Ketika semua orang menanti kepulangan Tengku Razaleigh Hamzah dari luar negara pada 9 Oktober ini senario yang jelas terserlah ialah PAS memang gelabah dengan faktor Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu dalam menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Galas.

PAS sangat mengharapkan Tengku Razaleigh akan ‘buat perangai’ untuk memporak perandakan jentera BN.

Belum pernah dalam sejarah menjelang pilihanraya kecil PAS begitu sibuk membuat komen dan busybody mengenai lantikan Pengarah Pilihanraya BN.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Mat Yusoff Abdul Ghani mengakui dalam satu pertemuan dengan Agendadaily faktor Tengku Razaleigh akan memberi kesan besar pada ‘mood’ pengundi Galas.

Di kawasan DUN Galas sekarang daripada 10,330 pengundi, orang Melayu merupakan majoriti kaum Cina seramai lebih kurang 2,400 orang dan Orang Asli 1,754 orang.

Yusoff menjelaskan bahawa senario pilihanraya umum ke 12 sudah mula berubah terutama di kalangan orang Melayu yang antara punca utama kekalahan calon Barisan Nasional Saufi Deraman.

“Ada orang Melayu tak puashati dan tak keluar mengundi, orang Cina pula ada yang terpengaruh dengan PAS kerana ditawarkan hak milik tanah tapi sekarang sudah ada yang merungut kerana tak dapat,” tambahnya.

Menurut Yusoff, keadaan masyarakat di DUN Galas seolah-olah mula menyesali keputusan mereka tidak memberi undi pada BN kerana berdasarkan program yang dilaksanakan UMNO kini mendapat sambutan baik penduduk tempatan.

Mengenai masyarakat Cina yang rata-rata tinggal di sekitar bandar Gua Musang, Yusoff berkata, beliau menyandarkan harapan pada Tengku Razaleigh Hamzah yang berpengalaman selama 45 tahun untuk bersemuka.

“Orang Cina seramai, 2,400 pengundi telah mendapat perhatian Tengku Razaleigh selepas BN gagal pertahankan Galas.Kita sudah buat kerja-kerja awal bagi menyelesaikan masalah orang Cina di sini,” katanya.

Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Nenggiri memberitahu seramai 1,754 orang pengundi Orang Asli menuduh PAS telah mengkhianati mereka melalui tawaran saham ladang rakyat.

Katanya, “setiap Orang Asli ditawarkan sebanyak RM200 sebulan sebelum pilihan raya umum 2004, akibatnya lebih 40 peratus Orang Asli memberi sokongan pada PAS. Namun sekarang mereka rasa tertipu kerana tanah-tanah milik mereka telah dijual kepada syarikat besar dan janji RM200 sebulan hanya dinikmati oleh segelintir orang sahaja.”

“Kini, kita telah menerima rungutan Orang Asli tentang sikap buruk, tidak jujur dan janji palsu PAS, mereka kecewa kerana tidak dapat elaun RM200 sebulan dan marah kerana kehilangan tanah,” tambah Yusoff.

PAS akan berdepan dengan kemarahan rakyat Galas kerana kegagalan kerajaan negeri membayar wang pampasan pengambilan tanah peneroka dan kes ini telah menimbulkan pemberontakan rakyat yang sudah lama meneroka kawasan itu terdiri daripada orang Melayu, Cina dan Orang Asli.

Menurut Yusoff, faktor yang boleh menambah peluang kemenangan BN di DUN Galas adalah kerjasama erat antara agensi kerajaan pusat yang menyalurkan bantuan kepada pemimpin tempatan.

Berhubung dengan isu royalti minyak, Yusoff berkata, “PAS terperangkap kerana meminta pertolongan Tengku Razaleigh dalam isu tersebut, PAS juga sudah menyaman Petronas manakala kerajaan pula telah melaksanakan pemberian Wang Ehsan pada rakyat.”

