Anwar: Perjuangan bukan mudah, tapi juga bukan mustahil

Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut Keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ianya juga bukan mustahil. Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan Demokratik.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, Pakatan Rakyat tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat Barisan Nasional.

Sungguhpun demikian, sekali lagi kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya tercalar kerana wujudnya laporan bahawa Suruhanjaya itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian. Saya difahamkan petugas Parti Keadilan Rakyat dinafikan borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihanraya bersih dari penipuan. Selain itu terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.

Selain itu keengganan SPR untuk mengira semula undi di kawasan Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa Suruhanjaya Pilihanraya bertindak demi kepentingan Barisan Nasional. Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr.Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?

Keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ianya satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh. Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ianya terlaksana. Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan Perubahan dan cintakan Keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan regim yang korup ini tumbang pada pilihanraya yang akan datang. Kepada seluruh rakyat Sarawak dan jentera Pakatan Rakyat, saya ucapkan terima kasih dan syabas kerana keberanian serta pengorbanan yg dicurahkan. Dengan izin Allah, kemenangan pasti tiba.

*Kenyataan Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen merangkap Ketua Umum PKR.

WikiLeaks: Media bohong kerajaan minta bantuan AS tentang F5


KUALA LUMPUR, 18 April: WikiLeaks melaporkan bahawa media tradisional negara telah membuat laporan palsu mengenai kehilangan jet engin F5, yang didakwa lesap secara tetiba pada 2008.

Berdasarkan kabel diplomasi Amerika Syarikat (AS) yang diledakkan WikiLekas, seorang anggota Kementerian Luar Negeri telah memberitahu Kedutaan AS di Kuala Lumpur bahawa media tradisional negara telah mengeluarkan ‘banyak kenyataan menyeleweng dan silap’ mengenai kehilangan dua engin jet buatan AS pada Disember 2009.

Kedutaan AS turut melaporkan kepada kerajaan AS bahawa mereka susah untuk mempercayai penjelasan kerajaan Malaysia mengenai skandal tersebut.

“Kami berkongsi ketidakpercayaan yang dicetuskan di dunia blogger mengenai kes dan penjelasan kerajaan mengenai orang di belakang skandal ini,” kata kabel itu lagi.

Mengikut kabel itu lagi, Kementerian Pertahanan yang di bawah jagaan Perdana Menteri, Najib Razak ketika itu turut didakwa cuba mengelak daripada memberikan penjelasan bagaimana kes ini dikendalikan..

Kedutaan AS juga berpendapat Kementerian Luar Negara cuba menjauhkan diri daripada skandal tersebut.

Kabel yang bertarikh 10 Januari 2010 ditulis oleh kaunselor politik, Brian McFeeters dan ditandatangani Duta AS James Keith turut menamakan pegawai Malaysia yang dimaksudkan iaitu Mohamed Radzi Jamaluddin, pembantu setiausaha jabatan Amerika dari Kementerian Luar Negeri.

Radzi dilaporkan berkata media tradisional telah berbohong melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah meminta bantuan daripada AS dalam skandal enjin jet F5, kerana sekiranya benar, permintaan tersebut akan melalui Kementerian Luar Negeri.

Dalam tulisannya, McFeeters turut melaporkan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan sedemikian daripada Malaysia.

Sebanyak 3 kabel didedahkan oleh WikiLeaks minggu lepas, menyentuh mengenai skandal kehilangan enjin jet F5. Enjin J85-21 yang dibuat oleh General Electric digunakan dalan Northrop F-5 jet ringan sejak 1970 masih digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF).

Berita kehilangan engin jet mula-mula diledakkan oleh Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi pda 19 Disember 2009, hari yang bertembung dengan konvesyen Pakatan Rakyat yang pertama, di mana Kedutaan AS berpendapat satu peristiwa yang mungkin menenggelamkan pengumuman kementerian tersebut.

RMAF turut didakwa tiga kali gagal untuk memaklumkan peristiwa tersebut kepada AS, dimana kabel itu melaporkan AS hanya dimaklumkan pada awal Januari 2010.

