Mustahil Sperma Dikesan Selepas 8 Jam





KUALA LUMPUR 25 OGOS: Adalah mustahil sperma yang banyak dapat dikesan selepas terdedah lebih daripada lapan jam menurut konsultan molekular genetik dari Australia, Dr Brian Mcdonald.

Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes fitnah liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim hari in berkata jumlah sperma akan merosot selepas dibiarkan terdedah.

Justeru pasukan peguambela meragui sekiranya pakar DNA Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong menjalankan ujian keatas spesimen sperma yang sama diperolehi dari dubur pengadu Saiful Bukhari Adzlan.

"Sekiranya sperma diuji selepas 100 jam (tanpa simpanan betul), adakah kemungkinan ujian akan mencatatkan bacaan negatif?" tanya Ram.

"Benar. Kemungkinan bukan sampel yang sama berdasarkan sejarah kajian," jawab Brian.

Pada sebelah pagi, mahkamah dikejutkan dengan penemuan makmal di Jabatan Kimia Malaysia (JKM) tidak mendapat pensijilan ISO17025 yang dikeluarkan oleh American Society of Crime Laboratories Directors (ASCLD).

Perkara yang didedahkan Brian itu menyatakan bahawa mana-mana makmal yang menjalankan ujian DNA harus mendapat akreditasi di peringkat antarabangsa.

Namun difahamkan makmal JKM di mana ujian sperma kes liwat Saiful dijalankan gagal memperoleh sijil ISO setelah tamat pada Oktober 2005.

Makmal tersebut yang diberi tempoh lima tahun daripada tarikh tamat untuk memenuhi piawaian masih tidak mendapat pengiktirafan malah diberikan tempoh lanjutan sebanyak dua kali yang akan berakhir Oktober nanti.

Sankara yang ditemui media selepas hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menangguhkan sesi perbicaraan hari ini menyanggah keterangan Seah sebelum ini yang menyatakan jumlah sperma yang banyak berjaya dikesan walaupun telah melebihi 90 jam.

"90 jam masih kata ada banyak. (Seah) perlu jelaskan bagaimana beliau dapat. Ianya mungkin tiada sperma langsung. Itu sebab saya suruh tunjukkan foto (sperma) di mahkamah tapi mereka kata tiada," katanya.

Sesi perbicaraan hari ini turut menyentuh kelalaian Seah memperbetulkan kesilapan tarikh yang dicatatkan pada dua botol spesimen yang mengandungi DNA.

Botol-botol itu dilabel dengan tarikh 26 Jun 2008 sedangkan Saiful membuat aduan di Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun tahun yang sama.

Menurut Brian, sebagai pakar DNA, Seah peka terhadap sebarang kecacatan sebelum mengetengahkan kepada umum dengan hasil ujian.

Brian menyifatkan kemungkinan sampel diambil pada 28 Jun atau ianya telah disalah label.

Katanya perbuatan Seah mampu merisikokan nyawa seseorang dan akan dibuang kerja sekiranya ianya berlaku di negara Australia.

Mahkamah bersambung jam 9 pagi esok di mana Ram Karpal akan meneruskan sesi menyoal pakar dari Australia itu.


Ulama Muda Umno : Media Arus Perdana Harus Telus



SHAH ALAM 25 OGOS : Ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya berkata fenomena politik di Malaysia kini dilihat sedang bergelut dengan kepentingan masing-masing sehingga ada beberapa fakta yang sepatutnya disampaikan tetapi dimanipulasi demi kepentingan politik.

Namun, dakwaan bahawa media arus perdana mengamalkan sikap tidak telus dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan betul kepada rakyat tidak diterima sepenuhnya.

Sebaliknya, beliau berkata masyarakat hari ini perlu sedar akan perkara-perkara yang sepatutnya dipercayai selain tidak membuat kesimpulan yang boleh mengundang fitnah serta mengaibkan sesama manusia.

"Dan apabila perkara (maklumat) tersebut disampaikan, adalah menjadi tanggungjawab penyiaran media (media cetak, elektronik, alternatif) untuk menyebarkan tanpa dipetik sebahagian dan disembunyikan sebahagian yang lain,"katanya.

Bercakap dalam wacana "Ulama dan Politik" di Shah Alam semalam, Fathul berkata sebagai contoh laporan dalam kes , Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana pihak media didakwa menyebarkan sebahagian maklumat dengan hanya mengambil fakta-fakta tertentu semata-mata untuk memfitnah, mencemar maruah beliau sekali gus menjatuhkan Ketua Pembangkang Malaysia itu.

