E-Mel 1 Malaysia Bukti Ketandusan Idea BN 'Songlap' Duit Rakyat




SHAH ALAM 21 APRIL : Drama e-mel 1 Malaysia yang melanda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan betapa Kerajaan Barisan Nasional hanya tahu memikirkan keuntungan sendiri tanpa mempedulikan pandangan rakyat.

Exco Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor Rodziah Ismail menganggap rakyat membantah idea itu kerana kegagalan kerajaan pusat menjelaskan secara telus berkenaan projek ini khususnya penggunaan dana untuk menjayakannya.

Rodziah ketika dihubungi Tv Selangor berkata, rakyat berhak mengetahui status sebenar berhubung e-mel 1 Malaysia ini kerana pelbagai pihak sentiasa berdolak-dalih termasuk berlakunya 'kesilapan' di laman web kerajaan yang sebelum ini mencatatkan projek e-mel tersebut sebagai insiatif kerajaan dan bukannya swasta.

"Kenapa PM dan semua yang terlibat bila ditanya, kejap kata kena bayar, kejap kata tak kena bayar. Itu bukan isunya. Yang penting kita sebagai rakyat berhak tahu berapa wang kita yang terlibat semata-mata untuk dapat e-mel promosikan 1 Malaysia ini. Ini tunjukkan seolah-olah Najib terdesak hendak tunjukkan 1 Malaysia ini diterima rakyat," kata beliau ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Unit Pengurusan Pencapaian dan Penghantaran (Pemandu) hari ini terpaksa tampil mempertahankan 'perubahan informasi' berkenaan e-mel 1 Malaysia di laman webnya semalam dengan alasan pertukaran inisiatif swasta daripada insiatif kerajaan itu adalah tidak disengajakan.

Najib dan Pemandu yang berada di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala selepas itu terus menegaskan bahawa firma pengelola projek tersebut, Tricubes Berhad tidak akan menggunakan dana rakyat.

Rodziah bagaimanapun mempersoalkan mengapa Najib begitu tergesa-gesa melakukan hal tersebut sedangkan masih ramai rakyat Malaysia khususnya dari luar bandar masih tidak mempunyai kemudahan asas dan kemudahan internet.

"Apapun, sebagai PM, Najib Razak harus memastikan wang digunakan pada tempat yang sepatutnya. Jika dia ingin menggunakan teknologi, dia harus memikirkan infrastruktur terlebih dahulu,"jelas Rodziah

Rodziah membandingkan projek internet percuma yang sedang giat dijalankan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, yang merupakan sebahagian daripada manifesto di bawah Pakatan Rakyat mula diimplementasikan secara tergesa-gesa oleh kerajaan pusat.

Menurutnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, Barisan Nasional giat memberi wi-fi percuma di beberapa kawasan rumah panjang di negeri itu sedangkan dengan jelas ia merupakan idea Pakatan Rakyat.

"Kerajaan khususnya Najib Tun Razak kena ingat bahawa Kerajaan Selangor telah membuktikan idea wi-fi ini boleh direalisasikan di Peringkat Nasional jika Pakatan Rakyat diberi mandat pada Pilihan Raya Umum akan datang. Kerajaan Selangor dalam kekangan kewangan dan sebagainya berjaya laksanakan program berkaitan teknologi dan wi-fi dan dengan memikirkan keutamaan kami dan bukan hanya mementingkan golongan tertentu sahaja," kata beliau lagi.

Kabinet Lengah Akta Perhubungan Kaum Lindungi Amalan Rasisme




SHAH ALAM 21 APRIL : Usaha kabinet melengah-lengahkan penggubalan Akta Perhubungan Kaum yang dicadangkan pada September 2008 dilihat sebagai tindakan melindungi kepentingan proksi Umno-Barisan Nasional (BN).

Pelaksanaan Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh kementerian dilihat lebih menjurus ke arah 'dwi-standard' tidak akan mengekang kemaraan individu yang berani menjulang pendekatan rasis di negara ini.

