ANWAR BERTEMU MAHATHIR

Imej mungkin mengandungi: 1 orang, duduk, meja dan dalaman





Bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini di Putrajaya. Sempat menyentuh beberapa isu mendesak dalam dan luar negara.

Saya turut memaklumkan Perdana Menteri, saya akan menunaikan umrah bersama Azizah yang pada masa sama akan menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-14 di Makkah pada 31 Mei ini.

Juga saya merujuk kebimbangan KEADILAN dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam terhadap ancaman Amerika Syarikat terhadap kepimpinan Iran.

Kerajaan perlu menyatakan pendirian tegas dengan menolak sebarang provokasi kepada seluruh negara Islam.

ANWAR IBRAHIM


PESURUHJAYA TINGGI AUSTRALIA JUMPA ANWAR

Menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia, Andrew Goledzinowski di pejabat sebentar tadi.
Turut bersama Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Michael Growder dan Setiausaha Kedua, Viviane Mouait.
Dalam pertemuan hari ini, kami bertukar pendapat mengenai suasana politik semasa serta kerjasama erat dengan Australia.
Imej mungkin mengandungi: 2 orang, orang berdiri, sut dan dalaman

Berbincang tentang politik semasa serta kerjasama erat dengan Australia.




Menyanggah kenyataan Khaled Nordin: Bangsa Malaysia atau Rakyat Malaysia?


Konsep negara bangsa acap kali diperdebatkan apabila sempadan negara mula menjadi sesuatu yang penting. Konsep negara bangsa tidak wujud sebelum datangnya nasionalisme; satu fahaman tentang nasion (bangsa). Malaysia juga tidak terlepas daripada perdebatan ini. Menariknya, sejarah Malaysia melalui beberapa peringkat penting yang perlu dilihat sebelum menerjah kepada perdebatan negara bangsa.

Sebelum bersatu bersama Sabah dan Sarawak, negara ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu (1957). Persekutuan Tanah Melayu bertukar namanya kepada Malaysia apabila berlakunya penggabungan bersama Sabah, Sarawak, dan Singapura. Kita sedia maklum bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, baik di Semenanjung mahupun di Borneo.

Menjadi perkara yang mengelirukan apabila kaum, etnik, dan bangsa ini diletakkan dalam konteks yang sama; seolah-olah konsep bangsa itu adalah sama dengan konsep kaum. Nasion (bangsa) bermaksud sesebuah komuniti atau ras yang berkongsi budaya yang sama, tradisi, sejarah, dan bahasa yang sama. Nasion sama sekali berbeza dengan negara, dan kerajaan (state).

Konsep ini mula hangat diperkatakan sewaktu kurun ke-18 dan ke-19 kerana berlakunya persempadanan negara selepas perang dunia pertama dan ke-2. Sewaktu tamatnya perang dunia pertama, kebanyakan negara-negara yang diduduki oleh Turki Uthmaniyyah dipecah-pecahkan kepada negara-negara yang akhirnya membentuk negara bangsa tersendiri. Persoalan yang harus ditanya di sini sejauh mana perkongsian sejarah, tradisi, dan budaya itu ingin dilihat?

Nusantara terkenal dengan perkataan serumpun; mempunyai bahasa dan berkongsi budaya yang hampir sama. Tetapi kerana berlakunya pecahan-pecahan negara yang akhirnya mewujudkan sempadan negara, konsep nusantara seolah-olah hilang dan dibangunkan dengan budaya negara masing-masing menurut sejarah tersendiri. Contohnya, sungguhpun etnik Jawa terdapat di seluruh Nusantara, selepas terbentuknya Indonesia dan Malaysia, masyarakat Jawa di kedua-dua negara akhirnya berkembang membentuk identiti masing-masing melalui perkembangan sejarah negara masing-masing.

Dalam konteks negara bangsa, sejauh mana dan pada detik sejarah yang mana ingin diambil, itu yang perlu diperdebatkan.

