Mengapa polis cekap susah dakwa trio Umno?

Mengapa polis cekap susah dakwa trio Umno?
Harakahdaily

KUANTAN, 24 April: Siasatan siap, dihantar ke pejabat Peguam Negara, kena tendang, sudah lengkapkan siasatan dan hantar semula, pejabat Peguam Negara tendang lagi dan kini tetiba polis meminta lebih banyak masa untuk melengkapkan siasatan berhubung video lucah yang didakwa melibatkan mirip seorang pemimpin pembangkang.

“Polis Malaysia yang terkenal dengan kecekapannya, apa yang payah sangat untuk dakwa pemilik video dan orang yang menayang klip video lucah kepada orang awam? Kan ini terang-bederang sudah bercanggah dengan akta yang ada?” sindir Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar menyatakan polis memerlukan lebih masa untuk menjalankan siasatan berhubung rakaman video seks yang didedahkan trio Umno Datuk T, yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik setelah Pejabat Peguam Negara mengarahkan polis untuk menyemak dan menambah maklumat berhubung kertas siasatran rakaman aksi tersebut untuk kali keduanya.

"Berilah masa kepada polis untuk meneruskan siasatan serta tidak perlulah polis mendedahkan apa yang mereka lakukan dalam siasatan itu dari sehari ke sehari.

"Kita jalankan kerja kita dan apa juga keputusannya kemudian akan diumumkan kalau bukan kita pihak Peguam Negara akan umumkan,” kata Khalid yang dipetik Bernama.

Khalid, bagaimanapun enggan mendedahkan bahagian mana dalam siasatan tersebut yang ditegur Pejabat Peguam Negara. Jika selepas ini polis menghantar lagi kertas siasatan kepada Peguam Negara, ini adalah kali ketiga perkara ini dilakukan.

Berikut ialah kronologi ‘pengisytiharan’ polis mengenai siasatan video seks melalui media tradisional Umno Barisan Nasional:

11 April: Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata identiti pemilik jam tangan jenama Omega yang diserahkan kepada polis berhubung kes rakaman video aksi seks didakwa melibatkan pelaku dilaporkan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diketahui tidak lama lagi.

Polis telah menyerahkan kad pendaftaran jam itu kepada syarikat yang mengedarnya bagi tujuan pengesahan siapa pemiliknya.

14 April: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah memperolehi bukti-bukti ‘kukuh’ yang mencukupi untuk mengenalpasti individu yang dikaitkan dalam video seks.

“Kami sudah mengambil kenyataan dari semua orang yang boleh membantu dalam siasatan kes ini, termasuk wanita dalam video,” Ismail dipetik berkata oleh The Star.

15 April: Acryl berkata polis percaya wanita dalam rakaman video seks itu adalah rakyat China dan menafikan laporan akhbar yang memetik Ismail sebagai berkata polis telah mengambil keterangan wanita dalam video itu.

Setakat ini maklumat kita mempercayai wanita (dalam) video itu sebagai warga China tetapi belum disahkan secara pasti dan setakat ini tiada perkembangan yang sensasi," katanya kepada Bernama menerusi SMS.

18 April: Acryl berkata “kemungkinan” Datuk T akan didakwa berikutan siasatan mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah itu menjurus kepada mereka, pihak yang menayangkan video.

Jam Omega, katanya, bukan merupakan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu.

April 20: Pejabat Peguam Negara mengarahkan polis membuat semakan serta penambahan maklumat berhubung kertas siasatan rakaman aksi seks yang pelakunya didakwa mirip seorang pemimpin parti pembangkang.

“Saya telah berikan polis arahan supaya menyiasat lanjut. Kita tidak memberikan mereka sebarang tempoh masa untuk melengkapkan siasatan.

"Ini kali kedua kertas siasatan dipulangkan kepada polis,” kata Ketua pendakwa Pejabat Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

April 21: Berita Harian pada tajuk utamanya hari ini memetik sumber sebagai berkata sebuah agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan yang menganalisis rakaman video seks mendapati pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

April 23: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, “Berilah masa kepada polis untuk meneruskan siasatan serta tidak perlulah polis mendedahkan apa yang mereka lakukan dalam siasatan itu dari sehari ke sehari.”

“Kenyataan pihak polis bahawa mereka telah siap dan telah serah kepada pihak pnguam negara, dan media telahpun mengambarkan bahawa Datuk T trio Umno akan didakwa; tiba-tiba kini polis memerlukan masa lagi untuk lengkapkan siasatan.

"Apakah ada motif lain sehingga ianya mengambil masa yang sangat lama? Apapun rakyat akan terus menilai setiap perkara,” kata Tuan Ibrahim sebagai respon kepada perkembangan kenyataan polis yang semakin tidak menentu dan kelewatan siasatan yand didakwanya akan mendedahkan mangsa kepada pelbagai keaiban yang dimanipulasikan oleh media tradisional Umno Barisan Nasional.

