JANGAN GADUH-GADUH TERUSKAN PERJUANGAN

PAS 'terima' Zaid: Husam dakwa berita karut


16, 10 2:00pm
Ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Husam Musa mendakwa Bernama membuat laporan "karut" berhubung kesediaan parti itu menerima bekas ahli parti lain, termasuk Datuk Zaid Ibrahim.

"Apa yang dilaporkan Bernama yang kononnya dipetik daripada kenyataan saya semalam adalah tidak benar dan direka-reka," katanya.

Sehubungan itu, menyatakan kekesalaannya, Husam yang juga exco kanan kerajaan Kelantan mendesak berita itu ditarik balik.

Beliau juga mengkritik Bernama yang membuat laporan "rasmi" untuk kegunaan media lain, "seolah-olah laporannya adalah betul dan rasmi".Semalam selepas ditemuramah Bernama menerusi rancangan Hello Malaysia di Wisma Bernama, di Kuala Lumpur Husam dilaporkan sebagai berkata PAS sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana bekas ahli parti lain, termasuk Zaid yang mengesahkan akan keluar daripada PKR.

Husam yang juga ADUN Salor dilaporkan berkata, PAS pernah menawarkan tempat kepada Zaid dalam parti itu namun ditolak kerana Zaid lebih cenderung menyertai PKR.

"Dia (Zaid) sudah dewasa kalau dia nak masuk mana-mana parti...dulupun kita tawarkan dia masuk PAS, dia menolak namun terpulanglah kepada dia mana-mana parti dia nak masuk," katanya.

Zaid yang juga bekas ketua PKR Wilayah Persekutuan, semalam secara rasmi melahirkan hasratnya untuk berundur dari parti itu.

"Memang benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan borang rasmi lagi,” tulis Zaid di blognya petang semalam.

Katanya, “semuanya akan dijelaskan” apabila beliau mengeluarkan kenyataannya pada Jumaat ini.