Kerajaan Harus Minta Maaf, Kata Majlis Peguam

KUALA LUMPUR 23 JULAI : Majlis Peguam hari ini menolak penemuan Suruhanjaya Diraja yang mendapati pembantu politik DAP Teoh Beng Hock membunuh diri.

Sehubungan dengan itu, presidennya Lim Chee Wee berkata kerajaan dan Suruhaanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti memohon maaf kepada keluarga Beng Hock dan memberi pampasan sewajarnya atas kehilangan mereka itu.

"Majlis Peguam meminta kerajaan Malaysia dan SPRM untuk mempertimbangkan bagi memberi permohonan maaf bertulis kepada keluarga Teoh Beng Hock dan rakyat Malaysia, berhubung kematian itu,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa juga wajar menyiasat pegawai SPRM yang dinamakan dalam laporan itu sama ada terdapat kemungkinan mereka melanggar Seksyen 304 dan 304A Kanun Keseksaan, iaitu membunuh tanpa niat dan menyebabkan beng Hock mati akibat kecuaian mereka.

"Adalah jelas bagi Majlis Peguam bahawa tanggungjawab sepenuhnya kematian Teoh Beng Hock terletak di pihak SPRM dan tindakan segera mesti diambil ke atas pegawainya yang perlu bertanggungjawab ke atas kelakuan mereka,” kata Lim.

Dalam kenyataan medianya kepada Malaysiakini, Lim juga berkata penemuan suruhanjaya itu juga banyak tidak disokong oleh bukti ataupun keterangan saksi kes berkenaan.

Katanya, bercanggah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz semasa laporan itu diumumkan, pakar forensik psikiatrik Paul Edward Mullen tidak memberi keterangan kononnya beng Hock mempunyai “perwatakan yang lemah” sehingga menyebabkannya membunuh diri.

Diplomat : EU Timbang Hantar Pemantau Bebas, SPR Tidak Wibawa

KUALA LUMPUR 24 JULAI : Meskipun Putrajaya terus mempertahankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), diplomat-diplomat Kesatuan Eropah (EU) sedang mempertimbangkan cadangan untuk menghantar kumpulan pemerhati ke Malaysia ketika pilihan raya umum ke-13 selepas mendapati agensi pengendali pilihan raya itu bukan sebuah badan yang berwibawa.

Pendirian itu dibuat susulan satu taklimat diberikan oleh suruhanjaya itu baru-baru ini.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Beberapa diplomat memberitahu The Malaysian Insider, taklimat Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof beberapa minggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0 tidak meyakinkan mereka tentang kedudukannya sebagai sebuah badan berkecuali dengan terus mengatakan mereka sebahagian daripada kerajaan.

“Mereka tidak berwibawa. Abdul Aziz asyik mengulangi ‘kami’ dan ‘kita’ dalam kerajaan ketika taklimat,” kata seorang diplomat EU kepada The Malaysian Insider.

Abdul Aziz merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri sebelum dilantik mengetuai SPR bermula 31 Disember 2008 selepas kontraknya berakhir.

Seorang diplomat dari satu lagi negara EU mengesahkan taklimat itu dan rumusan yang mereka putuskan.

Malaysia mengadakan pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

“(Langkah) itu sensitif tetapi kami sedang memikirkan untuk mengesyorkan pasukan pemerhati agar boleh memantau pilihan raya umum akan datang,” kata beliau dengan merujuk kepada misi pemantau Komanwel yang datang ketika pilihan raya umum 1990.

Pilihan raya umum 1990 merupakan yang pertama sejak krisis Umno 1986/1987 dan turut membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan kewujudan perikatan pembangkang.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menjemput pasukan pemantau sejak itu dan enggan mendedahkan kepada umum laporan misi itu.

Terdapat beberapa badan pemantau pilihan raya tempatan tetapi menerima kerjasama yang kecil daripada SPR.

Seorang diplomat berkata mereka juga telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Bersih 2.0 untuk mendapatkan taklimat mengenai lapan tuntutan mereka.

“Kami ada satu taklimat yang diberikan oleh pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan mengenai perjuangan mereka,” katanya tetapi enggan memberi butiran spesifik mengenai hasil pertemuan itu.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu berkaitan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

Walaupun dihalang dan disekat pihak berkuasa termasuk memutuskan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram, penganjur mendakwa telah berjaya menghimpunkan 50,000 orang. Tetapi polis menafikan jumlah itu dengan berkata hanya 6,000 orang hadir.

Halau Bourdon : Najib Seangkatan Ben Ali

KUALA LUMPUR 23 JULAI : Tindakan kerajaan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak mengusir keluar peguam Perancis, William Bourdon yang mengendalikan kes rasuah Scorpene di Perancis membariskan beliau antara pemimpin diktator dunia.

Pengerusi Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mengingatkan semua pihak betapa perbuatan Najib itu mengulangi kezaliman bekas Presiden kuku besi Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali yang digulingkan rakyat baru-baru ini.

“Bourdon sebelum ini pernah dihalau oleh Ben Ali. Kali ini, Najib pula mengulangi tindakan sama. Najib sama seperti Ben Ali, sebaris dengan Ben Ali. Tiada bezanya mereka berdua.

“Kalau tidak salah, kenapa dihantar balik peguam Perancis. Bourdon datang untuk jalankan tanggungjawabnya mendedahkan kontroversi pembelian Scorpene,” kata beliau kepada yang lebih dikenali Chegu Bard kepada KeadilanDaily, hari ini.

Bourdon dijadualkan memberi ucapannya di Selangor malam semalam dan 23 Julai di Ipoh, Perak sebelum ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dihantar pulang ke Paris jam 11.30 malam semalam.

Beliau aktif dalam memulakan prosedur undang-undang di Perancis terhadap bekas pemimpin Serbia atau pemimpin Rwanda yang disyaki melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

Beliau juga peguam kepada keluarga asal Perancis-Chile yang menjadi mangsa kepada bekas diktaktor Augusto Pinochet, selain mempertahankan beberapa banduan Perancis yang ditahan di Guantanamo.

Manakala Ben Ali pula seorang beragama Islam tetapi tidak melaksanakan pemerintahannya berlandaskan syariat, malah menolak tuntutan al-Quran sebagai dasar sesebuah kerajaan sekalipun majoriti rakyat, beragama Islam.

Ben Ali juga menukarkan Tunisia kepada sebuah kerajaan polis apabila meletakkan seorang anggota polis bagi mengawal setiap 100 penduduk

Pemerintahan kuku itu berakhir berikutan kebangkitan rakyat hingga menyebabkan Ben Ali dan isterinya, Laila Trabelsi yang popular sebagai First Lady dan boros membelanjakan wang rakyat, melarikan diri ke luar negara.

Mengulas lanjut, Badrul berkata, Najib dalam keadaan semakin terdesak dan kini takut akan bayang-bayangnya sendiri hingga akhirnya memalukan dirinya sendiri.

“Najib semakin tergugat apatah lagi takut pembohongannya terdedah dengan pembongkaran Bourdon,” kata Ketua Cabang Rembau itu.