Difahamkan enjin jet termaktub dalam perlembagaan pertahanan AS (United States Munitions List), di mana pemindahan secara tidak sah adalah bercanggah dengan perkara 3 dalam Arms Export Control Act, di mana kehilangan jet engin J-85 di Malaysia tertakluk kepada undang-undang ini.

Sementara itu, kabel turut melaporkan bahawa Kedutaaan AS turut menyoal pegawai daripada Malaysia mengenai lokasi spesifik enjin yang didakwa kecurian ekoran laporan media tradisional yang mengatakan bahawa engin tersebut sudah dijual kepada satu syarikat antarabangsa yang berpusat di Amerika Selatan.

“Mereka mungkin tak tahu lokasi atau disuruh merahsiakan info ini sehingga polis menghabiskan siasatan. Malaysia juga tidak memberikan penjelasan yang cukup, kenapa, selepas dua tahun, perkara ini tiba-tiba menjadi pengetahuan umum,” kata kabel itu lagi.

Kabel itu turut menyatakan bahawa terdapat laporan portal berita berkecuali yang melaporkan bahawa enjin tersebut mungkin telah tiba di Timur Tengah, terutamanya Iran, sebagaimana yang dinyatakan pihak polis di awal laporan media tradisional ketika kes ini diledakkan.

Di satu sidang akhbar, kabel itu berkata Peguam Negara, Abdul Ghani Patail telah dilaporkan berada dalam keadaan defensif ketika ditanya mengenai hubungan denga Iran, dan semua laporan mengenai kemungkinan enjin yang hilang tersebut kini berada di Timur Tengah atau Iran hilang daripada paparan media tradisional.

PSM Anjur Protes, Bantah Pembinaan Loji Proses Tanah

|



SHAH ALAM 18 APRIL : Parti sosialis Malaysia (PSM) akan mengadakan bantahan secara aman terhadap keputusan kerajaan persekutuan yang membenarkan pembinaan loji pemprosesan tanah jarang bernilai RM700 juta di Kuantan.
PSM bersama 14 badan bukan kerajaan lain akan berarak menuju ke bangunan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Putrajaya bagi menggambarkan kekesalan selain mendesak keputusan pembinaan loji itu oleh syarikat Lynas Corp dari Australia itu dihentikan demi kepentingan masyarakat di negara ini.


Bantahan itu akan diadakan pada 22 April depan bersempena Hari Bumi.
Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim yang dihubungi Tv Selangor berkata, kebimbangan masyarakat di negara ini lebih menjurus kepada isu pengawalan yang belum meyakinkan.


"Ini adalah kumpulan NGO yang mahu bertemu untuk memberitahu bahawa 'jangan pergi kearah pendekatan nuklear' sebab kita tidak dapat menampung apabila berlakunya malapetaka," jelas beliau.
Dr Nasir membayangkan kegagalan penyeliaan bahan radioaktif akan memberi kesan kepada keselamatan penduduk setempat.


"Memang kita mahukan tenaga tapi kalau dari segi pengawalan sehingga Jepun tidak boleh. Kita dengan hanya teknologi biasa dan akan menggunakan wang yang banyak selain jika jadi sesuatu yang tidak dapat dikawal, kita seolah-olah pergi ke 'lautan bahaya'," jelasnya lagi.
Tv Selangor sebelum ini melaporkan, Ahli politik Australia mengutuk cadangan syarikat Lynas Advanced Materials Plant mahu membuang bahan radioaktif ke kawasan komuniti perikanan di Gebeng, Pahang.
Robin Chapple menegaskan kepimpinan Ketua Menteri Australia Barat, Barnett tidak harus bersubahat dalam membuang sisa radioaktif di negara lain, termasuk Malaysia.


Chapple yang juga ahli Majlis Perundangan Australia Barat berkata, pengendalian yang tidak betul akan menyebabkan penduduk sekitar akan mengalami radiasi yang diakibatkan oleh mineral thorium.
Beliau juga mengambil kira faktor geografi Gebeng yang terletak bersebelahan laut yang bersambung terus dengan sungai Balok, yang datangnya dari kawasan perindutrian menempatkan loji itu.
Gebeng juga terletak berhampiran dengan Cherating, sebuah kawasan perikanan.


Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendesak Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub untuk menubuhkan badan bebas mengkaji impak radioaktif kepada persekitaran Gebeng.
Kebimbangan terhadap isu pembuangan sisa bahan radioaktif ini semakin menekan apabila kerajaan persekutuan pimpinan Perana Menteri Najib Razak meluluskan pembinaan loji tersebut.
Operasi memproses thorium dari lombong Mount Weld itu dijadualkan bermula September depan.

Video Lucah : Peguam Negara Cari "Helah" Untuk Dakwa Anwar, Kata PKR


SHAH ALAM 18 APRIL : Kenyataan polis bahawa siasatan video lucah Datuk T bertumpu kepada dalang yang menayangkan rakaman itu mengesahkan tidak ada asas undang-undang untuk mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada video berkenaan.

Namun, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution “yakin’ Peguam Negara Tan Sri Gani Patail akan mengikut telunjuk Barisan Nasional dan mencari helah untuk mendakwa Anwar.

“Kita yakin bahawa Peguam Negara di bawah arahan rejim Barisan Nasional akan tetap mencari jalan untuk mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah,” kata Saifuddin.

“Ini kerana seluruh episod konspirasi ini direka bertujuan menghancurkan kerjaya politik Dato' Seri Anwar Ibrahim,” tambah beliau.

Semalam Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani bahawa siasatan videos seks lengkap dari setiap sudut dan ia menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Acryl berkata hasil siasatan itu akan diserah segara kepada Peguam Negara.

Saifuddin berkata pendirian terbaru polis itu menunjukkan tidak ada sebarang asas undang-undang untuk mengaitkan Anwar di dalam video kerana jelas beliau tidak ada kena mengena dalam isu berkenaan.

“Ini selari dengan penafian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang konsisten mengenainya,” tambah beliau.

Bagaimanapun Saifuddin berkata PKR bagaimanapun percaya Tan Sri Gani akan “tetap mencari jalan untuk mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah.”

“Ini tidaklah mustahil kerana sebelum ini situasi sama berlaku di mana Dato' Seri Anwar dihadapkan ke mahkamah atas dan difitnah atas dua tuduhan liwat, walau pun beliau tidak melakukannya,’ tegas beliau.

“PKR kesal kerana Barisan Nasional terus menggunakan politik kotor, jijik malah menginjak batas agama dan peradaban kemanusian demi mengekalkan kuasa politik,” kata beliau.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Chik, yang juga Pengerusi Risda, ahli perniagaan Datuk Sharzyl Eskay dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mereka sebagai gandingan Datuk T yang menayangkan video itu kepada media tertentu di Hotel Carcosa 21 Mac lalu.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu.

Eskay juga menyerahkan sebuah jam Omega milik Anwar yang didakwa beliau dicuri oleh pelacur berkenaan.

Polis semalam berkata isu siapa pemilik jam itu bukan perkara utama dalam siasatannya.

Anwar menafikan dakwaan gandingan Datuk T sebagai fitnah dan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau berada di rumah pada malam rakaman itu dibuat dan beriinteraksi menerusi Twitter dengan jaringannya. Anwar juga mengesahkan bahawa beliau mempunyai sebuah jam Omega yang masih dalam simpanannya.

Polis Siasat Dakwaan Raja Petra


KUALA LUMPUR 18 April : Polis memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dakwaan Raja Petra Kamarudin mengenai pihak- pihak didakwa menyalur maklumat kepadanya supaya membuat akuan bersumpah (SD), mengaitkan Perdana Menteri dan isteri beliau dalam kes pembunuhan Altantuya Sharibbu.

Beberapa individu itu dipanggil selepas polis percaya mereka dapat membantu siasatan berhubung dakwaan pengendali portal Malaysia Today itu susulan kertas siasatan mengenainya dibuka sebaik laporan polis diterima minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada mereka yang dipanggil termasuk Kolonel Azmi Zainal Abidin; penulis blog Din Merican serta dua lagi yang dinamakan Raja Petra iaitu Nik Azmi Nik Daud dan John Pang, masing-masing staf pejabat veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah.

