5 lelaki kes pencemaran Sungai Gong dibenar ikat jamin RM400,000 seorang




Bernama

 Lima tertuduh kes pencemaran Sungai Gong dibenar ikat jamin RM400,000 seorang oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM: Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, masing-masing dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan 4 ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik, Yip Kok Wai, 53, Yip Kok Mun, 58, Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60, serta pengurus bengkel berkenaan, Ho Voon Leong, 59, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Beliau turut memerintahkan kelima-lima lelaki itu menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan memberi amaran sekiranya mereka melakukan kesalahan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan menarik perintah jaminan itu.

Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata beliau mengambil kira faktor seperti keseriusan kesalahan dihadapi semua tertuduh selain faktor kesihatan mereka serta bahaya yang menanti sekiranya kesalahan diulangi.

“Ini adalah kes serius yang mendapat perhatian ramai, oleh itu mahkamah membenarkan semua yang tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM400,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan semua tertuduh perlu serahkan pasport kepada mahkamah, dan jika kesalahan dilakukan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan tarik balik jaminan,” katanya.



No comments: