Pastikan menang bukan persoal Anwar tanding di PD, kata Azmin

Pastikan menang bukan persoal Anwar tanding di PD, kata Azmin


Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bukan saja tidak perlu dipersoalkan, malah menjadi tugas semua pihak dalam PKR serta Pakatan Harapan (PH) memastikan kerusi itu dimenangi dengan majoriti lebih besar.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu semua pihak termasuk jentera parti digerakkan dan memberi fokus kepada usaha memastikan kemenangan Ketua Umum PKR itu.
Mohamed Azmin mengakui ada pihak mempersoalkan kewajaran Anwar bertanding di Port Dickson seperti disuarakan bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga, namun ia terpulang kepada pandangan masing-masing.
“Fokus saya dan rakan lain dalam PH ialah pertahankan kerusi Port Dickson, kita akan bekerja keras dan gerakkan jentera untuk memastikan bukan saja menang, tapi dapat majoriti lebih besar, sebab ini penting untuk kita teruskan mandat rakyat.
“Keputusan sudah dibuat (Anwar bertanding di Port Dickson), biar kita fokus pada jentera untuk pastikan kita menang,” katanya dipetik BH Online.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau projek pembinaan jejambat di Jalan Lintas, di Kota Kinabalu, petang tadi.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony.
Ambiga sebelum ini mempersoalkan langkah untuk mengadakan PRK Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.
Beliau dilaporkan berkata, sewajarnya isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Pandan atau anak pasangan itu, Nurul Izzah (Permatang Pauh) yang memberi kerusi kepada beliau, bukan Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata isu gangguan bekalan elektrik, bekalan air bersih dan jaringan jalan raya termasuk Lebuh Raya Pan Borneo antara perkara di Sabah yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan demi memastikan hak rakyat terus terbela.
“Kita juga mendapat pandangan dari kerajaan negeri berhubung isu keselamatan dan ia penting kerana boleh menjejaskan industri pelancongan dan ekonomi Sabah, kita akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk pembangunan Sabah,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir taklimat pembangunan negeri oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah.

Anwar bakal bawa tuah di Port Dickson, kata Menteri Besar NS

Anwar bakal bawa tuah di Port Dickson, kata Menteri Besar NS


Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang mampu membawa pembangunan yang lebih pesat di kawasan itu, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Aminuddin, yang juga Pengerusi PKR dan Pakatan Harapan negeri berkata selain kawasan berkenaan, tempias kemajuan yang dicapai Port Dickson turut memberi nilai tambah kepada keadaan ekonomi dan sosial negeri.
Anwar bakal bawa tuah kepada PortDickson dan Negeri Sembilan
Menurutnya, disebabkan itu, rakyat perlu memberikan mandat kepada Anwar, yang telah diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk mewakili kawasan berkenaan memandangkan beliau bakal diangkat menjadi perdana menteri kelapan.
“Di samping itu juga, apabila Datuk Seri Anwar diangkat menjadi perdana menteri, kita yakin banyak kemudahan serta infrastruktur akan dibawa dan kita mengharapkan Negeri Sembilan dapat dibangunkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi tiga keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Sungai Raya, di sini.
Setakat ini, jumlah mangsa banjir sejak dua hari lalu masih kekal 15 orang iaitu 10 dewasa, empat kanak-kanak dan seorang bayi. Mereka dijangka pulang selepas keadaan cuaca baik dan kerja-kerja pembersihan kediaman yang dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri selesai dilaksanakan hari ini.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Turut menyertai Aminuddin pada lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Mohamad Hapil dan Pegawai Daerah Port Dickson Khairy Maamor

LANGKAH PD UNTUNGKAN RAFIZI?

ANWAR SEPATUTNYA DIBERI KEMENANGAN YANG SELESA DI PORT DICKSON, TAPI....



Image may contain: text


Entah mengapa, malah semacam  tiba-tiba, sentimen berkaitan pilihanraya kecil Port Dickson yang tujuannya mahu meletakkan semula Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen, telah berubah menjadi bercabang-cabang dan tidak seperti yang diharapkan.

Terikat dengan janji bahawa Anwar telah dipersetujui untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-8, pilihanraya kecil Port Dickson sepatutnya disambut dengan rasa gembira oleh semua pihak dalam Pakatan Harapan.

Setidak-tidaknya, dengan Anwar sudah bergelar Ahli Parlimen, jika apa-apa terjadi kepada Tun Mahathir, soal pengganti Perdana Menteri tidak lagi menjadi masalah kepada gabungan itu.