Topik video seks yang didakwa membabitkan Anwar telah menjadi topik hangat media tradisional Umno Barisan Nasional sejurus selepas video berkenaan dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan trio Umno dikenali sebagai 'Datuk T' di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac yang lalu.

Drama Bangkok Raja Petra-PDRM berterusan


KUALA LUMPUR, 24 April — “Drama Bangkok” melibatkan Raja Petra Kamarudin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berterusan sehingga lewat petang ini dengan kedua-dua pihak bertukar-tukar SMS menanti sama satu lain berhubung usaha pihak berkuasa itu untuk mendapatkan kenyataan blogger kontroversial tersebut.

PDRM menghantar anggotanya ke Bangkok untuk bertemu dengan Raja Petra semalam, tetapi usaha itu tidak menjadi kenyataan selepas beliau tidak mahu kenyataannya diambil di Kedutaan Malaysia.

Raja Petra (gambar) hanya bersetuju jika keterangan diambil di hotel beliau tinggal.

Peguam dan isteri Raja Petra khuatir ia sebagai satu helah untuk menahan beliau dan dibawa balik ke Malaysia.

Peguam Raja Petra, Haris Ibrahim menulis bahawa beliau telah memaklumkan kakitangan Kedutaan Malaysia di Bangkok, Abdul Hamid Bulat yang Raja Petra bersedia untuk diambil keterangan di lobi Siam City Hotel pada pukul 5 petang ini (6 petang waktu Malaysia).

“Pada pukul 1.26 tengah hari waktu Bangkok hari ini, saya menghantar SMS berikut kepada Hamid: ‘Engku (Raja Petra) dan saya akan berada di lobi Siam City Hotel pada pukul 5 petang untuk memberi kenyataan kepada ACP Aziz. Tq’,” kata Haris dalam maklumat terkini di blognya, petang ini.

Dalam maklumat dikemaskinikan kemudian, Haris berkata seorang lagi peguam Raja Petra, Amarjit Sindhu menerima SMS daripada Hamid mengatakan bahawa pihak polis masih menunggu untuk mengambil kenyataan blogger itu di pejabat kedutaan.

“Marina, RPK dan saya menunggu di lobi hotel dari (pukul) 5 hingga 5.30 petang. Tiada polis (datang). (Jadi) kami bertolak untuk makan malam,” kata Haris dalam maklumat mutakhir.

Blogger kontroversial itu berada di Bangkok sempena majlis pelancaran Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) cabang Thailand.

Raja Petra telah diminta oleh pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Bangkok agar pergi ke pejabat misi di ibu negara Thailand untuk kenyataannya diambil kira-kira 8 malam waktu Thai semalam, kata kenyataan MCLM dikeluarkan di sini sekitar 8 malam waktu Malaysia semalam.

Bagaimanapun maklumat portal Malaysia Today dan blog Haris pagi tadi berkata, Raja Petra tidak memberikan sebarang kenyataan kepada polis sehingga 2 pagi tadi.

Kenyataan semalam menambah, pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia menyampaikan permintaan itu sebelum majlis dihadiri Raja Petra di Florida Hotel bermula.

Tulisan Raja Petra tengah hari tadi menyebut polis mahu mengambil kenyataannya ekoran aduan berhubung laporan Utusan Malaysia susulan temu bual dengan TV3 dua minggu lalu.

Dalam satu temu bual bersama TV3 yang disiarkan 13 April lalu, Raja Petra mendakwa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau isterinya terbabit dalam kes pembunuhan Altantuya lima tahun lalu.

Sebaliknya, pengendali portal Malaysia Today itu berkata, beliau didesak dan dipengaruhi untuk berbuat demikian oleh beberapa individu yang tidak mahu Najib mengambil alih jawatan perdana menteri.

Sehubungan itu kata Raja Petra, akuan bersumpah (SD) yang dibuat beliau pada 18 Jun 2008 hanya bersandarkan maklumat diperoleh daripada beberapa individu.

Menurut Raja Petra, seorang pegawai perisik angkatan tentera dikenali sebagai Leftenan Kolonel Azmi juga memberi maklumat yang sama.

Anwar : Semangat Juang Pakatan Rakyat Luar Biasa

KUCHING 24 APRIL : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Sri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas semangat luar biasa Pakatan Rakyat di Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke 10, 16 April lalu.

Menurut Anwar, walaupun gagal menafikan dua pertiga majoriti Kerajaan Barisan Nasional namun prestasi dan semangat yang ditunjukkan Pakatan Rakyat bukan sahaja mampu memberi tentangan kepada parti itu malah telah meniup semangat kebangkitan rakyat di negeri 'Bumi Kenyalang' ini.

