Sebentar (SEMALAM)tadi PAS buat satu pengumuman mengejut dengan menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

 




Afiq Noordin





Sebentar tadi PAS buat satu pengumuman mengejut dengan menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Sebabkan saya ada dua jenis Sambal Minang, sambal merah dan sambal hijau jadi saya terpangggil untuk mengulas isu ini.
“Dengan siapa je Pas pernah kerjasama sebelum ini?”
1973 - PAS sertai Perikatan sebelum jadi sebahagian daripada Barisan Nasional lepas Pilihan Raya Umum 1974.
1977 - Hubungan PAS dan Barisan Nasional berakhir susulan krisis politik Kelantan.
1990 - PAS bentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan berjaya menawan Kelantan.
1999 - PAS sertai Barisan Alternatif bersama PKR, DAP dan Parti Rakyat Malaysia selepas tercetusnya gerakan Reformasi.
2008 hingga 2015 - PAS jadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP sebelum gabungan itu berpecah dan Pas berpecah dua sehingga tertubuhnya Amanah.
2018 - PAS bentuk Gagasan Sejahtera bersama parti Ikatan dan Berjasa bagi menghadapi PRU 14.
2019 - PAS dan UMNO tandatangan Piagam Muafakat Nasional yang ketika itu dianggap sebagai penyatuan politik Melayu terbesar.
2020 - PAS bersama Bersatu dan Gerakan dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.
2026 - PAS umum tamat kerjasama politik dengan Bersatu.
Melihat kepada kronologi ini, satu perkara jelas.
Pas boleh dikatakan telah berkawan dengan semua Parti Politik yang ada di Malaysia tapi jodoh mereka sentiasa tidak berpanjangan.
“Apa sebenarnya yang PAS umumkan?”
Walaupun dah putuskan untuk henti kerjasama dengan Bersatu, sebenarnya PAS masih buka ruang dalam bentuk persefahaman pilihan raya atau “electoral pact” pada masa hadapan.
Maksudnya, walaupun hubungan politik dengan Bersatu dah tamat tapi ruang rundingan pilihan raya masih belum ditutup sepenuhnya.
Kiranya mereka letakkan keputusan ini pada Bersatu.
“Adakah DUN di SG4 akan terbubar secara automatik?”
Tidak!
Yang menentukan kedudukan sesebuah kerajaan negeri ialah sama ada Menteri Besar masih mempunyai sokongan majoriti ADUN atau tidak.
Macam yang berlaku di Perlis sebelum ini bilamana Adun Bersatu tarik sokongan pada Menteri Besar dari Pas sehingga terpaksa letak jawatan.
Kawan sendiri tu. hmm
“Boleh kita semak semua kedudukan kerusi Pas dan Bersatu di SG4?”
Walaupun bertanding atas logo Pas dan Perikatan Nasional, kita masih boleh pecahkan Adun ikut parti asal dia.
Saya masukkan Adun Reset dalam kerusi Bersatu sebab saya malas nak kaji pasal Reset walaupun mereka lagi awal berpisah dengan Bersatu.
PAS - 37 kerusi
Bersatu - 5 kerusi
Majoriti mudah - 23 kerusi
PAS masih ada majoriti yang sangat besar walaupun tanpa Bersatu.
Kerajaan masih kukuh. Hanya ada satu Exco saja dari Bersatu. Ada kemungkinan akan dirombak.
PAS - 27 kerusi
Bersatu - 5 kerusi
Majoriti mudah - 17 kerusi
PAS masih ada majoriti yang sangat besar walaupun tanpa Bersatu.
Kerajaan masih kukuh. Hanya ada satu Exco saja dari Bersatu. Ada kemungkinan akan dirombak.
PAS - 21 kerusi.
Bersatu - 9 kerusi.
Majoriti mudah - 19 kerusi.
PAS masih ada majoriti yang sangat besar walaupun tanpa Bersatu.
Kerajaan masih kukuh, ada kemungkinan rombakan Exco akan berlaku kalau Adun tersebut pro Bersatu dan bukan pro Reset.
Perlis memang tengah alami situasi yang sangat tegang.
PAS - 6 kerusi
Bersatu - 5 kerusi.
Majoriti mudah - 8 kerusi
Sekarang ini Menteri Besar dan 4 orang Exco dari Bersatu selepas Menteri Besar Pas hilang sokongan dan letak jawatan.
Ada kemungkinan DUN akan dibubarkan.
“Adakah Bersatu mampu bertahan tanpa PAS?”
Ini sebenarnya persoalan yang jauh lebih besar daripada soal kerajaan negeri tumbang atau tidak.
Di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, banyak kerusi Bersatu dimenangi ketika gelombang Perikatan Nasional berada pada kemuncaknya.
Ramai penganalisis melihat kekuatan jentera PAS sebagai antara faktor utama yang membantu kemenangan tersebut.
Jika PAS dan Bersatu bertanding secara berasingan pada pilihanraya yang akan datang ini
1. Berapa banyak kerusi yang Bersatu mampu pertahankan?
2. Adakah Bersatu mampu berdiri sendiri tanpa PAS?
3. Adakah perpecahan ini akhirnya memberi ruang kepada BN dan PH untuk kembali merampas kerusi yang mereka kalah sebelum ini?
4. Dengan siapa pula Pas akan berkawan selepas ini?
Saya tinggalkan persoalan ini kepada anda semua.





