Anwar : Ambil Iktibar PRK Ijok






PARIT BUNTAR 7 MAC : Kemenangan Umno-Barisan Nasional pada pilihanraya kecil Kerdau dan Merlimau bukanlah penanda aras bagi menentukan kedudukan kerusi tersebut pada Pilihanraya Umum ke-13.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan masyarakat di negara ini tentang tsunami politik 2008 yang menyaksikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim merampas kembali kerusi DUN Ijok walaupun pada awalnya kalah pada pilihanraya kecil kawasan itu.

" Jangan gusar tentang pilihanraya kecil Merlimau dan Kerdau, biasalah. Kita sekarang ini tumpu kepada pilihanraya umum. Imbas kembali apa yang berlaku di Ijok. Pilihanraya kecil itu berlaku sebelum pilihanraya umum. Kita letak calon hebat ketika itu, Tan Sri Khalid tapi kita kalah. Selang tidak sampai setahun pilihanraya umum, terbalik! Bukan sahaja di Ijok satu Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat," kata Anwar dalam siri jelajahnya di sini, malam tadi.

Beliau berada di Perak dalam siri jelajah Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia di Markas PAS Titi Serong, Parit Buntar malam tadi.

Kira-kira 800 orang hadir bagi mendengar amanat Anwar dan pimpinan Pakatan Rakyat lain dalam siri jelajah itu.

Walaupun ceramah diadakan selepas seluruh rakyat Malaysia mengetahui keputusan PRK Kerdau dan Merlimau tidak menyebelahi calon Pakatan rakyat dari PAS, namun ia tidak sedikit pun menggoyah sokongan rakyat kepada Pakatan.

Buktinya Markas PAS di Titi Serong itu dipenuhi oleh hadirin untuk mendengar ucapan pimpinan Pakatan Rakyat.

Anwar dalam ceramahnya turut menyeru masyarakat di parlimen Parit Buntar mengekalkan momentum yang ada pada hari ini supaya sokongan terus diberikan kepada
gagasan itu demi transformasi menyeluruh di negara ini.

Kuburkan Revolusi Jasmin: BN kembali yakin berdepan PRU

MerdekaReview | Mar 07, 2011 01:00:42 am

Barisan Nasional berjaya membuktikan kepada pembangkang, bahawa benih Jasmin yang ditaburkan sepanjang dua pilihan raya kecil serentak ini, iaitu Merlimau dan Kerdau tidak berbunga. Meskipun keputusan PRK ini menyuntik keyakinan kepada BN untuk menghadapi PRU akan datang, namun pengkaji politik menjangkakan bahawa kebarangkalian PRU diadakan lebih awal tidaklah tinggi.

Ketika dihubungi MerdekaReview, pengkaji politik, Phoon Wing Keong berkata, dari kaca mata BN, kemenangan kedua-dua PRK ini adalah penting, dalam konteks gelombang "Revolusi Jasmin" di Timur Tengah yang sedang mengombak. Perdana Menteri bersama Timbalannya telah cuba sedaya upaya untuk memastikan bahawa fenomena "Jasmin" tidak menular di Malaysia.

Dengan kemenangan besar BN di kedua-dua kawasan pengundian yang majoritinya terdiri daripada Melayu-Islam, UMNO boleh menyampaikan satu mesej kepada dunia Islam - berbeza dengan negara Timur Tengah yang sedang mengalami "fenomena Jasmin", UMNO-BN adalah kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyatnya untuk terus berkuasa.

Bagaimanapun, Phoon Wing Keong (gambar kiri) menganggap kemenangan BN di Merlimau dan Kerdau adalah sesuatu yang dijangkakan. Ini kerana kawasan Selatan adalah kubu tradisional UMNO pada asalnya, dan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar sekadar membuktikan bahawa kuasa UMNO atau BN tidak tergoyah di kubu tradisionalnya.

Seorang lagi pengkaji politik, Wong Chin Huat berkata, sesungguhnya kemenangan secara besar-besaran dalam PRK serentak ini menunjukkan bahawa BN telah mengembalikan kuasanya di kubu tradisionalnya, tetapi ia kekal satu tanda soal sama ada gelombang BN ini bakal membadai kawasan bukan kubu tradisionalnya. Soalan ini hanya terjawab seandainya berlakunya satu PRK di "kawasan berisiko tinggi" untuk BN.

