MASAKAN CINTA (LOVE DISH)

LEPAS LETAK JAWATAN ...kes pasti selesai bawah tikar

Dakwat kekal: Pakatan akan sokong pindaan perlembagaan

BAYAR JANGAN TAK BAYAR

Kes fitnah: Permohonan Hisham batal kenyataan Anwar ditolak

November 15, 2011

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mengetepikan beberapa bahagian dalam kenyataan pembelaan difailkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes fitnah dibawa oleh Menteri Dalam Negeri itu.

Sehubungan itu juga, Hakim Mahkamah Tinggi V.T. Singham mengarahkan Hishammuddin agar membayar kos RM25,000 kepada Anwar.

Hishammuddin memohon bagi membatalkan sebahagian kenyataan pembelaan Anwar dalam saman fitnah berhubung video seks memaparkan pelaku mirip ketua pembangkang itu.

Hishammuddin yang diwakili peguam Sunil Abraham memfailkan saman fitnah terhadap Anwar kerana mengeluarkan kenyataan memfitnahnya semasa temu bual dengan media pada 22 Mac lalu selepas membuat laporan mengenai video itu di balai polis Dang Wangi di sini.

Hishammuddin, 50, berkata kenyataan itu dilaporkan secara meluas dalam media dan Internet dan difahamkan membawa maksud bahawa beliau bertanggungjawab menayangkan video itu kepada sekumpulan editor dan wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lepas.

Menteri itu berkata kenyataan itu juga difahamkan membawa maksud yang beliau telah mengaturkan penayangan video itu dan telah berkomplot dengan Perdana Menteri dan pegawai tinggi polis untuk melakukan perbuatan itu.

Dalam pernyataan pembelaannya, Anwar berkata kenyataan beliau semasa temu bual dengan media pada 22 Mac, selepas membuat laporan mengenai video itu di balai polis Dang Wangi, diterbitkan berdasarkan perlindungan bersyarat.

Anwar mendakwa kenyataan itu diterbitkan berdasarkan perlindungan bersyarat yang dimilikinya atas kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen kawasan Permatang Pauh, kepada orang awam yang mempunyai hak kepentingan untuk menerima maklumat itu.

Lagipun, beliau mendakwa kenyataan yang dipertikaikan itu merupakan komen yang adil terhadap perkara berkepentingan awam dalam menyatakan pendapat beliau bahawa Hishammuddin telah berkompromi dengan perbuatan jenayah kumpulan lelaki yang digelar ‘trio’ dalam memaparkan video itu walaupun beliau tahu atau sepatutnya tahu mengenai perbuatan mereka.

Dalam tuntutan balasnya, Anwar menegaskan kenyataan Hishammuddin dalam sidang media beliau pada 21 Mac, memperlihatkan bahawa beliau adalah individu dalam video itu seperti mana ditegaskan oleh trio itu.

Hishammuddin, dalam jawapannya kepada pernyataan pembelaan Anwar berkata ketua pembangkang itu berniat jahat selepas mengeluarkan kata-kata dalam satu persidangan akhbar yang kemudiannya dilaporkan dengan meluas di media dan Internet.

Beliau berkata perkataan yang diterbitkan itu, tidak dipaparkan dengan niat baik dan motif utama Anwar adalah untuk memperlekehkan reputasi Hishammuddin sebagai menteri dan sebagai ahli politik.

PPSMI: Krisis Legitimasi dan Normatif


Aqil Fithri | Nov 15, 2011 12:08:18 pm

PPSMI adalah bahagian dari konflik sosial. Justeru, dalam berbicara tentang konflik sosial, itu akan melibatkan dua aspek penting: teori sosial, dan teori normatif; antara realiti dan telos, antara fenomena dan noumena, antara praktis dan teori.

Justeru, di sini saya ingin menunjukkan bahawa dalam isu PPSMI ini, kedua ranah ini tidaklah memihak kepada kalangan yang mendukung PPSMI. Maknanya, untuk "apa yang ada" (das sein) itu ada masalah legitimasi, sementara untuk "apa yang seharusnya" (das sollen) itu adalah masalah normativiti.

Begini. Kita mulakan dengan persoalan legitimasi dulu.