"Saya tetap akan mengucapkan tahniah diatas kejayaan Pakatan Rakyat dalam menambah kerusi pada PRN Sarawak lalu kerana semangat juang yang ditunjukkan amat membanggakan dan sangat luar biasa. Kita juga telah mengubah senario politik Sarawak, dimana BN menang dengan segala masalah tanpa menunjukan satu keghairahan kerana mereka sedar dengan kelemahan dan kecurangan yang berlaku pada PRN tempoh hari," kata Anwar dalam satu majlis perjumpaan Pemimpin-pemimpin PKR Sarawak di Dewan Ruai Berlian, Menara Grand, Kuching petang tadi.

Dalam PRN lepas, PKR memenangi 3 kerusi di Krian, Ba'kelalan dan Batu Lintang, DAP 12 kerusi manakala PAS gagal memenangi sebarang kerusi.

Bagaimanapun Pakatan Rakyat berjaya mendapat sokongan undi popular lebih 45 peratus dari rakyat Sarawak dan menguburkan Parti Komponen BN kedua terbesar negeri itu, SUPP.

Menurut Anwar, kehadiran pemimpin-pemimpin di Sarawak hari ini membuktikan semangat perjuangan yang harus dikekalkan sebagai satu pasukan dalam mendepani pilihanraya Umum akan datang.

"Kita hadir dalam pertemuan ini dengan tekad iaitu membina kekuatan kita untuk melihat kedepan dengan mempertahankan prinsip-prinsip yang kita bawa untuk mempersiapkan jentera maju menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti."

Majlis dihadiri lebih 100 Ahli Dewan Undangan Negeri Parti Keadilan Rakyat, Pimpinan Pusat dan Ketua Cabang serata negeri Sarawak.

Turut hadir, ialah ADUN PKR yang baru memenangi kerusi PRN lepas iaitu Baru Bian, See Chee How, dan Ali Ak Biju.

Tambah Anwar, beliau turut mengesa pemimpin Parti Keadilan Rakyat agar mengekalkan semangat berpasukan dan menyelesaikan permasalahan yang ada secara aman dan bukannya di luar ruang bincang Pakatan Rakyat

"Parti Keadilan, saya nasihatkan pimpinan agar menghormati semangat dalam Pakatan, tidak membuat tuntutan diluar yang menyinggung kawan-kawan dalam pakatan , jadi kami, PKR, DAP dan PAS adalah gagasan, jadi kita tidak perlu buat tuntutan diluar forum," katanya

"Tentunya menerusi forum yang baik agar memberi mesej yang baik, jadi kalau melatah diluar dengan buat tuntutan yang agak kasar dengan menyinggung gagasan yang lain itu tidak memberi mesej yang baik, dalam pilihanraya, kawasan yang ditandingi PKR dibantu oleh DAP dan PAS, kawasan DAP saya pun turun kempen, PAS, DAP dan keadilan turut kempen, jadi kami bergerak dalam satu pasukan," tambah Anwar.


Tiada Paksaan Untuk Hafarizam Menghadap JKHK DUN Selangor




SHAH ALAM 24 APRIL : Kerajaan Negeri Selangor tidak akan memaksa Datuk Mohd Hafarizam Harun, peguam yang mewakili Adun Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah untuk menghadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 29 April ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebagai pengamal undang-undang, Mohd Hafarizam bebas untuk bercakap apa sahaja dan tahu menilai mana yang betul dalam sebarang tindakannya.

"Saya tidak mahu komen lanjut kerana seperti yang kita tahu Mohd Hafarizam ialah peguam UMNO dan beliau boleh cakap apa dia suka.

"Cuma apa yang kerajaan negeri tekankan ialah Mohd Hafarizam dan Badrul Hisham dihadapkan ke JKHK berhubung kesalahan menghina dewan negeri," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang di sini hari ini.

Abdul Khalid diminta mengulas mengenai keengganan Mohd Hafarizam untuk menghadap JKHK kerana menganggap arahan tersebut "terletak di luar peruntukan undang-undang".

Pada Jumaat lepas, Mohd Hafarizam berkata tindakan DUN Selangor itu adalah "penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dan tindakan menyaman beliau hadir menghadap JKHK adalah ugutan politik".

Beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga hak dan kepentingan beliau sekiranya JKHK tidak menarik balik saman itu dengan serta-merta.

Pada 1 April lepas, Badrul Hisham dan Mohd Hafarizam dirujuk ke JKHK atas tuduhan mereka secara berasingan atau bersama melakukan kesalahan menghina dewan dengan menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac lepas kepada Speaker Dewan Datuk Teng Chang Khim yang didakwa mengandungi bahasa yang amat tidak "senonoh, biadap dan mengugut".