Selain itu, walaupun BN menang di tiga kawasan campuran, iaitu Kerdau, Ayer Merbau, dan Merlimau Pasir yang mana nisbah pengundi Cina-nya berada dalam lingkungan 23.8% hingga 48.9%, namun Wong Chin Huat menganggap keputusan ini tidak cukup untuk menunjukkan bahawa undi Cina telah kembali kepada BN. Ini kerana pengundi Cina bukan majoriti mutlak di kawasan pengundian tersebut, dan perlu dibandingkan dengan pengundi Melayu jikalau penilaian dibuat.

PR gagal pertahankan satu pertiga dalam parlimen?

Kedua-dua Wong Chin Huat dan Phoon Wing Keong menganggap kemungkinan bahawa Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan PRU ke-13 dengan lebih awal, iaitu diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak, adalah rendah.

Wong Chin Huat (gambar kiri) tidak menolak kemungkinan bahawa PRU ke-13 akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak, berikutan kemenangan besar BN dalam kedua-dua PRK ini, namun beliau menganggap adalah lebih mungkin PRU diasingkan dengan pilihan raya negeri Sarawak, jika dilihat kepada sikap Najib yang lebih berhati-hati.

Phoon Wing Keong pula percaya bahawa kerajaan BN tidak akan membubarkan parlimen secara tergesa-gesa, sebaliknya akan memerhatikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi, sebelum memberi kata dua untuk PRU ke-13. Beliau menjangkakan bahawa PRU paling mungkin diadakan selepas pembentangan Belanjawan.

Menurut Wong Chin Huat ketika dihubungi MerdekaReview, seandainya PR gagal menunjukkan prestasi yang terserlah dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang, maka ia mungkin melunturkan semangat PR, lantas memberi kesan langsung terhadap prestasinya dalam PRU.

Jikalau PR hanya menang 11 atau 12 kerusi, atau gagal memperolehi 20 atau lebih kerusi yang cukup untuk menggerunkan BN, maka "PR gagal pertahankan kerusi satu pertiga parlimen" bakal menjadi realiti, ramal Wong Chin Huat. Sebaliknya, PR hanya mampu mengubah senario, sehingga BN tersudut pada kedudukan bertahan, seandainya menunjukkan pretasi yang cemerlang dalam pilihan raya negeri di Sarawak.

Jurang melebar antara bandar dengan desa

Di samping itu, menurut pengamatan Phoon Wing Keong, wujudnya jurang perbezaan politik antara kawasan desa dengan bandar yang ketara, dari apa yang diperlihatkan dalam keputusan PRK Merlimau dan Kerdau. Malah, jurang ini semakin melebar.

"PRK Tenang, hinggalah dua PRK ini, memperlihatkan bahawa pembangkang hanya meraih sokongan di kawasan bandar, namun ia seolah-olah gagal melakukan apa-apa (sebagaimana di bandar) apabila tiba di kawasan desa. Sebaliknya, BN mendapat sokongan di kawasan kampung, tetapi gagal menembusi kawasan bandar," kata Phoon Wing Keong.

Phoon menambah, minda pengundi di kawasan desa lebih konservatif dan berorientasikan kepentingan. Jadi, BN boleh memberi kesan dengan peruntukan, memainkan isu negara Islam atau isu perkauman; sebaliknya, isu yang lebih makro seperti keadilan, kesaksamaan, kebebasan bersuara dan sebagainya, sukar memberi kesan di tempatan.

Walaupun BN berjaya membebaskan diri dari situasi yang merudum - zaman pasca 8 Mac 2008, dan kini menyerang kawasan bandar dengan sokongan yang ada di kawasan desa. Namun, senario sedemikian akan membataskan transformasi kerajaan BN, analisa Phoon.

"UMNO boleh menjadikan kubu di kawasan desa sebagai pengkalannya untuk menyekat kawasan bandar. Namun senario ini pasti akan membataskan usaha transformasi kerajaan. Ini kerana UMNO perlu mengambil kira keperluan penduduk kampung, dan mungkin terpaksa menggugurkan sesetengah dasar transformasi kerajaan," katanya.

*Tulisan ini diterjemah dan disunting daripada teks asal.

Kickdefella: Melayu lemah, kesian dia


Kickdefella*

PARLIMEN Sheet1

Pilihanraya Umum ke 11 pada tahun 2004 menyaksikan Barisan Nasional menguasai 90.4% kerusi di Dewan Rakyat. Juaranya ialah UMNO walaupun tidak dapat mencatatkan rekod seratus peratus seperti beberapa parti komponen BN yang lain.

UMNO kecundang 7 kerusi kepada PAS dan juga 1 kerusi kepada Parti Keadilan (kini PKR). UMNO juga membantu parti-parti MCA, GERAKAN dan MIC menang dibeberapa kawasan majoriti Melayu dengan menumpaskan calon-calon Melayu daripada parti Pembangkang.

Kesan daripada tindakan UMNO ini, Kerajaan yang ditubuhkan dengan penguasaan lebih 90% di Dewan Rakyat itu hanyalah mengandungi 58.1% komposisi Melayunya. Manakala wakil rakyat bukan Melayu yang menang dibawah BN berjumlah 41.9%.

UMNO menang 109 kerusi didalam pilihanraya tersebut tetapi seorang wakil rakyatnya bukan dari keturunan Melayu.

Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008 menyaksikan prestasi terburuk BN dan juga UMNO. BN masih menubuhkan Kerajaan dengan kemenangan 140 buah kerusi tetapi keadaan semasa hari ini, kerusi BN di Parlimen adalah 137 bila UMNO kehilangan satu kerusi kepada PAS didalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan kehilangan 2 kerusi apabila SAPP bertindak meninggalkan BN beberapa bulan selepas PRU ke 12.

BN kini mempunyai 61.7% wakil rakyat di dalam Dewan Rakyat manakala 38.3% lagi merupakan gabungan wakil rakyat Pakatan Rakyat, SAPP dan Bebas yang menang di atas tiket PAS.

KOMPOSISI PARTI 2004

KOMPOSISI PARTI 2008

Ironinya, walaupun kerusi UMNO merosot sebanyak 31 kerusi tetapi dibantu dengan kerusi wakil Melayu dari PBB, BN hari menyaksikan peningkatan memberangsangkan penguasaan wakil rakyat Melayu berbanding dengan Bukan Melayu di dalam BN. Hari ini wakil rakyat Melayu adalah 62.8% iaitu peningkatan hampir 5%. Wakil Rakyat BN Bukan Melayu pula merosot dari 41.9% kepada 37.2%.

Wakil Rakyat Melayu dalam BN kini 35 orang lebih ramai dari wakil rakyat Bukan Melayu.

Mengapa UMNO mengatakan bahawa ketuanan Melayu didalam Kerajaan semakin merosot? Mengapa UMNO merasakan Melayu semakin lemah sedangkan orang Melayu yang peratusannya hanya 51% dari populasi rakyat Malaysia mempunyai suara hampir 63% dalam parti pemerintah.

Kita tinggalkan UMNO seketika kerana kita tentu yakin UMNO tidak buta statistik. Tetapi yang menggusarkan ialah mengapa beberapa pemimpin PAS seolah-olah rabun membaca statistik. Ini yang kita perlu risau.

MALAY GOV 2004

MALAY GOV 2008

Prestasi Pembangkang 2004 dan 2008

Pilihanraya Umum ke 11 menyaksikan PAS dan PKR kembali terdampar dipersada realiti politik Malaysia apabila kecermelangan mereka dalam pilihanraya 1999 berakhir dengan malang sekali.

PAS kehilangan Terengganu atau lebih enak disebut, Presiden PAS hilang jawatan Menteri Besarnya. Timbalan Presiden PAS juga hilang kerusi Parlimennya.

Di Kelantan, Mursyidul Am berjaya mempertahankan penguasaan PAS dengan berpaut kepada majoriti 2 kerusi sahaja. Lebih menggerunkan, dua kerusi mereka berpaut itupun kalau dicampur keseluruhan majoritinya tidak lebih daripada 50 undi.

Pada 2006, PAS Kelantan kehilangan lagi satu kerusi DUN menerusi pilihanraya kecil. Lantaran mereka mencatatkan rekod dunia sebagai kerajaan yang boleh bertahan paling lama dengan hanya majoriti 1 kerusi.

Di Parlimen, setelah persempadanan semula konstituensi pilihanraya di Semenanjung dan di Sabah pada tahun 2003 serta faktor ‘feel good’ Perdana Menteri baru Malaysia, peratusan wakil rakyat Pembangkang di dewan Rakyat menguncup kepada hanya 9.6%.

Daripada jumlah ini pula wakil rakyat Melayu dalam Pembangkang hanyalah 38.1% berbanding dengan 61.9% wakil rakyat Bukan Melayu.

Tetapi kedudukan semasa hari ini, Pembangkang menguasai 38.3% kerusi di Dewan Rakyat. Apa yang amat-amat signifikan ialah kedudukan wakil rakyat Melayu didalam pembangkang yang melonjak kepada 51.8% daripada 38.1% didalam tahun 2004. Wakil rakyat Bukan Melayu didalam Pembangkang pula ialah 48.2%.

MALAY OPPS 2004

MALAY OPPS 2008

Dalam erti kata lain, Melayu bukan sahaja mempunyai pengaruh yang besar didalam BN yang merupakan parti pemerintah, tetapi Melayu juga mempunyai pengaruh yang majoriti didalam Pembangkang.

Oleh itu apakah yang merisaukan orang-orang Melayu?

Apakah boleh dianggap Melayu berpecah semata-mata kerana satu pihak yang dulunya begitu dominan didalam politik Melayu kini sudah mula kehilangan taring?

Adakah kerana PKR dan PAS kini mempunyai jumlah wakil rakyat Melayu yang besar didalam gabungan Pembangkang maka itu tandanya Melayu berpecah?

Siapa Kata Hendak Selamatkan Melayu Sebenarnya Selamat UMNO

Sesetengah pihak bertungkus lumus membanting tulang mahu menyelamatkan Melayu. Persoalannya kenapa? Pengaruh Melayu terus hebat bahkan bertambah hebat. Melayu hari ini lebih dominan didalam BN dan begitu signifikan didalam Pembangkang. Kalau ada masanyanya Melayu ingin merasa bersyukur, inilah sebenar masa sebenarnya.

PAS dan PKR dilabelkan sebagai pengkhianat Melayu kerana bekerja sama dengan DAP. Tetapi apa yang peliknya, menerusi kerjasama dengan DAP, PAS dan PKR berjaya memperkasakan kedudukan Melayu di dalam Pembangkang.

Menerusi kerjasama dengan DAP, PAS dan PKR berjaya merampas sekurang-kurangnya 5 kerusi Parlimen daripada MCA, MIC dan Gerakan. Ini bererti lebih 5 wakil rakyat Melayu didalam Parlimen.

Semenjak pilihanraya 1955, UMNO mengajar orang Melayu memberikan kerusi majoriti Melayu kepada wakil rakyat Bukan Melayu. Sebab itulah berkali-kali pilihanraya pengundi-pengundi Melayu memberikan undi kepada MCA, MIC dan Gerakan walaupun mereka ini ditentang oleh calon Melayu dari PAS dan lain-lain parti.

OVERALL 2004

OVERALL 2008

Perjuangan Malaysia Dapat Memperkasakan Melayu

Ketidakseimbangan kekuatan Melayu dianggap sebagai satu masalah besar didalam gabungan Pakatan Rakyat. Ia menimbulkan ketidakselesaan orang-orang Melayu.

Ketidakseimbangan ini sebenarnya hanyalah ciptaan UMNO. Pakatan Rakyat berjaya menimbulkan keseimbangan itu.

Hari ini representasi Melayu didalam Kerajaan dan Pembangkang adalah refleksi sebenar populasi Malaysia. Lebih unik lagi keseimbangan itu dicapai bukan atas dasar perjuangan bersikap perkauman tetapi perjuangan berteraskan keadilan untuk semua kaum yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat sudah memperjuangkan formula untuk Malaysia yang sejahtera buat semua dan ia telah terbukti berjaya. Dan ia berjaya tanpa perlu slogan atau laungan atau kempen seperti 1 Malaysia. Ia berjaya kerana keikhlasan untuk memakmurkan negara ini untuk semua rakyatnya.

* Tulisan Kickdefella ini disiarkan beliau pada 31 Julai 2009 lalu melalui blognya. Apakah dia mempunyai pandangan yang sama sekarang mengenai isu ini, tidak dapat dipastikan - Editor