Bantahan terhadap penggantungan Abdul Aziz Bari semakin hangat

Bantahan terhadap penggantungan Abdul Aziz Bari semakin hangat

MerdekaReview | Oct 21, 2011 02:05:40 pm



Dalam tempoh sehari, laman sosial "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" berjaya mencapai sasarannya, sementara satu lagi laman sosial bertemakan "Kami Bantah Penggantungan Dr. Aziz Bari" , mencatat kira-kira 6,000 penyokong, pada jam 2 petang, hari ini.

Kenyataan media dari pertubuhan siswa-siswa, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik masing-masing mengecam keputusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggantung Profesor Abdul Aziz Bari dari tugasnya sebagai seorang pensyarah Undang-Undang. Pencabulan kebebasan akademik menjadi tema utama ketika pihak berkenaan mengulas isu ini. Malah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah dilaporkan mendakwa dirinya turut "berasa terganggu dan sedih" terhadap kejadian yang berlaku.

Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr.MAZA) yang sepanjang ini menyokong Abdul Aziz Bari, menyifatkan tindakan UIAM sebagai "tindakan mengampu", malah "tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik". Sebelum ini, ketika Abdul Aziz Bari diserang pemimpin dan media kawalan UMNO-BN, selepas kenyataannya dipetik Malaysiakini dalam laporan berjudul "Aziz Bari: Campurtangan perlu selaras ajaran Islam", Dr.MAZA dalam laman sosial rasminya berkata, "antara perkara yang boleh mengancam akidah orang melayu ialah menganggap titah sultan atau raja itu mesti ditaati secara mutlak..tidak boleh derhaka..tidak mungkin salah..raja dan sultan diberikan kemaksuman sehingga titah mereka bagai al-Quran dan as-Sunnah yang tidak boleh dipertikaikan..ini seakan akidah yang menganggap raja adalah dewa..dalam Islam selain Allah dan rasulNya; boleh dikritik dan dipertikaikan.."

Yang berikut adalah antara sedutan kenyataan-kenyataan berhubung keputusan UIAM menggantung tugas Profesor Abdul Aziz Bari:

Abdul Aziz patriot sebenar - Zunar (gambar kanan), kartunis tempatan yang kini berada di Bilbao

Memerlukan keberanian luar biasa bagi Aziz Bari yang muncul di tengah-tengah budaya "kangkung" di mana pengampu diagungkan dan para ilmuan ditekan.

Kata Khalifah Islam, Ali Abu Talib: "Patriotisme sebenar ialah menyatakan kebenaran di depan pemerintah yang zalim". Itu yang Aziz lakukan di depan pemerintah Islam dan Universiti Islam. Saya sokong dan hormati beliau. Jangan mengalah!


Bercanggah dengan tradisi intelektual -- Mustafa Kamal Anuar (gambar kiri), ahli akademik

"Tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Universiti Islam Antarabangsa terhadap pakar perlembagaannya, Prof. Aziz Bari, mengenai isu campurtangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kes serbuan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama itu amatlah mendukacitakan. Ini kerana implikasinya amat serius sebab ini bermakna, antara lain, hak untuk menyuarakan pandangan yang berdasarkan kepakaran tidak digalakkan, lebih-lebih lagi jika pendirian itu kelihatan bercanggah dengan pandangan pihak berkuasa.

Penggantungan Prof. Aziz Bari ini juga bercanggahan dengan tradisi intelektual yang seharusnya diwarisi oleh mana-mana institusi pengajian tinggi yang disegani di mana perbalahan pendapat secara ilmiah dan bertamadun bukan saja dibenarkan oleh pihak berkuasa institusi itu malah disanjung tinggi oleh warga kampus khususnya dan ahli masyarakat amnya."



Beliau melahirkan peguam berjiwa rakyat --S .Arutchelvan (gambar kanan), Setiausaha Agung PSM.