Kekeliruan Khaled Nordin

Sesiapa yang tidak menekuni sejarah dia berkemungkinan mengulanginya kembali; seharusnya sejarah Malaysia perlu dilihat sewaktu penubuhannya bukan melihat sejauh zaman kurun pertama atau sewaktu penciptaan manusia. Sejarah bersifat jalur waktu; daripada A kepada B. Maka kerana itu mengambil sejarah pembentukan Malaysia adalah sesuatu yang wajar untuk memahami nilai-nilai yang terkandung dalam Malaysianisme.

Pembentukan Malaysia berlaku dalam dua keadaan, 1957 iaitu kemerdekaan Tanah Melayu daripada kolonial British dan pada 1963 (yang seringkali dilupakan) melalui penyatuan bersama Sabah, Sarawak, dan Singapura. Kedua-dua bentuk kemerdekaan ini dimulai dengan suara sepakat untuk bersatu atas satu identiti; berkongsi bahasa, budaya, dan nilai hidup yang sama tetapi tidak memaksa kepada satu budaya, bahasa, dan nilai hidup yang sama. Perkataan ‘berkongsi’ itu harus dicermati.

Ini kerana pembentukan Malaysia adalah melalui sikap toleransi yang tinggi antara semua kaum, ras, etnik sewaktu itu. Bahasa Malaysia digunakan untuk urusan rasmi bertepatan dengan konsep negara moden; tetapi pemimpin terdahulu tidak menyekat penggunaan bahasa ibunda masing-masing, malah boleh diamalkan sehari-harian.

Kekeliruan yang berlaku adalah apabila mengatakan, tiada Bangsa Malaysia hanya Rakyat Malaysia. Konsep yang dikeluarkan oleh Khaled Nordin mempunyai kecacatan yang amat jelas. Apakah itu Rakyat Malaysia? Menurut beliau Malaysia terbentuk melalui kemajmukan berbangsa, berbudaya dan beragama. Ini kerana setiap daripada warganegara Malaysia dibezakan dengan agama, bangsa, pengalaman politik serta bahasa yang pelbagai.”

Jika dicermati tulisan beliau, kecacatan pertama yang perlu dicakna adalah kata ‘bangsa’ yang beliau guna-pakai. Apakah maksud beliau dibezakan dengan… bangsa”? Apakah bangsa pada pandangan beliau?

Perkara kedua yang perlu diteliti adalah bahagian dibezakan dengan… pengalaman politik, adakah bermaksud kaum dan etnik di Malaysia tidak melalui pengalaman politik yang sama sewaktu berlakunya proses kemerdekaan dahulu? Bukankah wujud muafakat antara kesemua kaum, dan adanya kata sepakat untuk beroleh kemerdekaan daripada kolonial British. Apakah itu bukan pengalaman politik yang sama?

Lalu beliau menambah lagi Kerana parti pemerintah kita sedari awal lagi memahami bahawa pemikiran, perwatakan dan citra pelbagai bangsa di negara ini harus dikekalkan sebagai identiti tersendiri tetapi di satu dan diikat melalui rasa kepunyaan kepada watan. Apakah maksud diikat melalui rasa kepunyaan kepada watan? Adakah beliau cuba melihat bahawa semua kaum, ras, dan etnik di Malaysia mempunyai sejarah identiti sejak kurun pertama?

Akhirnya beliau menyimpulkan hujah beliau “apa yang terbentuk ialah kewarganegaraan Malaysia… sebagai rakyat Malaysia. Bukan…. sebuah bangsa dengan nama, identiti dan budaya yang seragam!”.

Terlalu hipokrit jika Khaled Nordin menafikan sewaktu Barisan Nasional memegang tampuk pemerintahan dahulu pernah wujud gagasan 1Malaysia. Yang mana di dalam dokumen 1Malaysia terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, berulang kali menyebut tentang pembentukan Bangsa Malaysia. Bukan itu sahaja, Pembinaan Bangsa Malaysia juga merupakan teras Wawasan 2020 yang telah pun tercatat dalam silibus sejarah Tingkatan 5.