MCMC Arah Liputan Telekomunikasi Di Kampung Tinagat Dipertingkat Segera

 


Pasukan MCMC menguji liputan telekomunikasi dan mengambil tindakan susulan bagi menangani isu kualiti perkhidmatan selular yang tidak memuaskan di Kampung Tinagat, Tawau pada 8 Jun 2026. Foto MCMC

TAWAU, 9 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kualiti liputan komunikasi di Kampung Tinagat, di sini.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengadakan lawatan ke kampung berkenaan baru-baru ini selepas menerima aduan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan penduduk setempat.

Katanya, lawatan itu turut disertai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat bagi menilai sendiri tahap perkhidmatan komunikasi yang diterima pengguna.

Atas aduan daripada penduduk, MCMC mengambil tindakan susulan bagi menangani isu kualiti perkhidmatan selular yang tidak memuaskan di Kampung Tinagat, Tawau pada 8 Jun 2026. Foto MCMC

“Hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) yang dijalankan di tiga lokasi mendapati dua lokasi tidak memenuhi standard mandatori yang ditetapkan MCMC.

“Dapatan itu sudah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan terbabit pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, syarikat telekomunikasi yang terbabit diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas dan pelan tindakan susulan berhubung keputusan ujian berkenaan.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang disiarkan pada 8 Jun 2026. Foto MCMC

MCMC berkata, notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, bagi memastikan masalah itu dapat ditangani segera, CelcomDigi diarahkan melaksanakan langkah penambahbaikan liputan rangkaian serta menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang.

“Maxis pula diarahkan menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan di kawasan berkenaan,” katanya.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang disiarkan pada 8 Jun 2026. Foto MCMC

Menurut MCMC, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tindakan yang diambil oleh penyedia perkhidmatan bagi memastikan isu liputan komunikasi di Kampung Tinagat dapat diselesaikan dengan berkesan.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan penduduk setempat menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih stabil dan berkualiti.



Jepun kembali jadi pelabur no.1, lebih 50,000 peluang kerja bakal tercipta


 


Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur apabila merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM92.8 bilion bagi suku pertama 2026, dengan Jepun muncul sebagai pelabur asing terbesar, manakala pelaburan domestik mencatat pertumbuhan paling kukuh dalam tempoh sama.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah tersebut melibatkan 1,249 projek merentasi sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama.

Walaupun nilai keseluruhan mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.2 peratus berbanding RM93 bilion pada suku pertama 2025, impaknya terhadap pasaran pekerjaan jauh lebih besar apabila projek yang diluluskan dijangka mewujudkan 50,226 peluang pekerjaan baharu, meningkat 46.7 peratus berbanding tahun lalu.

Daripada jumlah itu, pelaburan asing menyumbang RM56.2 bilion atau 60.5 peratus, manakala pelaburan domestik meningkat 13 peratus kepada RM36.6 bilion, mewakili 39.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan.

MIDA berkata peningkatan pelaburan domestik mencerminkan keyakinan syarikat tempatan terhadap prospek ekonomi negara.

Dalam kalangan pelabur asing, Jepun mendahului dengan pelaburan berjumlah RM21.5 bilion, melonjak mendadak daripada RM1.6 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2025.

Ia diikuti oleh China dan Amerika Syarikat, masing-masing sebanyak RM10.1 bilion, diikuti Singapura (RM6.7 bilion) dan Thailand (RM2.5 bilion).

