Aziz Bari balas surat Selasa ini, lagi pemimpin kecam UIA

Aziz Bari balas surat Selasa ini, lagi pemimpin kecam UIA

October 21, 2011

KUALA LUMPUR, 21 Okt − Sementara pemimpin politik dan badan bukan kerajaan melahirkan sokongan moral kepada Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang itu menegaskan beliau sama sekali tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengecam Sultan Selangor.

Sebaliknya kata Aziz, beliau hanya memberi pandangan mengenai aspek perundangan yang perlu diketahui oleh masyarakat awam mengenai institusi diraja dan peruntukan perlembagaan.

“Sebagai ahli akademik, saya ada peranan untuk memberitahu rakyat, itu yang saya lakukan,” kata beliau dalam kenyataannya mengulas perkembangan semasa.

Dengan merujuk kepada laporan Kosmo! hari ini, kata Aziz (gambar), “ada media mengeluarkan laporan bahawa saya mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Sultan Selangor.”

“Saya akan bercakap dengan peguam saya mengenai perkara ini,” katanya lagi.

“Saya tidak mengecam Sultan Selangor,” kata Aziz sambil menambah beliau akan menjawab surat tunjuk sebab pada Selasa ini.

“Saya akan bertemu dengan peguam saya nanti untuk menyediakan penjelasan kepada surat tunjuk sebab yang diberikan (oleh UIA)... mungkin saya akan hantar Selasa ini,” kata beliau.

Dalam pada itu Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman berkata, tindakan surat tunjuk sebab terhadap Aziz merupakan satu tindakan yang bukan sahaja pelik, tetapi juga terkebelakang dari perspektif menyuburkan budaya pemikiran kritis.

“Pada padangan saya, mana-mana pandangan ilmiah seharusnya diberikan jawapan secara ilmiah dengan diadakan perdebatan secara ilmiah.

“Tidak seharusnya pandangan ilmiah dijawab dengan kekuasaan politik,” kata beliau sambil menambah, “justeru adalah tidak harian mengapa indeks universiti terbaik di Malaysia jatuh merudum pada tahun ini.

Justeru beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata, “adakah Malaysia sedang menuju ke arah politik seperti negara Afrika Timur yang membunuh kaum intelektual?”

“Seperti yang kita maklumi, Uganda sebelum ini diperintah oleh Milton Obote. Namun selepas rampasan kuasa oleh Idi Amin, beliau menjadi diktator yang telah membisukan kaum intelektual.

“Mereka yang tidak mahu dibisukan terpaksa nyah keluar dari negara Uganda. Adakah nasib yang sama akan menimpa Malaysia? Saya medoakan agar Malaysia tidak ke arah itu,” katanya lagi.

Kata beliau, tindakan terhadap Aziz juga adalah langkah yang tidak selari dengan seruan Perdana Menteri ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 yang telah menyebut salah satu lagi agenda nasional bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi ialah penghasilan modal insan yang berkualiti.

“Justeru, saya berharap agar YAB Perdana Menteri dapat mengotakan janji beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Adun DAP Kampung Tunku Lau Weng San pula menyifatkan tindakan UIA menggantung tugas Aziz sebagai zalim terhadap para akademik dan telah mencalah imej antarabangsa Malaysia.

“Saya mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengurusan UIA yang menggantung tugas dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Profesor Abdul Aziz Bari kerana kenyataan beliau berkenaan dengan peranan yang dimainkan oleh Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama.

“Tindakan UIA yang bertujuan untuk menghukum anggota-anggota akademik yang mengeluarkan pandangannya berdasarkan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang kajiannya adalah amat silap. Tindakan ini tidak lain tidak bukan mempunyai motif politik dan bertujuan untuk melenyapkan pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa,” katanya lagi.

“Oleh itu, saya mengkritik dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIA dan saya juga menyeru pihak UIA supaya segera menarik balik penggantungan tugas Profesor Abdul Aziz Bari ini dan memulihkan tugas beliau di UIA dengan serta-merta,” katanya lagi.

Pendirian yang sama diutarakan oleh Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan.

“Kami warga Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup tersinggung dengan perkembangan ini. Sudahlah mahasiswa mereka belenggu dengan pelbagai peraturan seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang tidak bertamadun oleh sebuah pusat pengajian yang kononnya bertaraf antarabangsa.

“Kami mendesak agar Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dari penggantungan yang telah mencemar dunia ilmu dan merosakkan reputasi universiti sebagai menara ilmu dalam negara ini,” kata beliau.

Nasrudin berkata, kalaupun gagal menaikkan prestasi universiti di peringkat antarabangsa maka janganlah pula dirosakkan lagi pencapaian sedia ada kerana ia sangat memalukan.

No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

MALU APA BOSSKU : Najib 'tok dalang' SRC, Darurat ada udang sebalik batu, SKMM perlu tegas...