RAFIZI KALAHKAN AZMIN?



Proses pemilihan PKR kini sudah berada di penghujungnya dengan negeri terakhir iaitu Sarawak akan mengadakan pengundiannya pada hujung minggu ini - 10 dan 11 November.

Ssrentak dengan pengundian di Sarawak, tiga cabang di Sabah iaitu Tawau, Pensiangan dan Keningau juga diarah mengadakan pengundian semula pada 11 November ini.

Di Sarawak, cabang yang paling menjadi perhatian ialah Julau kerana wujud pertambahan ahli PKR yang mendadak baru-baru ini daripada lebih 600 kepada kira-kira 13,000.

Meskipun dipertikai banyak pihak, Biro Politik PKR semalam mengesahkan kemasukan serta keahlian semua 13,000 ahli tersebut.

Julau adalah cabang yang pro kepada Rafizi Ramli yang ketika ini sedang bersaing sengit untuk merampas jawatan Timbalan Presiden PKR daripada Azmin Ali.

Asas untuk Rafizi bertanding ialah bagi memastikan Anwar Ibrahim tidak terhalang untuk menjadi mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng bukan saja diketahui umum merupakan penyokong kuat Rafizi, malah secara terbuka meminta ahli-ahli PKR di cabang itu mengundi Rafizi pada hari pengundian esok.

Secara keseluruhannya, Azmin ketika ini sedang mendahului Rafizi dengan kelebihan kira-kira 2,000 undi.

Tetapi dengan 13,000 undi di Julau dijangka memihak kepada Rafizi dan tiga cabang di Sabah perlu mengadakan pengundian semula, keputusan pengundian di cabang-cabang lain di Sarawak esok dan lusa sudah boleh dianggap tidak lagi penting.

Jika kedudukan undi di cabang-cabang lain di Sarawak, katalah misalnya 60 atau 70 peratus sekalipun yang memihak kepada Azmin, bekalan 13,000 undi di Julau saja sudah memadai untuk memberi kemenangan selesa kepada Rafizi untuk mengalahkan Azmin.

Julau adalah kunci kemenangan untuk Rafizi. Jumlah13,000 undi Julau yang solid kepada Rafizi terlalu sukar untuk disaingi oleh Azmin yang mungkin mendapat undi yang berpecah-pecah daripada cabang-cabang lain di Sarawak(ShahbudinHusin 10/11/2018)