PPSMI, dilaksanakan pada tahun 2003, dengan tergesa-gesa, tanpa kajian, tanpa percubaan, dan melibatkan jumlah bukan-main, ura-ura lebih RM12 billion. Dengan semua ketergesaan ini, PPSMI dilaksanakan, dan akhirnya menimbulkan pelbagai bantahan keras, dan berpanjangan. Permulaannya, berlaku perdebatan yang melibatkan kalangan intelektual, ahli pendidikan, ahli sains dll. Namun, di kalangan PPSMI, intelektual yang paling kental tidak lain adalah Mahathir Mohammad. Ini tokohnya. Mahathirisme adalah sumber pemikiran bagi kalangan PPSMI.

Hujah-hujah untuk mempertahankan PPSMI hanya saja dikeluarkan secara intensif setelah dilaksanakan. Itupun telah berlaku peralihan nada hujah; dari soal menguasai Bahasa Inggeris, kepada soal belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Namun, PPSMI terus mendapat tentangan. Ini sehingga mengundang sejumlah rakyat untuk turun ke jalanraya pada tahun 2009. Soalnya, mengapa sampai ada bantahan yang cukup kuat terhadap PPSMI?

Ini tentu sekali akibat proses untuk melaksanakan PPSMI itu yang tidak melalui prosedur yang legitim. Prosedur yang seharusnya, haruslah mendapatkan persetujuan rakyat. Jika tidak, pendam dan dendam, akan meledak. Ini akan menjadikan setiap keputusan tanpa prosedur legitim akan mendapat bantahan yang berlarutan. Kalau benar hujah bahawa PPSMI dapat dipertahankan, maka kalangan PPSMI seharusnya berani berdepan secara rasional, bahkan dapat juga menunjukkan betapa ada majoriti yang mendukung keputusan tersebut. Tapi, ini tidak berlaku. Memang, nanti akan ada tuduhan bahawa apakah majoriti berhak untuk menentukan kehendak minoriti? Tidak dinafikan, persoalan ini penting.

Meskipun begitu, saya hanya akan bahaskan ini dalam bahagian normativiti nanti. Yang saya mahu paparkan ialah, sama ada setuju atau tidak, persoalan PPSMI ini bermula dari kehendak seorang individu, yang akhirnya memenatkan seluruh rakyat di negara kita. Individu itu bernama Mahathir. Kerana itu, keputusan individu yang dipaksakan secara politik ini, dengan sendirinya bererti sebuah keputusan yang telah kehilangan legitimasinya. Lantaran itu, tidak hairan pemerintah terpaksa berpatah-balik kerana mereka bukan saja kehilangan dukungan majoriti, malahan turut gagal untuk mengemukakan hujah intelektual.

Baik. Saya telah jelaskan tentang asal-usul yang mendorong krisis legitimasi dalam PPSMI tersebut. Sekarang, kita akan berbahas, mungkin sedikit panjang, tentang pencarian normatif mengenai PPSMI ini.

Apa itu normatif? Itu adalah sebuah penjelasan tentang "apa yang seharusnya", bukannya "apa yang ada". Maka, normatif itu bersifat universal dan rasional. Dalam soal PPSMI, yang jadi kehendak unggulnya adalah untuk mendirikan negara-maju, dengan melahirkan saintis-saintis yang hebat, yang terkenal dengan teori-teori besar, yang sehingga memungkinkan kita dapat menghasilkan pemenang Hadiah Nobel? Itu seasal-asal tujuan PPSMI, konon.

Shahdan, terlepas dari tujuan asal tersebut, mari kita lihat apa wacana seputar PPSMI dewasa ini? Wacananya sering jatuh dalam soal (1) menguasai Bahasa Inggeris, atau dalam soal (2) Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik, (3) rayuan untuk diberi opsyen dalam melaksanakan PPSMI.

Tentang wacana untuk menguasai Bahasa Inggeris tersebut, sebetulnya sudah ada banyak kritikan yang menyanggah hujah tersebut. Mithalnya, untuk menguasai Bahasa Inggeris, itu haruslah belajar Bahasa Inggeris itu sendirinya. Bukannya belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Saya fikir banyak kajian ahli pendidikan, dalam dan luar negara, yang dapat menyokong pandangan ini. Namun, bagaimana pula dengan soal belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris? Kata kalangan PPSMI, tidakkah untuk maju secara saintifik, maka kita mestilah menguasai Bahasa Inggeris ini? Persoalan ini yang akan saya tanggapi dengan sedikit rinci.