Berbanding Anwar tidak bergelar Ahli Parlimen dan kalau tiba-tiba secara tidak semena-mena berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada Tun Mahathir, sudah tentu akan berlaku sedikit kekalutan dalam soal menentukan siapa yang mahu diletakkan sebagai penggantinya.

Apakah ketika itu Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri atau terus mengambil alih jawatan Perdana Menteri?

Sebab itu, bagi Pakatan Harapan seluruhnya, Langkah Port Dickson ini harus diterima dan dihadapi dengan satu sentimen dan komitmen yang jelas iaitu menjamin kemenangan yang selesa buat Anwar.

Hanya dengan kemenangan selesa kepada Anwar saja dapat meredakan segala keributan dan syak wasangka berkaitan Pakatan Harapan dan juga tentang hubungan Presiden PKR itu dengan Tun Mahathir.

Selebihnya, kemenangan selesa itu, menuruti kemenangan dalam tiga pilihanraya kecil sebelum ini, adalah ubat paling mujarab untuk terus mendiamkan UMNO dan Pas daripada berterusan berpencak yang bertujuan mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan.


Image may contain: drawing




Bayangkan betapa meraknya tocang UMNO dan Pas jika di Port Dickson ini, Anwar hanya menang tipis atau lebih parah, kalau ditimpa kekalahan?

Oleh yang demikian, demi kestabilan, kekukuhan dan terus memudahkan Tun Mahathir dalam mentadbir negara, tiada pilihan selain memastikan kemenangan selesa serta bergaya buat Anwar di Port Dickson.

Namun, di sebalik itu, sentimen lain yang wujud kebelakangan ini jelas tidak berapa sedap kedengaran di mana terdapat suara-suara di kalangan penyokong Pakatan Harapan sendiri yang lebih suka melihat agar Anwar tidak menang di Port Dickson.

Alasan yang ditampilkan ialah Anwar dilihat begitu tergesa-gesa mahu mengambil alih jawatan Perdana Menteri, meskipun Tun Mahathir sudah membayangkan hanya akan memegang jawatan itu selama dua tahun saja.

Mereka berhujah, mengapa tidak Anwar kembali sebagai Ahli Parlimen setelah setahun atau setahun setengah Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri?

Kenapa hanya baru empat bulan Tun Mahathir jadi Perdana Menteri dan masih dalam bertungkus lumus hendak memulihkan negara, Anwar tiba-tiba sudah mahu jadi Ahli Parlimen?

Apakah beliau masih meragui janji Tun Mahathir dan tidak mempercayai konsensus Pakatan Harapan mengenai kedudukannya sebagai Perdana Menteri ke-8?

Lagi pula, untuk apa Anwar tergesa-gesa hendak masuk ke Parlimen, sedangkan isterinya sudah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan anaknya, Nurul Izzah turut merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh?

Selain itu, mengapa Anwar memilih Port Dickson dan tidak Pandan atau Permatang Pauh yang kini diwakili oleh isteri dan anaknya tidak kurang menjadi persoalan ramai.

Kata mereka yang berhujah, jika benar Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan sebaik Anwar menjadi Perdana Menteri, bukankah lebih baik beliau bertanding di kawasan Pandan yang sekarang diwakili isterinya itu?

Tidak kurang yang mempersoalkan di mana janji Anwar sebaik keluar penjara dan diberi pengampunan sebelum ini yang mahu menghabiskan sekurang-kurangnya dua tahun untuk bercuti dan memberi syarahan di universiti-universiti luar negara?

Berdasarkan semua alasan itu, ramai yang berhujah bahawa lebih baik Anwar kalah dalam pilihanraya kecil Port Dickson dan kemudian boleh kembali sebagai Ahli Parlimen dalam PRU15 pada tahun 2023 akan datang.

Ia bahkan dikatakan selain untuk memberi pengajaran kepada Anwar yang dilihat tidak sabar dan mementingkan diri sendiri, turut memberi ruang yang cukup selesa kepada Tun Mahathir dan kabinet sedia ada menyelesaikan pelbagai permasalahan negara yang ditinggalkan oleh Najib Razak.

Apa pun, sementara tarikh penamaan calon dan pengundian belum ditetapkan lagi dan tempoh bertenang masih ada lebih kurang 60 hari daripada sekarang, Pakatan Harapan dan PKR khususnya, harus menguruskan sentimen penolakan itu dengan sebaik-baiknya.

Apatah lagi, sentimen itu melibatkan nama-nama yang dikenali ramai seperti S Ambiga, bekas Pengerusi Bersih, selain Langkah Port Dickson juga dikatakan hanya cetusan kehendak Rafizi Ramli dan tidak dibincangkan dalam Biro Politik PKR.

