MCA: Kami Ikut Demokrasi, Bukan Ugut Pengundi Cina




















KUALA LUMPUR 4 MEI : MCA hari ini menegaskan keputusannya tidak mahu menerima jawatan dalam Kabinet jika gagal mendapat sokongan pengundi Cina pada pilihanraya umum akan datang bukan satu ugutan untuk mendapatkan undi kaum itu.




Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pendirian parti itu sesuai dengan prinsip demokrasi dan untuk menghormati keputusan pengundi kaum Cina.




Ramai pihak sebelum ini menyifatkan keputusan MCA itu seolah-olah untuk memaksa pengundi Cina supaya menyokong parti itu jika tidak mahu kehilangan perwakilan dalam Kabinet.




Perdana Menteri Najib Razak sendiri bersetuju dengan keputusan MCA berkenaan yang dibuat berikutan penolakkan pengundi Cina terhadap BN pada pilihanraya negeri di Sarawak bulan lalu.




“Majlis Presiden MCA memutuskan bahawa MCA akan menarik diri sepenuhnya daripada semua jawatan dalam kerajaan pada semua peringkat jika parti kami gagal mendapatkan mandat pengundi Cina pada pilihanraya umum akan datang,” kata Liow beliau.




“Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan yang mendalam dan tidak ada kaitan dengan apa yang disebut sebagai politik perkauman,” tambah beliau.




Liow mendakwa keputusan itu menerima sokongan meluas akar umbi MCA di seluruh negara.




Presiden MCA Chua Soi Lek menyalahkan kepimpinan parti sebelum ini kerana menerima jawatan dalam Kabinet walaupun parti itu tewas teruk pada pilihanraya umum yang lalu.




Meskipun membuat tuduhan itu, Chua sendiri mencadangkan anaknya untuk diangkat menjadi Timbalan Menteri dalam Kabinet Najib pada tahun lalu.




Chua sendiri menerima perlantikannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

PAS Mahu Anwar Terus Jadi Ketua Pembangkang

















SHAH ALAM 4 MEI: PAS berpendirian komitmen yang diberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Pakatan Rakyat begitu bermakna dan mahukan beliau terus menggalas jawatan Ketua Pembangkang.



Naib Presidennya Salahuddin Ayub berkata, muafakat yang dipersetujui PKR, DAP dan PAS melantik Anwar mewakili pakatan pembangkang sejak Ogos 2008 tidak akan berubah.



Perlantikan Anwar untuk menerajuo pembangkang di Parlimen melangkaui pemahaman Umno-Barisan Nasional mengenai kerjasama politik, kata beliau.



"Jadi tidak semestinnya parti yang mendominasi dalam parlimen itu akan menjadi ketua pembangkang, itu memang menjadi lumrah tapi apa yang di amalkan Pakatan Rakyat hari ini telah melangkawi amalan itu dan kita pergi kepada asas kesepakatan dan penghormatan kita kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelas beliau ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.



Salahuddin mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) , Datuk Seri Abang Johari Openg supaya Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang untuk digantikan dengan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.



Dalam kenyataannya di Kuching semalam, beliau berkata Kit Siang boleh diambil sebagai Ketua Pembangkan kerana DAP mempunyai 29 kerusiberbanding PKR dan PAS masing-masing 23.



Seterusnya Salahuddin berkata, Abang Johari cuba mengitarkan semula modal politik lapuk BN untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat.



Justeru katanya, PAS tidak akan mengambil berat tipu helah yang cuba disuntik ke dalam persefahaman yang wujud sejak sekian lama oleh pakatan itu.



"Dia cuba mempermainkan dengan politik. Cuba untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat tapi kita tidak akan terusik dengan apa yang beliau (Abang Johari) katakan," ujar beliau lagi.





Anwar: PR bersiap sedia hadapi PRU 13 tahun ini

Lim Hong Siang








Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal dijalankan pada bila-bila masa, termasuk tahun ini. Beliau mengumumkan bahawa pertemuan tertutup antara pimpinan PR akan diadakan dalam tempoh dua minggu untuk membincangkan dasar-dasar bersama, selain mengeratkan perhubungan yang sering cuba ditimbulkan kesangsian oleh UMNO-Barisan Nasional.


Beliau berkata sedemikian dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR, selepas mesyuarat pimpinan PR, yang dihadiri Presiden Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Seng Giaw, dan pimpinan lain dalam Pakatan Rakyat.


Antara isu yang dibangkitkan termasuklah kabinet bayangan Sarawak yang dibentuk dari pimpinan PR, isu loji pemprosesan rare earth Lynas di Gebeng, Kuantan, selain memberi reaksi terhadap isu-isu yang dibangkitkan media. Anwar berkata, kabinet bayangan PR Sarawak yang diumumkan pada 1 Mei 2011 bukanlah barisan yang muktamad, dan masih dalam perbincangan.


Desak BN dengar bantahan rakyat


Beliau turut membangkitkan isu Lynas yang kini menjadi tumpuan bukan sahaja tempatan, tetapi antarabangsa.


"Di antaranya kurang ketelusan, belum ada pendedahan laporan EIA, tiada maklumat terperinci dan rundingan dengan masyarakat di kawasan terlibat, di sekitar Kuantan," sebelum Anwar (gambar kanan) meneruskan, "Kesan radioaktif walaupun dinafikan kerajaan Malaysia tidak meyakinkan, kerana keterangan dari kertas asal Australia itu berbeda. Dan keduanya, kenyataan menteri Australi bahawa buangan bahan radioaktif itu tidak akan dibawa balik ke Australia dan akan disimpan atau ditanam di Malaysia."


PR mendesak agar kerajaan mendengar bantahan ini dan tidak mengambil risiko yang membahayakan keselamatan rakyat.


Ujian Poligraf


Sekali lagi, isu "video seks" yang didedahkan "Datuk T" dibangkitkan wartawan. Walaupun membiarkan wartawan mengajukan soalannya, bahawa sama ada Anwar akan menyahut cabaran Shazryl Eskay Abdullah untuk menjalani ujian poligraf, namun Anwar menganggap itu "bukan isu" (non-issue).


Presiden PAS Hadi Awang mencelah apabila wartawan cuba melontarkan soalan seterusnya berhubung isu ini, berkata "Kita nak perintah Malaysia, bukan soalan berkait individu."


Sebelum ini, Hadi turut mendakwa bahawa cara bersumpah Shazryl Eskay Abdullah adalah salah, "Angkat kitab Quran tetapi tidak mengikut hukum dalam Quran".


1Malaysia kepada Cina dan India


Ketika ditanya isu perpaduan Melayu, Anwar membidas Presiden UMNO Najib yang menyajikan 1Malaysia kepada Cina dan India, pada masa yang sama 1Melayu untuk Melayu. "Beliau ingat orang Malaysia kurang bijak," sindirnya sambil menambah bahawa langkah-langkah ini menunjukkan bahawa BN semakin terdesak.


*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.