Pertama, kalau benar Bahasa Inggeris sebagai bahasa unggul untuk sains dan matematik, sehingga dapat melahirkan saintis yang hebat-hebat, maka kenapa ada negara yang bukan berbahasa Inggeris tapi dapat menghasilkan pemenang Hadiah Nobel? Malah, ada pemenang Hadiah Nobel yang tidak tahu berbahasa Inggeris sekalipun! Ini jawapan balas lazim, yang pertama. Tapi, mungkin kalangan PPSMI menyanggahnya. "Kejayaan," mithalnya Jepun dan Jerman, "sehingga dapat menghasilkan pemenang Hadiah Nobel itu kerana mereka punya tradisi intelektual yang panjang", kata mereka. Kalau begitu hujahnya, justeru kenapa kita tidak membina budaya intelektual seperti itu? Mengapa kita berfikir pintas bahawa, Bahasa Inggeris adalah setara dengan budaya intelektual? Apakah konotasi konyol ini dapat dipertahankan?

Jadi, kalangan PPSMI harus menjelaskannya dengan rasional tentang kritikan ini. Mereka harus jelaskan: Ini termasuklah, bahawa mana yang merupakan matlamat utama mereka, sama ada menguasai ilmu atau menguasai bahasa? Kalau mahukan ilmu berkenaan sains dan matematik, maka yang perlu ditekankan adalah aspek-aspek seperti, galakan penyelidikan, pendedahan intelektual, kualiti pendidikan, dll, manakala persoalan bahasa adalah sebahagian dari perkara-perkara ini. Bukannya pokok.

Mereka yang sungguh-sungguh, yang serius untuk bergelar sarjana, selalunya di peringkat yang lebih tinggi (siswazah dan pascasiswah), adalah mereka yang akan memaksa dirinya untuk belajar bahasa apapun sehingga membolehkan mereka akses kepada ilmu yang diminatinya tersebut. Lantas, di sini insentif perlu diberikan: biasiswa, bantuan, latihan, dll. Sebaliknya, jika anak-anak sekolah berminat mengenai sains dan matematik, maka yang paling awal adalah memupuk minat dan iltizam mereka. Bukannya menyuruh mereka membaca dan menghasilkan jurnal. Bukannya menyuruh mereka membentang hasil penyelidikan di persidangan-persidangan. Ini kuncinya kepada kronologi pembikinan sebuah tradisi intelektual. Sebab, belum tentu anak-anak sekolah yang dapat A dalam Bahasa Inggeris, adalah mereka yang automatik juga dapat A dalam sains dan matematik!

Kedua, kalau benar Bahasa Inggeris bahasa terunggul dalam sains dan matematik, sehingga menghasilkan tradisi intelektualisme Inggeris, maka ini bukti bahawa mereka (komuniti saintis berbahasa Inggeris) berjaya bukan kerana melakukan penyalinan ilmu, tapi kerana berkreativiti dan berinovasi. Apa yang cuba dilakukan pemerintah lewat PPSMI adalah untuk menjadi bangsa penyalin. Belajar Bahasa Inggeris, dan meniru. Ini adalah bentuk tindakan instrumental, yang sangat bermasalah. Tindakan ini ibarat seekor kerbau di sawah, atau seorang pekerja yang tidak pernah mempersoalkan tujuan kerjanya. Atau juga ibarat, seorang mahasiswa yang hanya mahu mendapat A, biar apa cara sekalipun! Ini sangat dangkal.

Mengapa? Sebab, terbukti untuk bergelar saintis yang hebat kita mestilah berkreativiti dan berinovasi. Aspek ini ternyata berkait dengan kognitif, dengan cara kita berfikir. Bukan dengan sefaseh dan sebanyak mana kita berbahasa. Dengan itu, yang mustahak adalah usaha untuk memugar daya kreativiti dan berivovasi. Sebab itu, kita perhatikan komuniti intelektual Inggeris itu sendiri pun masih terus menambah ilmu baru yang diperoleh dari mana saja, yang makin pesat dari hari ke hari. Mithalnya, mereka juga sanggup pergi ke budaya Timur, dll untuk mendapatkan ilham dan penemuan baru (himbau saja Tao untuk teori kuantum, atau Shi’isme untuk teori kritis agama).