Adakah ini bermakna, pendidikan sejarah Malaysia yang dipelajari oleh anak-anak di sekolah itu satu kesilapan. Sedangkan satu bab di dalam buku sejarah pendidikan di sekolah menyentuh tentang pembinaan negara bangsa.

Lebih aneh adalah apabila Khaled Nordin sendiri sewaktu merayu undi di laman Facebooknya tahun lalu menyebut, “Bangsa Johor yang saya hormati, kami mohon diberikan peluang sekali lagi.” Jika Bangsa Malaysia itu tidak pernah dan tidak mungkin boleh wujud, bagaimana pula dengan Bangsa Johor? Di sini saya ingin memohon penjelasan daripada Khaled Nordin, apakah beliau sedang beretorik dalam penulisan beliau?

Cadangan ke arah Perpaduan

Tidak dapat kita nafikan sejak dahulu lagi, kerajaan Malaysia bertungkus lumus untuk membangunkan naratif Malaysia atas sebab untuk mewujudkan Perpaduan Kaum. Menurut Profesor Ulung Shamsul Amri, kepelbagaian mempunyai tiga wajah.

Wajah pertama adalah yang positif. Kepelbagaian etnik; boleh diniagakan. Satu kepelbagaian yang kita uar-uarkan kepada dunia. Kedua kepelbagaian yang negatif kerana perbezaan budaya, kaum, dan etnik; bakal menimbulkan konflik kaum dan ras. Perbezaan bakal membawa kepada konflik jika tidak diselesaikan dengan cermat. Maka yang ketiga adalah kepelbagaian yang ideal. Apabila ada kepelbagaian maka wujud konflik kerana perbezaan, tetapi kepelbagaian ideal adalah satu pengharapan; sebagai contoh Bangsa Malaysia.

Mencipta sesuatu yang ideal adalah satu usaha untuk ke arah penyatuan semua kaum, ras, dan etnik. Profesor Ulung juga mengutarakan tiga konsep keramat iaitu ‘perpaduan’, ‘kesepaduan’, dan ‘penyatupaduan’. Beliau mengatakan tidak pernah berlaku perpaduan tetapi hanya wujud kerinduan tentang ideal perpaduan. Ini kerana yang wujud adalah kesepaduan; sesuatu konsep yang muncul atas faktor kepelbagaian. Oleh kerana adanya konflik kaum, ras, dan etnik, kerajaan cuba untuk mengawal hal yang demikian melalui pembinaan dasar bagi tujuan membina satu nilai bangsa.

Maka usaha itu dipanggil sebagai proses kepada penyatupaduan, usaha kerajaan untuk mengelakkan konflik kaum, ras, dan etnik adalah satu usaha yang murni. Tiga konsep ini perlu difahami dan dihadam oleh setiap rakyat Malaysia bagi mewujudkan masyarakat yang ideal iaitu Bangsa Malaysia.

Kesimpulannya, apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia Baharu pada hari ini adalah satu projek ke arah penyatupaduan untuk mencapai perpaduan yang ideal. Maka sebaiknya Khaled Nordin bersetuju dengan projek yang mulia ini kerana beliau juga merupakan seorang bekas Menteri Besar dan juga pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan satu masa dahulu yang turut mengusahakan pembinaan Bangsa Malaysia. 


*Edry Faizal Eddy Yusof adalah Ahli Dewan Negeri DUN Dusun Tua, Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY dan Pengetua Akademi Bangsa

Masjid, surau di Sandakan penerima terbesar sumbangan RM120,000


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melakukan lawatan pertama ke Sandakan selepas Pakatan Harapan meraih kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 10 Mei lalu.

Dalam lawatan tersebut, beliau menyampaikan sumbangan dari kerajaan pusat berjumlah RM120,000 kepada 30 masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam dalam kawasan Parlimen Sandakan bagi membantu menampung kos operasi mereka.  