Malah, Fathul turut menyelar sikap sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya memutar belitkan fakta demi kepentingan parti politik tertentu.

Sedangkan, katanya maklumat yang diperolehi adalah lebih baik, lengkap dan sempurna.

Dua lagi anggota panel dalam wacana itu ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kekangan kepada pembangkang dalam menyampaikan meklumat dilihat sangat terhad dimana media arus perdana kebanyakkanya dikawal oleh kerajaan pemerintah.

Jelasnya lagi, jika pembangkang mempunyai maklumat yang ingin dikongsikan kepada rakyat mereka hanya berpeluang untuk menyebarkanya melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh parti.

Bagaimanapun, ujar Tuan Ibrahim sebaliknya pula yang berlaku apabila ceramah umum itu disifatkan sebagai mengumpat dan ia jelas sangat tidak wajar.

Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana harus rakyat menilai serta memilih pemimpin mereka jika maklumat yang diterima adalah tidak benar dan telus.

"Rakyat mesti dapat gambaran sebenar, kerana mereka nak pilih. Kalau kita diberi peluang untuk memilih dalam pilihan raya tapi kita tak dapat maklumat sebenar macam-mana kita nak pilih? Jadi oleh kerana maklumat tak dapat lalu kita dipaksa memilih dalam keadaan rakyat tak dapat maklumat sebenar. Jadi pemilihan itu tak tepat, akibat pemilihan tak tepat kita sedang alami apa yang sedang berlaku," tambahnya.

Pindaan Undi Pos Dijadual Dibentang Oktober Depan


KUALA LUMPUR 25 OGOS : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari ini bahawa ia berhasrat untuk menukar pengundi pos kepada 'pengundi awal', ekoran dakwaan berlaku penipuan undi menggunakan undi pos.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata pindaan undang-undang itu diperlukan untuk membolehkan ia dirangka untuk pembentangan di sidang Parlimen Oktober ini.

"Hasrat kami adalah untuk mengubah status semua anggota polis dan Angkatan Tentera dan pasangan mereka,yang menjadi pengundi pos, kepada 'pengundi awal', yang boleh mengundi dua atau tiga hari sebelum hari mengundi," kata dipetik Malaysiakini Abdul Aziz.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang bertugas jauh dari kem dan tidak boleh hadir untuk mengundi awal, masih boleh memohon menjadi pengundi pos.

Katanya, ini termasuk mereka yang bertugas di pos sempadan atau bertugas membuat rondaan di laut.

Bercakap dalam taklimat mengenai tuntutan BERSIH 2.0, Abdul Aziz berkata, dibandingkan dengan undi pos, pengundian awal adalah sama seperti pengundian biasa dan terbuka kepada penelitian ejen-ejen parti politik.

Kredibiliti Jabatan Kimia Malaysia Dipertikai





KUALA LUMPUR 25 OGOS: Integriti Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dipersoal apabila mahkamah diberitahu bahawa ahli kimia jabatan itu mengabaikan garis panduan penting ujian DNA.

Perkara itu didedahkan pakar DNA Australia, Dr Brian McDonald yang menjadi saksi kelima kes fitnah liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Brian dalam keterangannya menyatakan bahawa ahli kimia dari JKM, Nor Aidora Saedon mengabaikan prosedur penting ketika menjalankan analisis sperma yang dikaitkan dengan Anwar.

Katanya, Nor Aidora mempunyai peluang untuk memperbetulkan keputusan ujian tersebut namun tidak berbuat demikian.

"Apa yang beliau ada merupakan bukti campuran (DNA), lebih daripada seorang. Tapi beliau secara khusus mengabaikan perkara itu," jelas Brian di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah.

Peguam Ram Karpal dalam prosiding hari ini menimbulkan kesangsian terhadap ujian sampel sperma yang diambil dari dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan dan mendakwa ianya milik Anwar.
Anwar sebelum ini ditahan semalaman di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008 dan dibebaskan keesokkan harinya selepas sesi keterangan selesai.

Pasukan forensik PDRM kemudian mengambil sampel DNA pada sehelai tuala muka 'Good Morning', berus gigi, botol air mineral dan sehelai rambut yang ditinggalkan Anwar untuk dikaitkan dengan 'lelaki Y' iaitu DNA sperma.

Peguambela kemudian mendakwa polis sengaja memerangkap anak guamnya dengan meletakkan barang-barang tersebut agar Anwar meninggalkan sample DNAnya.

Sehubungan dengan itu berdasarkan ujian oleh ahli kimia JKM termasuk pakar Dr Seah Lay Hong mengesahkan 'lelaki Y' adalah ketua pembangkang.

Sankara yang ditemui media selepas mahkamah berehat berkata,JKM seharusnya mengemukakan bukti foto sampel air mani yang diambil untuk mengukuhkan dakwaan.

"Kaca (spesimen) diletakkan di bawah mikroskop dan terus anda boleh nampak sperma mati atau hidup. Sebab itu kita minta foto ditunjukkan di mahkamah," ujar beliau.

Katanya sehingga kini JKM gagal berbuat demikian.

Menurut Sankara lagi, makmal JKM mempunyai dua garis panduan dalam menjalankan ujian DNA malah jabatan itu tidak mempunyai akraditasi penuh dari panel antarabangsa.

Beliau menyatakan bahawa ujian DNA yang dilakukan oleh Seah dan Nor Aidora berlainan.

"Kedua-dua mereka perlu menggunakan garis panduan yang sama di dalam makmal. Prosedur ujian perlu sama," katanya.

Kredibiliti Anwar Dari Kandang Tertuduh Tidak Perlu Dipersoal - Wan Azizah



KUALA LUMPUR 25 OGOS : Hari ini masuk hari keempat perbicaraan kes fitnah liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika semalam, pakar forensik dari Australia, David Wells selesai memberikan keterangan, hari ini seorang lagi pakar DNA, juga dari Australia mengambil tempat di kandang saksi.
Namun di sebalik perbicaraan yang sedang berlangsung, masih ada cakap-cakap dan pertikaian awam mengapa Anwar memilih untuk membela dirinya melalui kandang tertuduh, di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas beliau.
Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah sebelum ini menawarkan Anwar tiga pilihan iaitu beliau boleh berada di kandang saksi di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau.
Kedua, memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh.
Atau ketiga memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan.
Namun menurut seorang isteri yang sudah menempuh pahit maung arena politik negara selama puluhan tahun bersama Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail cukup faham mengapa Anwar membuat pilihan kedua-iaitu membacakan keterangan dari kandang tertuduh dengan pendakwaraya tidak punya akses untuk menyoal balas suaminya itu.
Menurut Azizah, dalam hal ini bukan soal kredibiliti atau keberanian Anwar yang harus dipersoalkan, sebaliknya adakah sistem perundangan negara akan bersikap adil terhadap Anwar yang menjadi seteru politik pemerintah.
Umum mengetahui bahawa sistem kehakiman negara masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu di bawah mereka yang ada kepentingan politik dan tidak ada pemisahan kuasa di antara ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’.
Pemisahan kuasa yang tidak pernah berlaku menyebabkan berlaku kecelaruan sehingga undang-undang mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.
Justeru ujar Azizah, apa lagi yang boleh diharapkan pada sistem keadilan negara yang sudah tempang dan tergelincir dari landasannya itu.
"(Anwar) tidak sekali-sekali takut sebab masa kes pertama, beliau telah masuk ke kandang saksi dan telah memberikan keterangan.. tetapi memandangkan pengalaman beliau yang dahulu, dan melihat perjalanan kes mahkamah pada kali ini, kita mengambil keputusan bahawa kita mengikut seperti Presiden Nelson Mandela.
"Apabila mahkamah itu sendiri tidak memberi satu ruang yang seimbang dan adil, (orang) melihat berat sebelah apabila saudara Anwar memberikan satu kenyataan daripada kandang tertuduh, (tetapi) itu sebenarnya memberikan kita ruang untuk menerangkan (situasi sebenar)untuk pembelaan kita,"kata Azizah pada wawancara khas bersama Tv Selangor di kediamannya.