"Tindakan menggantung beliau memberi satu amaran keras bahawa hak mengeluarkan pandangan dan hak akademik hanyalah boleh pakai andai kata seorang itu berkata hujah-hujah yang menyokong parti pemerintah. Tindakan ini juga sekali lagi menggambarkan bahawa ada campurtangan politik dalam keputusan menggantung beliau memandangkan desakan untuk mengambil tindakan terhadap beliau datangnya dari UMNO dan kuncu-kuncunya.

Tindakan ini sekali lagi mencetuskan persoalan, 'cakap tak serupa bikin'. Di satu pihak Perdana Menteri berkata bahawa beliau membuat transformasi politik dengan memberikan lebih hak kebebasan dan pentadbiran yang lebih telus. Tetapi pada realitinya,setiap suara pembangkang diambil tindakan dengan pelbagai cara yang anti demokratik.

Prof Dr Abdul Aziz Bari adalah seorang ahli akademik yang bebas dan bermaruah. Beliau pernah memberi pelbagai pandangan dan pandangan beliau juga bukannya bias kepada satu kumpulan sahaja kerana beliau juga pernah mengkritik parti pembangkang dan sebagainya. Beliau juga pernah melahirkan peguam-peguam dari UIA yang berani dan berjiwa rakyat. Tindakan ke atas beliau adalah satu tindakan yang cukup memalukan untuk UIA dan untuk Negara kita.

PSM meminta pihak Universiti serta-merta meminta maaf selain dari membenarkan beliau bertugas kembali seperti biasa. PSM bersama gerakan rakyat pelbagai kaum dan agama akan terus memperjuangkan hak dan kebebasan akademik sentiasa dilindungi."



Penyuburan ilmu terbantut--Wan Azizah Wan Ismail (gambar kiri) Presiden PKR.

Rakyat sudah sedia maklum bahawa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Profesor Dr. Abdul Aziz Bari berhubung dengan kenyataan beliau yang menyentuh beberapa isu dalam lingkungan Perlembagaan. Kini kita dikejutkan lagi dengan berita yang mana beliau juga digantung tugas sebagai pensyarah undang-undang sehingga ke suatu tempoh yang akan ditetapkan.

KEADILAN berpandangan bahawa tindakan ini seolah-olah merendahkan para akademia dalam tugasan harian mereka untuk memberi pandangan dan pendapat dalam kepakaran mereka. Adalah sesuatu yang memalukan dan menzalimi para cendakiawan di Malaysia apabila ditekan dan disekat hanya kerana memberi pandangan bersandarkan fakta-fakta imperikal yang sememangnya menjadi kepakaran mereka. Ini sekaligus akan membantutkan proses penyuburan ilmu kepada rakyat.

Isu yang timbul, yang dipolemikkan oleh sesetengah media dan politikus tertentu melibatkan Profesor Dr. Aziz, harus dianalisa ketepatannya terlebih dahulu dalam konteks perundangan, bukan sekadar persepsi dari sesetengah pihak. Mereka seharusnya diberikan ruang untuk memberi komentar mahupun kritikan selagimana ia bersifat membina dan berada dalam kerangka undang-undang negara.

Oleh yang demikian atas prinsip kebebasan akademik, KEADILAN berharap isu ini dapat dirungkai oleh pihak pengurusan UIAM agar ia dapat dikendalikan dengan penuh hemah dan wibawa tanpa mencemarkan budaya ilmu seterusnya budaya ilmu ini akan dapat diangkat di Malaysia yang kita kasihi.



UIAM gadaikan prinsip kebebasan akademik -- Lau Weng San (gambar kanan), ADUN Kampung Tunku

"...Tindakan ini mempunyai kesan berpanjangan terhadap imej antarabangsa Malaysia kerana UIAM ditubuhkan sabagai sebuah universiti antarabangsa. Sebagai sebuah universiti antarabangsa, ianya perlu mencerminkan semangat kepelbagaian, keterbukaan, saling menghormati semasa ahli akademik walaupun berbeza pendapat dan sebagainya.

Malahan, ini juga merupakan semangat yang sepatutnya ada pada sesebuah universiti, tanpa mengira sama ada universiti itu mempunyai nama 'antarabangsa' atau tidak.