Menurut MIDA, prestasi kukuh Jepun mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin erat melalui Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun yang diwujudkan pada Disember 2023.

Sebanyak 93.6 peratus daripada pelaburan Jepun yang diluluskan disalurkan kepada aktiviti berkaitan transformasi digital, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi tinggi dan ekonomi digital di rantau ini.

Dari segi negeri, Selangor merekodkan nilai pelaburan tertinggi sebanyak RM33.5 bilion, diikuti Johor (RM16.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM16.9 bilion), Pulau Pinang (RM6.2 bilion) dan Sarawak (RM4 bilion).

MIDA berkata negeri-negeri tersebut terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab pusat data global, didorong oleh infrastruktur yang matang, lokasi strategik serta ekosistem teknologi yang semakin berkembang.

Pengerusi MIDA, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata prestasi suku pertama 2026 membuktikan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global.

“Kita sedang pesat menjadi hab strategik untuk industri yang akan membentuk dekad seterusnya bagi ASEAN dan Asia,” katanya.

Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM60.8 bilion, bersamaan 65.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan melalui 731 projek yang dijangka mewujudkan 19,758 pekerjaan.

Subsektor maklumat dan komunikasi menjadi pemacu utama dengan pelaburan RM38.9 bilion, didorong permintaan global terhadap kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital.

Pelaburan dalam pusat data dan pengkomputeran awan sahaja menyumbang RM34.6 bilion merangkumi 33 projek atau hampir 89 peratus daripada subsektor berkenaan.

Sementara itu, sektor pembuatan menarik pelaburan RM24.1 bilion menerusi 501 projek dan dijangka menghasilkan 30,468 peluang pekerjaan, iaitu lebih 60 peratus daripada keseluruhan pekerjaan yang bakal diwujudkan.

Antara industri utama yang menerima pelaburan ialah elektrik dan elektronik, kimia, jentera dan peralatan, pembuatan makanan serta peralatan pengangkutan.

Sektor utama pula mencatatkan lonjakan ketara dengan pelaburan RM7.9 bilion, meningkat 418.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh projek minyak dan gas khususnya aktiviti cari gali dan pembangunan luar pesisir di Sarawak.

Setakat 5 Mei 2026, MIDA memaklumkan pihaknya sedang memudah cara 182 projek berpotensi bernilai RM38.3 bilion, selain mengadakan rundingan aktif bagi menarik tambahan pelaburan berpotensi berjumlah RM91 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata Malaysia kekal berada dalam radar pelabur antarabangsa kerana memiliki dasar yang jelas, asas ekonomi yang kukuh dan keupayaan melaksanakan projek sehingga ke peringkat operasi.

Beliau turut memaklumkan bahawa Indeks Pembuatan Asia 2026 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua di Asia selepas China, pencapaian terbaik negara setakat ini, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi dan dasar mesra pelaburan Malaysia.


Kita tidak boleh salahkan YB Fahmi Fadzil dan juga ketua pengarah JKom atas kelemahan komunikasi kerajaan seperti penyokong PH suka pertikai.


Fathi Aris Omar



 Kita tidak boleh salahkan YB Fahmi Fadzil dan juga ketua pengarah JKom atas kelemahan komunikasi kerajaan seperti penyokong PH suka pertikai.

Dunia komunikasi politik, teknologi dan budaya politik sudah jauh berubah. Media konvensional seperti akhbar, radio dan TV sudah tidak relevan.
Malah portal berita, muncul daripada generasi awal komunikasi ICT, sudah tidak mampu bersaing dengan jaringan info dan budaya media sosial.
Kita kecewa atau marah pada mereka kerana kita sendiri masih membayangkan kerajaan mampu monopoli sumber maklumat dan mengawal naratif pihak berkuasa macam dulu-dulu.





Lupakanlah "Mr Propaganda" TS Mohamed Rahmat, kempen Setia Bersama Rakyat (Semarak) dan lirik lagu Setia era 1980-an. Memang beliau hebat pulihkan reputasi Umno (baru), DS Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan sewaktu dilanda krisis.
Tetapi zaman itu zaman kawalan ketat, zaman Operasi Lalang, zaman Umno diharamkan, zaman akhbar diharam, zaman kesatuan sekerja dilumpuh dan zaman memuncak kawalan perdana menteri. Zaman istana dan ketua hakim jadi catur eksekutif.
Kalaulah Tok Mat diberi tugas yang sama, beliau juga tidak mampu. Mujur beliau digugur pada 1999.
Tengok semua komunikasi kerajaan dan jentera penerangan Umno sejak krisis 1997-1998, tiada propaganda yang boleh menyekat kemaraan naratif parti pembangkang. Berita TV dipersenda, akhbar harian berlonggok-longgok tidak laku.