Oleh yang demikian, kesempatan ini diambil sewenang-wenangnya oleh Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan melalui rencana bertajuk "Ayuh! Gerakkan 1Melayu 1Bumi" yang diterbitkan semalam.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendren menyifatkan ulasan Zaini sengaja menimbulkan perasaan takut masyarakat Melayu kepada kaum Cina yang akhirnya akan memecah belahkan perpaduan.

Menurutnya, dengan menubuhkan Akta Perhubungan Kaum, maka unsur perkauman dan agama melalui sebarang medium dapat dikekang sekaligus menghindari pendekatan politik cetek yang sering dimainkan oleh Umno-BN.

" Bila ada akta seperti kita boleh ambil tindakan terhadap anasir-anasir seperti (Datuk) Zaini kerana editorial itu jahat dan salah. Kita tolak semua 1Melayu, 1Cina, dan 1India, semua kita tolak.

" Jika perkataan-perkataan atau kenyataan yang dikeluarkan, menyerang dan menyinggung satu kaum lain, maka tindakan undang-undang boleh diambil di bawah akta tersebut," jelas beliau ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.

Akhbar Utusan Malaysia dalam artikelnya semalam menyatakan perpaduan kaum Melayu agak ketinggalan berbanding kaum Cina.

Petikan itu kononnya berdasarkan analisis Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang menyaksikan kemenangan DAP di 12 buah kawasan majoriti Cina menjadi penyumbang terbesar peningkatan undi Pakatan Rakyat di negeri itu berbanding tahun 2006.

Ini menimbulkan keresahan bahawa kaum Cina akan merampas kepentingan negara sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara di Putrajaya.

Walhal menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata peningkatan undi bumiputera dan bukan bumiputera di Sarawak lebih memihak kepada calon PKR yang berbangsa Melayu (Islam).

Justeru Surendren mendesak agar rakyat terus menilai kejahilan Umno-BN dalam aspek perhubungan kaum di negara ini yang semakin memesongkan perhatian rakyat.

Akta Perhubungan Kaum 1976 termaktub dalam Parlimen United Kingdom untuk menghalang diskriminasi kaum yang pelbagai di negara itu.

Justeru Surendren tetap menyatakan pendirian untuk tidak berkrompomi dengan Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sewenang-wenangnya menekan rakyat dan kepimpinan Pakatan Rakyat, seraya menuntut ianya dimansuhkan.

Anwar mesti dihapuskan, demi survival UMNO

| Apr 21, 2011 11:48:27 am

Demi survival politik UMNO Anwar mesti dihapuskan. Walau dengan apa cara sekalipun watak ini mesti dihapuskan dari arus politik Malaysia. Watak inilah yang menggelorakan arena politik Malaysia yang sebelum ini tenang tidak pernah bergoyang sedikitpun. Sama ada orang suka atau benci, Anwar pernah disenarai oleh TIME MAGAZINE 2008 sebagai antara 100 tokoh dunia paling berpengaruh sebaris dengan Obama, Vladimir Putin, Hillary Clinton, Sonia Gandhi John McCain dan lain-lain. Beliau belum pernah gagal dalam sebarang pertandingan. Jenayah paling besar yang pernah dilakukannya ialah mencabar Mahathir pada tahun 1998. Sejak itu nasibnya pun berubah. Satu demi satu kawan berpaling tadah.

Tsunami Politik 2008 adalah antara kesan dan pengaruhnya. BN hilang kuasa 2/3 di parlimen. Jika tsunami politik berskala lebih besar melanda PRU13 dan Putrajaya terbungkas maka pada ketika itu rakyat akan tahu bahawa terdapat sebuah terowong bawah tanah menghubungkan Putrajaya dan KLIA. Pada ketika itu lubang-lubang tikus di sempadan juga akan menjadi tidak selamat.

Dia adalah penggugat yang mengancam tahta dan singahsana kuasa berupaya menggegarkan tenaga muda progresif membina garis baru politik Malaysia - Negara bangsa yang adil serta hak asasi lebih terjamin.