Malangnya, pihak pengurusan UIAM sanggup menggadaikan prinsip kebebasan akademik sehingga mereka sanggup menggantung tugas Profesor Abdul Aziz Bari dan meminta beliau memberi surat tunjuk sebab hanya kerana beliau mempunyai pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa dalam bidang kepakaran dan kajian beliau.

Daya saingan sesebuah negara amat bergantung kepada taraf pendidikan rakyatnya, termasuk pendidikan tinggi. Apa yang berlaku ke atas Profesor Abdul Aziz Bari merupakan sesuatu yang mengaibkan kita semua.

Bagaimana negara kita boleh mencapai negara maju jikalau pihak berkuasa asyik melenyapkan pandangan-pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa melalui cara-cara yang zalim?

Oleh itu, saya mengkritik dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIAM terhadap Profesor Abdul Aziz Bari. Saya juga menyeru pihak UIAM supaya segera menarik balik penggantungan tugas Profesor Abdul Aziz Bari ini dan memulihkan tugas beliau di UIAM dengan serta-merta."

Wawancara MerdekaReview bersama Profesor Abdul Aziz Bari:

Bahagian pertama: Abdul Aziz Bari: Majoriti yang sokong saya Melayu

Bahagian kedua: Abdul Aziz Bari: Keluhuran perlembagaan bukan untuk diulang-ulang seperti burung kakak tua

Aziz Bari balas surat Selasa ini, lagi pemimpin kecam UIA

Aziz Bari balas surat Selasa ini, lagi pemimpin kecam UIA

October 21, 2011

KUALA LUMPUR, 21 Okt − Sementara pemimpin politik dan badan bukan kerajaan melahirkan sokongan moral kepada Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang itu menegaskan beliau sama sekali tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengecam Sultan Selangor.

Sebaliknya kata Aziz, beliau hanya memberi pandangan mengenai aspek perundangan yang perlu diketahui oleh masyarakat awam mengenai institusi diraja dan peruntukan perlembagaan.

“Sebagai ahli akademik, saya ada peranan untuk memberitahu rakyat, itu yang saya lakukan,” kata beliau dalam kenyataannya mengulas perkembangan semasa.

Dengan merujuk kepada laporan Kosmo! hari ini, kata Aziz (gambar), “ada media mengeluarkan laporan bahawa saya mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Sultan Selangor.”

“Saya akan bercakap dengan peguam saya mengenai perkara ini,” katanya lagi.

“Saya tidak mengecam Sultan Selangor,” kata Aziz sambil menambah beliau akan menjawab surat tunjuk sebab pada Selasa ini.

“Saya akan bertemu dengan peguam saya nanti untuk menyediakan penjelasan kepada surat tunjuk sebab yang diberikan (oleh UIA)... mungkin saya akan hantar Selasa ini,” kata beliau.

Dalam pada itu Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman berkata, tindakan surat tunjuk sebab terhadap Aziz merupakan satu tindakan yang bukan sahaja pelik, tetapi juga terkebelakang dari perspektif menyuburkan budaya pemikiran kritis.

“Pada padangan saya, mana-mana pandangan ilmiah seharusnya diberikan jawapan secara ilmiah dengan diadakan perdebatan secara ilmiah.

“Tidak seharusnya pandangan ilmiah dijawab dengan kekuasaan politik,” kata beliau sambil menambah, “justeru adalah tidak harian mengapa indeks universiti terbaik di Malaysia jatuh merudum pada tahun ini.

Justeru beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata, “adakah Malaysia sedang menuju ke arah politik seperti negara Afrika Timur yang membunuh kaum intelektual?”

“Seperti yang kita maklumi, Uganda sebelum ini diperintah oleh Milton Obote. Namun selepas rampasan kuasa oleh Idi Amin, beliau menjadi diktator yang telah membisukan kaum intelektual.

“Mereka yang tidak mahu dibisukan terpaksa nyah keluar dari negara Uganda. Adakah nasib yang sama akan menimpa Malaysia? Saya medoakan agar Malaysia tidak ke arah itu,” katanya lagi.

