Oleh Sheera Ghafar
Pulau Berhala mengajar kita bahawa apabila rakyat bersatu hati mengubah suasana politik di Malaysia, nasib mereka pasti akan berubah lebih baik, sedikit demi sedikit.
19 September 2020, penulis mengikuti aktiviti ziarah Calon N56 Tanjong Papat, Frankie Poon Ming Fung merangkap Pemangku Pengerusi DAP Sandakan ke perkampungan Pulau Berhala.
Buat pertama kalinya penulis menjejakkan kaki ke pulau ini yang tumbuh sebagai sebuah perkampungan dengan sejarah panjang. Dulunya, pulau ini merupakan sebuah pusat penempatan pesakit-pesakit kusta dan menjadi pusat tahanan perang ketika zaman penjajahan Jepun, pada tahun 1942.
Begitulah sedikit sebanyak latar belakang penghuni Pulau Berhala yang kini berjumlah lebih kurang 2,000 orang.
Ketika menjejak kaki pertama kali di jeti Pulau Berhala ini, rombongan kami berasa amat terharu dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh penduduk-penduduk Pulau Berhala. Kami juga disambut oleh keriuhan kanak-kanak yang kelihatan teruja menerima kunjungan ini. Malah, beberapa orang daripada mereka ikut bersama-sama dalam sesi ziarah rumah ke rumah yang kami jalankan.
Semasa berjalan-jalan dari pintu ke pintu, di atas jambatan kayu, simen dan juga rumah-rumah di daratan, penulis diberitahu oleh salah seorang penduduk kampung sini bahawa sejak tahun lepas, mereka telah menikmati bekalan air bersih dan dengan bangganya menunjukkan sebuah tangki air besar dan panel tenaga solar yang mampu mengepam air dari bawah tanah, kemudian disalurkan ke rumah-rumah penduduk Pulau Berhala.
Ramli Jirdani, salah seorang penduduk di sini mengakui bahawa bekalan air bersih yang diusaha-sediakan oleh Parlimen Sandakan dan DUN Tanjong Papat ini amat memudahkan kehidupan sehariannya sekeluarga.
Sebelum ini, sumber air bersih mereka hanyalah air telaga dari dua buah perigi serta air hujan. Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menjalankan tugas dengan pantas, menyambung tanggungjawab dan peranan ayahnya yang meninggal dunia.
Beliau dan Adun Tanjong Papat, Frankie Poon ketika itu telah membantu menyediakan keperluan asas ini kepada penduduk Pulau Berhala yang berpuluh-puluh tahun hidup dalam kesusahan.
Seorang penduduk, Crecencia binti Borkin pula memberitahu penulis bahawa sebelum ini dia menadah air hujan untuk dibuat minum dan membasuh pakaiannya sekeluarga. Kini, dengan wujudnya tangki air yang disediakan, kehidupan Crecencia sekeluarga menjadi lebih mudah.
Selain itu, di sepanjang jalan ketika menyusuri rumah ke rumah, penulis kagum dengan tiang-tiang lampu dengan tenaga solar di bahu-bahu jalan. Ini juga merupakan antara sumbangan yang amat diperlukan penduduk Pulau Berhala kerana suasana akan sangat gelap ketika malam, tanpa lampu jalan. Keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak juga, lebih terjamin.
Apabila ditanya tentang rancangan masa hadapan Frankie Poon jika sekali lagi diangkat menjadi Adun Tanjung Papat, beliau menyatakan bahawa pihaknya ada merancang untuk menambah lebih banyak lampu jalan di lorong dan jalan di Pulau Berhala. Rancangan ini pastinya menggembirakan penduduk yang sebelum ini bergantung pada penjana kuasa diesel untuk memperoleh cahaya bagi menerangi malam mereka.
Kemudian, penulis melewati satu blok lain bersama-sama jentera kempen Frankie dan mendapati terdapat beberapa batang jambatan diperbuat daripada simen. Projek tersebut dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Sandakan pada September tahun lepas bagi menggantikan jambatan-jambatan kayu yang roboh akibat bencana alam di Sandakan.
Seorang penduduk menyatakan bahawa dirinya sekeluarga merasa lebih selesa dan selamat melalui pembinaan jambatan simen ini yang menghubungkan jalan dari rumahnya ke jambatan utama.
Tambah Frankie, pihaknya akan menambah baik beberapa jambatan usang yang telah dikenal pasti dalam lawatan ini bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk Pulau Berhala.
Itulah antara sedikit sebanyak perubahan yang dibawa oleh Pakatan Harapan Plus di Pulau Berhala ini.
Namun, rata-rata penduduk yang ditemu duga oleh penulis memohon kepada Frankie Poon, jika menang dalam PRN Sabah pada 26 September ini untuk membina sebuah sekolah di Pulau Berhala ini. Pada mereka, sekolah adalah keperluan paling penting di sini melebihi daripada bekalan tenaga.
Penulis menginsafi kesusahan anak-anak di perkampungan ini yang setiap hari perlu melalui badai ombak untuk memperoleh ilmu dan mencapai cita-cita mereka. Anak-anak di perkampungan ini perlu bersedia 4.30 pagi di jeti setiap hari untuk ke sekolah di bandar Sandakan. Setiap hari juga ibu bapa perlu menyediakan tambang bot RM10 dan hakikatnya ia amat membebankan setiap keluarga di sini.
Mengikat perut, bergadai nyawa untuk pendidikan anak-anak. Begitulah realiti kehidupan penduduk di sini.
“Sekolah lagi penting daripada bekalan elektrik.” Kata Pak Utuk dan memberi kesan mendalam kepada penulis sendiri.
Untuk mengubah nasib mereka dan membuat impian ini menjadi nyata, rakyat Sabah perlu bersepadu pada 26 September ini dan membuat pangkahan tepat kepada calon-calon Warisan Plus yang pastinya dapat merealisasikan harapan masyarakat Sabah, bukan sahaja di Pulau Berhala atau DUN Tanjong Papat, tetapi Sabah secara keseluruhannya.
Keluarlah mengundi.