“Kita sudah memanggil individu yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan,” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung pendedahan Raja Petra mengenai beberapa individu yang mendesaknya membuat akuan bersumpah itu pada 18 Jun 2008 kerana tidak mahu Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Individu yang dimaksudkan Raja Petra baru-baru ini termasuk Azmi yang juga pegawai risik tentera selain tiga individu terbabit.

Dalam SD itu, Raja Petra mendakwa kononnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika wanita Mongolia, Altantuya dibunuh.

Jumaat lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Azizan Ariffin berkata, Angkatan Tentera Malaysia telah menggantung tugas rasmi Azmi yang juga pegawai kanan Markas Tentera Darat sehingga siasatan ke atasnya berhubung dakwaan Raja Petra itu selesai. -malaysianinsider

Tumpu Laporan Anwar, Bukan Tuduhan Shazryl


KUALA LUMPUR 18 APRIL: Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof menegaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi penumpuan sepenuhnya terhadap siasatan laporan Ketua Pembangakang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penayangan rakaman video seks yang didalangi trio 'Datuk T', 21 Mac lalu.

Yusmadi berkata, sebagai pengamal undang-undang polis diberikan kuasa sepenuhnya untuk mengambil atau mengenakan sebarang tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang tanpa perlu mengambil kira fahaman politik pemerintah yang mentadbir negara.

Yusmadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan, Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani bahawa identiti pemilik jam Omega bersabit kes itu tidak menjadi faktor penting dalam siasatan polis kerana perkara utama adalah “siapa penayang video itu,”.

"Saya menggesa pihak polis mengambil pendekatan terbaik dalam menyelesaikan kes ini. Polis juga harus mengenepikan kepentingan politik mana-mana parti. Siasatan segera menjurus kearah perkara yang diadukan dan bukan perkara yang menguntungkan mana-mana pihak politik," kata beliau ketika ditemui media petang tadi.

Sebelum ini, Yusmadi turut menggesa polis supaya tidak memberi perlindungan kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Bendahari Perkasa, Shuaib Lazim yang cuba menjadi Anwar sebagai mangsa rekasaya jenayah mereka.

Justeru, beliau menegaskan bahawa saksi yang telah melakukan pendedahan kepada media, tidak layak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi.

Beliau yang ditemui media di perkarangan pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata kepimpinan Pakatan Rakyat sejak awal lagi begitu konsisten menolak pembohongan itu.

Malah katanya, jika pihak berkuasa gagal menyelesaikan permasalah itu melalui pendekatan perundangan ia jelas menggambarkan bahawa polis hanya bertindak berkisarkan politik semata-mata.

"Kalau itu tidak diterjemahkan oleh pihak polis, bagi saya ini masih lagi berkisar dalam tindakan politik. Bukan tindakan perundangan yang mahu diambil," jelas beliau lagi.

Susulan perkara itu, Shazryl hari ini bertindak mengaku sebagai individu tunggal yang bertanggungjawab merancang pendedahan rakaman video seks itu kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara bulan lalu.

Dalam kenyataannya itu juga, Shazryl mengenepikan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuiab Lazim dalam tindakan intimidasi jenayah berkenaan.

Justeru beliau dilihat cuba untuk menarik perhatian umum terhadap jam Omega yang didakwa kepunyaan Anwar walaupun Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani telah mengumumkan bahawa maklumat tersebut tidak lagi relevan.

Shazryl dan Abdul Rahim sebelum ini mengaku kepada media bahawa mereka terlibat dalam pendedahan rakaman video lucah tersebut selain mendesak Anwar melepaskan jawatan sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Rakaman video 21 minit yang ditayangkan kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara 21 Mac lalu dikaitkan dengan cubaan berterusan membunuh karier politik Ketua Pembangkang itu selain dendam peribadi individu-individu terbabit.


Tiga 'Datuk T' Mungkin Dicaj Tayang Video Seks


KUALA LUMPUR, 18 APRIL : Ketiga- tiga “Datuk T” dijangka didakwa dalam waktu terdekat kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks kepada sekumpulan wartawan 21 Mac lalu, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata kemungkinan itu kerana siasatan mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan bersabit kesalahan mengedar bahan lucah menjurus kepada tiga individu berkenaan.