“Sumbangan ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk mempertahankan hak kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dipetik Bernama pada program penyampaian sumbangan tersebut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menjelaskan sumbangan itu diberikan supaya rakyat tidak tertunggu-tunggu bantuan yang dijanjikan memandangkan Vivian masih belum mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat dan perlu mematuhi prosedur sebelum mengeluarkan sebarang peruntukan.

“Kami menyedari ada prosedur yang perlu dipatuhi bagi membolehkan Vivian dapat melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat, antaranya peruntukan belum boleh disalurkan melaluinya selagi beliau belum mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen.

“Kami sedar beliau hanya akan mengangkat sumpah pada (sidang Dewan Rakyat) Julai depan. Jadi kehadiran saya membawa cek sumbangan kepada badan-badan agama adalah salah satu cara untuk memastikan rakyat tidak tertunggu-tunggu bantuan yang dijanjikan,” katanya.

Masjid dan surau menerima RM60,000, manakala Sandakan Inter Church, 22 tokong dan dua kuil serta tiga gereja masing-masing menerima RM30,000, RM26,000 dan RM4,000.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menzahirkan tekad untuk menunaikan semua janji PRK Sandakan, termasuk projek pembangunan yang diluluskan dalam Belanjawan Negara 2019.

“Dengan adanya sokongan daripada rakyat dan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan pusat, kita akan dapat melihat wajah baharu untuk Sandakan yang boleh menjadi sebuah bandar dinamik semula,” katanya.

Maszlee teliti cadangan Ketua DAPSY berhubung isu matrikulasi


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sedang meneliti cadangan yang dikemukakan Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Howard Lee kepadanya berkaitan isu matrikulasi.

Howard mengemukakan lima cadangan seperti berikut:

  1. Memohon Kementerian Pendidikan supaya menyelesaikan ketidaksamarataan yang besar dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk Peperiksaan Matrikulasi, bagi memastikan peluang yang lebih adil untuk pelajar-pelajar STPM dan matrikulasi.
  2. Untuk menyelidik dan mengkaji semula sistem pengredan kokurikulum. Aktiviti kokurikulum bawah matrikulasi seharusnya mempungai nilai merit yang sama seperti STPM.
  3. Mempertimbangkan penyerapan tempat sebanyak 15,000 di Asasi-Asasi IPTA sedia ada sebagai sebahagian daripada program Matrikulasi. Tidak ada sebarang implikasi kos, isu staf akademik dan kemudahan prasarana.
  4. Mempertimbangkan kemasukan markah CGPA secara automatik bagi pelajar-pelajar STPM. Atau membuka 2,000 peluang kemasukan tambahan bagi 2,000 pelajar teratas mengikut markah CGPA tanpa kira kaum.
  5. Untuk menggabungkan peperiksaan, sebuah silibus dan sistem pengredan di antara STPM dan Matrikulasi diwujudkan menjelang 2020.

Cadangan-cadangan tersebut dikemukakan Adun Pasir Pinji itu dalam pertemuan yang berlangsung di pejabat Maszlee di Putrajaya beberapa minggu lalu.

Menurut Maszlee, beliau terbuka kepada sebarang cadangan bagi meningkatkan kualiti sistem pendidikan di Malaysia.

“Malah setiap cadangan yang diberikan oleh saudara YB Howard ini sedang diteliti dengan lebih lanjut oleh KPM.

“Perkara 1, 2 dan 5 misalnya sedang diusahakan pelaksanaannya. Manakala perkara 3 dan 4 sedang diperhalusi.

“Pandangan dengan idea konkrit dan bernas sudah tentu akan menggalakkan lebih banyak perbincangan bermanfaat untuk rakyat di negara ini dan usaha serta pemikiran rasional seperti saudara YB Howard akan membantu KPM memberikan yang terbaik buat semua anak-anak Malaysia,” ujarnya.

Katanya lagi, Howard juga tampil dengan penuh adab dan sopan semasa pertemuan empat mata tersebut.

“Saya amat meraikan gaya politik matang seperti yang ditunjukkan beliau,” ujar Maszlee.


INDIA MUSLIM TERBELA DI BAWAH PH – WAYTHA MOORTHY