BERSIH 2.0 Mampu Jana Ekonomi Peniaga






KUALA LUMPUR 15 JUN : Para peniaga perlu melihat Perhimpunan BERSIH sebagai sesuatu yang positif dalam usaha menjana pendapatan peniaga, ujar Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Menurut beliau, kehadiran ramai pengunjung pada perhimpunan itu dapat menjana pendapatan peniaga seperti penjualan barang makanan, cenderahati BERSIH 2.0 dan sebagainya memandangkan perhimpunan ini sudah diwar- warkan dari awal dan bukannya di saat- saat akhir.

“Saya rasa BERSIH ini boleh menajanakan ekonomi kalau pihak peniaga Bumiputera yang pandai mengambil kesempatan memandangkan ramai orang hadir dalam perhimpunan terbabit. Saya rasa suasana yang bakal timbul terpulang kepada masing-masing.

“Kalau kita sudah menunjukkan satu sikap negatif maka kita tidak mendapat peluang. Kalau kita menunjukkan satu sikap yang positif, maka kita akan memanfaatkan perkara- perkara yang bakal berlaku,” katanya.

Dalam pada itu beliau menambah, pertubuhan peribumi perkasa (PERKASA) sepatutnya tidak perlu campur tangan dalam perhimpunan tersebut berikutan tujuan dan niat asal perhimpunan ini adalah baik dan bukannya bermatlamat menggugat keamanan serta menimbulkan kekacauan.

“Saya rasa mereka sepatutnya tidak dibenarkan untuk mengganggu tunjuk perasaan yang ingin dilakukan oleh pihak BERSIH 2.0. amat jelas kehadiran mereka bertujuan untuk mengganggu dan menimbulkan ketegangan sedangkan daripada tujuan dan niat asal BERSIH 2.0 adalah perhimpunan aman,” katanya.

Beliau menambah, ini bukan kali pertama PERKASA 'kebal' untuk melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan prinsip keamanan dan demokrasi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar memohon penjelasan daripada Persatuan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutan, PPBWP berhubung kerugian yang dialami oleh peniaga pada perhimpunan BERSIH yang lalu.

Menurut beliau, berdasarkan dakwaan peniaga sebelum ini kononnya mereka kerugian hampir RM10juta sewaktu himpunan BERSIH kali pertama diadakan, ini bermaksud peniaga memperoleh anggaran pendapatan berjumlah RM5,000 sehari dan mereka mampu mendapat RM 150,000 sebulan.

“Kalau RM10 juta dibahagikan kepada 2,000 orang, maknaya RM5,000 sehari. Untuk 30 hari maknanya RM 150,000 kerugian sebulan. Jadi saya tidak tahu bahagian kutipan dan taksiran cukai membuat satu siasatan kepada mereka kerana pendapatan mereka kalau RM150,000 sebulan maknanya ianya pendapatan mereka boleh dicukaikan. Jadi saya tidak tahu mereka sudah membayar cukai pendapatan kepada kerajaan atau tidak.

“Kalau mereka tidak membayar cukai kepada kerajaan, saya turut mengalami kerugian. Rakyat juga tidak mendapat manfaat daripada cukai yang sepatutnya dibayar oleh 2,000 orang peniaga ini.

“Jadi saya minta satu penjelasan daipada PPBWP sejauh mana peniaga ini telah membayar cukai pendapatan walaupun mereka hanya sebagai peniaga kecil tetapi pendapatan mereka sangat- sangat tinggi berdasarkan laporan pengakuan yang dibuat oleh mereka yang mengatakan kerugian sebanyak RM 10juta. Dalam perhimpunan bersih yang lalu,” katanya.

Beliau menambah sekiranya peniaga tidak perlu membayar cukai pendapatan kepada kerajaan maka tidak menjadi masalah berhubung penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 akan datang.

“Bagi saya ini merupakan asas yang perlu kita bincang. Kalau mereka mengatakan mereka tidak perlu membayar cukai kerana pendapatan mereka tidak sampai, maka tidak ada kerugian pada perhimpunan BERSIH yang lalu. Jadi tiada masalah untuk mengadakan himpunan BERSIH yang kedua,” katanya.



Persatuan Ulama kecam karikatur Utusan Malaysia, Dakwa Hina Islam




KUALA LUMPUR 15 JUN : Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengecam karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini sambil menyifatkan ia menghina agama Islam.

Yang Dipertuanya Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, penyiaran karikatur itu yang menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Dialognya berbunyi “Bagus... Alat itu pun boleh jadi bukti!”

Jelas Sheikh Abdul Halim, tindakan Utusan Malaysia melepaskan karikatur itu adalah tidak wajar dan boleh menyebabkan perpecahan antara umat Islam.

“PUM memandang serius penyiaran kartun dalam Utusan Malaysia disiarkan pada yang secara jelas menghina ulama dan Islam ... perkara ini tidak harus dibiarkan.

“Kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.

“Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau mahu Majlis Fatwa Kebangsaan memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan susulan ekoran keberanian pelukis dan Utusan Malaysia menyiarkan karikatur begitu.

“PUM meminta supaya para mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama.

“Sehubungan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,” katanya.

Selain itu, tegas Sheikh Abdul Halim, pihaknya juga mahu pelukis dan Utusan Malaysia didakwa kerana menghina Islam.

“Sepatutnya perkara sebegini sepatutnya mereka perlu mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan.