Akhbar Harakah, mingguan Eksklusif, majalah alternatif Detik, novel Shit atau buku politik Mohd Sayuti Omar II mendapat sambutan luar biasa. Ratusan ribu dicetak. Belum lagi puluhan ribu peminat ceramah di seluruh negara setiap malam.
Laman Reformasi (atau Mahazalim), kemudian Malaysiakini dan blog, tidak terlawan oleh komunikasi kerajaan. Samalah nasib JKom sejak awal ditubuh dengan nama JASA. Ia juga gagal.

Sewaktu kami bertiga, pemimpin kanan Malaysiakini, dipanggil menghadap TS Zainuddin Maidin (waktu itu SU parlimen Kementerian Penerangan) di Angkasapuri, majoriti kakitangan RTM senyum dan angkat tanda bagus kepada kami. Bayangkan itu pusat propaganda kerajaan!
Sejak bermula zaman komunikasi internet, emel, mailing list, telefon bimbit dan SMS, tiada lagi kawalan kerajaan. Sebab itu walau ribuan orang Umno jerit "refor-mati" atau "refor-basi", gerakan pembangkang terus mara tanpa dapat dibendung.
Walau Dr Mahathir diganti Tun Abdullah Ahmad Badawi, arus 2008 menenggelamkannya. Kejayaan luar biasa dan terakhir BN dicetak pada 2004.
Sejak itu, DS Najib Razak tidak mampu menahan gelombang amarah rakyat pada skandal demi skandal negara sejak era Dr Mahathir pada 1981. Bukan masalah DS Zahid Hamidi atau pengganti. Semua presiden Umno sudah gagal. Nampak?
Tetapi pemimpin dan penyokong PH (dahulu BA, kemudian PR) sudah lupa atau tidak faham arus apakah yang menjulang nama mereka di persada politik negara. Internet, Malaysiakini, blog dan media sosial yang menghangatkan api keresahan.
Mereka naik bukan kerana bakat kepemimpinan (kecuali beberapa tokoh), organisasi tersusun (kecuali PAS) atau disiplin kerja. Ingat!
Mereka naik kerana api di dada rakyat yang sentiasa membara. Apa sebab? Sebab internet dan media sosial memasang api kemarahan dalam fikiran pengundi. Sewaktu monopoli maklumat dan naratif kerajaan sudah lemah dan makin gagal.
Akibat kegagalan itulah, penjawat awam, guru, polis atau tentera sudah tidak terikat dengan naratif rasmi. Mereka mengundi ikut selera masing- masing. Saya ambil satu contoh: polis.
Polis boleh melawan perdana menteri sewaktu Abdullah mahu tubuhkan IPCMC pada 2005. Letak bantahan mereka di laman web rasmi pada 2006. Sistem komunikasi baru itu jadi saluran protes.
Tetapi polis dan SKMM tidak mampu menahan kebocoran maklumat (tohmahan) salah laku, skandal, salah urus atau rungutan pegawai bawah melalui Telegram Edisi Siasat (ES). Nampak? ES di negara kita ibarat WikiLeaks di negara kuasa besar!
Bukit Aman boleh nafi. Tetapi akhirnya pada 2022, Meta mendedahkan kira-kira 600 akaun palsu, 180 halaman dan 11 kumpulan wujud di Facebook, sementara 72 akaun lagi dibuka di Instagram.
"Walaupun dalang di belakangnya cuba menyembunyikan identiti dan penyelarasan kerja mereka, siasatan kami menemukan kaitan dengan Polis Diraja Malaysia," kata Meta sendiri.
Perlu ditegaskan di sini, saya tidak berniat perkecil peranan atau jasa YB menteri, SKMM, polis atau JKom. Bukan. Saya ingin sampai satu mesej yang sudah jelas terpampang: kita berada di zaman teknologi komunikasi yang tidak mampu dikawal.
Bukan sahaja Malaysia tetapi di serata dunia termasuk negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Semua dibadai gelombang ini. Kecuali kita ada kekuatan teknologi dan sistem/budaya politik tertutup seperti China.
Di negara-negara lain lagi teruk, bukan setakat rungutan PMX hujung minggu lalu atau hentaman penyokong PH pada YB Fahmi dan juga JKom.