Badrul Hisham bagaimanapun berkata beliau akan menghadap JKHK selepas dinasihatkan oleh peguam untuk berbuat demikian.

Ditanya mengenai dakwaan Mohd Hafarizam bahawa beliau menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu, Abdul Khalid berkata hal lain tidak harus timbul kerana perkara utama dalam isu itu ialah kesalahan menghina DUN.

"Biarlah jawatankuasa ini tentukan apa yang berlaku dan tindakan seterusnya yang akan diambil," katanya.

Pada 18 Feb lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof memerintahkan Teng untuk menjelaskan kos sebanyak RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong.

Hakim Zaleha membuat keputusan itu di dalam kamarnya setelah mendengar saman pemula yang difailkan oleh Badrul Hisham terhadap Teng.

Kontroversi kerusi Pelabuhan Klang timbul setelah Teng mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Jan lepas dengan mengatakan Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Raja Petra bersedia beri keterangan polis hanya di hotel

Kemunculan Raja Petra Kamaruddin (RPK) di Bangkok semalam untuk memberi ucapan kepada Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) telah menarik perhatian polis, dan polis cuba mengambil keterangan daripada blogger yang kontroversial ini di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

Bagaimanapun, cubaan ini gagal apabila RPK (gambar kanan) menyatakan bahawa dirinya hanya bersedia memberi keterangannya kepada polis di hotel. "Drama" ini akhirnya melabuh tirai, menurut tulisan RPK dalam Malaysia Today, apabila ACP Aziz yang ditugaskan untuk mengambil keterangannya "tidak lagi berminat untuk berbuat demikian".

RPK dijadualkan untuk berucap kepada MCLM pada jam 6 petang semalam di Bangkok. Sebelum ia bermula, RPK didampingi seorang pegawai polis dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan meminta agar RPK mengikutnya ke Kedutaan Besar untuk diambil keterangan. RPK dimaklumkan bahawa ACP Aziz dari Kuala Lumpur sedang menunggunya.

Sebelumnya, Timbalan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pegawainya telah meminta agar RPK memberi keterangan setelah mengetahui RPK akan muncul di Bangkok, menurut The Star Online. Keterangan ini diambil berikutan laporan polis yang dibuat oleh satu pertubuhan bernama Jaringan Melayu Malaysia.

Bagaimanapun, dalam tulisan RPK di Malaysia Today, beliau berkata ada pihak telah membuat satu laporan polis berdasarkan "liputan Utusan Malaysia terhadap wawancara TV3 bersama RPK", yang menyebabkan dirinya diminta untuk diambil keterangan.

Satu wawancara TV3 bersama RPK telah disiarkan sebelum hari pengundian PRN Sarawak, antaranya penjelasan RPK terhadap tuduhan yang dibuatnya dalam Akuan Bersumpah, yang mengaitkan isteri Perdana Menteri sekarang, Rosmah Mansor dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Beliau juga melontarkan kritikan terhadap Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim dalam bahagian kedua wawancara yang disiarkan.

RPK bagaimanapun menafikan dirinya "membelot" dari perjuangan, malah Presiden MCLM Haris Ibrahim mendakwa wawancara yang disiarkan tersebut disunting sehingga "terpesong dari konteks sebenarnya". Namun demikian, wawancara tersebut memberi peluang kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk mendakwa bahawa nama dirinya telah dibersihkan.

Anwar Seru Najib Kembali Ke Pangkal Jalan




LUMUT 24 APRIL : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan Barisan Nasional supaya lebih berusaha dalam mengurus tadbir negara Malaysia daripada ghairah melakukan politik fitnah.

Menurut Anwar, kedudukan ekonomi Malaysia dilihat semakin hari semakin meruncing akibat ketidaktelusan sistem pentadbiran negara dan pemimpinya sehingga menyebabkan keyakinan pelabur asing terus berkurangan.

"Masalahnya Najib tak terjawab. Ekonomi merudum, harga barang naik, rakyat susah. Kes pembunuhan tak jawab. Dia cuba cakap pasal pornografi, lucah. Kes Anwar dengan akhlak yang sangat buruk," kata Anwar di hadapan lebih dua ribu rakyat Manjung dan Lumut yang menghadiri ceramah beliau semalam.

Kemunculan video seks yang didakwa mirip Anwar oleh Trio Datuk T iaitu bekas Ketua Pemuda Umno Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Syazrel Eskay dan bekas bendahari Perkasa Datuk Syuaib Lazim yang memaparkan tayangan tersebut di Carcosa Sri Negara Mac lalu dianggap sebagai satu lagi fitnah kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu oleh banyak pihak.

Malah media kawalan Barisan Nasional(BN) seperti Utusan Malaysia, TV 3 dan Berita Harian yang pro UMNO semakin rancak memainkan isu tersebut seolah-olah tiada isu semasa lain yang perlu diketengahkan yang menjadi kepentingan rakyat.

