SILAP NYA ANWAR



Mohd Asni Izuwan







1- Silap nya Anwar Ibrahim, tidak membuat pembersihan total terhadap kepala-kepala agensi penentu dasar. Mengikut tradisi politik lama, langkah wajib sebaik sahaja angkat sumpah kepimpinan ialah cantas dan rombak serta-merta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha (KSU), Pesuruhjaya SPRM, Peguam Negara, Pengarah dan pengerusi GLC. Tukar semua dengan orang parti yang tegar supaya semua keputusan boleh dikawal dari atas. Tapi Anwar silap besar untuk kekalkan birokrat lama yang profesional. Akibatnya, ada dalam kalangan "kepala" ini yang depan sahaja senyum tunjuk setia, tapi di belakang sibuk mengutuk dan sabotaj dasar kerajaan secara halus sebab sudah hilang kepentingan kontrak lama dan kroni-kroni mereka.


2- Silap nya Anwar, tidak memberikan cengkaman kuku besi kepada sistem birokrasinya. Ikut amalan Perdana Menteri dulu, mereka tahu ramai penjawat awam yang masuk kerja dan naik pangkat sebab ada kabel politik serta kepentingan parti tertentu. Seharusnya Anwar guna kuasa eksekutif untuk bersihkan unsur "kabel" ini supaya tidak disabotaj dari dalam. Tapi memilih untuk mengiktiraf mereka secara profesional, meluluskan pelarasan kenaikan gaji tertinggi dalam sejarah sehingga 15 peratus melalui SSPA, malah melambakkan bonus insentif tunai. Malangnya, bagi segelintir kelompok birokrasi ini, mereka tetap merindui "zaman keselesaan" dahulu di mana kabel politik mereka berkuasa penuh untuk mudahkan urusan kontrak. Sebahagian daripada mereka di depan tersenyum mengambil bonus, tetapi di belakang sibuk mengutuk demi kiblat politik lama mereka.


3- Silap nya Anwar, tidak menyekat kebebasan bersuara dan terlalu membiarkan demokrasi terbuka luas. Mengikut formula pemimpin zaman dahulu, sesiapa yang berani kritik atau mempersoalkan dasar kerajaan pasti akan menerima ketukan pintu rumah oleh pihak berkuasa di tengah malam dan segelintir ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa sebarang perbicaraan. Anwar menghapuskan budaya ketakutan mengkritik rakyat kepada kerajaan, daripada petani di bendang, penjual ikan di pasar, sampailah ke golongan korporat, semuanya boleh mengutuk Anwar secara "kaw-kaw" di media sosial tanpa rasa takut. Malah, apabila ada akaun media sosial yang disekat kerana melanggar garis panduan, pemiliknya boleh berkumpul bila-bila masa membuat demonstrasi protes secara terbuka di dalam bangunan kerajaan sekali pun tanpa lori water cannon datang menyembur air dan bimbangkan serbuan FRU. Anwar memberi ruang demokrasi yang terlalu luas, sehinggakan ada yang menyalah gunakan.


4- Silap nya Anwar, dengan memberikan talian hayat dan mengangkat pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam kabinet. Selepas BN ditolak hebat oleh rakyat pada PRU lalu, langkah politik Anwar seharusnya terus menekan dan melubangkan terus parti tersebut agar gagal di lihat relevan terus dari landskap politik. Namun, Anwar memberi ruang dan peluang kepada mana-mana pimpinan yang sanggup bekerja untuk rakyat, termasuk mengangkat pemimpin BN menyertai pentadbiran demi kestabilan negara. Langkah ini memberi peluang kepada rakyat untuk melihat bahawa masih ada pimpinan BN yang mampu menjalankan tugas kerajaan dengan baik. Biar pun ada yang menegur wujud kalangan pimpinan yang diberikan peluang itu mula mengatur catur kuasa di belakang Anwar demi agenda politik peribadi mereka kembali.


5- Silap nya Anwar, dengan menyalurkan peruntukan yang besar kepada negeri-negeri pembangkang. Mengikut amalan kerajaan dulu-dulu, formula mereka sangat mudah dan kejam, jika sesebuah negeri itu tidak menyokong kerajaan pusat, sekat semua dana pembangunan mereka ! Jangan bagi royalti dan biarkan rakyat di sana menderita supaya rakyat melihat kepimpinan Menteri Besar mereka gagal. Namun, Anwar melanggar tradisi kuku besi ini dengan meluluskan peruntukan pembangunan yang jauh lebih tinggi dan besar kepada Kelantan, Terengganu, Kedah, and Perlis atas dasar keadilan hak rakyat. Tindakan Anwar ini dianggap satu kerugian politik sendiri kerana memberi keselesaan kepada pentadbiran pembangkang, walaupun pada akhirnya kelebihan itu di gunakan pemimpin tersebut untuk mendabik dada seolah-olah itu hasil usaha mereka sendiri.


6- Silap nya Anwar, tidak menyuap kroni-kroni korporat dan tidak mahu mengunci kontrak kerajaan untuk pihak tertentu sahaja. Pemerintah zaman dulu sangat pandai menjaga kantung politik parti, projek-projek bernilai ratusan juta akan dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat "pilihan" tanpa perlu bersaing. Anwar buat silap besar apabila membuka tender secara telus melalui sistem kontrak terbuka, membolehkan mana-mana usahawan tempatan yang layak dan menawarkan harga terbaik untuk memenangi projek tanpa memerlukan kabel politik. Tambah malang, bantuan-bantuan perniagaan tidak lagi disalurkan mengikut warna bendera parti, sebaliknya disasarkan secara meluas dan adil kepada semua peniaga kecil yang benar-benar memerlukan modal untuk kelangsungan hidup.


7- Silap nya Anwar, tidak menjaga agensi penguatkuasaan di lapangan demi kepentingan politik peribadi. Dulu, ada ketikanya penguatkuasa lapangan boleh pejam sebelah mata terhadap ketirisan sekiranya ada "komisen tetap" bulanan masuk ke dalam pocket mereka, menyebabkan harga barang melambung dan peniaga besar bebas memonopoli pasaran. Langkah Anwar ialah mengarahkan agensi seperti KPDN untuk melancarkan operasi membanteras sorokan barang serta kawalan harga secara agresif tanpa henti. Tindakan tegas membanteras rasuah di peringkat lapangan ini menutup periuk nasi pegawai yang korup, walaupun tindakan luar biasa ini berjaya menyelamatkan pengguna marhaen daripada menjadi mangsa manipulasi harga dan kehilangan bekalan barang keperluan harian.


8- Silap nya Anwar, terlalu bertegas memburu dan membersihkan isu lambakan warga asing demi kedaulatan tempatan. Mengikut amalan lama, isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) sering dibiarkan berlarutan kerana ada pihak tertentu dari penguasa politik yang mengaut keuntungan atas angin melalui urusan pengalihan tenaga kerja dan kemasukan tidak sah. Anwar pula mengarahkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran untuk membersihkan kawasan lubuk warga asing, menyita perniagaan haram mereka, dan menghantar mereka pulang ke negara asal. Langkah drastik ini dianggap kesilapan publisiti oleh sesetengah pihak kerana mengganggu ekosistem perniagaan murah, namun ia sebenarnya mengembalikan peluang pekerjaan dan keselamatan komuniti setempat kepada rakyat tempatan yang sudah lama terhimpit.


9- Silap nya Anwar, memberi agihaan dan membuat pengstrukturan semula Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sehingga menghapuskan kuasa dan birokrasi politik dari japerun sehingga ke peringkat kampung. Zaman BR1M dulu, kalau rakyat miskin nak dapatkan bantuan tunai, mereka dipaksa mendapatkan cop pengesahan daripada Japerun atau JPKK. Waktu itu, staff Japerun dan PengeruiJPKK berlagak mengalahkan menteri kerana mereka memegang kuasa veto untuk menentukan siapa yang "layak" terima bantuan berdasarkan kesetiaan politik. Anwar membuat kesilapan besar dengan mendigitalisasikan sistem STR, bantuan dikreditkan terus ke akaun bank atau MyKad penerima secara automatik. Reformasi ini menyebabkan benteng birokrasi poltik hilang taring sehinggakan hari ini ada pengerusi JPKK pula yang terpaksa ketuk rumah ke rumah membawa cop semata-mata untuk menawarkan khidmat menandatangani dokumen bagi pihak rakyat supaya rakyat melihat mereka rajin berkhidmat, sekali gus memulihkan semula maruah rakyat marhaen daripada terus menjadi pengemis bantuan dari kroni politik.


 10- Silap nya Anwar, membelanjakan dana negara untuk membaiki fasiliti tandas dan asrama sekolah daif luar bandar. Ia bukan strategi publisiti politik, kerana tidak membawa keuntungan imej jangka panjang ! Mana ada orang nak puji PM sebab memperuntukkan ratusan juta ringgit semata-mata nak baiki tandas sekolah anak-anak itu pula tidak layak mengundi, dan yang rosak atau selenggara asrama luar bandar di Sabah dan Sarawak yang daif. PM dulu lebih suka membina bangunan pencakar langit yang gah atau projek mega bernilai bilion ringgit untuk di papar kan ke media bahawa negara sedang maju bertaraf dunia. Tetapi Anwar memilih untuk menyelesaikan masalah asas fizikal pendidikan yang sudah lama terbengkalai dan berkarat, memastikan anak-anak golongan miskin mendapat ekosistem belajar yang selesa.


11- Silap nya Anwar, tidak mendidik rakyat untuk "redha" dengan ketiadaan barang keperluan harian di pasaran. Zaman dulu, bila berlaku isu rantaian global, rakyat dipaksa faham kenapa minyak masak botol tiba-tiba hilang, kenapa tepung gandum naik harga, atau kenapa gula perlu di catu kononnya atas alasan supply and demand bermusim. Tapi era Anwar ini, kerajaan begitu sibuk menstabilkan harga pasaran, sehingga Menteri sendiri bercucuk tanam di laman rumah untuk melihat kualiti barang dan memastikan bekalan barang asas sentiasa cukup atas rak kedai sepanjang masa. Malah, dalam isu bahan bakar global yang bergolak, walaupun ada pelarasan penyasaran subsidi di meter pam, rakyat tetap membayar pada kadar harga bersubsidi yang stabil tanpa perlu pening kepala menghadap proses turun naik harga mingguan yang mendadak seperti zaman dahulu. Anwar seharusnya membiar rakyat hidup dalam panik apabila kehabisan bekalan seperti negara serantau lain.


12- Silap nya Anwar, beliau tidak menjaga kepentingan taikun politik dan multi billionaire demi talian hayat kuasanya. Buku panduan politik lama mengajar bahawa untuk kekal berkuasa selamanya, PM mesti mengutamakan kepentingan tauke besar dan jutawan korporat supaya dana politik sentiasa masuk berbilion ringgit sebagai pelindung nyawa parti. Tapi Anwar buat silap besar dengan mengabaikan mereka, memotong kontrak golongan T20, serta mengetatkan tatakelola dana negara. Beliau sebaliknya menghabiskan seluruh masa, tenaga, dan dana negara untuk sibuk menjaga rakyat marhaen, golongan petani, nelayan, dan orang susah di luar bandar yang langsung tidak mempunyai dana untuk membiayai empayar politik beliau.




MANA SATU LA KORANG NIH...

 



Demi memperkukuh Perikatan Nasional dan mempersiapkan organisasi menghadapi cabaran mendatang, beberapa penstrukturan pentadbiran telah diputuskan berkuat kuasa serta-merta.