Jadi, ini jelas menunjukkan kepada kita soal yang harus ditingkatkan adalah cara berfikir, yang kritis, yang rasional, yang kreatif, yang inovatif, juga kita harus ada keberanian untuk menempuhnya. Kalau ini semua tidak ada, maka gunalah bahasa apa sekalipun: kebodohan tetaplah kebodohan. Mudah saja, mari saja kita tanyakan pada Steve Jobs: apa kunci kejayaannya, kalau kita boleh sepakat bahawa ia telah berjaya sebagai seorang inovator? Apakah ia akan menjawab: sebab saya menguasai Bahasa Inggeris?

Ketiga, kalangan PPSMI mendakwa, tidakkah banyak teori-teori baru sains dan matematik itu dalam Bahasa Inggeris? Jadi, kononnya dengan menguasai Bahasa Inggeris kita dapat melakukan jalan-pintas untuk menguasai ilmu tersebut. Apatah-lagi, banyak jurnal, kertas persidangan, hampir semuanya dalam Bahasa Inggeris. Betul. Tapi, teori-teori fundamental sains dan matematik tidak banyak berubah. Yang berubah hanya aplikasinya saja. Sedar atau tidak sedar, buku-buku teks tentang "perbezaan" dan "kamiran" masih lagi sama dengan yang kita gunakan dengan abad ke-17 dan abad ke-18. Buku teks sekolah tidak banyak berubah untuk tempoh berdekad-dekad sekalipun. Kalau ada kelemahan dalam soal pendidikan, itu semata kerana kualiti pendidikan.

Sorot saja di universiti-universiti di Malaysia, jelas kualiti pendidikan kita amat ketinggalan. Bukan kerana pensharah kita tidak mampu nak berkarya. Tapi, pensharah kita malas! Mereka tidak gigih menulis buku (apa-apa bahasa sekalipun!), culas untuk menterjemah, bahkan tidak menguasai bidangnya sendiri pun! Bila pensharah kita diberi permasalahan untuk dirungkai, mereka gagal mengartikulasikan ilmunya. Rasional hilang. Dogmatik pula muncul. Ini pensharah, nah apatah lagi mahasiswa! Lihat saja silibus fizik di universiti, mengapa mahasiswa tidak diajar subjek Teori Einstein sejak prasiswazah lagi? Sedangkan ini teori penting untuk fizik. Jadi, apa masalah utama kita sampai gagal melahirkan saintis yang hebat? Masalah bahasa, atau masalah kualiti pendidikan? Jawab dengan jujur saja.

Keempat, tentang pembelahan antara sains tabi’i dengan sains sosial. Jangan kita lupa: siapa dalang yang menobatkan komposisi dualisme ini? Mahathir! Ia telah membahagi 70% sains – 30% sastera, juga menggesa diwujudkan "masharakat saintifik" dalam Wawasan 2020. Soalnya, apakah makna "saintifik" yang kita kemaruk sangat itu, sampai diangkat sebaris dengan makna "maju"? Benarkah bila kita "saintifik", makanya kita maju? Dan, "saintifik" yang difahami dalam konteks ini sering dikaitkan dengan kapital, sains, bahasa, dan sebagainya. Jadi, dengan menggunakan Bahasa Inggeris, itu secara tidak langsung cuba dihubungkan dengan kepandaian, kemodenan, sekaligus juga kemuliaan.

Tidakkah kita sedar, ramai yang gagal berhujah akan sering mengalih penggunaan bahasanya kepada Bahasa Inggeris. Ini berpunca dari konotasi bahawa berbahasa Inggeris adalah bahasa untuk mereka yang pandai. Walhal, kepandaian berbahasa Inggeris mereka telahpun digunakan untuk memperlekehkan ilmu. Bahasa, waktu-waktu tertentu, telah berjaya menyembunyikan kebodohan mereka. Dan, lebih jauh lagi, kepandaian ini terus dihubungkaitkan dengan hanya "sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris" saja. Yang belajar agama, yang belajar falsafah, yang belajar pertanian, itu tiada masa depan! Gelap! Tapi, sebentar, kita boleh buktikan bahawa, rupanya ada yang bijak berbahasa Inggeris, namun tetap saja bodoh. Ini banyak ditemukan bukan saja dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), hatta dapat ditemui dalam diri mereka yang konon menjunjung cita-cita kebebasan sekalipun! Jadi, bodoh ini bukan persoalan bahasa, tapi persoalan sikap.

