Rais Mengigau, Kaitkan Bersih 2.0 Dengan Serangan Siber-Mat Sabu




SHAH ALAM 18 JUN : Cubaan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim mengaitkan perhimpunan aman Bersih 2.0 dan serangan siber ke atas laman-laman web kerajaan, tidak berasas sama sekali.

Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang dihubungi Tv Selangor sebaliknya menyifatkan Rais sebagai mengigau apabila menyifatkan serangan siber yang menyasarkan laman sesawang milik kerajaan dan agensinya ada kaitan dengan perhimpunan Bersih.

" Saya tidak nampak langsung di mana relevannya itu. Barang kali Rais, dia mengigau,"katanya.

Rais yang dipetik Bernama berkata, serangan siber oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Anonymous dipercayai ada hubung kait dengan penganjuran Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Malah Rais menyifatkan serangan itu jelas bermotif politik dan bertujuan untuk melakukan sabotaj ke atas kerajaan.

Tambahnya, serangan terhadap laman web kerajaan itu jelas membuktikan bahawa ia dilakukan semata-mata untuk menyusahkan rakyat dengan menyulitkan urusan harian rakyat dengan kerajaan, dan bukannya menyusahkan pihak kerajaan.

Namun menurut Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu, penggodaman laman web kerajaan yang bermula Khamis lalu bersifat baru sedangkan himpunan Bersih 2.0 sudah dicanang sejak sekian lama.

" Perhimpunan Bersih ini, NGO telah menghebahkannya kepada awam begitu lama dan lebih banyak kita turun ke bawah memberi penerangan di samping menggunakan laman web yang tidaklah sebanyak mana,"tegas beliau, justeru menasihati orang awam supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan Rais itu.

Sebelum ini Anonymous menggodam beberapa laman web kerajaan dengan serangan DDoS (Distributed Denial-of-Service) kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Malaysia yang menyekat beberapa laman sesawang perkongsian fail, termasuk Pirate Bay dan Wikileaks.

Rais semalam mengakui 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam sehingga kini dengan 90 peratus penggodamnya dari dalam negara.


Peneroka Kesal Ditipu Felda Selama 15 Tahun





TEMERLOH 17 JUN : 711 peneroka Felda Jengka Pahang nyata sekali ditindas oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda apabila agensi itu menyeleweng kadar perahan gred (KPG) yang sepatutnya diterima oleh peneroka.

Bahkan Felda yang sepatutnya membela nasib dan membantu peneroka, sebaliknya mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberikan.

Tidak tahan terus dianiaya, para peneroka akhirnya tampil membela nasib mereka setelah mengalami kerugian RM344 juta sepanjang 15 tahun.

Beberapa peneroka yang ditemui TV Selangor melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Felda kerana telah menipu mereka sejak tahun 1995 lagi.

Menurut peneroka felda Jengka 13, Abd Ghani Aziz, beliau kini sudah tidak yakin terhadap Felda apabila secara jelas pihak tersebut mempermainkan warga Felda dengan mengambil kesempatan di atas kekuasaan yang dimiliki.

"Saya amat bersyukur kerana ada pihak yang membela, selama ini saya yakin dengan Felda tetapi di sebalik keyakinan itu mereka telah menipu kami walaupun ada sesetengah pihak yang berkata, pihak yang menuntut pembelaan ini mengambil kesempatan apabila mereka menjelaskan mengenai satu per satu penipuan yang dilakukan Felda,"katanya.

Bagi peneroka felda Jengka 6, Bostamin Bakar yang sudah menjadi peneroka sejak tahun 1974 pula berharap, perjuangan mereka ini akan memberi kesedaran kepada peneroka-peneroka Felda lain yang tidak sedar bahawa mereka telah ditipu.

"Alhamdulillah dengan tindakan berani peneroka yang bersama-sama menfailkan saman ini dan bermakna kita tahu perahan selama ini begitu rendah daripada apa yang kita hantar ke makmal dan menunjukkan ia lebih tinggi,"ujar beliau.