Dalam hal ini, Yusoff meletakkan keadaan PAS cukup tersepit kerana setelah meminta tolong dengan Tengku Razaleigh apakah PAS sanggup pula untuk mainkan isu ini bagi menentang Tengku Razaleigh.

Ketika diajukan soalan tentang calon sesuai bagi DUN Galas, Yusoff berkata, “anak tempatan…Tengku Razaleigh adalah ‘key point’…apa yang penting ketika mengumumkan calon Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh dan pimpinan kanan bahagian semuanya ada di pentas adalah mustahak, saya rasa orangramai akan beri sokongan.”

Katanya, “calon mesti popular di kalangan masyarakat, bukan calon payung terjun, tidak semestinya dalam hairiki parti, mesti orang muda, tanpa terlalu mengambilkira kelulusan dan boleh mengikut kehendak masyarakat.”

Pada pilihan raya umum ke 12, Mac 2008, kerusi Parlimen Gua Musang dimenangi Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah manakala dua daripada tiga di DUN dimenangi BN.

DUN Nenggiri dimenangi Mat Yusoff Abdul Ghani yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dengan majoriti 2,090 mengalahkan calon PKR Mohd Zuki Ibrahim manakala DUN Paloh pula dimenangi Nozula Mat Diah (sekarang) Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dengan majoriti 2,833 mengalahkan calon PKR Reizal Abdul Rahim.

DUN Galas dimenangi calon PAS Che Hashim Sulaima mengalahkan calon BN Saufi Deraman dengan kelebihan majoriti 646 undi.

Mengambilkira kedudukan dalam hairiki parti UMNO Gua Musang terdapat beberapa nama penting yang dilihat berpotensi untuk ditonjolkan sebagai calon DUN Galas.

Sayap parti, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang Bazlan Baharuddin merupakan seorang usahawan yang mendapat tender-tender membekal makanan bermasak untuk kantin asrama sekolah sekitar Gua Musang merupakan pemimpin muda yang popular di kalangan masyarakat tempatan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gua Musang pula Datuk Wan Hazani Haji Wan Mohd Nor kini Ahli Dewan Negara (Senator) juga disebut boleh diberi peluang untuk bertanding di DUN Galas.

Anaknya Nik Nora Hiryani Nik Mohd Yusof merupakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang disifatkan sebagai generasi muda yang berpotensi.

Di kalangan pegawai UMNO Bahagian Gua Musang yang dikatakan boleh ‘disenarai pendek’ untuk menjadi calon N45 Galas terdiri daripada Setiausaha UMNO Bahagian Abdul Aziz Yusof, 49 tahun yang memegang jawatan tersebut sejak 2009.

Sebelum itu beliau memegang jawatan Bendahari dan berpengalaman sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang selama dua penggal.

Beliau mendapat pendidikan hingga SPM di Sekolah Menengah Teknik Kuantan dan dilahirkan di Bertam Baru dalam DUN Nenggiri.

Bendahari UMNO Bahagian Gua Musang Shukri Ismail merupakan bekas Penolong Pegawai Daerah Gua Musang. Beliau merupakan seorang siswazah universiti tempatan dan sebelum itu merupakan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian. Beliau berasal dari Bachok.

Seorang lagi ialah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gua Musang Mohd Bustaman Ibrahim, 49 tahun anak kelahiran Pasir Mas yang sudah lama menetap di Gua Musang merupakan seorang aktif berpolitik.

Beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof yang dihubungi Agendadaily mengakui sibuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas.

Semasa diajukan soalan tentang namanya adalah salah seorang yang disebut-sebut bakal dicalonkan, Aziz berkata, “saya minta pun tidak…lobi pun tidak…kalau diberi tanggungjawab dan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, saya akur…”

Beliau tidak mahu bercakap lanjut dan meminta agar persoalan itu semua diajukan pada Tengku Razaleigh.- 5/10/2010