Tular di media sosial gambar petugas parti BN mengangkat sekotak tin minuman keras jenama Tiger untuk diedarkan ke rumah dipercayai berlaku di Sabah.
Terdapat tiga individu lelaki yang keluar dari kereta dengan nombor plat pendaftaran SAC 9946 D dengan dua daripadanya sedang memegang sekotak tin minuman keras jenama itu.
Aksi sekutu Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu berlaku ketika kurang seminggu berbaki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ke-16.
Rata-rata reaksi warganet menyifatkan agihan minuman Tiger itu bercanggah dengan sikap keras Pas semasa era kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Penyokong dan beberapa pemimpin parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bahkan menuntut kilang arak ditutup.
Suara lantang Pas dua tahun lalu itu turut menjadikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga pemimpin AMANAH sebagai sasaran serangan.
Antaranya pada 26 September 2018, Pas mempersoalkan Khalid yang merupakan Menteri Wilayah ketika itu berhubung arahan menutup pusat tahfiz tidak berdaftar di ibu negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sepatutnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengutamakan penutupan kedai arak susulan kes pengambilan arak tiruan yang meragut 37 nyawa.
“Ramai yang masih menunggu pengumuman Menteri Wilayah untuk mengarahkan kedai arak ditutup, selepas lebih 30 mangsa mati akibat keracunan arak,” kata Tuan Ibrahim ketika itu.
Terdahulu, Ketua Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin dalam satu ciapan di Twitter pada 20 September 2018 garang menegaskan perjuangan mengharamkan arak.
“Ayuh sama-sama kita perjuangkan supaya arak diharamkan terus dari Malaysia. Arak merosakkan manusia,” katanya.
Bagaimanapun, sikap Pas kemudiannya lunak termasuk menyatakan kilang arak sebenarnya sudah lama ada di negara ini seperti disebut Naib Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddin pada Mei lalu.
Anak bekas Ahli Parlimen Pas Baling itu berkata, operasi kilang arak dan jumlah cukai daripada arak bukannya isu.
Menurutnya, penjualan arak mengikut hukum Islam dibenarkan dengan syarat mengikut nisbah bukan Islam yang minum arak di sesuatu kawasan.