IMG-20190714-WA0036
MELAKA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan bahawa rakyat akan terus memilih Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.
Menurut beliau, perubahan pentadbiran dan reformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat mampu mengekalkan kemenangan PH yang optimis menyelamatkan Malaysia terutama dalam gejala rasuah.
“Saya tidak fikir rakyat akan menolak kita. Mereka resah sebab kita janji banyak dan harapan tinggi menggunung, jadi rakyat nak segera perubahan ini,” katanya menjawab pertanyaan media di Melaka hari ini.
Anwar berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata PH akan hanya bertahan separuh penggal memandang kepada keadaan politik negara.
Ujar Mohamad Hasan, beliau menjangka PRU-15 akan diadakan pada Mei 2020 – jauh lebih awal berbanding tempoh lima tahun selepas PRU14.
“Saya yakin PH tak akan lama bertahan. Saya jangka pilihan raya selepas Mei hingga Disember tahun depan,” katanya.
Justeru itu, Anwar berkata, Mohamad boleh mengeluarkan apa sahaja kenyataan namun hakikatnya, PH telah melakukan yang terbaik kepada rakyat dalam pemerintahan Mahathir sejak 9 Mei tahun lalu.
“Itu pendapat dia (Mohamad), saya fikir kalau kerajaan PH di bawah Tun Mahathir yang telah memulakan perubahan dan reformasi dengan baik, dan institut kerajaan mantap, perubahan yang kita janjikan dilaksanakan termasuk pengiktirafan kepada generasi muda,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar turut ditanya mengenai dakwaan rasuah terhadap Exco Perak, Abdul Yunus Jamhari.
Anwar berkata, PKR akan menyerahkan kepada budi bicara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan.
Katanya, pihak parti belum menerima maklumat yang jelas mengenai dakwaan yang sama.
“Saya dimaklumkan oleh media dan laporan telah dibuat, jadi serah kepada SPRM sahaja. Dia ada dua isu, satu tuduhan rasuah dan satu lagi kebocoran maklumat. Jadi kita serah kepada siasatan.
“Saya belum dapat maklumat rasmi samada daripada yang melaporkan dan juga Yunus sendiri,” jelas beliau.
Yunus dituduh meminta ‘komisen’ daripada dua syarikat berkenaan permohonan untuk tanah milik kerajaan berkeluasan 93 ekar dan membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri.- MG