Jelas Anwar, berikutan keasyikkan media kawalan Umno itu menyiarkan pelbagai laporan palsu sehingga sanggup membohongi rakyat terdapat juga segelintir pengamal media yang turut tidak mempercayai hal itu serta tidak sanggup menanggung dosa fitnah terhadap beliau.

Menurutnya, seorang pekerja kanan Radio Televisen Malaysia (RTM) pernah bertemu beliau selepas tamat sebuah program di Selangor baru-baru ini dengan menceritakan perihal ini:

"Datuk tak kenal saya, saya dari RTM dan saya hendak minta ampun kerana mereka memfitnah Datuk, saya tak sanggup tanggung dosa itu dan saya minta maaf atas segalanya." Saya kata "Minta ampun dari Allah SWT dan saya sedia maafkan sekiranya kamu memperbetulkan setiap kenyataan yang kamu nyatakan. Saudara Zunar turut memberitahu dan menunjukkan pesanan ringkas (SMS) kepada saya bahawa kenyataan dari seorang pemberita kanan Utusan Malaysia ada mengatakan "Sudah keterlaluan dan saya tak sanggup lagi bersama dengan akhbar melayu itu dimana saya telah bertugas selama 30 tahun dan terus-menerus memfitnah Ketua Pembangkang," kata Anwar.

Justeru, Anwar menggesa Najib dan kepimpinannya kembali ke pangkal jalan supaya rakyat terus mendapat pembelaan khususnya didalam soal kemajuan dan pentadbiran Malaysia yang saban hari semakin teruk dibandingkan dengan negara lain di rantau ini.

"Ekonomi semakin berat. Harga minyak naik. Harga barang juga naik mendadak sementara mutu pendidikan jatuh. Pelaburan kita jatuh. Kalah dengan Thailand dan Indonesia dan tahun ini kalah pula dengan Filipina," kata Anwar

"Dulu di ASEAN, kita nombor satu dari pertumbuhan ekonomi. Nombor 1 dari pelaburan Asing. Nombor 1 dari bursa saham. Harga barang naik. Pertambahan gaji guru-guru dan pekerja tidak setimpal dengan kenaikan harga dan inflasi.Namun semua ini dipadamkan sementara rasuah diteruskan dan kes komisyen RM 500 juta kapal selam didiamkan," tambahnya lagi.

Rakyat 'Khair' Perlu Sedar Dari Terus Diperbodohkan BN, Kata Anwar



LUMUT 24 APRIL : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Pakatan Rakyat sedia membantu masyarakat yang 'Khair' yakni masyarakat seimbang dan dinamik daripada terus diperbodohkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Anwar berkata, ramai menyedari penipuan yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional yang hanya mementingkan kekayaan sendiri semata-mata serta mengabaikan hak rakyat yang semakin hari semakin kesempitan hidup berikutan peningkatan kos sara hidup sehari-harian sedangkan barisan kepimpinan perikatan itu serta kroni mereka selesa dengan kekayaan yang dimiliki.

"Umat yang khair ini hanya umat aktif, dinamik dan mampu membawa perubahan supaya jangan terus diperbodohkan serta diperhambakan," tegas Anwar di hadapan lebih dua ribu rakyat Perak di sini semalam.

"Ditipu tak apa, dirampas hak, tak apa. Ini bukan umat yang khair. Umat yang khair ini, yang dinamik, dan segar. Elemen sedar dalam masyarakat," tambahnya lagi.

Katanya, rakyat perlu diberikan perhatian kerana mereka merupakan golongan paling berharga di Malaysia.

Malah menurut Anwar, ini merupakan perjuangan Pakatan Rakyat yang jelas berbeza dengan BN yang lebih gemar dan selesa memfitnah serta mengutuk pemimpin PAS, DAP dan PKR.

"Ini menunjukkan (mereka) angkuh, takbur.Ini yang dikatakan golongan Muztakbirin. Fikir golongan mereka. Yang kaya bertambah kaya dan berkuasa. Rakyat macam kuli, tak berharga.Quran sebut rakyat ini golongan doa. Doa mereka jangan perkecilkan. Ini tanggungjawab saya, dan rakan dalam PAS, Keadilan dan DAP. Angkat kesedaran," ujarnya.

Beliau turut menyeru kepada pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat yang lain supaya tidak terpengaruh dengan serangan dan fitnah BN serta menumpukan perhatian kepada perjuangan seperti yang telah dimanifestokan dalam Buku Jingga dan Kongres Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Ini tanggungjawab kita. Tak perlu sibuk dan serabut dengan serangan mereka. Kerja mereka serabutkan kita supaya mereka boleh rasuah, rompak dan serabut sebanyak mungkin. Saya lawan ini sebab saya anggap rakyat tak boleh dibodohkan. Saya orang Melayu, Islam, anak Malaysia. Tapi saya benci dengan tindakan yang menganggap rakyat bodoh.