Dan, kelima, tentang tidak perlunya terjemahan. Sebab, cemuh mereka, kerja terjemahan memamah masa. "Jadi", kata kalangan PPSMI, "bagi membina tamadun Malaysia dengan sekelip mata, seeloknya kita abaikan saja terjemahan". Saya telah jelaskan serba-sedikit betapa mudahnya mereka melekatkan Bahasa Inggeris sebagai setara dengan sains dan matematik. Walau bagaimanapun, yang saya mahu utarakan di sini ialah, tentang kalangan yang mahu mengambil-jalan pintas membina tamadun ini. Mereka ini sebenarnya pemalas. Memang malas! Sebab, kerja untuk menyalin lebih mudah dari kerja untuk menghasilkan sesuatu yang baru.

Sebaliknya, dengan melakukan terjemahan, kita bukan saja dituntut untuk menguasai, setidaknya dua bahasa, tapi juga dituntut untuk menguasai subjek tersebut. Mahu tidak mahu, kita harus cekap kedua bahasa sekaligus. Sehubungan dengan itu, dengan melakukan terjemahan, itu telah menuntut sebuah kefahaman yang mendalam, bagi mengartikulasikannya ke dalam bahasa terjemahan. Dan, ini yang cuba dielak oleh kalangan PPSMI. Padahal, kalau tidak dilakukan kerja-kerja asas ini, maka kita telah memupus kemungkinan besar untuk menghasilkan sesuatu yang baru lewat terjemahan.

Mithalnya, Shaharir Mohamad Zain sering menunjukkan, bahawa persoalan "optimum/justice" dengan persoalan "terbaik/keadilan", itu boleh berbeza konsep menurut makna dari bahasa yang diguna. Dengan adanya perbezaan makna ini, maka terdapat kemungkinan untuk menghasilkan sesuatu yang menarik. Hinggakan, dengan bertindak tak-lazim ini, maka kita memberi ruang kepada potensi untuk membina sains normal, yang baru. Menurut Kuhn lagi dalam The Structure of Scientific Revolutions (1962), sains itu terbangun dari komuniti. Bergantung kepada komuniti untuk mencorakkannya.

Perubahan paradigma tentang sains dan matematik sangat bergantung kepada penerimaan sesuatu komuniti tersebut. Bukan bergantung kepada bahasa. Jadi, dengan menghasilkan sesuatu yang baru, kita sebenarnya bekerja untuk membentuk sebuah sains normal yang baru. Ini adalah sebuah kelestarian sejarah dari perjalanan sains dan matematik. Soalnya, adakah kita mahu terlibat membina sejarah atau tidak? Atau, adakah kita hanya mahu mengekor saja kepada sains normal dewasa ini, serta melupakan kemampuan membangunkan sains tak-normal ke arah menjadi sains normal?

Tidak mahukah kita berjiwa besar: dengan berani membuka "kedai baru"? Lantas, jika mahu membuka "kedai baru", itu tentu sekali menuntut kerja-keras: antaranya mengartikulasikan ilmu dalam bahasa sendiri. Dan, jangan kita lupa untuk belajar petua kejayaan dari Bahasa Inggeris tersebut: tentang apa petua mereka sampai mereka begitu berjaya hari ini? Apakah kerana pelajar sekolah mereka, iaitu pada abad ke-17 dll, belajar sains dan matematik dalam bahasa Latin, atau Greek, atau Arab? Tidak! Semuanya kerana mereka berjaya melewati sebuah zaman penterjemahan. Dalam hukum pembinaan tamadun, memang harus mempunyai zaman penterjemahan ini. Akur saja, sampai hari ini mereka (kalangan Inggeris) terus rajin menterjemah dari pelbagai bahasa dunia ke dalam bahasa Inggeris, tanpa henti-henti. Ini kerja berat yang patut kita teladani, kalau benarlah kita memang komited untuk membangun negara, meminjam istilah Mahathir, menurut "acuan kita sendiri". Malangnya, kita tidak pula mahu meneladani liku-liku yang Inggeris tempuhi. Sebaliknya hanya mengutip hasil-hasil mereka. Jika begini pendekatannya, maka sampai bilapun kita tetap menjadi bangsa-penyalin.