Kata beliau, tindakan terhadap Aziz juga adalah langkah yang tidak selari dengan seruan Perdana Menteri ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 yang telah menyebut salah satu lagi agenda nasional bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi ialah penghasilan modal insan yang berkualiti.

“Justeru, saya berharap agar YAB Perdana Menteri dapat mengotakan janji beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Adun DAP Kampung Tunku Lau Weng San pula menyifatkan tindakan UIA menggantung tugas Aziz sebagai zalim terhadap para akademik dan telah mencalah imej antarabangsa Malaysia.

“Saya mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengurusan UIA yang menggantung tugas dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Profesor Abdul Aziz Bari kerana kenyataan beliau berkenaan dengan peranan yang dimainkan oleh Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama.

“Tindakan UIA yang bertujuan untuk menghukum anggota-anggota akademik yang mengeluarkan pandangannya berdasarkan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang kajiannya adalah amat silap. Tindakan ini tidak lain tidak bukan mempunyai motif politik dan bertujuan untuk melenyapkan pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa,” katanya lagi.

“Oleh itu, saya mengkritik dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIA dan saya juga menyeru pihak UIA supaya segera menarik balik penggantungan tugas Profesor Abdul Aziz Bari ini dan memulihkan tugas beliau di UIA dengan serta-merta,” katanya lagi.

Pendirian yang sama diutarakan oleh Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan.

“Kami warga Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup tersinggung dengan perkembangan ini. Sudahlah mahasiswa mereka belenggu dengan pelbagai peraturan seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang tidak bertamadun oleh sebuah pusat pengajian yang kononnya bertaraf antarabangsa.

“Kami mendesak agar Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dari penggantungan yang telah mencemar dunia ilmu dan merosakkan reputasi universiti sebagai menara ilmu dalam negara ini,” kata beliau.

Nasrudin berkata, kalaupun gagal menaikkan prestasi universiti di peringkat antarabangsa maka janganlah pula dirosakkan lagi pencapaian sedia ada kerana ia sangat memalukan.

Khalid Samad: Pemimpin Pas Tidak Digalakkan Hadir Himpun

SHAH ALAM 21 Oktober : Pimpinan PAS tidak digalakkan untuk hadir ke Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bakal berlangsung esok di Stadium Shah Alam bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat seolah-olah memberi tanggapan PAS menyertainya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS II Selangor, Khalid Samad yang dihubungi TV Selangor menjelaskan bahawa tiada larangan secara khusus bagi ahli PAS untuk menyertai himpunan tersebut atas kapasiti individu.

"Tidak ada arahan untuk tidak hadir kecuali terhadap pemimpin-pemimpin parti dan pusat supaya tidak akan timbul kekeliruan seolah-olah kita menyertai program itu, kerana mereka itu dikenali sebagai pimpinan PAS dan kehadiran mereka akan memberikan pengesahan seolah-olah PAS menyertainya,"

"Pada dasarnya tiada larangan ahli PAS untuk hadir tetapi kalau tidak silap saya pimpinan utama tidak digalakkan untuk hadir kerana akan menimbulkan kekeliruan dari segi orang akan mengatakan bahawa itu adalah pimpinan PAS, maknanya PAS menyertai program tersebut sedangkan kita sudah menyatakan bahawa kita tidak menyertainya walaupun pada dasarnya untuk usaha pemantapan akidah itu disokong,"katanya.

Tambah Khalid lagi, PAS mengambil ketetapan untuk tidak hadir ke program tersebut bagi menghormati permintaan penganjur yang mengkehendaki program ini bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik.

Terdahulu, PAS mencapai kata sepakat untuk tidak menyertai HIMPUN. Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat biro politik di pejabat agung PAS Selasa malam lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan PAS bersikap berkecuali kerana menghormati kehendak penganjur program yang tidak mahu melibatkan mana-mana parti politik.

Menurut penganjur HIMPUN, yang merupakan badan bukan kerjaan (NGO) Islam, perhimpunan tersebut bertujuan menentang apa yang dikatakan percubaan untuk menyebar ajaran Kristian kepada orang Islam.