Di luar negara sudah berlaku revolusi seperti pemberontakan Musim Bunga Arab 2011 atau rusuhan Gen Z di banyak negara dalam dua tiga tahun mutakhir. Lihat Iran, lihat Sri Lanka, lihat Bangladesah, lihat Indonesia, lihat Nepal, lihat Madagascar dan lihat Maghribi, 2022 hingga 2025.
Kita tidak boleh dipersalahkan atas kekuatan di luar teknologi kita. Kita hanya boleh dipersalahkan atas kejahilan dan kecuaian kita. Atas sifat alpa, tidak endah, sambil lewa atau cincai-cincai berdepan senario teknologi maklumat yang deras ini.
(ii)
Untuk itu saya cadangkan semua kita meneliti beberapa karya penting ini:
1. Shoshana Zuboff – The Age of Surveillance Capitalism: The Fight for a Human Future at the New Frontier of Power (2019)
AI tidak lahir dalam ruang kosong, tetapi melalui eksperimen awal syarikat teknologi (Google paling menonjol) yang menjadikan data pengguna sebagai “bahan mentah” baharu.
AI mula-mula dibangunkan bukan semata-mata untuk penyelidikan akademik, tetapi untuk mengoptimumkan iklan berasaskan data tingkah laku pengguna.
AI berfungsi bukan sahaja untuk mengerti, tetapi untuk mengawal tindakan manusia.
Contohnya: bukan hanya iklan dipaparkan, tetapi juga eksperimen psikologi besar-besaran dijalankan melalui algoritma (contoh: manipulasi mood pengguna Facebook pada 2014).
2. Jonathan Haidt – The Anxious Generation: How the Great Rewiring of Childhood Is Causing an Epidemic of Mental Illness (2024)
Sumbangan utama:
Haidt menunjukkan kaitan langsung antara telefon pintar + media sosial dengan krisis kesihatan mental remaja, terutama selepas 2010 (seiring dengan pengenalan “like button” & notifikasi berasaskan algoritma).
Menurut beliau, remaja menjadi digital natives yang rapuh kerana kurang ruang fizikal bermain & interaksi dunia nyata diganti interaksi maya yang penuh tekanan.
Saya sebut “sakit mental remaja meningkat” akibat media sosial. Haidt menyediakan bukti psikologi-empirik untuk menyokong dakwaan itu.
Haidt juga menguatkan hujah bahawa “butang like/emoji/share” bukan hanya alat komersial, tapi instrumen yang menjejaskan perkembangan kognitif dan emosi generasi muda.
3. Robert Elliott Smith – Rage Inside the Machine: The Prejudice of Algorithms, and How to Stop the Internet Making Bigots of Us All (2019)
Sumbangan utama:
Smith mengkritik bahawa algoritma bukan neutral, sebaliknya direka untuk mengoptimumkan sesuatu metrik (klik, engagement, keuntungan).
Kesan sampingan: algoritma mendorong polarisasi, outrage cycle, dan bias kerana ia memberi "ganjaran" konten yang paling ekstrem/emosional.
Beliau menyebut ini sebagai “keadaan tak sengaja” daripada struktur matematik dan optimisasi — satu kelemahan logik AI.
4. Martin Gurri – The Revolt of the Public and the Crisis of Authority in the New Millennium (2018)
Sumbangan utama:
Gurri berhujah bahawa internet & media sosial melahirkan kuasa awam baharu (the public) yang membanjiri ruang maklumat dengan suara tanpa hierarki.
Akibatnya, institusi tradisi (media arus perdana, kerajaan, parti politik) hilang monopoli autoriti.
Kuasa awam ini bersifat reaktif, berang, dan sering merosakkan: mereka boleh menjatuhkan institusi, tetapi sukar membina sesuatu yang stabil.
Saya sebut “runtuhnya rasa percaya pada institusi rasmi” dan “kerajaan jadi tebusan.” Gurri memberi kerangka teori: ini bukan hanya kerosakan, tetapi peralihan kuasa dari institusi → massa digital.
Gurri juga menjelaskan fenomena Arab Spring, Occupy Wall Street, Hong Kong — yang disebut dalam teks — sebagai bukti bagaimana kuasa awam digital menggugat status quo.
SELAMAT MEMBACA
(coretan asal 9 Disember 2025)