MGF07102019_PC-SPRM-MENGENAI-1MDB15
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya bercakap pada sidang media khas berhubung tindakan terkini undang-undang SPRM bagi kes 1MDB di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 07 OKTOBER 2019.
PUTRAJAYA – Seramai 80 individu dan entiti akan menerima notis kompaun daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna akaun kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, jumlah notis kompaun itu bernilai RM430 juta yang perlu dijelaskan oleh penerima kompaun dalam tempoh dua minggu dari notis dikeluarkan.
Jelasnya, tindakan notis kompaun segera itu disiasat mengikut Seksyen 92 (1) di mana sekiranya gagal membayar kompaun itu, pihak terbabit akan dihadap ke mahkamah.
“Semua wang yang terlibat ini adalah milik rakyat dan SPRM akan menuntut semula sebanyak yang mungkin.
“Wang yang terlibat keluar ini melibatkan transaksi melalui bayaran cek.
“Notis kompaun kini sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara dan dalam proses kelulusan Peguam Negara, “ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Mengikut senarai, antara yang menerima notis kompaun adalah Datuk Seri Nazir Razak, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Tan Sri Shahrir Samad.
Entiti yang melibatkan syarikat, parti politik, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan pula adalah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Bahagian-Bahagian UMNO, Barisan Nasional, MIC, MCA, Gerakan, Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Sarawak.
Mengulas lanjut, Latheefa menambah, individu yang menerima notis kompaun tertinggi bernilai RM25.7 juta dan entiti adalah RM134 juta. – MG.