Tambahnya, meskipun beliau menyedari perjuangan yang dibawa dan diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, namun katanya pengganti-pengganti yang kini mentadbir Felda, jauh menyimpang dari tujuan asal penubuhan Felda.

Hari ini sekumpulan peneroka Felda tersebut telah mengemukakan saman berhubung dakwaan penipuan bayaran untuk hasil sawit yang melibatkan kerugian melebihi RM 344 juta sepanjang 15 tahun lamanya.

Saman yang difailkan oleh kumpulan peneroka ini menamakan Felda sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries sebagai defendan kedua atas dakwaan pecah amanah dan menipu.

Anak PM Sah Bertunang Warga Kazakhstan


PUTRAJAYA 18 JUN : Anak perempuan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa secara rasmi bertunang dengan Daniyar Nazarbayev dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam.

Bernama melaporkan, majlis pertunangan itu diserikan dengan kehadiran keluarga, rakan-rakan selain orang kenamaan Malaysia dan luar negara.

Malah hanya media terpilih sahaja yang dibenarkan membuat liputan.

Antaranya, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah; Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.

Awal bulan ini, lawatan Najib serta keluarganya ke Kazakhstan menjadi isu hangat apabila ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad membidas perdana menteri kerana didakwa menggunakan dana awam bagi merisik perkahwinan anak perempuannya.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi,” kata pemimpin PAS itu.

Sebaliknya, Wisma Putra menafikan laporan itu dan menegaskan bahawa lawatan itu adalah untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Kazakh Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu.

Di sebalik jawapan Wisma Putra, Dr Dzulkefly bertegas mempertahankan kenyataannya akan membawakan hal itu ke Parlimen.

Majlis tertutup malam semalam itu hanya dihadiri oleh jemputan khas terpilih sahaja termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi, menteri kabinet, timbalan menteri serta pegawai kanan kerajaan pusat dan negeri.

Hadir sama ibu Najib, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamad Noah.

Kenamaan asing yang turut dijemput termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi Jeneral Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan isteri Sheikha Salam binti Hamdan Al Nahyan, serta Pengerusi Medina Council Putera Saud bin Abdulaziz Al-Saud.

Nooryana Najwa, 22 tahun merupakan lulusan School of Foreign Service, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat sementara Daniyar, 22 menamatkan pengajian di Universiti Columbia, New York.

Dr Dzul sebelum ini turut membidas Najib dan keluarganya kerana semasa anak gadisnya itu menerima ijazah di Universiti Georgetown, Washington, Amerika mereka sekeluarga dikatakan ke negara itu juga dengan program rasmi kerajaan.

"Saya bimbang ia menjadi rujukan pemimpin bawahan beliau sebagaimana bidalan Melayu, bapa kencing berdiri anak kencing berlari," katanya.

Menurut pemimpin PAS itu, tidak menjadi kesalahan bagi perdana menteri mengendalikan urusan peribadinya seperti merisik perkahwinan anaknya di Kazakhstan tetapi Najib sepatutnya mengambil cuti rasmi dan tidak membelanjakan dana awam.

711 Peneroka Saman Felda RM344 Juta





TEMERLOH 17 JUN : Seramai 711 peneroka dari kawasan Felda Jengka, Pahang hari ini memfailkan saman terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM344 juta berikutan penipuan dan pecah amanah yang dilakukan agensi itu.

Peneroka terbabit dari Felda Jengka 3, 4, 5, 6, 8, 9 , 12 dan 13, diwakili peguam Sivarasa Rasiah memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Temerloh pagi tadi.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam Ms Daim & Gamany, dengan menamakan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

R Sivarasa berkata, saman itu dibuat berikutan penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG) yang diterima mereka sejak 15 tahun lalu.

Menurut Sivarasa, peneroka terbabit menerima KPG yang rendah dari nilai sebenar iaitu antara 17 hingga 18 peratus.