Anwar dalam keterangannya sebelum ini berkata, walaupun beliau sedia untuk memberi keterangan secara bersumpah (pendakwaan boleh menyoal balas), namun katanya cara pengendalian perbicaraan oleh hakim dan pendakwaan mewujudkan keadaan yang menyebabkan beliau tidak boleh berbuat demikian.
Tindakan hakim yang menyarankan kepada saksi berpotensi yang ditawarkan kepada peguam Anwar bahawa mereka boleh menolak untuk ditemubual juga menyebabkan Anwar mengambil pendekatan untuk membacakan keterangan dari kandang tertuduh.
Malah menurut Azizah, suasana politik di negara ini menyebabkan pendekatan Presiden Nelson Mandela dipilih oleh Anwar dan pasukan peguam bela untuk menangani kes fitnah liwat II yang dihadapi suaminya itu.
"Satu persatu memberi gambaran jelas sekarang ini.. kelihatan apa yang berlaku dalam kes ini adalah kes politik, jadi mestilah kita memberi gambaran dari aspek politik juga... walaupun ada asas kukuh dari segi undang-undang seperti kenyataan yang diberikan oleh Anwar,"jelas Azizah lagi.
Dalam pada itu, ketika diuja persoalan berhubung kekerapan penundaan dalam kes fitnah liwat II ini sehingga membayangkan kerumitan untuk Anwar Ibrahim membela diri dari difitnah dan menimbulkan pelbagai spekulasi awam, ini jawapan Azizah.
"(Penundaan) bukan disebabkan oleh kita (yang sengaja) hendak tundakan tetapi bila kita lihat, setiap kali kita hendakkan pembelaan, ruang pembelaan itu disekat dan itu menunjukkan bahawa ini mestilah dilihat dari perspektif bahawa mahkamah itu tidak adil.
"Apabila kita melihat sesuatu perkara itu tertunggak atau tidak, kita mesti hendak mencari keadilan dan seperti dalam kenyataan saudara Anwar Ibrahim, hak untuk membela diri mesti diberikan kepada seseorang tak kira mana-mana, tetapi setiap rakyat Malaysia mestilah diberikan peluang untuk membela diri,"katanya lagi.
Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat menambah, pendakwaan terpilih yang diamalkan juga menjadikan sistem pentadbiran negara kian songsang.
"Macam contoh katalah dalam kes Saiful (Bukhari Azlan) ini, dia telah menuduh tetapi dia diberi peluang dalam televisyen, dalam 'prime time' dan kenapa pula kes ini jadi begitu? Sebab kes ini adalah kes politik.
"Jadi kita mesti menangani dan menjawap apa yang telah digunakan melalui cara politik.. tetapi kita juga perlu menggunakan undang-undang yang kukuh,"tambah Azizah.
Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada September 1998.
Pemecatan ini dibuat apabila kes fitnah liwat pertama dihadapkan kepadanya.
Namun begitu, belum pun sedekad berlalu, kini serangan moral kali kedua dihadapkan ke atas beliau, dan kali ini melibatkan bekas pembantu peribadi kepada pemimpin pembangkang itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri dilaporkan pernah bertemu dengan pengadu kes ini di kediaman rasmi mereka ketika Najib menjadi timbalan perdana menteri.
Mereka bertemu Saiful dua hari sebelum dakwaan berlakunya insiden liwat tersebut.
Sejak hari pertama lagi, Anwar bertegas bahawa beliau sekali lagi menjadi mangsa konspirasi politik ekoran menjadi seteru utama pentadbiran negara.

PAS Edar Sampul Duit Raya Kuning, Poster Kekalkan Momentum Bersih



KUALA LUMPUR 25 OGOS : Pemimpin dan ahli-ahli PAS pelbagai peringkat termasuk Dewan Pemuda parti Islam itu mengambil langkah untuk mengekalkan momentum perhimpunan Bersih 2.0 sempena musim sambutan Aidilfitri yang jatuh minggu depan.
Antara langkah itu ialah penerbitan poster berkaitan lapan tuntutan pembaharuan pilihan raya yang dibawa oleh Bersih 2.0.

Usaha itu digerakkan oleh parti itu ketika spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat terus meningkat.

Awal bulan lalu, Bersih 2.0 bergerak bersandarkan warna kuning manakala kumpulan yang menentangnya, khususnya pihak Pemuda Umno menggunakan warna merah dengan moto “Patriot”.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya akan mengedarkan sekitar 30,000 poster di seluruh negara untuk meneruskan semangat Bersih 2.0 yang disaksikan awal bulan lalu.

Penganjur Bersih 2.0 mendakwa sekitar 50,000 berhimpun di ibu negara di sebalik larangan dan kawalan keselamatan ketat polis.

“Poster-poster ini akan diedarkan kepada kepimpinan PAS di seluruh negara agar momentum sedia ada ini dapat diteruskan, kami tidak mahu momentum yang telah dibina ketika perhimpunan Bersih 2.0 tempoh hari hilang begitu sahaja.

“Ini salah satu cara... usaha Dewan Pemuda PAS, di bawah penyeliaan lajnah penerangan,” kata beliau ketika dihubungi.

Riduan menambah, pihaknya merasakan usaha tersebut penting memandangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan isu Bersih 2.0 dan kedudukan Pengerusinya Datuk S Ambiga untuk terus mengelirukan pengundi kawasan luar bandar khususnya orang Melayu.