“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini di dakwa atas penghinaan ke atas Islam,” katanya yang turut menyarankan agar kerajaan mengadakan lebih banyak program untuk menyelesaikan isu berkaitan agama Islam.

Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Mohd Nor pula berkata sepatutnya pelukis karikatur itu perlu tahu bahawa tindakannya akan mengundang rasa marah umat Islam yang lain.

“Kartun ini hina Islam sebab dalam kes zina memang rakaman video tidak boleh dijadikan bukti tapi dalam kes rogol ia boleh dipertimbangkan dengan rakaman video itu disahkan dulu.

“Kes rogol bukan perbuatan zina, saya rasa pelukis ini silap dan tidak faham,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan juga mengecam sekeras-kerasnya Utusan Malaysia.

“Lakaran kartun tersebut jelas sekali memperlekehkan aspek sistem keadilan di dalam Islam dengan memaparkan seorang wanita yang mendakwa dirogol dan diminta mendatangkan empat orang saksi serta ditolak bukti melalui rakaman videonya,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan.

Kata beliau, jelas sekali mesej yang ingin disampaikan oleh rakaman tersebut ialah betapa zalim dan primitifnya Islam yang menggariskan syarat empat orang saksi lelaki yang adil dalam penghakiman kes zina serta liwat dan rogol.

“Perlu diingatkan bahawa, penentuan ini bukan dibuat oleh mana-mana pemimpin pembangkang khususnya PAS seperti yang mungkin ingin disampaikan melalui kartun tersebut, tetapi ia dibuat melalui firman Allah SWT,” katanya.

Tambah beliau, akhbar seperti Utusan Malaysia yang mendakwa membela Islam pula yang menjatuhkan maruah Islam dan memperlekehkan aspek penghakiman dalam kes zina dan rogol dengan menyiarkan lakaran kartun seperti ini.

Justeru, kata beliau, pihaknya menuntut supaya Utusan Malaysia menarik balik lakaran kartun ini dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia di atas kebiadapan menghina Islam dan sistem perundangannya.

“Utusan Malaysia juga sewajarnya layak diisytiharkan sebagai akhbar biadap yang paling bangsat di Malaysia di atas penyiaran lakaran kartun ini,” katanya.

Majlis Perkahwinan ADUN Teja jadikan Melayu sebagai balaci?HAMIDAH OSMAN

Melayu pun banyak pakai macam orang putih dah,,,apa yang hang dok melalut ni Hamidah>>>???

Ia mungkin di luar dugaan ADUN Teja, Chang Lih Kang ketika merancang untuk menjalankan majlis perkahwinannya mengikut dua adat tradisional, iaitu Cina dan Melayu. Gambar pemimpin muda PKR bersama isterinya dalam pakaian tradisional Melayu, disambut dengan paluan kompang - dikritik "menjadikan Melayu sebagai balaci".

Kritikan ini dimuatkan di blog Sungai Rapat Online, dengan tulisan:-

"Sejak perjuangan Islam telah digugurkan oleh parti PAS kerana menyahut seruan Karpal Singh umat Islam tidak langsung terkejut jika perkara sebegini dan lebih teruk dari ini akan berlaku dalam masyarakat Islam hari ini. Orang Melayu khasnya dijadikan balaci kekal bagi melaksanakan apa sahaja arahan yang diarahkan oleh DAP atau PKR. Begitulah yang berlaku di rumah Anak yatim berdekatan Gopeng apabila Chang Lih Kang dan pasangan kafirnya berjaya menjadikan anak yatim darul Hikmah sebagai taruhan. Pengerusi Darul Hikmah adalah penganut PAS.

Dua Melayu yang memainkan peranan dalam perkara ini adalah Ostat Jamal (PAS) dan Cikgu Hamdan (PKR).

Ini kelebihan ADUN PR, yang berjaya menjadikan orang Melayu sebagai balacinya bagaimana pula apabila mereka memerintah."

Demikianlah ulasan terhadap majlis perkahwinan Chang Lih Kang, pada blog Sungai Rapat Online, kawasan DUN Hamidah Osman (gambar kanan). Bagaimanapun, EXCO kerajaan negeri Perak yang pernah mencungkil pertikaian dengan kenyataan "jumpa ular dan orang India, pukul orang India?" ini menafikan bahawa blog ini milikannya.

Hamidah ketika dihubungi MerdekaReview pada jam 7.40 semalam, menafikan bahawa dirinya adalah pengendali blog tersebut, sebaliknya mendakwa bahawa blog itu dikendalikan penyokongnya. Beliau meminta agar wartawan menghubungi pengendali blog tersebut, tetapi menamatkan panggilan apabila wartawan bertanyakan nombor telefon pengendali itu.

Sebelum ini, Hamidah Osman didapati memuatkan gambar majlis perkahwinan Chang Lih Kang ke twitternya, dengan ulasan "demi undi, rakyat jangan dipedaya".

Chang Lih Kang: Hamidah rasis

Sementara itu, Chang Lih Kang ketika dihubungi MerdekaReview menjelaskan bahawa beliau mempunyai ramai kawan keturunan Melayu, dan beliau ingin berkongsi kegembiraannya bersama kawannya. Maka beliau mengadakan majlis perkahwinannya mengikut adat tradisional Melayu di sebuah rumah anak yatim dalam kampung Melayu.