Beliau berkata, peneroka berkenaan sepatutnya memperoleh KPG yang lebih tinggi sehingga boleh mencapai ke tahap 32 peratus.

"Bayaran yang diterima peneroka daripada Felda dibuat tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu dan mereka membuat keputusan membayar sebanyak 18.5% (perahan KPG) sejak tahun 1995." ujarnya.

"Apa yang mengejutkan setelah kita melakukan ujian makmal terhadap sampel (sawit) ini, kita dapat secara purata (Oil Extraction Rate, OER) sebanyak 31.59%, itulah yang kita katakan penipuan." katanya ketika ditemui diluar perkarangan mahkamah.

Setiap 1 peratus KPG dianggar bernilai RM40.Sekiranya jumlah itu dikira sejak 10 tahun lalu, setiap peneroka terbabit mengalami kerugian tidak kurang RM100,000.

Jelas Sivarasa lagi, segala penyelewengan yang dilakukan Felda sejak 15 tahun terhadap Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG) yang diperakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Katanya, mereka mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa pada 2008, 711 peneroka dari 16 rancangan Felda Jengka telah menghantar purata hasil 120 tan setiap seorang, bagaimanapun peneroka terbabit hanya dibayar oleh Felda pada purata harga RM560 setan pada tahun yang sama.

Dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30, 912 bagi tahun 2008 sahaja.

Ujarnya lagi, saman yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh itu merupakan susulan kepada satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu yang memerintahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu sekumpulan peneroka di Kemahang.

Dalam pada itu, peneroka juga mendakwa bahawa Felda turut melakukan penyelewengan dalam kes buah kelapa sawit yang mana ia telah ditolak agensi itu kerana tidak memenuhi syarat piawaian yang ditetapkan, namun buah sawit terbabit tidak dikembalikan semula kepada peneroka.

Peneroka mendakwa Felda telah mengaut keuntunggan kira-kira RM 14,333,760 bagi tempoh 15 tahun daripada hasil penyelewengannya itu.

Peneroka menganggarkan sebanyak 200 Kilogram buah kelapa sawit telah diseleweng oleh Felda setiap bulan sebulan dan sejumlah 2.4 tan setahun.

Sementara itu, ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, lebih banyak lagi saman yang akan dikemukakan oleh golongan peneroka ke atas Felda.

"Ini adalah keadilan yang kita mahukan, terima kasih kepada saudara-saudara yang berani dan InsyAllah ia akan mencetuskan gelombang supaya semua Felda termasuk generasi kedua yang mana hari ini cukup tersisih oleh pengurusan Felda. Jadi diharapkan Felda tidak lagi menyalahgunakan kuasa demi mendapat keuntungan yang tinggi. Kita khuatir keuntungan hasil titik peluh felda ini digunakan untuk kepentingan politik UMNO-Barisan Nasional." tambahnya.

Hadir sama ketika memfailkan saman terbabit adalah peguam Latheefa Khoya, Fadia Nadwa Fikri dan T.Kumar.

Pada 14 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan Felda membayar RM1.2 juta kepada peneroka Felda Kemahang 1 dan 2, selepas gagal membayar semula wang caruman yang disimpan peneroka di bawah tabung wang tanam semula yang diurus agensi itu.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan sebanyak RM11 juta kerana menipu peneroka berhubung isu KPG.

Sebelum ini, Felda Serting dan Gugusan Raja Alias di Negeri Sembilan juga memfailkan saman sebanyak RM200 juta ke atas lembaga tanah berkenaan dalam isu yang sama.Pada 12 Jun tahun lalu pula 654 peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis memfailkan saman terhadap Felda bagi menuntut ganti rugi lebih RM80 juta.


(function() { var d = document, w = window; w

Sudah boleh balik kampung dengan syarat 90 peratus vaksinasi dewasa

  Astro Awani September 22, 2021  KKM dan MKN hari ini membenarkan aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi ...