BERSATU NAK GANTI UMNO, SUDAHNYA PERANGAI PUN DAH SAMA MACAM UMNO!!



Dalam hal kelayakan akademik Marzuki Yahya yang menjadi isu panas sekarang ini, dua pemimpin Bersatu telah memberi reaksi yang akhirnya menimbulkan kecaman ramai di media sosial.

Pemimpin pertama, Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir dalam usahanya membela Marzuki berkata, Timbalan Menteri Luar Negeri  itu dilantik memegang jawatan dalam kerajaan bukan kerana kelayakan akademiknya.

"Saya pasti beliau dilantik dalam kerajaan bukan disebabkan kelayakan akademiknya," ujarnya.

Nampaknya Mukhriz masih tidak faham bahawa isu yang dipertikaikan bukanlah tentang kedudukan akademik Setiausaha Agung Bersatu itu yang dikaitkan dengan jawatan dalam kerajaan yang disandangnya, tetapi lebih berkaitan sikap serta kejujuran tentang pemilikan sebenar ijazah yang dimilikinya.

Ia sebenarnya melibatkan intergriti sebagai seorang pemimpin. Jika Marzuki berterus-terang sejak daripada awal sepertimana bekas Menteri Besar Kedah, Bashah Mohd Hanifah yang pernah mengakui hanya memiliki SPM saja, tidak ada sesiapa akan terus mempertikaikan beliau.

Dalam politik, pemberian jawatan dalam kerajaan memang bukan berdasarkan kelayakan akademik yang dimiliki, tetapi lebih kepada kemampuan menonjolkan diri sebagai pemimpin. Asal ada kedudukan dalam parti, biasanya dapatlah anugerah jawatan dalam kerajaan.

Tiada ada sesiapa yang mempertikaikan perkara itu kerana ia adalah lumrah yang sudah diterima dalam sistem politik demokrasi. Kelayakan akademik tidak penting, yang mustahak mesti jujur, berterus terang dan tidak menipu.

Pemimpin kedua, Ahli MPT Bersatu Tariq Ismail berkata, kelayakan akademik bukan isu besar kerana sekurang-kurangnya Marzuki tidak mencuri atau merogol orang.

Katanya, tidak wajar Marzuki dinilai semata-mata berdasarkan kelayakan akademik yang hanya merupakan "sekeping kertas" kerana beliau telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

"Asalkan tidak mencuri atau merogol, tidak mengapa," tambah beliau.

Sama seperti Mukhris, Tariq juga nampaknya tidak faham isu sebenar. Mencuri dan merogol memang suatu kesalahan, tidak kira siapa yang melakukannya, tetapi menipu kelulusan akademik juga merupakan suatu kesalahan dari segi moral.

Lebih buruk jika yang melakukan penipuan itu ialah mereka yang bergelar pemimpin yang sepatutnya mesti menampilkan wajah serta perilaku jujur kepada rakyat.

Jika kelulusan akademik pun menipu, apakah tidak mungkin seseorang itu akan melakukan lebih banyak penipuan lain dalam hidupnya?

Adakah dengan reaksi itu bermakna dalam pemahaman Tariq, hanya jika mencuri dan merogol saja baru seseorang pemimpin itu dianggap telah melakukan kesalahan, manakala kalau menipu masih boleh dipejamkan mata?

Yang lebih menyedihkan berkaitan Mukhriz dan Tariq ialah kedua-dua  mereka itu merupakan pemimpin yang berasal daripada keluarga yang baik-baik dan ternama.

Mukhriz adalah anak Tun Mahathir yang tentu kewibawaan dan kehebatannya sebagai pemimpin tidak perlu diperkenalkan lagi, manakala Tariq pula pula ialah cucu Tun Dr. Ismail, bekas Timbalan Perdana Menteri  ketika era kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dahulu.

Kenapakah anak dan cucu pemimpin hebat jadi "lemau"  begitu sekali pemikirannya?

Hanya kerana ingin mempertahankan pemimpin dalam parti sendiri, apakah begitu sikap yang sepatutnya?

Itu baru yang dipertahankan seorang yang berjawatan timbalan menteri, bagaimana agaknya jika yang terpalit isu merupakan presiden parti atau Perdana Menteri?

Apakah bezanya sikap pemimpin Bersatu sekarang dengan UMNO ketika mereka mempertahankan Najib dahulu?

Yang nyata, belum pun tentu lagi Bersatu dapat menjadi pengganti kepada UMNO, yang dulu ditiru rupa-rupanya adalah perangai parti itu. (ShahbudinHusin 08/02/2019)

PRA-PRK SEMENYIH: ADA CINA BODOH?