Habis Modal Punca Isu DNA Anwar Diperbesarkan, Kata Yaakob


SHAH ALAM 18 MAC : Dalam usaha meraih kembali sokongan rakyat di negeri ini, Umno-Barisan Nasional dilihat semakin terdesak sehingga menggunakan pelbagai taktik tidak masuk akal, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anggerik, Yaakob sapari.

Buntu untuk mengembalikan sokongan rakyat yang semakin menebal kepada Pakatan Rakyat, isu penyerahan DNA Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahimp pula dijadikan modal politik murahan Umno.

"Mana ada prosedur mahkamah, dah habis perbicaraan baru cari bukti, bila cukup bukti baru prosiding mahkamah diteruskan, dah habis mahkamah baru nak cari
bukti, ini mahkamah mana? Mahkamah serba boleh Barisan Nasional.

"Pakar yang mengatakan, doktor mengesahkan, dalam dubur Saiful itu ada DNA sendiri, perkara ini dah jadi lawak dalam mahkamah, Umno kehilangan idea,"katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah Mega "Ubah Sekarang, Tolak BN" di Dewan Beringin Seksyen 24, di sini, malam tadi.

Bukan itu sahaja katanya, Umno-BN sekali lagi menggunakan strategi jahat mereka dengan memberikan kad pengenalan (IC) kepada golongan bukan warganegara
Malaysia untuk memenangkan mereka pada pilihanraya.

Jelas Yaakob, taktik sama pernah digunapakai oleh Umno-BN di Sabah apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) kalah disebabkan projek IC ini apabila sebanyak 1.5 juta
IC palsu dilepaskan.

"Hari ini dia (BN) nak tawan Selangor, maka projek IC berlaku sekali lagi, Indonesia, Pakistan dapat IC.

"Jadi mereka (BN) dah hilang punca, negara sanggup digadai yang penting pertahankan nak tawan Selangor,"katanya lagi.

Turut hadir ceramah berkenaan ialah Ketua Penerangan Pas, Ustaz Idris Ahmad, Bob Lokman, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

KETELUSAN KERAJAAN NGERI :Yayasan Selangor Rugi RM7.41 Juta, Timbalan Pengurus besar Dipecat








SHAH ALAM 18 MAC : Kerajaan Selangor memecat Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor Mohd Saifulruddin Sulaiman setelah badan itu mengalami kerugian hampir RM7.41juta ringgit sehingga November lalu akibat perbelanjaan yang tidak telus dan tidak munasabah.

Pengurusan tidak berhemah, antara lain, menyebabkan kos sambutan Ulang Tahun ke 40 yayasan itu mencecah hampir RM1 juta, dengan syarikat pengurus sambutan itu dibayar upahnya walaupun aktiviti belum dilaksanakan.

Perbelanjaan boros untuk sambutan itu ditegur oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana ia membabitkan duit rakyat yang harus diguna untuk kebajikan awam.


Susulan teguran baginda, sambutan itu dibatalkan atas arahan kerajaan negeri. Pasukan audit Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dikerah untuk memeriksa akaun Yayasan Selangor.

Dalam mengumumkan hasil pemeriksaan audit itu hari ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata antara salah laku yang dikesan adalah pemberian elaun-elaun yang tidak patut di bayar kepada Ahli Mesyuarat.

"Terdapat 12 keputusan tertinggi dibuat sepanjang 2010 hanya melalui Pekeliling Resolusi, malah tidak dimaklumkan atau diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut kehendak Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 12 1993 (bersabit) arahan meningkatkan kualiti perancangan dan kawalan ke atas pengurusan syarikat-syarikat kerajaan," kata Khalid dalam satu kenyataan.

Hasil audit itu turut mengesan banyak perbelanjaan yang tidak mengikut prosedur dan tanpa perancangan sehingga Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta sehingga November 2010, kata Khalid.

" Antara tindakan yang menunjukkan tadbir urus korporat yang tidak baik ialah seramai 18 warga kerja berhenti kerja dan 50 lagi ditukar antara Mac hingga November 2010," tambah beliau.

Dalam menjelaskan tindakan memecat Mohd Saifulruddin, Khalid berkata mesyuarat khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor pada 17 Februari lalu sebulat suara memutuskan untuk menamatkan kontrak beliau dalam tempoh 24 jam di atas peranannya dalam penganjuran sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu.

Walaupun Mohd Saifulruddin diarah untuk bercuti semasa siasatan dijalankan, "semakan audit mendapati, Timbalan Pengurusan Besar (Pengurusan) tidak menghormati arahan itu dan hadir pada mesyuarat," kata Khalid lagi.

Menteri Besar menegaskan kerajaan Selangor sentiasa berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mentadbir negeri dan tidak akan menyembunyikan salah saku pegawainya.

" Kita juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang difikirkan perlu demi menjaga amanah yang diberikan rakyat Selangor,"katanya lagi.