Politik UMNO adalah warisan politik bangsawan Melayu feudal yang melihat Jebat sebagai orang yang sangat berbahaya. Warisan Pateh Karma Wijaya mencetus fitnah yang menyebabkan Jebat mengamuk dan akhirnya dibunuh. Pun begitu, Jebat tidak pernah mati. Semangat Jebat terus hidup dalam setiap jiwa yang cintakan keadilan.

Dalam konflik kuasa politik orang-orang Melayu sejak dulu fitnah adalah aparat politik yang sangat ampuh untuk menghapuskan musuh. Dalam hal ini Datok Bahaman pernah berpesan kepada pengikutnya agar jangan sekali-kali percaya kepada pembesar-pembesar Melayu. Bahaman adalah panglima raja - bergelar Orang Kaya Semantan menentang dasar cukai tanah yang zalim oleh Inggeris di Pahang akhirnya menjadi orang buruan. Minumannya pernah dibubuh racun dalam satu majlis bersama pembesar-pembesar Melayu di Kota Bharu pada tahun 1896. Ia terselamat dan selepas itu Bahaman kemudian menukar namanya untuk setiap perjalanannya agar jejak beliau tidak dikesan.

Abdullah CD adalah warisan Perang Bahaman pemimpin Regimen 10 yang memakai berbagai nama dihutan akhirnya termakan juga racun yang dimasukkan di dalam makanannya. Dia diracun oleh orang yang diupah pada tahun 1971 yang kemudian telah membuat pengakuan secara pribadi kepadanya. Ketika itu Regimen 10 (Melayu) amat menjadi ancaman terhadap UMNO.

Dalam kes Anwar walaupun dikenali sebagai pemimpin yang begitu toleran namun Anwar adalah pemberontak terhadap ketidakadilan dan kerakusan kuasa kaum bangsawan Melayu yang telah berlanjutan lebih setengah abad. Pidatonya jitu dan mencengkam jiwa pendengar serta mampu mencetuskan gelombang kebangkitan di kalangan orang muda.

Lebih menggugat apabila dia berjaya membawa PAS-DAP duduk semeja sekaligus menghancurkan seluruh usaha UMNO selama ini agar PAS dan DAP terus bercakaran. Anwar juga telah berjaya mengubah persepsi negatif orang-orang Tionghua terhadap PAS. Sokongan orang-orang Tionghua terhadap calon PAS di beberapa kawasan pilihanraya kecil menjadi bukti perkara ini. Sebelum ini PAS adalah "kui" atau hantu kepada orang Tionghua yang selalu diusik-usik oleh pemimpin-pemimpin UMNO supaya menjauhi parti ini kecuali jika mereka sanggup disunat….!

Anwar berjaya melunturkan kepercayaan orang-orang Tionghua terhadap MCA dan Gerakan. Di Bandar-bandar di Semenanjung boleh dikatakan hampir tiada lagi orang-orang Tionghua yang percaya pada MCA atau Gerakan. Kalau adapun mungkin yang sangat terpencil. Arus ini tidak mungkin surut lagi malah diramal akan menjadi gelombang lebih besar dalam PRU 13 nanti. Ada baiknya pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan bungkus kain baju mereka dan tinggalkan parti. Parti itu sudah tidak relevan. Orang-orang Tionghua tidak mudah dibeli dengan duit seperti orang Melayu, Malanau, Iban dan Kardazan. Sekolah Cina telah wujud di Malaya sejak tahun 1930 lagi ketika itu sekolah Melayu pun belum ada. Ini bermakna mereka kenal huruf-huruf p-o-l-i-t-i-k itu lebih awal.

Selain daripada fitnah dan isu perkauman apakah alat lain yang boleh diketengahkan untuk menyekat Anwar kecuali good governance dan jangan menindas rakyat. Dan ini tidak mungkin terjadi! Dalam hal ini pilihan yang ada ialah "Anwar" dia mestilah dihapus demi kesinambungan kuasa bangsawan Melayu itu. Sekali lagi kaum bangsawan menuduh Anwar sebagai orang keciwa yang kononnya memberi harapan kepada orang-orang Tionghua untuk memerintah negara ini.