Anwar : Rakyat Mampu Berubah,Tolak Politik Jahat BN


PANGKOR 24 APRIL : Pakatan Rakyat yakin mampu melakukan perubahan yang lebih menguntungkan rakyat negara ini dengan menolak politik jahat serta polisi yang hanya mengayakan kroni semata-mata seperti Barisan Nasional.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan polisi Pakatan Rakyat sudahpun terbukti lebih baik dalam pentadbiran kerajaan negeri yang di perintah PR berbanding Barisan Nasional.

"Sebab itu kita mahu perintah negeri ini sebab kita mahu Pangkor, Perak dan Malaysia jadi lebih baik. Baik untuk siapa?Menteri? Tak. Baik untuk rakyat, guru, nelayan, pekerja, peladang, dan bukannya untuk pemimpin," kata beliau di hadapan lebih seribu rakyat Pulau Pangkor yang bertemu dengannya di sini semalam.

Walau menghadapi kesukaran akibat tidak dibenarkan mendarat di Jeti Pangkor, Anwar yang kelihatan kurang sihat kerana kecederaan tulang belakangnya tetap bertekad melawat rakyat di Pulau itu.

Malah pada malam sebelumnya, turut terpampar sebuah 'banner' tanpa notis yang mengajak warga Pangkor menolak program Anwar dan Parti Keadilan Rakyat di situ.

Manakala khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu dilapor turut disebarkan yang mendakwa program Anwar itu dibatalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun Anwar kagum dengan sambutan rakyat di situ apabila difahamkan warga Pangkor telah berkumpul di kawasan jeti kecil Sungai Pinang Kecil dari Teluk Batik bermula jam 5.30 petang lagi.

"Setibanya saya di Pangkor jeti tidak dapat digunakan dan kita sambung di Sungai Pinang Kecil. Kalau tak boleh juga, kita boleh naik sampan atau berenang ke Pangkor. Ini negeri bapa diakah? Kenapa hendak takut dengan saya, saya ni hantu ke?" kata beliau merujuk kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambri Abdul Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor.

Menurut Anwar, politik yang dimainkan BN menjurus kepada keuntungan kroni semata-mata sedangkan taraf hidup rakyat masih tidak berubah.

Buktinya menurut Anwar adalah penduduk Pangkor yang rata-rata berpendapatan rendah bekerja sebagai nelayan dan peladang walaupun Menteri Besar Perak ialah anak jati Pulau itu sendiri.

"Datang Pangkor, tengok nelayan. Tengok cara dia kerja, tengok rumah dia, 50 tahun merdeka tahu macam mana hidup. Menteri datang kata ekonomi bagus, pembangunan naik, apa yang bagus? Minyak sumber kita. Tapi mahal. Tapi ingat...Politik itu soal prinsip. Cakap kena fikir. Politik boleh menang dan kalah tapi ingat bila mati kena jawab depan Allah SWT," tegas beliau.

Beliau turut menyeru warga Pangkor dan Perak untuk bangkit menuntut hak mereka yang diabaikan kerajaan BN yang tampak lebih gemar menyerang dirinya dari menyelesaikan masalah rakyat.

Apa politik ni. Orang Cina kata ini politik Shiao-ren Politik Jahat. Orang Melayu kata ini Politik lucah yang aibkan orang. Dia mahu saya menyerah kalah. Serah kalah naik pangkat jadi Tun. Macam Lim Liong Sik. Curi tanah, duit rakyat dapat Tun. Boleh ke dia tidur malam macam tu?Ingat rakyat boleh kasih sayang dengan dia?" kata beliau.

Fokus jatuhkan BN, bukan pemimpin PAS- Husam





KUALA LUMPUR, 23 April: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Husam Musa menegaskan bahawa PAS perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan PAS sedia ada.

Katanya, kepimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Abdul Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

“Isu presiden dicabar atau tidak, kita tidak perlu memberi respons secara berlebihan, nanti orang akan kata presiden kita ada masalah. Tapi sebenarnya tidak ada... yang nak jatuhkan Hadi adalah Barisan Nasional bukan PAS,” katanya.

Beliau yang juga Bekas Naib Presiden PAS berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS kawasan Batu di sini hari ini.

Tambahnya, apa yang penting kepada PAS sekarang adalah proses "penyegaran" semula dengan dibawa elemen-elemen baru yang boleh memperkukuhkan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Justeru kata beliau, usaha yang perlu diberi perhatian ialah sasaran menjatuhkan Barisan Nasional (BN), bukannya Abdul Hadi selaku salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi juga disifatkannya sebagai "terbukti" layak untuk terus menyandang jawatan Presiden kerana sudah menghadapi banyak cabaran.