Kini, saya telah membentangkan lima hujah, dalam mempersoalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa unggul untuk sains dan matematik; yang konon hanya dengan bahasa ini saja kita mampu membina tradisi intelektual, berkreativiti dan berinovasi, serta meningkatkan kualiti pendidikan, lalu membuat kita berasa moden, dan beranggapan ini sajalah jalan singkat ke arah pembinaan tamadun Malaysia. Sejauh yang saya paparkan, hujah mereka memang maseh bertahap konon.

Mengapa demikian? Sebab, mari kita kembali pada hasrat asal mereka yang mahu melaksanakan PPSMI, dan ini jangan kita lupa: untuk melahirkan saintis-saintis (hanya merujuk kepada sains tulen), yang hebat-hebat, serta membina negara-moden. Di sini: mari kita tanya baik-baik pada kalangan PPSMI; Apakah benar bahawa hanya dengan belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris sajalah yang mampu merealisisasikan harapan ini?; Apakah benar kita hanya akan memperoleh pemenang Hadiah Nobel dari anak-anak sekolah yang sekarang sedang belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ini?; Apakah benar Malaysia hanya akan jadi moden tatkala kita melaksanakan dasar PPSMI? Saya fikir, sekiranya mereka rasional, mereka akan merasakan bahawa ada sesuatu yang cetek dalam logika penghujahannya.

Tapi, buat kalangan yang anti-PPSMI pula, jangan mudah berpuas hati. Sebab, apa yang saya paparkan tersebut sekadar kritikan tentang kewajaran bahasa Inggeris dalam sains dan matematik saja. Kini, persoalan yang berjela-jela saya bahaskan ini sebenarnya sudah tidak begitu relevan lagi. Persoalan normatif yang saya ungkap awal-awal tadi, belumpun dituntaskan. Persoalan normatif ini bangkit dari evolusi tuntutan dari kalangan PPSMI ini.

Memang, seperti yang disebut awal-awal, pertama kali PPSMI bangkit kerana (1) mahukan penguasaan Bahasa Inggeris, lalu berubah nada (2) mahu menguasai sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, dan kini akhir-akhir ini nada tersebut berubah lagi, (3) tuntutan untuk opsyen bagi perlaksanaan PPSMI menurut sekolah. Isu yang ketiga ini harus menjadi persoalan perdebatan dalam konteks normatif tersebut. Sebab, ini persoalan yang bukan saja penting, tapi menarik. Mengapa penting dan menarik? Sebab, persoalan opsyen ini melibatkan tema-tema politis. Ini adalah persoalan politis kerana, berkait rapat dengan wacana negara-bangsa, ruang awam, kebersamaan, identiti nasional, dan paling mustahak, juga dihubungkan dengan konsep hak asasi manusia.

Sebagai bahan perbincangan ini, biarlah kita berempatik dulu, dengan cuba menyelami hasrat, mithalnya PAGE, yang telah memanjangkan keluhan seperti begini: "apakah hak kita untuk menghalang anak mereka belajar dalam bahasa yang anak mereka paling selesa? Apakah benar kita lebih tahu mengenai keperluan pendidikan anak-anak mereka berbanding ibubapa mereka sendiri? Soal pendidikan anak-anak mereka adalah hak asasi mereka, dan anak-anak mereka mestilah diberikan pilihan untuk belajar dalam bahasa pilihannya sendiri. Biarlah ibubapa mereka yang mencorakkan sama ada anak mereka mahu jadi Nasrani, Yahudi, atau Inggeris sekalipun. Ini adalah hak mereka!" Dan, kita boleh terus berempatik dengan PAGE lagi, lalu menambah, "bahawa mereka sama sekali tidak menghalang hak anak-anak kita untuk belajar dalam bahasa pilihan kita. Jadi, mengapa kita pula yang menghalang hak pilihan mereka?" Ini semua adalah nada-nada untuk PAGE, yang mengeluh mengenai pemaksaan ke atas mereka. Konsep opsyen yang sifatnya lebih adil dan demokratik, kalau menurut mereka itu, telah dinafikan dari hak mereka.