“Justeru, kami merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk melawan taktik Umno dan BN ini, dan menjelaskan keadaan sebenar tuntutan Bersih... bahawa ia diadakan demi kepentingan rakyat semua kaum dan agama, bukan sebagaimana didakwa oleh Umno,” katanya lagi.

Dengan merujuk kepada pendirian tidak konsisten Putrajaya berhubung soal pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen, kata beliau, pihaknya juga mengambil langkah tersebut kerana sedar bahawa ada kemungkinan tidak akan menunaikan janji pembaharuan.

“Kami tidak yakin kerajaan akan melakukan pembaharuan pilihan raya, jadi sekiranya tiada pembaharuan, kami mahu perhimpunan kali ketiga diadakan... Bersih 3.0 diadakan kemudian... ini persiapan ke arah itu,” kata beliau lagi.

“Untuk itu kita perlu meneruskan momentum sedia ada, jangan biarkan ia mati begitu sahaja,” kata beliau.

Poster itu menggariskan kesemua lapan tuntutan dibawa Bersih 2.0, kata Riduan.

Bersih 2.0 atau Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil telah mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini dengan mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Selain itu, PAS, anggota komponen Pakatan Rakyat, juga mengedarkan mesej Bersih 2.0 dalam bentuk kad ucapan Aidilfitri dan sampul duit raya.

Beberapa PAS kawasan dikatakan mengeluarkan sampul duit raya menjelang sambutan Aidilfitri kali ini.

“Memang ada kawasan yang mengeluarkan sampul duit raya, saya difahamkan PAS kawasan Gombak,” kata Riduan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekretariat pusat parti itu tidak mengeluarkan sampul duit raya khas tetapi ada kad raya yang menggunakan mesej Bersih 2.0.

“Kalau ada sampul duit raya dikeluarkan, ia mungkin dibuat oleh PAS kawasan... ia usaha masing-masing PAS kawasan. Tetapi setahu saya ada kad raya, kami senaraikan lapan tuntutan Bersih 2.0,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider baru-baru ini mendapati, antara PAS kawasan yang berbuat demikian ialah Kuala Selangor, yang menghulurkan duit raya kepada keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan dan berpendapatan rendah dengan menggunakan sampul duit raya khas.

Ini kali pertama PAS, yang sinonim dengan warna hijau, menggunakan sampul duit raya berwarna kuning.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad mengakui usaha itu sebahagian daripada langkah menghidupkan terus “semangat menuntut pembaharuan pilihan raya” sempena sambutan Aidilfitri.

“Kalau sampul duit raya dalam warna kuning, ya, ini kali pertama... menggunakan mesej Berih,” katanya.

“Ini salah satu cara. Selain itu, kami juga akan mengedarkan kit maklumat mengenai isu-isu semasa dan Bersih. Kami perlu mengekalkan semangat menuntut pembaharuan ini,” kata beliau lagi.

Pakar DNA McDonald Beri Keterangan



KUALA LUMPUR 25 OGOS : Pakar DNA Dr Brian McDonald hari ini mengambil tempat di kandang saksi utnuk memberikan keterangan dalam kes fitnah liwat II ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

McDonald, juga dari Australia, disoal terlebih dahulu oleh peguambela Ram Karpal, dan akan diikuti dengan pemeriksaan balas oleh peguamcara 11, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidan, yang mengetuai pasukan pendakwa.

Prosiding hari ini bermula kira-kira 9.15 minit pagi, di mana saksi keempat itu mula disoal oleh peguam bela, Ram Karpal.

Menurut McDonald, selepas menerima data daripada kedua-dua ahli kimia Malaysia, beliau telah membuat satu laporan berasingan.

Laporan bertajuk ''Report of Malaysian Version in the case of PP vs AI' disediakan beliau pada tahun 2009.

Dalam keterangannya, McDonald menjelaskan tentang beberapa terma dalam ujian DNA.

McDonalds menjelaskan terma seperti starter, peaks, polymerase Chain Reaction (ujian PCE), dan electropherograms.

Beliau juga menjelaskan tentang istilah 'short tandem repeat' (STR) dan 'loci' dalam ujian DNA.

Jelasnya lagi, DNA dari darah, mani darah, dan sampel badan seseorang itu, adalah sentiasa serupa.

Oleh itu katanya, terdapat garispanduan standard antarabangsa agar ia boleh ditafsirkan di peringkat antarabangsa.