Beliau menambah, adat tradisional Melayu hanya salah satu daripada pelbagai adat yang sedia ada, malah pemimpin Barisan Nasional pernah memuji apabila orang asing menjalankan majlis perkahwinan mengikut adat Melayu. Malah, pada tahun 2007, satu jawatankuasa kampung di Pulau Pinang yang mengadakan majlis perkahwinan adat Melayu untuk orang asing mendapat sokongan daripada jabatan pelancongan.

Chang Lih Kang (gambar kiri) menganggap kenyataan Hamidah adalah cetek, untuk menyerang musuh politik semata-mata dengan satu majlis perkahwinan yang biasa. Malah, kenyataan sedemikian memperlihatkan Hamidah seorang yang rasis, katanya.

"Beliau menyifatkan Melayu yang membantu saya untuk menjayakan majlis ini sebagai balaci, ini adalah kenyataan yang menghasut sentimen bermusuhan terhadap kaum lain. Kenyataan yang rendah darjatnya ini tidak harus keluar dari mulut seorang EXCO kanan," kata Chang Lih Kang.

Bagaimanapun, Chang Lih Kang berkata mereka yang mempunyai minda ini hanya terbatas kepada pimpinan atasan UMNO, ramai kawan Melayunya tidak berpandangan sedemikian.

Kira-kira seribu orang tetamu Melayu hadir ke Majlis Perkahwinan Chang Lih Kang pada 12 Jun 2011, di rumah anak yatim Darul Hikmah Kampung Pintu Padang Gopeng. Pasangan Chang Lih Kang telah menderma RM1000 kepada rumah anak yatim tersebut.

Rakyat Prihatin Wujudkan Facebook Curi- curi Wang Malaysia



KUALA LUMPUR 15 JUN : Susulan pendedahan Kementerian Pelancongan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengujudkan Facebooknya, beberapa pihak yang tidak berpuas hati membuka laman baru Facebook bertajuk Curi-Curi Wang Malaysia.

Laman web yang dibuat sekitar jam 6 petang semalam telah berjaya mengumpul lebih 13 ribu orang pengikut setakat ini.

Laman tersebut boleh diakses menerusi https://www.facebook.com/pages/Curi-curi-Wang-Malaysia

Rata-rata pengguna Facebook mengecam jumlah yang diperuntukan Kementerian itu hanya untuk mengemaskini laman Facebook Tourism Malaysia ~ Cuti- Cuti 1Malaysia.

Antara yang membidas pembaziran itu di Parlimen semalam termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Semalam Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke Siew Fook mendedahkan perbelanjaan itu dan memberi perakuan akaun Facebook yang mana kos penyelenggaraan dapat dilakukan dengan kos yang jauh lebih murah.
Anthony yang juga Ketua Pemuda DAP berkata Facebook Curi-curi Wang Malaysia mencerminkan rasa marah komuniti siber yang menentang pembaziran wang rakyat.

“Kita bersetuju bahawa sektor pelancongan meupakan antara sektor yang penting bagi negara tetapi ia tidak bermakna kerajaan boleh membelanjakan RM1.8 juta sedangkan ianya percuma. Semua orang tidak boleh menerima kenyataan sebegini,” katanya.

Anthony Loke mendesak supaya Menteri Pelancongan, Datuk Dr Ng Yen Yen menggantung kontrak Impact Creation Sdn Bhd yang bertanggungjawab menyelenggara laman Facebook Tourism Malaysia ~ Cuti- cuti 1 Malaysia.
“Saya mendesak Datuk Ng Yen Yen menggantung segera kontrak Impact Creation Sdn Bhd dan meminta mereka memulangkan semula wang kepada Kementerian Pelancongan,” katanya.

Anthony turut menyatakan beliau akan memaklumkan perkara ini kepada Perdana menteri, Najib Razak dan mendesak tindakan tegas terhadap Ng.
“Saya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri apa yang telah dilakukan oleh Ng Yen Yen sekarang bertentangan dengan apa yang dia (Najib) lakukan di dalam mendekati komuniti online,” katanya.
Semalam Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit mengaku kontrak RM1.8 juta itu diberikan kepada syarikat, Impact Creations Sdn Bhd, untuk selama tiga tahun iaitu bermula 2011 hingga 2013.

Ng hari ini mempertahankan perbelanjaan itu sambil menegaskan skop kerja Impact Creation bukan terbatas kepada membuat laman Facebook.

"(RM1.8 juta) adalah untuk menjawab, memberi maklumat, interaksi dan memantau (kerja di laman Facebook) menilai semula, pengumpulan data, pembangunan kandungan dan pengiklanan di Google, Facebook.

Beliau mendakwa perbelanjaan RM18 juta itu berbaloi berbanding “Pelancongan Australia membelanjakan RM150 juta untuk tiga tahun akan datang di media sosial,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur.

Menurut Ng, Facebook digunakan sebagai satu platform dan menerusinya laman web Cuti-cuti Malaysia Pelancongan Malaysia telah mendapat 24,000 peminat sejak ia dilancarkan pada Mei lalu.

Zunar Saman Kerajaan, Tuntut Karyanya Dikembalikan




KUALA LUMPUR 15 JUN : Pelukis kartun Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau nama samarannya Zunar hari ini memfailkan saman ke atas kerajaan Malaysia berikutan penahanannya tahun lalu.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu menuntut bayaran pampasan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Beliau menamakan pegawai yang menahannya ASP Arikrishna Apparau, pegawai penyiasat ASP Marina Hashim, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu Zunar mendakwa pada 24 September 2010, sepasukan polis yang diketuai ASP Arikrishna telah menyerbu pejabatnya kira- kira jam 4 petang dan menangkap beliau serta merampas 66 buah buku bertajuk "Cartoon-0-phobia" dan sebuah lukisan kartun.