Gadingan 'Datuk T' merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tahmby Chik, ahli perniagaan Syazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim.

Acryl berkata kertas siasatan kes itu dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Khamis ini.

“Ada kemungkinan mereka akan didakwa mengikut Sekyen 292 itu kerana ia menjurus kepada mereka, pihak penayang,”

“Namun bukan polis yang menentukan keputusan itu sebaliknya pejabat Peguam Negara. Kami akan adakan sidang akhbar nanti bila segalanya selesai,” katanya dipetik laporan Bernama Online hari ini.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kertas siasatan, beliau berkata masih terdapat dua lagi perkara yang perlu dikemas kini dan dilengkapkan dalam siasatan itu, sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

“Kalau boleh bagi pihak kita seawalnya hantar (kertas) itu pada Khamis ini... sementara itu kami tunggu respon daripada pihak yang menyediakan dua perkara itu.

“Dua perkara ini tidak boleh didedahkan dahulu ketika ini kerana ia lebih kepada pendakwaan dan menganggu tugas pejabat Peguam Negara,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada polis mempunyai kuasa untuk menahan pelaku dalam video seks itu, Acryl berkata: “Kami (polis) tiada peruntukan undang-undang untuk menahan mereka dan mengambil keterangan.

“Kita kena rujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk sebarang penelitian dan semakan. Mungkin mereka ada peruntukan undang- undang terhadap si pelaku,” katanya.

Hasrat Najib Bubar Parlimen Terencat, Kata Dr Xavier



SHAH ALAM 18 APRIL : ADUN Seri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak berani untuk mengadakan Pilihan Raya Umum(PRU) ke 13 nanti dalam jangka masa terdekat ini berikutan kehilangan 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semalam.

Dr Xavier berkata, walaupun pembangkang gagal menafikan kebolehan BN Sarawak mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri semalam, tetapi Pakatan Rakyat tetap berpuashati kerana undi popular BN telah merosot lapan peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menyatakan BN hanya berjaya merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada jumlah yang keluar mengundi semalam.

"Kejayaan Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi pada Pilihan Raya Sarawak ke 10 semalam sedikit sebanyak telah merencatkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 13 sekaligus membubarkan parlimen pada tahun ini," katanya.

"Berkemungkinan besar Najib juga akan meneliti semula beberapa faktor sebelum mahu mengadakan PRU Ke 13 dalam waktu terdekat," ujarnya.

Dr Xavier berkata demikian ketika mengulas tindakan Najib yang menjadikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebagai kayu pengukur untuk beliau memutuskan sekarang adalah masa terbaik untuk mengadakan PRU di Majlis Perasmian Meletak Batu Asas di SJKT Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan SPR semalam, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang mana ketika itu BN memperoleh 63 kerusi.

Menurut SPR lagi, pihaknya juga turut mencatatkan jumlah perolehan undi parti itu untuk lima tahun lalu dimana perikatan itu menerima 62.91 peratus atau 341,587 undi dan 71.16 peratus dengan 382,137 undi pada 2001.

Manakala pada pilihan raya negeri Sarawak yang kesembilan dan kelapan pada tahun 2006 dan 2001 lalu, hanya 69 dan 43 kerusi disaingi selepas bakinya dimenangi BN tanpa saingan.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan kejayaan Pakatan Rakyat menambah lapan kerusi DUN walaupun BN berjaya mengekalkan dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri itu selepas mememangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Awal bulan ini, Najib, yang juga Pengerusi BN, dilaporkan berkata bahawa beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

Terdapat juga spekulasi bahawa Najib mungkin membubarkan Parlimen tahun ini walaupun tempohnya hanya akan berakhir 2013.

Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada Mac 2008.

PRN Sarawak : Walaupun Gagal Capai Sasaran Kerusi PR Tetap 'Berjaya'


KUALA LUMPUR 18 APRIL : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan meskipun Pakatan Rakyat gagal mencapai keputusan yang disasarkan namun parti itu berjaya “menanam benih politik murni” supaya penduduk Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit.