"Kita menghormati pihak penganjur yang ingin ianya tidak dipolitikkan dan tidak melibatkan parti-parti politik maka lajnah politik membuat keputusan kita tidak perlu menyertai."katanya.

Khalid juga menjelaskan bahawa himpunan itu dikhuatiri mempunyai agenda tersembunyi pihak-pihak tertentu khususnya untuk meraih sokongan politik dengan menggunakan taktik pecah dan perintah bagi menarik sokongan rakyat.

"Kita juga telah memberi penjelasan tentang kekhuatiran kita bahawa program yang seperti itu akan menghasilkan ketegangan di antara agama dan juga kaum di negara kita kerana dilihat seolah-olah bertujuan untuk mengumpulkan orang Islam bagi memberikan amaran kepada orang bukan Islam supaya jangan ganggu dan sebagainya dan pada saya tidak perlu diadakan program seperti itu."

" Ianya juga dikhuatirkan sebagai tindakan yang mempunyai agenda politik pihak yang tertentu walaupun ramai yang terlibat daripada kalangan orang yang ikhlas yang ingin menzahirkan kekhuatiran mereka terhadap berita yang telah disebarluaskan oleh pihak-pihak yang tertentu tetapi kita khuatir ada agenda politik disebaliknya yang bertujuan untuk pecah dan perintah rakyat Selangor."jelasnya.

Justeru,tambah Khalid perkara yang perlu diberi perhatian yang lebih besar ialah program pemantapan akidah dikalangan umat Islam diperhebatkan khususnya serangan akidah seperti isu sekularisme.

"Sedangkan masalah utama umat Islam di negara kita lebih banyak yang terlibat dalam kefahaman-kefahaman yang bercanggah dengan Islam seperti sekularisme,penolakan hukum-hakam Islam dan sebagainya dan bukan masalah kristananisasi sebab ia tidak begitu ramai dan ia bukan satu ancaman terbesar yang menimpa umat Islam buat masa kini,lebih serius lagi fahaman sekularisme dan sebagainya."jelasnya lagi.

Hassan Ali Sertai HIMPUN Esok.




SHAH ALAM, 21 OKT : Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau akan menyertai Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bakal berlangsung esok di Stadium Shah Alam.

Hassan Ali berkata kehadirannya itu bukan atas kapasiti rasmi atau mewakili PAS namun sebagai individu beragama Islam.

"Saya akan hadir, melangkah keluar dari rumah atas nama Aqidah, saya akan berada di situ selama tiga jam atas nama Aqidah serta kepulangan saya ke rumah juga atas nama Aqidah, tidak tidur malam kalau saya tidak pergi kerana ia adalah isu Aqidah, kalau bola, Selangor lawan Kelantan tiada keperluan untuk saya hadir."

Hassan Ali berkata demikian dalam program bual bicara fokus berita terbitan TvSelangor di sini hari ini.

Terdahulu, PAS mencapai kata sepakat untuk tidak menyertai HIMPUN. Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat biro politik di pejabat agung PAS Selasa malam lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan PAS bersikap berkecuali kerana menghormati kehendak penganjur program yang tidak mahu melibatkan mana-mana parti politik.

Menurut penganjur HIMPUN, yang merupakan badan bukan kerjaan (NGO) Islam, perhimpunan tersebut bertujuan menentang apa yang dikatakan percubaan untuk menyebar ajaran Kristian kepada orang Islam.

Hassan dengan tegas mengulangi pendiriannya untuk menyertai HIMPUN sebagai individu.

Menurutnya lagi, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut memberi kelepasan kepada mana-mana penjawat kerajaan Selangor yang mahu menyertai perhimpunan atas dasar individu.

"Kita harus bersyukur kerana masih ada dari kalangan kita yang tampil untuk membela, berjuang dan individu ini telah membuka langkah, takkanlah Hassan Ali yang berumur 64 sebagai seorang muslim tidak tergerak untuk hadir."

Mengulas lanjut, Hassan Ali menafikan dakwaan kononnya beliau adalah salah seorang pengerak HIMPUN.