Beliau yang mempertikaikan asas- asas penahanannya berkata tindakan merampas hasil karyanya adalah salah di sisi Perlembagaan Persekutuan dan berniat untuk mengagalkan pelancaran buku tersebut.

Lantaran itu Zunar menuntut gantirugi am termasuk gantirugi teladan dan teruk, perintah supaya buku- buku yang dirampas dikembalikan kepadanya atau gantirugi sebanyak RM1,650, perintah supaya lukisan kartun dikembalikan atau gantirugi khas dan lain-lain.

MB : Task Force Felda Selangor Bantu Kerajaan Negeri





SHAH ALAM 14 JUN : Dalam usaha Kerajaan Negeri membela nasib peneroka yang telah sekian lama ditekan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan pelbagai masalah hak milik tanah serta pemberian pendapatan khususnya di Selangor satu Jawatankuasa Khas Felda Negeri Selangor ditubuhkan.

Jawatankuasa yang terdiri daripada pakar perundangan ini bernaung dibawah Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong serta mendapat kerjasama penuh dari Shamsul Iskandar Md Akin selaku pengerusi.

Melalui jawatankuasa terbabit juga satu Majlis Dialog-Diskusi berhubung Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 atau GSA 1960 diadakan di Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor.

Jawatankuasa yang telah ditubuhkan sejak lebih setahun itu sebelum ini dikepalai oleh Datuk Zaid Ibrahim sebelum bertindak keluar daripada PKR dan kini mengetuai parti baru KITA.

Mengulas lanjut berhubung pemmbentangan kertas kerja GSA 1960, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia merupakan hasil kajian yang dilakukan oleh pasukan khas bagi menasihati kerajaan negeri Selangor mengenai langkah yang boleh diambil untuk membela masyarakat Felda di negeri itu.

" Tujuan Task Force ini adalah untuk menasihati kerajaan negeri apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi menentukan bahawa masyarakat Felda di Selangor mendapat kebaikkan dan juga penambahan pendapatan ataupun peningkatan aset dari penglibatan mereka yang sudah berpuluh tahun bersama Felda,"katanya.

Malah katanya, pasukan khas yang terdiri daripada pakar perundangan itu telah beroperasi lebih setahun lalu untuk mengkaji dan meneliti semula Akta GSA 1960 bagi menyesuaikannya dengan situasi pada masa kini.

“Saya perlu menunggu pembentangan dan perbincangan ini selesai sebelum membuat sebarang keputusan. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena dan relevan pada akta ini pada masa kini, kita perlu membetulkannya dan mengetahui prosedur untuk melakukannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pembentangan Kertas Kerja Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960.

Jelas Abdul Khalid, pembentangan kertas kerja ini juga dilihat mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat Felda serta ianya selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam 'Merakyatkan Ekonomi Selangor'.

" Ia juga dilihat bersesuaian dengan konsep kerajaan negeri iaitu 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' atau MES. Oleh sebab itu, rakyat Felda di Selangor berhak untuk mengetahui tentang tatacara pengurusan Felda dan apakah hasil yang boleh mereka dapati dan adakah keputusan ini memberikan manfaat kepada mereka setelah sekian lama memilikinya,"

Abdul Khalid berkata, pembentangan itu juga menjurus kepada pelan tindakan dan bukannya perbincangan semata-mata termasuk memberitahu kerajaan pusat mengenai perkara yang perlu dilakukan dalam usaha memastikan hak dan nasib masyarakat Felda terbela.

Tambahnya lagi, ini termasuk rancangan pembangunan Felda untuk terus menempatkan generasi kedua peneroka di penempatan terbabit dengan pelbagai peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang mampu meningkatkan ekonomi setiap keluarga peneroka.

" Oleh sebab itu, rancangan pembangunan Felda juga mesti mengambil kira tentang peranan generasi kedua untuk membangunkan kawasan-kawasan tersebut. Dan kebanyakkan kawasan terbabit di Selangor terutamanya akan menjadi kawasan bandaran, bukan lagi kawasan peladangan,"katanya lagi.

"Oleh sebab itu juga,adalah perlu untuk kita mengambil kira tentang perkara tersebut dan rancangan rapi mesti dilakukan supaya tidak terdapat apa yang dipanggil pengangguran dikawasan-kawasan Felda.

Terdapat kira-kira 10,000 warga Felda di negeri itu terutamanya di kawasan Hulu Selangor.

NKRA Dan ETP: Rakyat Dicandui Mimpi Muluk Umno-BN lagi


KOMENTAR - Dalam lawatan saya ke India baru-baru ini, saban hari saya membaca iklan-iklan berbayar oleh kerajaan-kerajaan negeri di rantau itu mengenai projek-projek yang mereka telah mulakan untuk kebaikan rakyat.

Iklan itu dihiasi dengan pelbagai slogan, semuanya untuk memberikan mesej bagaimana rakyat bakal menerima manfaat begitu besar hasil pemerintahan kerajaan berkenaan.

Peliknya kerajaan-kerajaan negeri yang membuat janji-janjil sedemikian sudah pun lama memerintah. Jadi jika rakyat baru dijanjikan manafaat “yang bakal” dinikmati mereka, tentunya ada sesuatu yang tidak kena.

Di sebalik iklan-iklan yang penuh dengan janji-janji sedemikian, saya hanya perlu melangkah ke luar hotel untuk berdepan dengan realiti hidup di India.