Ulama Punya Peranan Dalam Politik - PAS




SHAH ALAM 24 OGOS : Peranan golongan ulama dalam parti PAS dilihat penting bagi memastikan hala tuju dan matlamat dasar parti itu terpelihara dan tidak terpesong daripada landasan asal.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, umum mengetahui perjuangan PAS adalah berpolitik berlandaskan syariat Islam dan menerapkan hukum hakam dalam setiap perlaksanaannya.

Justeru, PAS komited untuk melaksanakan pemerintahan Islam walaupun pada satu- satu masa, parti itu 'rugi' dari sudut politik.

"Dalam satu keadaan kita laksana pemerintahan, kita menang dari sudut dakwah, tetapi rugi dari sudut politik.

"Sebagai contoh, kita mengesa pusat judi dan hiburan ditutup, sudah pasti mereka yang kaki judi, kaki kelab malam tidak mengundi kita (PAS)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Wacana Sinar Harian siri ke 6 yang bertajuk 'Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti?' di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Tambah beliau, perkara ini jelas menunjukkan betapa PAS komited dalam menegakkan syiar Islam walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko 'kerugian politik'.

Berbanding dengan Umno, PAS mempunyai Dewan Ulama dan Majlis Syura yang berperanan membantu parti dalam memastikan setiap perkara berkaitan Islam mengikut acuan tepat dan mudah difahami seluruh masyarakat.

Ia juga memartabatkan kedudukan para ulama dengan meletakkan pada kedudukan tertinggi.

"Mahu kita cadangkan kepada Umno, ianya ternyata suatu yang sukar, bagi saya mahu martabat ulama, ianya kan terlaksana sekirannya ulama itu berada dalam sebuah parti yang sememangnya mengiktiraf kedudukan mereka."

Dalam wacana yang sama, Ulama Muda Umno, Fathul Bari menjelaskan Umno memerlukan masa untuk parti itu mempunyai majlis ulamanya sendiri, dalam memberi nasihat berkaitan isu agama dalam politik.

"Sedia maklum semua pihak mengetahui bahawa Umno tidak ada badan ulama, mungkin Umno memerlukan masa untuk menubuhkan satu badan agam yang mampu memandu dan menegur politik dan pentadbiran mereka," katanya.

PSC : PR Beri Tempoh Sebulan Lagi Pada Najib, SPR



KUALA LUMPUR 25 OGOS : Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri dan kerajaan memberi jaminan penuh bahawa Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan pilihan raya adalah serius dalam membetulkan sistem berkenaan di negara ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Pakatan Rakyat memberi masa sehingga bulan hadapan sebelum membuat keputusan tetap untuk bersama dengan PSC yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kami (belum lagi) buat keputusan untuk boikot (PSC) tapi kerajaan perlu buktikan mereka serius dengan memastikan SPR buat perubahan.

"Kami juga mahukan jaminan mutlak daripad Perdana Menteri bahawa beliau mahukan pilihan raya yang bersih dan adil. Kami juga mahu beliau jamin bahawa pilihan raya hanya diadakan selepas cadangan dari PSC dilaksanakan," kata Anwar dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di sini, lewat petang semalam.

Najib sebelum ini mengumumkan penubuhan PSC untuk membawa perubahan pada sistem pilihan raya Malaysia setelah ia mendapat kritikan keras rakyat sehingga mereka sanggup turun ke jalanan pada 9 Julai lalu.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian Najib tampil dengan kenyataan berbeda apabila memberitahu pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas parlimen yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Menurut Najib, oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan diadakan terlebih dahulu.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyatakan SPR sebagai badan bertanggungjawab dalam pilihan raya di negara ini tidak perlu menunggu PSC untuk melakukan reformasi pilihan raya.

"SPR kadang-kadang kata mereka tak ada kuasa, sekarang kata ada kuasa.

"Hakikatnya SPR ada kuasa seperti penggunaan dakwat hitam dan tempoh berkempen serta bersihkan daftar pemilih tak perlu tunggu PSC," kata beliau.

Manakala Penasihat DAP Lim Kit Siang pula mempersoalkan mengapa pelbagai alasan diberikan kerajaan untuk penambahbaikan pilihan raya sedangkan mereka tahu ia dituntut semua pihak.

"Pengumuman PSC ini merupakan pengakuan ada sesuatu yang salah dalam sistem pilihan raya negara kita.

"Kita nak tahu sejak Bersih (2.0), apa di antara lapan tuntutan Bersih yang akan diambil tindakan oleh SPR? Kita tidak mahu SPR atau kerajaan jadikan ia satu alasan untuk tidak bertindak," katanya.