Fitnah bersiri yang dilancarkan UMNO terhadap Anwar bukanlah suatu yang aneh kerana hanya cara ini sahaja watak ini boleh dihapuskan. Selain Anwar siapa lagi yang boleh menyatukan PAS-DAP yang sepanjang sejarah bertikaian tetapi hari ini telah menjadi benteng baru untuk rakyat sandarkan harapan. Sebelum ini pemimpin-pemimpin besar UMNO tidak pernah percaya bahawa akan wujud barisan alternatif seperti BN. Justeru mereka percaya hanya BN sahaja yang boleh mendirikan kerajaan.

Lebih 50 tahun PAS dan DAP dilaga-lagakan agar berkelahi seperti anjing dengan kucing. Bila anjing dan kucing sibuk bercakar maka ada peluang untuk mereka menyelongkar. Anwar telah menukar emosi anjing dan kucing hingga mereka boleh makan bersama. Justeru kebelakangan ini, strategi melaga-lagakan PAS - DAP sudah tidak berguna lagi. Dalam keadaan ini adakah aneh sekiranya "Anwar" dijadikan sasaran supaya semuanya berkecai! Rekayaksa video lucah dan tayangannya di TV untuk ditonton oleh rakyat adalah hanya untuk memainkan emosi Melayu. Kenapakah isu Sodomi dan video lucah ini langsung tidak mempengaruhi masyarakat Tionghua?

Ternyata isu video lucah ini telah digunakan sepenuhnya oleh UMNO demi menyelamatkan Serawak dalam PRN baru-baru ini. Ia telah ditayangkan tidak henti-henti tanpa ada sedikitpun perasaan bersalah kerana melancarkan fitnah yang besar. Ia belum pasti benar dan dilarang Allah. Kerja terdesak ini hanya sanggup dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang sangat jahat dan rendah akhlaknya.

Isu video lucah ini meletup pada hari DUN Serawak dibubarkan. Tayangan video ini terhenti sebaik sahaja pilihanraya selesai. Kenapa tidak diteruskan saja tayangan itu dan CDnya dibekalkan ke setiap sekolah supaya semua anak-anak kita di sekolah juga tahu siapa itu Anwar Ibrahim! Bila mereka keluar sekolah nanti mereka semuanya akan mendaftar menjadi ahli UMNO.

Anwar adalah pemimpin kepada kelas rakyat yang mendambakan pembelaan yang hidup tapi mabuk dalam derita. Kelas ini miskin namun mereka tidak tahu bahawa tidak sepatutnya miskin dalam sebuah negara yang begitu kaya. Mereka tidak sedar walaupun mereka bekerja keras namun hidupnya berselimut hutang demi menyara keperluan keluarga dan pendidikan anak-anak. Mereka tidak peduli dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang horaa sana dan horaa sini dengan duit yang mereka rompak dan pau daripada rakyat menerusi berbagai sumber cukai, lesen, permit, denda, toll, saman ekor dan sebagainya. Dengan berbagai-bagai cara mereka tekan dan tindas asal mereka boleh dapat duit dari saku rakyat

Semua fitnah ini perlu dilancarkan demi melencungkan perhatian rakyat terhadap pelbagai penyelewengan. Kritikan terbuka Anwar terhadap keterlibatan Najib dalam kes rasuah pembelian jet Sukhoi dan kapal selam Scorpene sebanyak RM500 juta oleh Kementerian Pertahanan telah menjadi rekod umum. Begitu juga desakan yang berulang kali dari Anwar terhadap Najib membenarkan penyiasatan bebas bagi membersihkan namanya dan Rosmah atas dakwaan berwibawa pembunuhan yang terkenal - wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Ternyata UMNO bukan saja telah menyalahguna media milik kerajaan malah lembaga-lembaga awam seperti Polis, Pejabat Peguam Negara, Lembaga Kehakiman Suruhan-jaya demi kuasa. Tanpa mempeduli tunjang sebuah negara demokrasi iaitu separation of power seluruh lembaga ini sejak 1998 telah dikerah untuk menghapuskan seorang yang bernama Anwar Ibrahim kerana ia memimpin kesedaran kelas yang mengancam masa depan BN. Untuk menghapuskan watak ini tidak mustahil juga pada PRU 13 kita akan menyaksikan RPK, Nalakarupan dan Ummi Hafilda akan bergabung membalun Anwar. Dalam politik kawan adalah musuh yang paling berbahaya.