Memang diakui New Dehli, Jaipur dan bandaraya-bandaraya lain seperti Amritsar mempunyai bangunan pencakar langit dan lebuhraya sibuk dengan kereta mewah, namun ia juga penuh dengan pengemis tua, muda dan kanak-kanak .

Amat menyayat hati bila melihat ibu mendokong bayi belasan bulan yang berpakaian nipis di musim sejuk dengan suhu 10 darjah Celsius di celah-celah kotaraya, mencari makanan dalam tong-tong sampah.

Saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan iklan-iklan di India itu dengan muka depan akhbar-akhbar arus perdana di Malaysia semalam mengenai kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan pelaburan sebanyak RM2.27 bilion.

Utusan Malaysia melaporkan gabungan kesemua 15 inisiatif ini dalam tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mewakili pelaburan RM63.38 bilion dan pendapatan negara kasar sebanyak RM66.13 bilion serta mewujudkan 63,531 peluang pekerjaan baharu.

Berdasarkan laporan media itu semata-mata, nampaknya Malaysia kini memasuki era keemasan di bawah pemerintahan Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Mungkinkah ini satu hakikat? Atau , ia sebenarnya sama seperti apa yang berlaku di India?
Kita bersyukur kerana pengemis-pengemis jalanan yang berkeliaran di negara kita kini kebanyakannya adalah rakyat asing; buat masa ini.

Namun siapa yang sanggup menafikan hakikat kita semua semakin merasakan kesempitan hidup.

Kos sara hidup yang melambung, tanpa kenaikan gaji yang selari, penarikan balik subsidi, kenaikan harga hampir semua barangan perlu, dari secawan kopi di gerai kepada bil elektrik – semuanya semakin mencengkam kita.

 Sehari selepas Najib mendabik dada memberitahu dunia mengenai manfaat yang bakal dikecapi rakyat daripada NKRA dan ETP tajaannya, timbalan beliau terpaksa berdiri di Parlimen memohon Belanjawan tambahan sebanyak RM13 bilion.

“Ini untuk menampung keperluan perbelanjaan menguruskan negara,” kata Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussain.

Bermakna Belanjawan sebelum ini yang dibentangkan oleh Najib iaitu sebanyak RM162.8 bilion tidak mencukupi.

Ini juga bermakna belanjawan Najib hanya bertahan untuk tempoh begitu singkat, dan segala unjuran oleh pakar-pakar beliau tidak menepati sasaran!

Adakah kita sanggup dibuai dengan janji-janji indah NKRA, ETP dan sebagainya atau berpegang kepada realiti hidup semasa untuk merumuskan bahawa ada sesuatu yang amat tidak kena dengan ekonomi negara kita.

Kenapa subsidi untuk rakyat ditarik balik, manakala subsidi untuk Penjana Letrik Bebas di kekalkan?

Kenapa perlu diadakan projek mega 100 tingkat Menara Warisan bernilai RM5 bilion atau membelanjakan RM65 juta untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri?

Apakah keperluan untuk kerajaan bergabung dengan sektor swasta membelanjakan RM27 juta ringgit untuk mengumpul sejuta pemuda bagi beramah mesra dengan Perdana Menteri, baru-baru ini?

Bagaimanakah Kementerian Perlancongan boleh diberi kelulusan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan laman Facebooknya, sesuatu yang boleh dilakukan dengan belanja jauh lebih murah?

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini tidak mungkin akan dikupas oleh media arus perdana milik kerajaan, namun ini tidak bererti rakyat tidak boleh memikirkan mengenainya.

Dalam mengharungi keperitan hidup akibat pemotongan subsidi, rakyat kini menyaksikan kerajaan yang sama memohon kepada Parlimen untuk diberikan tambahan RM13 bilion bagi pengurusan negara.

Sudah tentu ia akan memburukkan lagi defisit negara, dan jika defisit negara bertambah meruncing, apakah ini tidak bermakna rakyat akan dijadikan mangsa menerusi pemotongan subsidi yang lebih dahsyat?

Pembaziran, ketirisan dan rasuah mewarnai setiap kerajaan yang memerintah di India sejak kemerdekaan. Prinsip-prinsip yang dijulang oleh Bapa India – Mahatma Gandhi sudah lama diabaikan oleh kebanyakan ahli poltik negara itu dalam mengejar kemewahan untuk diri dan kroni.

Segelintir daripada rakyatnya adalah antara yang terkaya di dunia, namun sebilangan besar masih lagi terperangkap dalam kancah kemiskinan tegar yang amat memeritkan.

Di Malaysia, janji-janji NKRA-ETP ialah pusingan mimpi baru yang dijual oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional kepada rakyat negara ini.

Kita sudahpun menyaksikan bagaimana pengswastaan Tun Mahathir Mohamad mempopularkan ungkapan kroni dan kronisme.

Duit rakyat beratus billion ringgit disalur untuk membayar syarikat-syarikat konsesi air, elektrik, dan sistem aliran transit ringan dan sebagainya.

Hasil jelas pemerintahan beliau, rakyat terpaksa membayar tol tinggi untuk menggunakan lebuhraya, bil elektrik dan air juga meningkatkan manakala kemudahan pengangkutan awam negara ini jauh daripada memuaskan.