Hancurnya Mitos Najib? Defisit dan hutang negara yang melonjak


Mengikut pengalaman yang lalu, perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan akan bertambah pada tahun berlangsungnya pilihan raya umum. Strategi "menggula-gulakan pengundi" adalah taktik terbaik untuk meraih sokongan. Pada hakikatnya, perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan menunjukkan pertambahan yang jelas dalam dua PRU, yang berlangsung dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Misalnya, pada tahun 2004 ketika berlangsungnya PRU ke-11, perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan bertambah 21.4% kepada RM91.3 bilion. Jika dibandingkan dengan tahun 2003 dan 2002, perbelanjaan operasi hanya bertambah pada 9.5% dan 7.7% masing-masing.

Selain itu, lebihan kos perbelanjaan operasi juga berlaku secara mendadak, iaitu RM11.3 bilion, atau bersamaan 14.1%, berbanding anggaran asal belanjawan RM80.0 bilion.

Pada masa yang sama, pola yang sama juga berlaku pada tahun 2008. Perbelanjaan operasi kerajaan bertambah 24.7%, mencecah paras RM153.4 bilion. Jika dibandingkan dengan tahun 2007 dan 2006, pertambahan perbelanjaan operasi hanya pada kadar 14.2% dan 10.3% masing-masing. Selain itu, kerajaan mencatat rekod lebihan kos perbelanjaan tertinggi dalam tempoh 10 tahun, dengan RM22.2 bilion pada tahun 2008.

Melihat kepada pengalaman lalu, nampaknya PRU 13 bakal mengulangi jejak langkah dahulu. Daripada ramalan yang sedia ada, kerajaan Najib mungkin mengadakan PRU 13 antara November 2011 hingga Jun 2012.

Defisit belanjawan mungkin melonjak

Jika ia benar, belanjawan 2012 yang bakal dibentangkan adalah belanjawan terakhir sebelum PRU 13. Ia adalah PRU pertama Najib selepas menerajui tampuk kerajaan, malah ujian sama ada "mitos Najib" bakal dilanjutkan. Padahal ia sama dengan keadaan ketika Abdullah Ahmad Badawi berdepan dengan PRU pada tahun 2004.

Ramai yang menjangka bahawa Najib yang mengutamakan "ekonomi" akan mempertaruhkan nasibnya dalam belanjawan kali ini - untuk mewujudkan suasana feel good agar kuasa kerajaan, dan kerusi PM-nya mampu dipertahankan. Bekas PM Abdullah Ahmad Badawi menggunakan taktik menambah perbelanjaan operasi pada tahun 2004 untuk mewujudkan suasana yang memihak kepada dirinya dalam pilihan raya.

Najib hanya mempunyai kira-kira dua bulan lagi untuk menyediakan Belanjawan 2012. Namun, kerajaannya kini berada dalam dilema - iaitu membentangkan belanjawan pilihan raya (maksudnya angka defisit perlu diperbesarkan), atau belanjawan yang menyediakan negara untuk berdepan dengan kemelesetan ekonomi dunia (double-dip), yang semakin tinggi risikonya.

Seandainya kerajaan Najib mengambil langkah menyediakan belanjawan pilihan raya, dan kemelesetan ekonomi global pula melanda - maka kerajaan Najib mungkin perlu menjana pakej rangsangan ekonomi, sebagaimana yang dilakukan dengan pakej RM67 bilionnya pada tahun 2009. Langkah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi ini dianggar bakal melonjakkan defisit kewangan negara kepada paras 8%, sekurang-kurangnya.

Masalah struktur

Kerajaan persekutuan sebenarnya berdepan dengan satu masalah struktur, yang mengakibatkan kerajaan Najib agak sukar untuk mengurangkan defisit kewangan. Sistem kakitangan kerajaan yang besar (1.2 juta orang) menyebabkan kerajaan persekutuan perlu menanggung perbelanjaan operasi yang tinggi setiap tahun.

Sehingga tahun 2011, gaji dan wang pencen kakitangan kerajaan mencatat jumlah RM57.8 bilion, iaitu 35.5% daripada perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan. Menurut maklumat Rancangan Malaysia ke-10, gaji dan wang pencen kakitangan awam dijangka melambung ke paras RM78.0 bilion pada tahun 2015, atau 38.1% daripada perbelanjaan operasi.

Bukan sahaja kerajaan Najib tidak menyelaraskan keadaan sumber manusia yang melambak dalam sektor awam, sebaliknya menambah institusi kerajaan atau jawatankuasa yang pelbagai untuk melaksanakan tugas "transformasi" di bawah programnya. Lebih-lebih lagi, kerajaan perlu "menyerap" graduan-graduan yang tiada pekerjaan. Oleh itu, boleh dijangkakan bahawa perbelanjaan untuk gaji dan wang pencen akan melambung dalam masa beberapa tahun yang akan datang.

Hutang yang membebankan


Di samping itu, kerajaan telah memikul beban hutang yang berat lantaran pengurusan kewangan yang tidak cekap dan sikap yang membazir. Sehingga tahun 2010, hutang tertunggak yang dipikul kerajaan persekutuan telah mencecah RM408.2 bilion, atau bersamaan 52.7% GDP.

Hampir 98% pendapatan kerajaan persekutuan dibelanjakan untuk perbelanjaan operasi, maka kerajaan tidak mempunyai lebihan modal untuk perbelanjaan pembangunan. Oleh itu, cara kerajaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara adalah dengan menerbitkan bon.

Perlu diingatkan, bon yang belum dijelaskan (dibayar) oleh kerajaan persekutuan antara tahun 2010 dengan 2020 berjumlah RM326.1 bilion. Cara kerajaan menyelesaikan hutang ini adalah dengan menerbitkan bon baru, yang akhirnya menyebabkan hutang semakin memberat. 【Baca: Mampukah Malaysia selesaikan hutang RM101.65 bilion dalam 3 tahun?

Misalnya, kos perkhidmatan hutang kerajaan persekutuan adalah RM14.2 bilion dan RM15.9 bilion, pada tahun 2009 dan 2010, dengan purata kadar pertambahan tahunan yang melebihi 11%. Ia mencatat RM18.5 bilion pada tahun 2011, dengan pertambahan mendadak 16.6%. Menurut anggaran kerajaan persekutuan, kos perkhidmatan hutang bakal melonjak kepada RM24.9 bilion pada tahun 2015, dengan pertambahan 34.6% berbanding tahun 2011.

Banyak projek mega di bawah Program Transformasi Ekonomi, termasuk projek sistem MRT yang melebihi RM50 bilion, projek pembangunan hartanah Sungai Buluh yang bernilai RM10 bilion, projek Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) yang bernilai RM26 bilion dan sebagainya.

Antaranya, banyak projek yang dijalankan dengan terbitan bon daripada kerajaan persekutuan, misalnya projek sistem MRT. Seandainya projek ini bermasalah, misalnya kerugian berlaku, maka kerajan perlu menanggung hutang ini, yang semestinya menjurus kepada defisit kewangan yang lebih ketara.

Di pinggiran muflis?

Kerajaan persekutuan kini berdepan dengan masalah perbelanjaan melebihi pendapatan. Lebih penting, pendapatan kerajaan ditunjangi sumber petroleum. Seandainya keadaan ini berterusan, maka kerajaan perlu berhutang lebih untuk menampung perbelanjaan harian - umpama orang yang menampung belanja harian dengan kad kredit - semestinya berdepan dengan nasib muflis seandainya gagal menjelaskan hutang.

Pengkaji ekonomi Universiti Sains Malaysia, Suresh Narayanan dalam satu tulisannya menyebut, kerajaan persekutuan bergantung kepada pendapatan petroleum dan simpanan wang dalam negara untuk mengendalikan masalah defisit kewangan. Beberapa sumber pendapatan tradisional kerajaan memperlihatkan pola menurun, atau bertambah pada kadar yang perlahan, untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan ini menyebabkan kerajaan bergantung kepada cukai petroleum, dividen Petronas dan sumber pendapatan petroleum yang berkenaan untuk menampung perbelanjaan kerajaan.

Namun, beliau mengingatkan, petroleum bukan sahaja sumber semulajadi yang tidak boleh dikitar-semula, malah bergantung kepada harga pasaran yang tidak stabil, maka ia boleh dikatakan sumber pendapatan yang tidak stabil untuk kerajaan. Justeru itu, kerajaan perlu lebih berdisiplin dalam menguruskan kewangan, tidak memboros dan menerokai sumber pendapatan yang lebih stabil. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian pertama: Hancurnya Mitos Najib? Lebihan perbelanjaan operasi yang ketara

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.

(function() { var d = document, w = window; w

KERAJAAN GAGAL..KAU SEMBANG BAB BIJIK

  Orang sibuk pasal tak boleh beraya kat Kg angkara kegagalan kerajaan tebuk atap, ko plak sibuk sembang pasal bijik....