“Cuma apa yang diperlukan PAS adalah ia harus disegarkan semula, bukan bermaksud ganti orang sedia ada tapi disegarkan dengan melakukan transformasi, elemen-elemen baru dalam parti... mungkin boleh dapatkan penasihat dari golongan profesional untuk bantu memperkuatkan PAS,” kata beliau.

Sebelum ini PAS kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan beliau bertanding jawatan Presiden PAS pada Muktamar parti itu yang akan diadakan 3 hingga 5 Mei ini.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya menyatakan kepada Abdul Hadi untuk terus menerajui kepimpinan PAS.

Video Lucah : Polis Minta Lebih Masa Selesai Siasatan

DARI APARTMENT KE BUNGALOW...KOT NANTI SAMPAI UMAH PAPAN......ALIH-ALIH KAT LUAR NEGARA LA PULAK...TOP-TOP KAT MALAYSIA....ENTAH LE........





SHAH ALAM 24 APRIL : Polis masih menjalankan siasatan berhubung rakaman video lucah yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang kerana ia memerlukan penelitian bagi melengkapkan siasatan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar semalam.

“Berilah masa kepada polis untuk meneruskan siasatan serta tidak perlulah polis mendedahkan apa yang mereka lakukan dalam siasatan itu dari sehari ke sehari,” katanya di sini.

“Kita jalankan kerja kita dan apa juga keputusannya kemudian akan diumumkan, kalau bukan kita pihak Peguam Negara akan umumkan,” ujarnya.

Rabu lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan menyerahkan semula laporan kertas siasatan kes video seks yang pelakunya didakwa mirip seorang pemimpin Pakatan Rakyat kepada Pejabat Peguam Negara dalam waktu terdekat.

Ismail berkata, kertas siasatan kes berkenaan yang dihantar pada minggu lalu dipulangkan semula oleh Pejabat Peguam Negara untuk semakan semula.

“Ada sedikit semakan yang perlu dibuat dan itu adalah perkara biasa.

“... dan kita memang mahu siasatan berhubung kes video seks itu disegerakan,” kata beliau.

Siasatan itu dijalankan selepas rakaman video seks dipertontonkan kepada wakil media terpilih 21 Mac lalu oleh “Datuk T”.

Khalid : 'Terima Kasih' Rakyat Selangor


KLANG 23 APRIL : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kejayaan dan pencapaian yang dicapai sehingga kini adalah hasil kerjasama dua pihak antara pemimpin dan anggota masyarat.

“Saya sangat berbesar hati kerana saya rasa tuan-tuan dan puan-puan telah nampak bagaimana pasukan yang telah kita lahirkan iaitu pasukan wakil-wakil rakyat dan wakil negeri yang kesemua dalam ceramah-ceramah yang diberikan sangat-sangat berjiwa rakyat," kata Khalid.

Tambahnya lagi, budaya kerja kerajaan negeri yang sentiasa komited dalam urus tadbir terutamanya dalam memastikan segala hasil negeri dapat diagihkan untuk kebajikan rakyat adalah kunci kejayaan yang dicapai hari ini.

“Mereka mula merasakan rancangan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat ini skim merakyatkan ekonomi adalah benar-benar untuk rakyat," tambahnya.

Tambah Khalid, kejayaan yang diraih berikutan barisan kepemimpinan yang dipilih rakyat itu menjalankan tanggungjawab dengan betul dan amanah.

“Terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah memilih mereka,” katanya.

Khalid berkata demikian ketika berucap dalam ceramah perdana bersama rakyat di daerah Klang semalam.

Malah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan Pakatan Rakyat sejak mula mentadbir kerajaan negeri tiga tahun lalu ternyata berhasil apabila hampir keseluruhan rakyat di negeri ini mendapat agihan dana dan bantuan daripada program berkenaan.

“Kita tidak membezakan mereka yang perlu ditolong adalah tanggungjawab kita untuk memberikan pertolongan.

Sebagai rekod, lebih 27 ribu telah menerima bantuan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dengan belanja melebihi RM2 juta.

Selain itu, komitmen kerjaan negeri juga dalam menjada kebajikan rakyatnya juga dapat dilihat apabila 60 peratu daripada 236 ribu warga emas telah berjaya didaftarkan menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di mana lebih 16,000 orang telah mendapat bantuan.

Turut menjadi perhatian masalah projek perumahan terbengkalai di Selangor turut dirungkai dan setakat ini kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 23 projek terbengkalai melibatkan lebih 9,000 unit rumah dan 7 projek lagi melibatkan hampir 4,000 unit rumah sedang diselesaikan.