Selepas Mahathir, rakyat disajikan pula rancangan-rancangan seperti Koridor Ekonomi wawasan Tun Abdullah Badawi.
Belum pun Koridor itu menjadi realiti, rakyat diminta menerima keindahan NKRA dan ETA oleh Perdana Menteri 1Malaysia Najib Razak.

Maaf jika rasa sinis saya membaca iklan-iklan akhbar berbayar kerajaan di India menyerlah sekali lagi apabila membaca “kebesaran ETP dan NKRA” di muka depan akhbar-akhbar arus perdana semalam.

Saya cuma memikirkan nasib rakyat yang terperangkap dengan segala sara hidup semakin melambung yang cuba dibuai dengan mimpi-mimpi seorang lagi Perdana Menteri Umno-BN.

Parlimen Tolak Usul Kecam BERSIH 2.0

KUALA LUMPUR 15 JUN : Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ahli Parlimen Bebas Zahrin Hashim bagi mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai depan bagi menuntut reformasi dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak usul Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.

"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia telah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan BERSIH itu dan akan sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Terdahulu, Zahrain mengemukakan usul itu kerana kononnya tunjuk perasaan aman itu bertujuan menghasut rakyat mengadakan rusuhan rusuh di jalanan sepertimana yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah, termasuk Tunisia dan Mesir.

Tuduhan itu jauh tersasar kerana perhimpunan Bersih yang pertama empat tahun lalu berjalan secara aman sehingga polis melakukan provokasi ketika cuba menyuraikan kira-kira 40,000 yang menyertainya.

Kali ini penganjur memberikan jaminan yang sama – orang ramai akan berkumpul secara aman untuk menuntut sebuah pilihanraya yang be bas dan adil.

Perhimpunan kedua BERSIH pada bulan depan antara lain untuk menuntut pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil.

Zuraida : Yayasan Selangor Poket Umno-BN






PETALING JAYA 15 JUN : Pelbagai kritikan dan kesalahan yang cuba dicetuskan oleh pihak tertentu untuk memburukkan imej Yayasan Selangor mengundang perhatian ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Prihatin dengan tohmahan yang dilemparkan kepada anak syarikat kerajaan negeri itu, Zuraida tampil dengan senarai projek-projek yang jelas menunjukkan amalan ketirisan dilakukan oleh kerajaan Umno-BN semenjak 1993 sehingga 2008.

" Jadi di sini kita boleh lihat bagaimana sambil lewanya mereka memberikan projek dan bagaimana mereka tidak mengambil balik wang yang sepatutnya mereka ambil dalam perjanjian dan biarkan sahaja kes seperti ini berlalu tanpa mendapat pulangan yang sepatutnya,"katanya.

Malah menurut Zuraida, Umno-BN pada zaman pemerintahan mantan menteri besar, Dr Mohamad Khir Toyo menggunakan sepenuhnya Yayasan Selangor untuk kepentingan parti itu.

" Dan kalau kita lihat Yayasan Selangor ketika di bawah Umno-Barisan Nasional telah dijadikan sebagai satu poket untuk pihak mereka ambil, untuk mereka belanjakan tanpa ketelusan. Ini jelas dapat kita lihat bagaimana Yayasan Selangor dahulu diperkudakan oleh Umno-BN,"tambah beliau.

Dalam perkembangan terbaru, Utusan Malaysia melabelkan Yayasan Selangor sebagai sebuah syarikat yang membebankan rakyat di negeri ini.

Kelmarin Utusan Malaysia dalam laporan bertajuk "Kerajaan Selangor amal diskriminasi-Firdouz" menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri Selangor 'merampas' kawasan perniagaan penduduk di Kampung Melayu Subang Tambahan dan diserahkan kepada Yayasan Selangor.

Walau bagaimanapun,menurut Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki, pihaknya tidak pernah memohon atau menerima sebarang Lot Tanah di Kampung Melayu Subang Tambahan seperti yang didakwa Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Megat Firdouz Megat Junid.

Namun apa yang berlaku pada zaman pemerintahan Khir Toyo jauh menunjukkan dana awam digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan kerajaan yang berkuasa ketika itu.

Zuraida semalam mendedahkan,lebih kurang 15 projek yang berlaku ketirisan semenjak 1993 hingga 2008 di bawah kerajaan Umno-BN.

“Ketirisan aset Selangor selama 1993 hingga 2008, kita dapat lihat ada beberapa projek di bawah pentadbiran Khir Toyo yang tidak ada kebertanggungjawaban, tidak ada komitmen bagi memastikan semua projek-projek dilaksanakan dapat dijadikan tabung kepada Selangor untuk membantu rakyat miskin.

“Contohnya, pembangunan tanah di Jalan Lapangan Terbang Subang seluas 31.8 ekar. Kontrak ini diberikan kepada Puncak Dana Sdn Bhd, anggarannya RM987 juta tapi semasa Umno memerintah mereka hanya pungut RM 127 juta, selebihnya dibiarkan sahaja dan mereka laporkan sebagai projek tergendala, terbengkalai dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Palimen Ampang.

“BN Umno semasa menguruskan Yayasan Selangor, mereka menguruskan dengan sikap tidak bertanggungjawab sambil lewa, tidak ada amanah dalam melaksanakan tugas mereka untuk membantu rakyat negeri Selangor,” ujarnya lagi.

Sebelum ini Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan banyak perbelanjaan yang tidak telus dan tidak munasabah oleh Yayasan Selangor sehingga membawa kepada defisit RM7.41 juta.

Kata Khalid, perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor sehingga November 2010, defisit RM7.41 juta.

