15dbbb17dc21b99bb8e0546bd03bbc375cc538020a649
SANDAKAN – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan bersih yang akan memastikan setiap ringgit dibelanjakan dapat dilihat hasilnya oleh rakyat tanpa berlaku ketirisan, penyelewengan, salah laku dan amalan rasuah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata rakyat akan dapat melihat perbezaan pembangunan yang dibuat dengan bersih untuk kesejahteraan rakyat.

“Kita harap rakyat akan menikmati perubahan yang ketara ini iaitu pembangunan yang ‘bersih’,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program tinjauan mesra bersama calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Vivian Wong Shir Yee di Pasar Umum, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai pembangunan di Sandakan, beliau berkata hanya selepas peralihan kerajaan, pembangunan di bandar itu dapat dilaksanakan berbanding kerajaan sebelum ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata kerajaan Pusat telah meluluskan projek bagi membesarkan Lapangan Terbang Sandakan, membaiki lif Hospital Duchess of Kent yang rosak serta menaik taraf blok hospital itu.
Sementara itu, Lim menafikan pemilihan Wong sebagai calon parti itu kerana populariti penyandang kerusi itu iaitu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Beliau berkata pemilihan Wong merupakan kesinambungan dan warisan perjuangan daripada mendiang bapanya yang perlu diteruskan malah beliau juga tidak asing bagi pengundi di kawasan Parlimen itu.

“Apa salahnya kita pilih seorang aktivis yang dekat dengan rakyat dan secara kebetulan adalah anak perempuan mendiang, oleh itu sekiranya kita nak meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang baik, saya rasa itu adalah pilihan yang baik,” kata Lim.- BERNAMA