Terbaru, pemerikasaan mammogram percuma dilancarkan untuk kesihatan wanita adan sejak pengenalannya, seramai 3,000 wanita telah menggunakannya dan 41 orang dikesan berkemungkinan menghidap kanser payudara.

Peguam Pahang Desak Kerajaan Lanjut Tempoh Kajian Loji Tanah Jarang


KUALA LUMPUR 24 APRIL : Badan mewakili peguam-peguam Pahang menggesa kerajaan melanjutkan tempoh sebulan untuk kajian ke atas loji pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation sehingga setahun bagi mengadakan pemeriksaan terperinci berhubung keselamatan dan kesihatan awam akibat kesan radioaktif.

Pengerusi Peguam Pahang, Hon Kai Ping mengakui gesaan badan itu kemungkinan menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan tetapi menekankan, Putrajaya tidak seharusnya tergesa-gesa dalam membuat keputusan mengenai isu keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Peguam Pahang berpandangan penelitian yang berhati-hati dan mendalam berhubung operasi nadir bumi sangat diperlukan dan keputusan tidak seharusnya diambil secara tergesa-gesa jika kerajaan serius berhubung kesihatan dan kebajikan rakyat Malaysia,” kata Hon dalam satu kenyataan medianya.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, satu panel bebas akan ditubuhkan secepat yang mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Lima hingga tujuh pakar antarabangsa (IP) yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai, katanya.

Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai, dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Syarikat itu juga tidak dibenarkan untuk mengimport bahan mentah dari Australia sementara kerajaan membuat keputusan terhadap hasil kajian itu.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenai projek itu, katanya dan menambah, semakan semula akan dilakukan bagi memastikan pembinaan kemudahan itu mematuhi sepenuhnya standard keselamatan antarabangsa.

Mustapa berkata kesihatan dan keselamatan oramg ramai dan alam sekitar terus diutamakan oleh kerajaan.

Hon berkata, Peguam Pahang tiada terma rujukan mengenai panel yang dimaksudkan tetapi laporan media menunjukkan ia akan memfokus ke atas loji pemprosesan kendalian Lynas Corporation di Gebeng.

“Jika itulah kesnya, maka menteri sudah pasti tidak diberi taklimat mengenai program jelajah yang dianjurkan oleh SEDC Negeri di mana palar-pakar tempatan mengatakan kadar radioaktif torium pada bijih yang akan diimport adalah 0.16 peratus berbanding enam hingga lapan peratus yang ditunjukkan oleh beberapa laporan bebas kerajaan asing dan ini menjadi salah satu perkara utama penduduk Kuantan timbulkan ketika dialog awam (baru-baru ini).

“Jika terma rujukan IP hanya dihadkan kepada soal penelitian loji pemprosesan, adalah jelas aspek utama yang menjadi kebimbangan penduduk Kuantan tidak akan ditangani dan penemuan IP tidak akan mencapai tujuan,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, Peguam Pahang mahukan terma rujuan IP diperluaskan merangkumi aspek kadar torium bijih yang akan diimport, impak ke atas persekitaran dan industri pelancongan, jumlah kajian asas yang dikendalikan dan rumusan masing-masing, syarat-syarat ditetapkan oleh AELB, bukti proses seiringan bagi memastikan simpanan di Gebeng hanya bersifat sementara.

Badan itu juga meminta kesemua dokumen, kerajaan dan yang dikemukakan oleh Lynas ditunjukkan kepada orang awam dan pakar-pakar bebas yang dilantik oleh wakil penduduk Kuantan dan kumpulan lain panel berkenaan.

Oleh itu kata beliau, bagi membolehkan aspek-aspek berkenaan dikaji tempoh yang diperlukan ialah satu tahun.

Tambah beliau, cadangan Peguam Pahang itu kemungkinan akan menjejaskan pelancaran operasi loji Lynas dan kemungkinan menjejaskan imej negara tetapi apa yang penting ialah keselamatan rakyat adalah “sangat penting.”

Dalam kenyataannya semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan tidak akan berkompromi dengan projek-projek yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat.

Najib berkata satu panel bebas yang akan dianggotai pakar akan membuat kajian berhubung soal keselamatan dan kesan kilang berkenaan.

“Kita telah putuskan, pertamanya kita tak akan kompromi dari segi keselamatan dan kesejahteraan rakyat, keselamatan dan kesihatan rakyat kita letak sebagai keutamaan yang tertinggi, bukan faktor kita hendakkan projek itu, tidak...,” katanya.

(function() { var d = document, w = window; w

NAK AMBIL VAKSIN PUN TAK TERKAWAL...YANG LAIN KE LAUT LAH GAMAKNYA...

  Kekeliruan berlaku di luar pusat vaksinasi utama KL Imran Ariff  - May 15, 2021  Komunikasi lemah menyebabkan penerima vaksin yang berkump...