Bagaimana kerajaan BN membelanjakan wang kita?

Bagaimana kerajaan BN membelanjakan wang kita?

15 June 2011

Komentar Roketkini

15 JUN – Subsidi petrol, diesel dan gas serta gula telah dikurangkan. Kadar tariff elektrik dinaikkan. Cukai GST sedang dipertimbang untuk dilaksanakan. Semuanya kerana kerajaan mendakwa kononnya mahu menjimatkan perbelanjaan.

Tetapi mengapa ini pula yang dilakukan?

  • Satu laman rangkaian sosial Facebook untuk Kementerian Pelancongan dibina dan diselenggara dengan belanja RM1.8 juta;
  • Satu laman web 1pengguna bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dibina dan diselenggarakan dengan belanja RM1.4 juta; dan
  • Projek e-mel 1Malaysia yang menelan belanja RM50 juta.

Tidak diketahui pula bagaimana kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan lain membelanjakan wang hasil sumber negara dan wang pembayar cukai negara untuk laman-laman internet yang amat murah penyelenggaraannya.

Rakyat mengharapkan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat meminta kerajaan menjelaskan dengan terperinci perbelanjaan masing-masing dalam usaha mereka menyertai perlumbaan membina dan menyelenggara laman-laman web dan rangkaian sosial.

Semalam, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke merangkap Ahli Parlimen Rasah telah mempertikaikan langkah Kementerian Pelancongan yang membazirkan RM1.8 juta bagi membina dan menyelanggara laman Facebook kementerian tersebut.

“Semakan terakhir saya mendapati ada hanya 20,308 peminat di laman Facebook kementerian.

“Secara bandingan laman Facebook ‘Visit Penang’, yang mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak membelanjakan satu sen pun tetapi mendapat 100,000 peminat. Kenapa belanja RM1.8 juta?” katanya dalam siding Dewan Rakyat.

Beliau berkata tidak munasabah jika tidak ada seorang pun di kementerian itu yang mampu mengemas kini akaun Facebook sehingga kerajaan terpaksa memberi kontrak kepada pihak ketiga.

Dalam jawapan kepada persoalan itu, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit hanya menjelaskan bahawa kontrak RM1.8 juta itu diberikan kepada Impact Creations Sdn Bhd, untuk selama tiga tahun iaitu bermula 2011 hingga 2013.

Awal bulan Jun ini, portal 1pengguna milik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dikatakan kena godam.

Mudah sekali digodam laman itu yang bernilai RM1.4 juta yang bertujuan mempamer maklumat harga barangan pengguna.

Pada April lalu pula, kerajaan mempromosikan e-mel 1Malaysia yang dikatakan milik swasta Tricubes Bhd yang mengendalikannya dengan kos RM50 juta bagi perkhidmatan selama 10 tahun.

Walau pun ia dikatakan perkhidmatan percuma, sama seperti e-mel Yahoo atau Google, jabatan atau agensi kerajaan yang menggunakan khidmat itu perlu membayar 50 sen bagi setiap e-mel yang dihantar.

Bayangkan berapa ribu e-mel dihantar oleh jabatan dan agensi kerajaan setiap hari?

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara telah mengkritik projek itu yang akan merugikan rakyat melalui perbelanjaan jabatan dan agensi kerajaan menggunakan e-mel berkenaan.

Tentunya rakyat ingin tahu dengan jelas dan telus belanja setiap jabatan dan agensi kerajaan yang membina dan menyelenggara laman-laman internet mereka.

Ini hanya belanja kerja-kerja internet. Berapa banyak pula pembaziran dan ketirisan pentadbiran kewangan dalam hal-hal “pembangunan”, “projek” dan banyak lagi program-program yang tidak menjadi keperluan atau keutamaan rakyat. – Roketkini.com

Akhirnya impian Fadzil Noor tercapai – oleh Liew Chin Tong

Akhirnya impian Fadzil Noor tercapai – oleh Liew Chin Tong

7 June 2011

7 JUN – Selepas pimpinan PAS mengumumkan Dokumen Negara Islam pada 2003, setelah dicabar oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad, ia menjadi salah satu faktor utama parti itu tewas teruk dalam pilihan raya umum 2004.

Daripada 27 kerusi Parlimen yang dimenanginya dalam PRU 1999, PAS hanya mampu kekalkan 6 kerusi Parlimen. Banyak pihak mengatakan PAS kehilangan undi bukan sahaja dari kalangan bukan Islam tetapi juga dari orang Melayu yang dikatakan “resah” dengan konsep negara Islam parti itu.

Sebenarnya Dokumen Negara Islam 2003 adalah kosep yang berlawanan dengan cadangan asal yang dibawakan oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor selaku Presiden PAS, sejak 2001 dalam bentuk Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21.

Di antara Disember 2001 dan Mac 2002, draf empat muka surat telah dibincangkan oleh sabahat-sabahat PAS termasuk aktivis NGO yang kemudiannya dibawakan oleh Fadzil dalam muktamar PAS ke-48 di Kota Bharu, Kelantan pada Mei 2002.

Fadzil yakin memorandum itu yang masih dalam peringkat persediaan itu mampu mencari titik pertemuan pelbagai peradaban, kepercayaan dan pegangan politik rakyat. Baginya, sifat pemerintahan Islam perlu ada syura, pemilihan dan demokrasi kerana pembinaan negara mesti berpaksikan kepada akhlak dan sistem nilai yang tinggi bertunjangkan sistem kepercayaan yang benar.