Nah, tugas mendesak kita adalah untuk menjawab apa yang dibangkitkan ini dengan rasional. Sebab, persoalan inilah yang menjadi tulang-belakang kepada seluruh persoalan mutakhir PPSMI. Menjawab persoalan ini, bererti dapat menamatkan sisa-sisa talian hayat mereka, serta melengkapkan normativiti dalam isu ini.

Justeru, dalam rangka menjawabnya, mari kita berpijak atas tanah, melihat realiti. Kita duduk dalam konteks negara-bangsa. Ini sudah terlekat dalam diri kita, terima atau tidak. Konsep negara, sudah menjadi sebuah kerukunan bersama, demi mengimbangi mereka yang sombong. Maka, persoalan majoriti-minoriti dalam soal negara-bangsa ini maseh lagi signifikan. Sebab, hak minoriti, yang berdiri atas nama hak asasi manusia, itu tidak diperoleh secara terus, bukan anugerah, sebaliknya adalah sesuatu yang harus diperjuangkan oleh mereka sendiri. Ini yang menuntut sebuah perjuangan untuk mendapatkan pengakuan.

Soalnya, kalangan yang mahukan opsyen PPSMI ini: sejauh mana mereka berjuang untuk memperoleh pengakuan tersebut? Atau, apakah mereka bersantaian, lalu cuba menggunakan jalan pintas, terus mengenepikan prinsip legitimasi, alih-alih cuba membodek pemerintah? Tidakkah apa yang kita nampak adalah mereka cuba untuk memujuk pemerintah; bukan dengan rasional, bukan dengan pengakuan, bukan dengan legitimasi, tapi dengan kabel-kabel birokrasi.

Mereka lupa, bahawa hanya dengan pengakuan majoriti saja mereka akhirnya mereka berhak untuk memiliki hak asasi, yakni diberi opsyen tersebut. Dengan pengakuan yang diberikan, maka keputusan untuk melaksanakan PPSMI baru boleh dilakukan. Namun, mampukah mereka untuk gigih berhujah, sehingga dapat meyakinkan sejumlah besar rakyat? Ini yang harus kita tanyakan kepada mereka.

Dan, kalau mereka menuduh bahawa kita telah melakukan kezaliman majoriti terhadap mereka yang minoriti, itu adalah tidak benar. Sebab, selama mereka diberi ruang dan peluang untuk berkempen menyebar dakyah PPSMI mereka, maka itu bukanlah dinamakan kezaliman. Namanya, kezaliman bila mereka dipaksa untuk menutup mulut, selama-lamanya! Jadi, fakta inilah yang harus mereka renung kembali, dan tanyakan kepada diri mereka: mengapa rakyat tidak bangkit mempertahankan mereka secara besar-besaran? Bukahkah ini bermaksud kegagalan mereka untuk merasionalkan dasar PPSMI ini?!

Walhasil, dari seluruh perbahasan ini, saya telah menunjukkan betapa dalam soal PPSMI ini, apa sisi pun tidak memihak kepada mereka. Sama ada soal legitimasi mahupun normativiti. Kini, terpulang kepada mereka, dan tak salah kepada kita juga, untuk menawarkan kecerdasan hujah. Usah pula ada yang cuba berselindung di balik raksasa yang bernama "pemerintah." Untuk kalangan yang suka menumpang kasih kekuasaan ini, tanyalah kepada nalar tentang kebenaran, atau tetaplah terpenjara dengan ego sendiri. Dan, harus disebut juga, bahawa bahaya ego ini tidaklah mengenal sesiapa, termasuk mereka yang mendakwa dirinya paling liberal sekalipun.

*Aqil Fithri boleh dihubungi lewat aqilfithri@gmail.com. Makalah ini pertama kali dibentangkan sewaktu Wacana PPSMI: Pro atau Kontra, di program anjuran Akademi Pak Sako, Kuala Lumpur pada 1 November 2011. Dipetik dari Jalan Telawi.com