Peruntukan hal ehwal Islam Pulau Pinang meningkat hampir 100 peratus


SUNGAI DUA, 8 MEI: Peruntukan hal ehwal Islam di Pulau Pinang meningkat hampir 100 peratus sejak tahun 2008 hingga 2016 sebanyak RM457 juta di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbanding sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, usaha murni kerajaan pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng itu mendapat kecaman sesetengah pihak yang menuduh kononnya kerajaan PH Pulau Pinang telah meminggirkan kaum Cina berbanding Melayu.
“Jumlah peruntukan bagi Hal Ehwal Islam di negeri Pulau Pinang juga naik hampir 100 peratus sejak 2008 berbanding sebelumnya.
“Malangnya, kenaikan ini mendapat kritikan daripada pihak tertentu yang mendakwa kerajaan negeri anti Cina – dapat undi bangsa Cina, tapi bantu Melayu,” kata Guan Eng.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng bergambar bersama wakil-wakil masjid yang menerima sumbangan Ehya Ramadan dari kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemberian Sumbangan Ehya Ramadan kepada seluruh masjid dan surau Pulau Pinang semalam, di perkarangan Masjid Al-Marbawi, Merbau Kudung lapor Buletin Mutiara.
Meski pun dikritik sedemikian rupa, Guan Eng menjelaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan meneruskan usaha baik tersebut tanpa pilih kasih dan bersikap perkauman.
“Kita tidak pedulikan kritikan tersebut dan akan meneruskan pemberian sumbangan tanpa sikap cauvinis dan rasis.
“Pemberian sumbangan ini adalah penting sebagai salah satu usaha (supaya institusi masjid) dapat membangunkan rakyat Pulau Pinang secara kerohanian,” katanya lagi.
Kerajaan negeri pada tahun ini memperuntukkan sebanyak RM235,000 bagi sumbangan Ehya Ramadan kepada 226 masjid meliputi masjid kariah, masjid biasa dan surau diri jumaat seluruh negeri.
Turut berucap pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.
Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Mohd Salleh Man; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Sazali Hussein; Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa; barisan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK); kariah Masjid Al-Marbawi serta wakil-wakil pemimpin tempatan. –Roketkini.com

TUN MAHATHIR RAYU PENGUNDI PEKAN TOLAK NAJIB

ISU PERKAUMAN, KEGAGALAN BANDAR MALAYSIA JEJAS EKONOMI – PENGANALISIS

BEKAS PJ NEGERI SEMBILAN PERTIKAI TUJUAN UNDI PAS