Beliau turut menjelaskan bahawa pentadbiran yang dicita-citakan PAS ialah yang mendukung kedaulatan undang-undang serta menekankan aspek khidmat dan kebajikan sehingga melahirkan “Negara Berkebajikan” yang diharapkannya dapat memakmurkan negara dengan kebajikan serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan.

Tujuh perkara asas dalam Memorandum itu adalah:

● Masyarakat madani

● Hak saksama (al-musaawah)

● Kedaulatan undang-undang berasaskan syariah yang luas makna dan ruang lingkupnya

● Keadilan (al-‘adalah)

● Meritokrasi (as-solahiyah)

● Negara berkebajikan

● Pentadbiran dinamik dan inovatif

Sayangnya, Fadzil meninggal dunia tidak lama selepas muktamar itu, pada 23 Jun 2002, yang mengakibatkan Memorandum itu tidak lagi menjadi keutamaan PAS.

Namun begitu, sebulan selepas perginya Fadzil, PAS menyusun semula Memorandum itu untuk dibincangkan bersama dengan rakan-rakan seperjuangan di luar parti di mana tujuh perkara asas dikekalkan dengan huraian yang lebih panjang.

Apa yang mengejutkan ialah satu dokumen yang berlainan sama sekali telah dikeluarkan pada November 2002 atas nama Dokumen Negara Islam yang direstui oleh Majlis Syura Ulama PAS.

Dokumen itu juga mempunyai tujuh prinsip, seperti mana Memorandum, tetapi ia berbeza dalam banyak segi.

Tujuh perkara asas Dokumen itu ialah:

● Negara undang-undang di mana dijelaskan bahawa hudud, qisasa dan takzir akan dikenakan kepada orang Islam sahaja tetapi yang bukan Islam boleh memilih sama ada menerima hukum itu atau common law

● Sistem khilafah di mana pemerintah mesti melaksanakan hukum Islam, jika tidak mereka dianggap pengkhianat amanah Allah

● Takwa

● Sistem syura (concensus) di mana ia akan membincangkan perkara-perkara yang boleh diijtihadkan sahaja, dan tidak boleh dalam hukum-hukum tetap Islam (qat’i)

● Keadilan dan kesamarataan (al-‘adaalah wal musaawaah) yang dijelaskan tidak sama dengan persamaan (equality) dan sama bahagian (fairness)

● Kebebasan (al-hurriyyah) yang tidak boleh bercanggah dengan syara’

● Ketuanan mutlak (as-siyaadah wal haakimiyah) atau sovereignty yang mana hak ketuanan adalah milik Allah dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.

Walau apa pun niat baik pimpinan PAS dalam menyediakan Dokumen ini, persepsi orang ramai terhadapnya telah menyebabkan parti itu ditolak dalam PRU 2004. Ia dlihat sebagai menakutkan orang bukan Islam dan orang Islam yang berpendirian sederhana.

Menjelang 2007 di mana pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lemah telah membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat, ramai pemimpin PAS terutamanya mereka yang bersikap sederhana telah menyertai gerakan-gerakan mobilisasi demokrasi seperti perhimpinan Bersih yang mendesak kerajaan Barisan Nasional supaya telus dan adil dalam pilihan raya.

Pada masa itu juga PAS mula kembali kepada idea asal Fadzil yang mahu parti itu menjadi lebih terbuka dan berarus perdana dalam menarik sokongan rakyat. Ia juga usaha sesetengah pemimpin PAS untuk membuktikan bahawa Islam bukan sempit ajarannya, Islam adalah untuk semua.

Kejayaan besar PAS bersama PKR dan DAP dalam PRU 2008 meyakinkan banyak pihak supaya parti itu berjuang bersama-sama dalam satu gabungan yang kemudiannya dinamakan Pakatan Rakyat.

Dengan adanya barisan baru PAS yang dipilih dalam muktamar PAS ke-57 di Kuala Lumpur hujung minggu lalu, hasrat Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk meluaskan usaha promosi Negara Berkebajikan dilihat akan membuahkan hasil.

Seperti yang dijelaskan oleh Hadi, Negara Berkebajikan adalah konsep yang berteraskan Islam dan boleh diterima oleh semua orang tanpa mengira agama dan kaum. Ini bermakna PAS tetap boleh memperjuangkan agenda Islam yang benar-benar memberi manfaat kepada semua manusia.

Memetik kata-kata Hadi, “Kita mulakan dengan pelaksanaan Negara Berkebajikan. Ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut Negara Islam, ia sebut Negara Berkebajikan”, ia mengingatkan kita semua kepada apa yang diperjuangkan oleh Allahyrahm Ustaz Fadzil untuk membawa imej Islam yang lebih demokratik, inklusif, terbuka dan adil tanpa mengorbankan prinsip perjuangan PAS.

Sejak 2004, PAS telah melalui jalan yang sukar dan penuh berduri. Rasa kurang keyakinan diri di kalangan pemimpin tertentu PAS juga membuatkan mereka serba-salah dengan tawaran UMNO untuk bersatu padu demi perpaduan Melayu.

Sekarang ternyata impian Fadzil sudah menjadi kenyataan. PAS dilihat sudah bersedia untuk kembali dengan penuh komitmen terhadap Pakatan Rakyat, selaras dengan impian Fadzil yang mahu menawarkan alternatif terbaik kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, untuk mengambil alih pentadbiran negara daripada UMNO dan BN. – Roketkini.com

Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera