Rampas KABAR ERA PAKATAN : Arahan Pihak Atasan

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Tindakan Kementerian Dalam Negeri(KDN) merampas 6,108 naskah akhbar KABAR ERA PAKATAN di 915 permis diseluruh negara bukan disebabkan oleh tanpa permit penerbitan atau aduan awam serta laporan polis tetapi disebabkan oleh 'arahan pihak atasan'.

Ketua Pengarang II, KABAR Era Pakatan, Mat Zahari Ali dalam kenyataannya mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menyangkal kenyataan Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Datuk Zaitun Abdul Samad sebagaimana yang dilaporkan bernama sebelum ini.

Semalam, Datuk Zaitun dalam kenyataannya kepada bernama dipetik berkata KABAR diterbitkan tanpa permit serta tindakan merampas 6,108 naskah disebabkan aduan awam dan laporan polis.

Mat Zahari menyangkal dakwaan tersebut yang tidak benar sama sekali dan tindakan tersebut berat sebelah.

Menurut Mat Zahari, KDN telah mengeluarkan permit KABAR yang bernombor PP 16761/12/2010 (026203) kepada Abu Bakar Ninggal. Nombor permit tersebut sentiasa tertera di muka depan KABAR bagi memudahkan rujukan pihak berkuasa.

Beliau berkata, perkataan Era Pakatan adalah moto kepada KABAR.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak KDN melalui surat penyerahan lapan (8) salinan KABAR pada setiap penerbitan.

"KDN juga telah mengesahkan penerimaan surat yang disertakan pada setiap kali diserahkan 8 salinan tersebut," kata beliau lagi.

Dalam salinan tersebut dinyatakan bahawa 'KABAR yang bermotokan Era Pakatan' bukannya KABAR era Pakatan sebagaimana didakwa oleh Datuk Zaitun.

"Dalam kaedah sebutannya KABAR akan dikaitkan dengan motonya sebagaimana 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan yang disebut bersama dengan motonya," kata beliau lagi.

Mat Zahari menjelaskan KDN seharusnya menyedari bahawa "Era Pakatan' adalah moto kepada KABAR bukannya datang dari permit 'KABAR Era Pakatan' yang sememangnya tidak dikeluarkan oleh KDN.

Beliau menambah moto sesebuah akhbar boleh dinamakan apa sahaja atau ditukar dengan apa nama sekalipun pada bila-bila masa kerana ia tidak terikat dengan penerbitan permit.

"Setakat ini pihak KDN tidak pernah memberikan apa-apa surat atau kenyataan kepada pihak editorial atau pihak pengurusan KABAR berhubung KABAR yang diserahkan pada KDN.

"Sekiranya KDN tidak berpuas hati atau menyarankan supaya diubah saiz atau mana-mana yang tidak berbetulan dengan kehendak KDN maka kementerian tersebut sepatutnya menghubungi pihak KABAR bagi memaklumkannya atau memberi surat peringatan atau amaran," jelas beliau

Bagi Mat Zahari, tindakan KDN tidak memberi apa-apa notis, kenyataan atau amaran tetapi bertindak merampas dam menyita KABAR adalah tindakan yang tidak profesional dan menimbulkan pelbagai keraguan serta menjejaskan kredibiliti kementerian tersebut.

"Apakah ini prosiding KDN, yang bertindak tanpa maklumat, tanpa siasatan serta rujukan dalam menangani isu atau kes-kes yang membabitkan kepentingan awam?," soal beliau.

Kenyataan Datuk Zaitun yang menyatakan tindakan 'merampas' KABAR disebabkan
terdapat aduan awam dan laporan polis juga merupakan kenyataan yang sengaja dijadikan alasan serta berat sebelah.

"Apakah disebabkan aduan awam dan laporan polis menyebabkan KABAR di sita? Bagaimana dengan ratusan aduan awam dan puluhan laporan polis kepada akhbar media perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian yang dibuat oleh rakyat, begitu juga dengan TV3. Mengapa Utusan, Berita Harian dan TV 3 tidak disita atau dihentikan siaran disebabkan aduan awam dan laporan polis. Mengapa KABAR disita dijadikan mangsa?," soal beliau lagi.

Bagi beliau sekiranya ada laporan polis atau aduan awam, KDN seharusnya datang menyiasat atau mengambil keterangan daripada KABAR.

"Saya ada menerima panggilan telefon dari IPD Timur laut Pulau Pinang yang ingin mengambil keterangan berhubung kenyataan Lim Guan Eng dalam penerbitan KONSEP bilangan ke-20 dan bukannya dari penerbitan KABAR.

"Sampai ke saat ini pegawai yang berjanji akan datang menemui saya minggu lalu tidak datang untuk mengambil keterangan sedangkan semua bukti telah saya sediakan.

"Kami sedar bahawa Datuk Zaitun baru sahaja beberapa minggu di tukarkan kejawatannya sekarang dan kenyataan beliau mungkin hanya berdasarkan maklumat pegawai-pegawai kanan beliau sahaja,"tegas beliau.

Tindakan tidak profesional KDN yang dianggap sebagai 'menerima arahan dari tangan-tangan ghaib'mengakibatkan KABAR dijadikan mangsa.

KABAR merupakan tabloit yang mendapat permit penerbitan mingguan tetapi dikeluarkan dua kali sebulan sebagai permulaan dan dijangka akan diterbitkan setiap minggu dalan beberapa bulan lagi.

KABAR merupakan akhbar yang melaporkan berita-berita serta rencana dan analisa berhubung pelbagai isu terutamanya isu-isu politik.

Format serta konsep KABAR berbeza dari lain-lain media alternatif disebabkan setiap isu akan dikupas berdasarkan kepada pandangan dan pendirian dari PKR, PAS dan DAP yang mewakili Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun KABAR dalam bilangan kelima yang akan diterbitkan hujung bulan ini akan dibuat sedikit perubahan bagi memenuhi format KABAR.