Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan yang pernah menyatukan UMNO dan PAS itu sudah dianggap tamat dan tidak akan dihidupkan semula dalam apa jua bentuk.

Menurut beliau, MN yang ditubuhkan pada 2019 kini hanya tinggal sejarah dan parti itu tidak bercadang untuk mengembalikannya sama ada dalam versi asal atau melalui pendekatan baharu.

“MN telah didaftarkan sebagai sebuah NGO oleh seseorang. Jadi, kita tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional, sama ada 1.0 ataupun 2.0.


“Itu telah muktamad dan kita telah tutup buku,” katanya dipetik laporan media selepas menghadiri program InvestMalaysia, hari ini.

Kenyataan itu sekali gus menutup ruang kepada sebarang spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama UMNO-PAS kembali terjalin selepas hubungan politik antara PAS dan Bersatu berakhir baru-baru ini.

Muafakat Nasional dimeterai pada September 2019 ketika kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH).

Kerjasama itu dilihat berjaya menyatukan dua parti Melayu terbesar negara dan mencatat beberapa kemenangan penting dalam pilihan raya kecil ketika itu.

Bagaimanapun, hubungan tersebut mula renggang apabila PAS memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020.

Perkembangan itu akhirnya menyebabkan kerjasama UMNO-PAS dalam MN terlerai.

Baru-baru ini, landskap politik pembangkang sekali lagi berubah apabila PAS memutuskan hubungan politik dengan Bersatu selepas Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan tidak meneruskan kerjasama rasmi dengan parti berkenaan.

Keputusan tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju politik PAS, termasuk kemungkinan untuk kembali menjalinkan kerjasama dengan UMNO seperti yang pernah berlaku menerusi MN.

Namun, pendirian tegas Zahid menunjukkan UMNO tidak berminat untuk menghidupkan semula pakatan tersebut dan memilih untuk meneruskan kerjasama politik sedia ada dalam Kerajaan Perpaduan.