Hassan Ali Sertai HIMPUN Esok.




SHAH ALAM, 21 OKT : Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau akan menyertai Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bakal berlangsung esok di Stadium Shah Alam.

Hassan Ali berkata kehadirannya itu bukan atas kapasiti rasmi atau mewakili PAS namun sebagai individu beragama Islam.

"Saya akan hadir, melangkah keluar dari rumah atas nama Aqidah, saya akan berada di situ selama tiga jam atas nama Aqidah serta kepulangan saya ke rumah juga atas nama Aqidah, tidak tidur malam kalau saya tidak pergi kerana ia adalah isu Aqidah, kalau bola, Selangor lawan Kelantan tiada keperluan untuk saya hadir."

Hassan Ali berkata demikian dalam program bual bicara fokus berita terbitan TvSelangor di sini hari ini.

Terdahulu, PAS mencapai kata sepakat untuk tidak menyertai HIMPUN. Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat biro politik di pejabat agung PAS Selasa malam lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan PAS bersikap berkecuali kerana menghormati kehendak penganjur program yang tidak mahu melibatkan mana-mana parti politik.

Menurut penganjur HIMPUN, yang merupakan badan bukan kerjaan (NGO) Islam, perhimpunan tersebut bertujuan menentang apa yang dikatakan percubaan untuk menyebar ajaran Kristian kepada orang Islam.

Hassan dengan tegas mengulangi pendiriannya untuk menyertai HIMPUN sebagai individu.

Menurutnya lagi, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut memberi kelepasan kepada mana-mana penjawat kerajaan Selangor yang mahu menyertai perhimpunan atas dasar individu.

"Kita harus bersyukur kerana masih ada dari kalangan kita yang tampil untuk membela, berjuang dan individu ini telah membuka langkah, takkanlah Hassan Ali yang berumur 64 sebagai seorang muslim tidak tergerak untuk hadir."

Mengulas lanjut, Hassan Ali menafikan dakwaan kononnya beliau adalah salah seorang pengerak HIMPUN.

"Saya tidak terlibat dalam penganjuran HIMPUN, saya dalam apa cara dan keadaaan sekali pun tidak pernah terlibat secara langsung bagi menghubungkan penganjur ini dengan mana-mana pihak."jelasnya.

Tegasnya, HIMPUN bukan bertujuan menimbulkan ketengangan mahupun meniup api kemarahan dikalangan umat Islam dan penganut Kristian. Katanya kesempatan perjumpaan ini adalah untuk menyedarkan serta umat Islam tentang kebejatan isu keruntuhan aqidah.

Hassan Ali berkata masyarakat bukan Islam turut mempunyai hak untuk berhimpun secara aman. Beliau turut mengalukan dialog antara agama lebih giat diadakan dari kalangan pakar.

"Ini adalah perhimpunan yang aman, berbudaya dan sopan, yang penting penganjuran ini bukalah untuk menimbulkan ketegangan dan emosi yang tidak terkawal antara penganut Islam dan bukan Islam."katanya.