Sentimen itu, kalau tidak diuruskan dengan baik dan kemudian berkembang dengan meluas di media-media sosial, ia tidak mustahil akan memberi kesulitan kepada langkah Anwar untuk mencapai kemenangan di Port Dickson.

Bahayanya jika Anwar kalah di Port Dickson ialah ia tidak saja akan mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan, malah sama seperti menghadiahkan ufti kemenangan kepada pihak lawan iaitu UMNO dan Pas.

Apakah itu lebih baik? (ShahbudinHusin 16/09/2018).

ISYARAT ANWAR; PILIH PEMIMPIN YANG SETIA KEPADA PARTI,BUANG PENGKHIANAT







Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim , hari ini berkata ahli parti harus memilih pemimpin yang setia kepadaparti dan bukan pengkhianat.Beliau memberi peringatan kepada ahli kerana penubuhan parti  PKR adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat.

"Apabila saya mengumumkan  untuk bertanding di PD, semua Presiden komponan PH memberi sokongan malah menyiapkan jentera masing masing. malah Tun Mahathir sendiri menyokong, Sdr Lim Guan Eng mengarahkan jentera DAP, Dan Mat Sabu juga mengarahkan AMANAH membantu, dan yang peliknya ada pimpinan PKR ngok,ngek,ngok ,ngek pasai apa? jelas beliau lagi.

Pada Rabu, kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding selepas penyandang kerusi itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Danyal Balagopal memenangi kerusi Port Dickson dengan majoriti 17,710 undi selepas meraih 36,225 undi manakala VS Mogan daripada Barisan Nasional memperoleh 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan mendapat 6,594 undi.
Lim berkata pembangkang akan bertanding menentang Anwar untuk mempromosikan politik mereka yang bersifat memecah-belahkan, cauvinis etnik, dominasi perkauman dan ekstremisme agama.


BELUM SAMPAI MASA ,SAYA HANYA MAHU MEMBANTU TUN MELANCARKAN PENTADBIRAN KERAJAAN PH

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mahu menggantikan isterinya sebagai timbalan perdana menteri, susulan pilihannya bertanding di Port Dickson untuk kembali ke Parlimen ketika timbul dakwaan nepotisme terhadap ahli keluarganya.
Presiden PKR itu berkata, beliau tidak memilih kerusi Parlimen Pandan yang disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana beliau ialah timbalan perdana menteri.
“Siapa yang akan jadi timbalan perdana menteri? Jika saya menang, saya tidak mahu jadi timbalan perdana menteri. Saya sudah beritahu Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya akan tunggu giliran saya, kemudian baru saya ambil alih. Itu pendirian saya. Beliau tidak boleh mengosongkan kerusi itu,” katanya dalam Dialog Anak Muda bersamanya di sini, hari ini.
Pada 12 September lalu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu.
Tindakan itu dikritik penyokong dan penentang Pakatan Harapan (PH) dengan ramai yang mempertikaikan kenapa Wan Azizah dan anak sulung mereka, Nurul Izzah tidak mengosongkan kerusi masing-masing.
“Saya tidak memandang mudah mana-mana perkara, anda perlu kerja keras, anda perlu bertemu rakyat dan berikan penjelasan, lumrahnya anda tidak mendapat sokongan 100% pengundi, tetapi adalah penting untuk anda sedari kami hanya menawarkan diri sebagai calon.
“Oleh itu, bagi mereka, anda mungkin dikenali dan diterima di tempat lain, tetapi apa yang penting adalah sokongan daripada Port Dickson. Tiada yang pasti. Saya perlu bekerja keras.”
Katanya, satu daripada cabaran ialah menjelaskan kepada pengundi kenapa beliau memilih Port Dickson.


PENJARA INSTITUSI MENDIDIK DIRI

Anwar Ibrahim menolak pandangan sinis segelintir golongan muda yang beliau sudah tua dan tidak lagi relevan untuk memimpin.


“Ada pandangan sinis yang mengatakan saya sudah tua dan tidak lagi relevan (untuk kembali ke dalam kerajaan),” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam Pidato Malaysia Baru: Mengisi Harapan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam semalam.

Anwar menjelaskan semasa di penjara, beliau banyak bergaul dengan golongan bawahan yang hampir 90% ialah penghuni penjara dan warga asing.“Saya pernah menyaksikan anak muda yang dipenjarakan kerana hanya mencuri seluar jeans dan warga asing yang datang ke sini untuk mencari rezeki, tetapi ditipu dan dihukum penjara.”
Ianya memberi kesedaran bahawa hanya dengan sedikit kesalahan itu mereka terpenjara sedangkan yang maha kaya menyapu sesuka hati.