PRK PD: TUN MAHATHIR TURUN KEMPEN SATU PENGHORMATAN

ANWAR, ‘SIVAJI THE BOSS’

KEHADIRAN TUN M JADIKAN KEDUDUKAN PM KE-8 SEMAKIN TIDAK DIRAGUI



Sememangnya sepanjang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini, Tun Mahathir Mohamad tidak pernah turun berkempen dalam mana-mana pilihanraya kecil yang diadakan.

Semua tugas mengepalai kempen pilihanraya kecil sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada timbalannya saja.

Sebab itu, Tun Mahathir juga tidak berhajat untuk turun berkempen dalam pilihanraya kecil Port Dickson ini.

Awal-awal itu beliau menyatakan, meskipun menyokong sepenuhnya Anwar Ibrahim yang bertanding dalam pilihanraya kecil itu, tetapi menyatakan tidak akan turun berkempen untuk bakal penggantinya itu.

Ia sepatutnya tidak menjadi isu sama sekali.

Tetapi, oleh kerana masih ramai yang bercakap mengenai hubungan mereka berdua yang kononnya tidak mesra dan untuk mengelakkan ia terus berlarutan serta mungkin bertambah buruk, Tun Mahathir akhirnya memutuskan untuk turun berkempen bagi memastikan kemenangan Anwar di Port Dickson.

Jadual beliau akan turun ke Port Dickson ialah pada hari Isnin, 8 Oktober di mana beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan yang lain akan turut sepentas bersama Tun Mahathir pada malam tersebut.

Semoga dengan turunnya Tun Mahathir membantu kempen Anwar, tiada lagi cakap-cakap atau bisik-bisik mengenai kerenggangan hubungan mereka itu.

Realitinya, dengan turunnya Tun Mahathir ke Port Dickson, beliau bukan saja menyokong Anwar, malah mahu bakal Presiden PKR itu menang dengan cemerlang untuk bergelar Ahli Parlimen semula.

Realitinya juga, dengan turunnya Tun Mahathir membantu kemenangan Anwar, tidak harus kedengaran sebarang keraguan lagi mengenai kedudukan siapa yang harus bergelar Perdana Menteri ke-8.

Untuk itu, pengundi Port Dickson tiada alasan lagi untuk tidak memenangkan Anwar dengan cemerlang pada 13 Oktober nanti dan memperolehi Ahli Parlimen yang akan bergelar Perdana Menteri, sekaligus tentunya jauh sekali untuk mengundi calon-calon lain yang tidak ubah umpama "tong kosong" semata-mata. 

Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah pilihan terbaik untuk negara dan merupakan pilihan Tun Mahathir juga. (ShahbudinHusin 05/10/2018)

PRK PD: TUN MAHATHIR TURUN KEMPEN SATU PENGHORMATAN