"Saya tidak terlibat dalam penganjuran HIMPUN, saya dalam apa cara dan keadaaan sekali pun tidak pernah terlibat secara langsung bagi menghubungkan penganjur ini dengan mana-mana pihak."jelasnya.

Tegasnya, HIMPUN bukan bertujuan menimbulkan ketengangan mahupun meniup api kemarahan dikalangan umat Islam dan penganut Kristian. Katanya kesempatan perjumpaan ini adalah untuk menyedarkan serta umat Islam tentang kebejatan isu keruntuhan aqidah.

Hassan Ali berkata masyarakat bukan Islam turut mempunyai hak untuk berhimpun secara aman. Beliau turut mengalukan dialog antara agama lebih giat diadakan dari kalangan pakar.

"Ini adalah perhimpunan yang aman, berbudaya dan sopan, yang penting penganjuran ini bukalah untuk menimbulkan ketegangan dan emosi yang tidak terkawal antara penganut Islam dan bukan Islam."katanya.

Jangan Guna Budak Sebagai Senjata Politik




PULAU PINANG 20 OKT : Pimpinan kerajaan Pulau Pinang mengecam tindakan blogger pro-Umno yang memfitnah anak remaja lelaki Lim Guan Eng sambil menyeru lawan politik mereka untuk hanya menumpukan serangan terhadap orang politik.

Timbalan Ketua Menteri II Dr P.Ramasamy berkata, kenyataan yang dilemparkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek baharu-baharu ini dengan mengatakan kejadian itu sebagai politik biasa di Malaysia adalah tidak wajar sama sekali.

"Bagaimana pemimpin MCA boleh berkata begitu kepada masyarakat Malaysia bila mana rakyat memandang dia sebagai seorang pemimpin. Jenis moral apakah itu? Dia sepatutnya memberitahu rakyat bahawa kita tidak sepatutnya menghukum seorang budak berusia 16 tahun. Kita perlu elakkan perkara begini. Pimpinan Umno boleh menentang kita, tetapi bukan seorang budak kecil," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Datuk Mansor Othman dengan nada sinis berkata tindakan tersebut mencerminkan budaya politik
Umno-BN hari ini.

Tambahnya, adalah sesuatu yang memalukan kepada negara apabila kegilaan kuasa menyebabkan Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa.

"Mahatma Gandhi dalam salah satu politik beliau iaitu Gandhi Seven Deadly Sins telah menyebut Politics Without Principal yang ternyata diamalkan hari ini oleh Umno dan BN adalah politik tanpa prinsip apabila dengan sedar telah mengheret anak Lim Guan Eng ke kancah politik kotor mereka.

Ini menunjukkan betapa rendahnya etika politik kepimpinan Umno-BN yang sanggup menggunakan taktik politik kotor dalam usaha membunuh karier politik lawan mereka," jelasnya.

Bari-baru ini blog pro Umno mendakwa anak Ketua Menteri Pulau Pinang itu terlibat dalam serangan seksual terhadap seorang gadis yang berasal dari Hong Kong.

Lim telah menyangkal semua dakwaan itu termasuk tuduhan itu ditutup dengan RM200,000.

DAP hari ini mendedahkan gambar yang digunakan blog-blog pro Umno untuk melontarkan dakwaan mereka sebenarnya merupakan juara catur bernama Anya Sun Corke yang berusia 21 tahun.

Corke yang kini mewakili England tiada kaitan dengan Pulau Pinang dan tidak pernah belajar bersama dengan anak lelaki Lim di George Town.

Sebaliknya dia sedang mengikuti pengajian di Wellesley College, Amerika Syarikat.

Blogger pro Umno termasuk Ketua Umno Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri mendakwa anak lelaki Lim telah mengganggu rakan satu kelas yang berusia 16 tahun dan cuba mengelak hukuman dengan menggunakan nama bapanya.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menunjukkan paparan skrin dari blog Dr Novandri dan Papagomo dan dipadankan dengan gambar-gambar dari laman web www.chessbase.com