“Pilihan raya negeri Sarawak ke 10 Sabtu lalu membuktikan perjuangan menuntut keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ia juga bukan sesuatu yang mustahil.

“Walaupun tidak berjaya mendapatkan keputusan yang diingini, namun kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu mereka sekali gus berusaha memperkukuh amalan demokratik,” katanya.

Pada pilihan raya negeri ke-10 kelmarin, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa kerajaan negeri dengan memperoleh 55 kerusi manakala PR 15 dan Bebas satu.

PR menggandakan kerusi dan undi popular yang diperoleh mereka kali ini berbanding lima tahun lalu.

Menurut Anwar, walaupun menerima banyak rintangan sepanjang tempoh berkempen dengan berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam untuk membawa kempen yang bersih, PR tetap berjaya menembusi kawasan pedalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat oleh BN.

Anwar berkata, menenangkan pengikut dan penyokongnya bahawa keputusan kali ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ia satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh.

“Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama untuk memastikan ia terlaksana.

“Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan perubahan dan cintakan keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan rejim yang korup ini tumbang pada pilihan raya akan datang,” tegasnya.

PR bertanding dengan 47 calon PKR, DAP 15 dan PAS lima dalam pilihan raya paling sengit dalam sejarah Sarawak ini.

Seramai 213 calon yang bertanding pada pilihanraya negeri kali ini.

Jelas Anwar, pada pilihanraya negeri kelmarin kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi tercalar berikutan wujudnya laporan bahawa agensi itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian.

“Saya difahamkan petugas PKR dinafikan Borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihan raya bersih dari penipuan,” katanya.

Katanya, selain tindakan berat sebelah SPR terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.

Tegas Anwar, keengganan SPR untuk mengira semula undi bagi kerusi Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan banyak pihak bahawa SPR bertindak demi kepentingan BN.

“Calon PKR Dr Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?’ katanya lagi.

Semalam Naib Presiden PKR Tian Chua bercadang memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan bagi kerusi N65 Senadin setelah calonnya Dr Michael Teo Yu Keng (bawah) kalah dengan majoriti tipis 58 undi kepada Datuk Lee Kim Shin daripada Barisan Nasional (BN).

Tian Chua turut menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berikutan keengganan pegawai pengurus pilihan raya Chai Ko Het supaya undi dikira semula di pusat penjumlahan undi itu Sabtu lalu.

Lee memperoleh sejumlah 7,334 undi manakala Teo pula meraih 7,276 undi.

PKR Cabar Keputusan Tebudu

KUCHING 18 APRIL : Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali lagi bercadang memfail saman petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan Dewan Undengan Negeri (DUN) N18 Tebedu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Michael Manyin Anak Jawong berikutan wujud unsur penipuan termasuk pemalsuan tandatangan yang disyaki dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia berikutan calon PKR bagi kerusi itu, Cristopher Anak Kiyui percaya penipuan berlaku pada proses kiraan undi dan tandatangan wakil ejen undi (PACA) pada Borang 14 yang dikeluarkan SPR.

Justeru, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Maung yang terletak dalam daerah Batu Lintang di sini.

“Dari 45 agen kira undi (PACA), hanya lima orang diberi Borang 14 yang asli. Seramai 35 agen PKR lain tidak dapat, (kecuali) semuanya borang adalah salinan (fotostat).

“Apabila diperiksa, satu borang itu wujud pemalsuan dua tandatangan (pada Borang 14) disyaki (oleh) SPR.

“Bilangan undi pada Borang 14 turut diubah pihak tertentu,” katanya.

N18 Tebedu dimenangi calon BN, Michael Manyin Anak Jawong dengan memperoleh 6,196 undi berbanding Christopher 2,130 undi. Undi majoriti ialah 4,066 undi.

Turut bertanding ialah Anthony Anak Nais dari SNAP yang hanya mendapat 468 undi sahaja. Calon Bebas, Kikpli bin Ale pula mendapat 260 undi.

Sebelum ini, PKR memutuskan untuk mencabar keputusan di N.65 Senadin berikuyan keengganan SPR membuat kiraan semula walaupun undi majoriti yang diterima calon BN cuma 58 sahaja.