Sudah 13 tahun Anwar dipukul dan dibalun. Dihina supaya ia dibenci namun nampaknya watak ini tidak terjejas sedikitpun. Yang terakhir ialah konspirasi video lucah yang tidak begitu rapi perancangannya telah mendedahkan kejahatan mereka selama ini. Sanggupkah mereka menyembelih ketiga-tiga monyet video lucah itu sebagai langkah bermuka-muka terhadap rakyat dan apakah akan terjadi sekiranya ketiga-tiga monyet ini menyanyi mengikut musik kemudian melompat menggigit lengan tuannya sekiranya ia ingin disembelih seperti si toyol.

Anwar tidak akan mati dek keris pundek UMNO yang sebilah itu. Sudah 13 tahun dia dibalun bertalu-talu. Suaranya terus lantang dan matanya tetap tajam memaku wajah orang yang membuat tuduhan terhadapnya. Tidak henti-henti turun naik mahkamah tinggi dan rendah terutama apabila menjelang pilihanraya kecil. Pada 21 Februari 2011 hari dia dibicarakan Sodomi II dia dikatakan sempat pula melanggan seorang perempuan cina - dikatakan pelacur untuk melampiasi nafsu gilanya. Benarkah dia begitu rendah?

*Tulisan ini dipetik dari blog Tongkat Bahaman.

Rafizi : 1 Melayu, 1 Bumi Penghinaan Terbuka Dasar 1 Malaysia Najib




SHAH ALAM 21 APRIL: Selepas pencapaian memberansangkan Pakatan Rakyat dengan kemenangan 15 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak minggu lalu, slogan 1Malaysia yang dijaja oleh Perdana Menteri Najib Razak kini mula dipertikaikan.

Akhbar Utusan Malaysia yang dianggap lidah rasmi parti itu kini mula mempersoalkan dasar tersebut melalui penulisan artikel setengah muka bertajuk "Ayuh! Gerakkan Segera 1Melayu, 1Bumi".

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang dihubungi Tv Selangor menyifatkan ianya sebahagian daripada sindrom gagal menerima hakikat menerusi keputusan luar jangka pengundi Cina terhadap parti Barisan Nasional (BN).

Katanya, senjata perkauman yang dijulang BN dengan menggambarkan kemenangan DAP di 12 kerusi kawasan majoriti pengundi Cina sebagai faktor kaum Melayu ditindas hanya bertujuan memecahkanbelahkan masyarakat di negara ini.

"Sedangkan itu satu analisa yang salah sebab kalau kita lihat secara terperinci, perubahan undi paling besar adalah daripada kaum bumiputera baik Islam atau bukan Islam di Sarawak kepada Pakatan Rakyat adalah pengundi PKR. Tapi tentu analisis ini tidak akan ditunjukkan sebab akan lari dari skrip perkauman mereka," kata beliau.

Jelas Rafizi, perubahan undi kepada calon-calon PKR beragama Islam sebanyak 15 hingga 17 peratus membuktikan sentimen kaum dan agama yang cuba dimanipulasi BN kepada pengundi di Sarawak tidak boleh diterima pakai.

"Maknanya Umno dan Utusan akan tenggelam dengan mesej perkauman sendiri kerana mereka sampai sekarang berada dalam sindrom tidak boleh menerima hakikat bahawa rakyat mahu prinsip ketelusan," katanya.

