unggun api itu malam ini," tegas beliau disambut dengan laungan semangat para hadirin.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis pelbagai NGO bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007, pada 9 Julai hadapan.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Justeru menurut beliau, permintaan rakyat untuk lapan tuntutan Bersih seharusnya dihormati oleh pihak berwajib.

"Saya fikir dalam demokrasi mesti ada benda yang tak lengkap, mesti dilengkapkan. Jadi saya fikir lapan tuntutan ini waraslah dan wajar dilaksanakan." ujar beliau.

BERSIH 2.0 : Platform Suara Rakyat, Uji Pentadbiran Najib






KUALA LUMPUR 20 JUN: Perhimpunan Bersih 2.0 akan menjadi platform utama kepada suara rakyat dalam mengukur sejauhmana komitmen kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam mengamalkan sistem demokrasi, kata Setiausaha Kebangsaan DAP, Teresa Kok.

Malah katanya, sebarang tindakan provokasi daripada mana-mana pihak yang cuba menghalang himpunan besar-besaran itu hanya akan menghantar mesej buruk kepada sistem pentadbiran kerajaan terutama Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

"Saya mahu beri peringatan kepada Barisan Nasional (BN) jika ada mana-mana penyokong yang tertangkap, maka kita akan hantar mesej kepada dunia bahawa BN memang mahu pilihan raya yang kotor," ujarnya.

Beliau yang hadir ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi bersempena pelancaran Perhimpunan Bersih 2.0 menyatakan sokongan penuh terhadap program anjuran gabungan NGO seluruh negara termasuk wakil SAPP dari Sarawak.

Teresa yang hadir bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menunjukkan sokongan positif seraya menyeru seluruh rakyat turun untuk menyertai perhimpunan itu nanti.

Perhimpunan Bersih kali pertama diadakan pada 2007 berjaya mengumpulkan lebih 100 ribu rakyat tempatan mengadakan perarakan secara aman.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut sama menyatakan sokongan padunya kepada himpunan besar-besaran itu nanti menegaskan bahawa segala dakwaan yang dilemparkan kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau individu utama dalam perancangan menanam kebencian terhadap BN menerusi Bersih 2.0 adalah dusta sama sekali.

"Walaupun dakwaan Datuk Seri Anwar adalah dalang, saya mahu tekankan ini semua dusta," kata Nurul Izzah.

Beliau sebaliknya menjulang Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan yang berjaya mengumpul kekuatan suara rakyat seluruh negara dalam menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti akan bermula di tiga lokasi sekitar ibu negara Kuala Lumpur iaitu, pusat membeli belah Sogo, perkarangan Masjid Kampung Baru dan di hadapan DBKL jam 2 petang.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dimaklumkan akan turut serta dalam perhimpunan itu.