September 11, 2014
malaysia today
BEKAS Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin mendakwa kegilaan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali (gambar kecil) ‘melobi’ jawatan Menteri Besar Selangor punca kepada masalah itu kini semakin bercelaru.
(Berita Harian) – Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin mendakwa kegilaan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ‘melobi’ jawatan Menteri Besar Selangor punca kepada masalah itu kini semakin bercelaru dan PKR tidak dihormati rakan sekutunya.
Dalam penulisan di blog dan Facebooknya hari ini, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard turut menyifatkan tindakan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu menyebabkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat keahliannya oleh PKR.
“Lobi Azmin yang nak jadi MB akhirnya membawa kepada episod pemecatan Khalid Ibrahim dan fasa lantikan baru dari Istana. PKR yang diperlihatkan tidak ‘solid’ kepimpinannya sudah tentu akan dipermainkan atau tidak dihormati bukan saja oleh musuh dan Istana, malah sahabat sendiri,” katanya.
Beliau berkata, situasi ini berlaku disebabkan tindakan pemimpin kanan PKR itu yang kononnya menyokong satu nama dipersembahkan kepada Istana, namun pada masa sama menghantar ‘pasukan’ untuk melobi dirinya.
“Tanyalah pemimpin PAS bagaimana Azmin melalui pelbagai saluran melobi sehingga Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri mahu membawa namanya tetapi apabila lobinya pada PAS terbongkar dia sendiri menghadap Datuk Seri Anwar Ibrahim konon menyatakan Presiden PAS yang mahu melamar dia.
“Ini antara punca meretakkan lagi hubungan Pakatan Rakyat. Dia bercakap kepada media akan tolak sebarang cadangan namanya dan menyokong (Presiden PKR, Datin Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) tetapi di belakang ia terus melobi termasuk ke Istana,” katanya. Menyifatkan PKR kini ibarat telur di hujung tanduk, Badrul Hisham turut mencabar Azmin menyembah surat kepada Istana Selangor menyatakan bahawa dirinya tidak mahu menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Abdul Khalid.
“Hentikan usaha lobi belakang ini, hantar surat kepada Istana dan nyatakan bahawa anda tidak mahu menjadi Menteri Besar, menghormati kebijaksanaan baginda Sultan agar menolak sebarang khabar angin bahawa PKR itu tidak ‘solid’ dengan keputusan untuk menamakan Wan Azizah dan kamu nyatakan sokongan tanpa belah bagi.
“Jangan hanya kata di media tetapi hantar ‘signal’ berbeza kepada Istana dan penyokong kamu dengan harapan Wan Azizah ditolak dan kamu jadi pelan B,” katanya.