Justeru beliau menasihatkan kepimpinan Pakatan Rakyat berhati-hati membuat sebarang kenyataan bagi mengelak daripada Umno-BN dan sekutunya memutarbelitkan fakta yang berkaitan kaum dan agama.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan dalam artikelnya mencadangkan kepada Umno untuk melancarkan gerakan 1Melayu, 1Bumi bagi mempertahankan kuasa politik orang Melayu.

Penulisannya turut menyentuh bagaimana masyarakat Melayu telah hilang perpaduan berbanding kaum Cina selain memperlekehkan slogan 1Malaysia yang digembar-gemburkan Najib Razak.

Sementara itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang berpendapat artikel dari lidah rasmi Umno-BN itu secara jelas mempermainkan dasar 1Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri sejak tahun 2009.

Katanya, Najib dilihat sebagai boneka dalam Umno-BN kerana gagal menyatupadukan mentaliti kepimpinan parti itu berhubung dasar beliau sendiri.

Tambahnya lagi, dakwaan bahawa DAP akan merampas kuasa sekiranya Pakatan Rakyat menjadi kerajaan adalah tidak berasas justeru menyifatkan seruan Timbalan Ketua Pengarang Utusan itu sebagai menggangu-gugat ketenteraman awam.

"Tiada tolak ansur dalam perkara ini. Kalau dia tidak ambil tindakan terhadap Utusan Malaysia, ini bererti dasar 1Malaysia beliau adalah pembohongan dan kedua ia menunjukkan Najib tidak ada kuasa dalam Umno untuk memastikan dasar beliau diterima dalam parti sendiri," jelas beliau.

E-mel 1 Malaysia Bukan Percuma Sepenuhnya

KUALA LUMPUR 21 APRIL : Walaupun telah banyak yang diperkatakan tentang bagaimana projek E-mel 1Malaysia adalah percuma dan tidak membabitkan dana kerajaan, tetapi satu kenyataan syarikat pengendalinya, Tricubes Bhd, membayangkan kemungkinan ada 'bayaran sampingan' yang akan dikenakan.


Caj-caj ini akan dikenakan untuk "kerahsian data" dan "perkhidmatan tambah-nilai".

Pengakuan itu dibuat selepas syarikat IT itu menjadi sasaran pertanyaan media dan orang ramai mengenai pembiayaannya, butir-butir lanjut mengenai projek tersebut serta kemampuannya melaksanakan rancangan bernilai RM50 juta itu.

Dalam jawapannya melalui e-mel kepada senarai soalan dari Malaysiakini, ketua pegawai Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar menegaskan bahawa perkhidmatan asas untuk menyediakan emel 1Malaysia itu “tidak membabitkan sebarang kos kepada pengguna”

Pengguna boleh menggunakan akaun e-mel mereka untuk menerima notis dari kerajaan seperti taksiran cukai pendapatan, pembaharuan lesen memandu dan peringatan bayaran cukai tanah serta penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan notis saman.

Bagaimanapun, satu-satunya perkhidmatan yang dinyatakan "tiada kos" ialah perkhidmatan e-mel, manakala notis dan bil-bil yang disenaraikan di atas, tidak boleh dikatakan percuma.

Malah, Khairun berkata syarikatnya akan memperolehi pendapatan daripada perkhidmatan tambah-nilai seperti pemberitahuan bil, notis, pendapatan dari iklan serta pasaran dalam talian.

Menurut Khairun, pemberitahuan mengenai bil dan notis tersebut akan membolehkan kerajaan menjimatkan kos cetakan dan pos.

Oleh itu, ia boleh diagak bahawa Tricubes akan mengenakan bayaran bagi pemberitahuan bil-bil dan notis dari agensi-agensi kerajaan, walaupun ianya tidak jelas siapa yang akan membayarnya, pengguna atau agensi-agensi terbabit.

Walau apa cara pembayarannya, ia akan membabitkan dana rakyat.-Malaysiakini

(function() { var d = document, w = window; w

Pas Terengganu bergolak, 3 Exco Terengganu tewas pemilihan PAS

  Pas Terengganu bergolak, 3 Exco Terengganu tewas pemilihan PAS October 18, 2021 9:22 pm Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ...