KEMPEN “Abah” dijangka tidak memberi kesan besar kepada Pilihan Raya Negeri Sabah kerana faktor tempatan lebih jadi tumpuan berbanding isu kebangsaan, kata penganalisis.
“Personaliti, hubungan keluarga dan rekod prestasi lebih penting di sini,” kata Profesor Dr Hamidin Abd Hamid dari Universiti Malaya di Kota Kinabalu, semalam.
Hamidin yang juga felo penyelidik Ilham Centre berkata, walaupun rating Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tinggi di Sabah ia tidak akan diterjemahkan dalam bentuk undi secara langsung.
“Kami dapati yang banyak faktor lain lebih dominan di sini walaupun Muhyiddin dapat sambutan baik.”
Tidak seperti negara tetangga misalnya Indonesia dan Filipina, Hamidin berkata, Malaysia tidak mengamalkan sistem presiden dan promosi seorang politikus tidak akan memberi faedah kepada pilihan raya negeri.
“Pengundi Sabah, terutamanya di kerusi pedalaman mengharapkan untuk wakil rakyat mereka selalu turun padang. Mereka mahu seseorang yang mereka boleh jumpa selalu dan tidak kisahlah sepopular manapun Muhyiddin, mereka tahu dia tak boleh tolong mereka dalam isu kehidupan harian.”
Hamidin berkata bekas perdana menteri Najib Razak menggunakan kaedah kempen serupa pada pilihan raya 2013 dan 2018.
“Bila dia pertama kali guna pada 2013, ia berkesan kerana imejnya masih positif dalam kalangan pengundi. Tetapi, dia gagal pada 2018 kerana sudah tercemar dengan kontroversi 1MDB dan GST.”
Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin menggunakan sepenuhnya populariti perdana menteri itu bagi menarik sokongan pengundi Sabah daripada Warisan Plus pada pilihan raya kali ini.
Sejak penamaan calon pada 12 September lalu, sepanduk dan papan iklan “Abah” – nama manja Muhyiddin – menghiasi 29 kawasan yang ditandingi PN. Papan iklan terpampang wajah Muhyiddin dengan slogan “Undi Abah untuk Sabah” turut dapat dilihat di sepanjang jalan utama seluruh Sabah
Penganalisis politik melihatnya sebagai cubaan menggunakan rating populariti Muhyiddin yang mencecah sehingga 90% di Sabah, berdasarkan kajian dibuat badan pemikir Society Empowerment & Economic Development for Sabah (Seeds) pada 24 hingga 31 Ogos lalu.
Pensyarah sains politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Arnold Puyok berkata penggunaan perkataan “Abah” sebenarnya satu kesilapan.
“Di Sabah mereka guna ‘Apak’, di Sarawak kami guna ‘Abai’. Untuk guna ‘Abah’ di sini, seolah beri rasa yang kuasa persekutuan sekali lagi cuba memalayakan Borneo,” kata Puyok ketika ditemui di Kota Kinabalu.
Tambahnya, strategi “Abah” bukanlah baharu kerana bekas ketua menteri Adenan Satem juga pernah merujuk Najib sebagai “Abai” pada Pilihan Raya Sarawak 2016.
“Tetapi sekali lagi, itu Sarawak, ini Sabah. Di sini, ia kurang berkesan kerana pengundi mengutamakan calon berbanding naratif nasional.”
Puyok yang mengetuai pasukan kajian Seeds, berkata, kajian mereka menunjukkan walaupun populariti Muhyiddin jauh lebih tinggi berbanding Ketua Menteri Sementara Sabah Mohd Shafie Apdal, ia tidak mempengaruhi pengundi apabila ditanya siapa yang mereka mahukan sebagai ketua negeri.
Kajian mendapati, 39.6% responden masih memilih Shafie berbanding 15.3% memilih Musa Aman, 11.3% memilih Hajiji Noor dan Bung Moktar Radin hanya mendapat 11.1%.
Hajiji adalah calon ketua menteri PN, manakala BN pula memilih Bung sekiranya Gabungan Rakyat Sabah berjaya mengalahkan Warisan Plus kali ini.
Walaupun tempoh berkempen sudah masuk seminggu, sekumpulan pekerja jentera pilihan raya masih bekerja menaikkan poster Muhyiddin di sepanjang jalan Kota Kinabalu-Ranau.
Mereka tidak ada poster calon Star, Jeffrey Kitingan yang bertanding di DUN Tambunan.
“Kami hanya naikkan poster ini sebab itu yang disuruh,” kata Donol Wilfred.
Katanya, beliau tiada poster calon Star.
“Poster Jeffrey ada berhampiran kampung terletak jauh di dalam,” jelasnya.
“Sebenarnya, dia tak perlukan pun. Dia tak perlukan ini juga.
“Tetapi kami buat apa yang disuruh. Lagipun, dapat duit (kerja naik poster),” kata pengundi Tambunan itu. – 22 September 2020 (Dipetik daripada TheMalaysianInsight)