TIADA LAYANAN ISTIMEWA BUAT ANGGOTA .

 




Harap Kerajaan dan KDN pastikan tiada layanan khas diberikan pada tertuduh. 


****************

Beberapa pengamal media mendakwa pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar berusia 17 tahun diberi layanan istimewa membolehkannya mengelak kerumunan wartawan dan kru video.


Menurut The Star, para wartawan terkejut apabila DSP Mohd Nazri Abdul Razak memasuki Mahkamah Majistret dari laluan lain yang membolehkan dia meloloskan diri daripada perhatian media.


Akhbar harian itu melaporkan Mohd Nazri dikepung oleh kehadiran polis yang ramai menghalang media daripada mendapatkan rakaman jelas terhadap tertuduh.


Sementara itu, Utusan Malaysia pula melaporkan kehadiran tertuduh, diiringi lima anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap.


Pada prosiding pendakwaan tersebut, Mohd Nazri  berbaju T berwarna putih dan berseluar hitam dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah dalam keadaan bergari dan kepala ditutup menggunakan kain hitam.


Laporan New Straits Times pula berkata, keadaan itu nyata berbeza dengan kes-kes pembunuhan lain, dengan media dibenarkan merakam dan mengambil gambar dengan mudah sewaktu ketibaan suspek di kompleks itu.


Selain itu, hanya seorang jurugambar Bernama dan seorang juruvideo Astro Awani dibenarkan mendapatkan rakaman visual manakala Nazri dibenarkan membalut sehelai kain hitam di seluruh bahagian kepala bagi menutup wajahnya.


Hanya seorang wakil daripada setiap organisasi media dibenarkan masuk ke bilik mahkamah untuk membuat liputan prosiding yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit.


Mohd Nazri kemudian dibawa masuk ke dalam pacuan empat roda berwarna gelap diiringi empat kenderaan lain.


Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Ipoh antara 12.05 tengah hari dan 12.40 tengah hari pada 15 Dis.


Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.


Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 7 Feb 2024, untuk sebutan kes sementara menunggu beberapa laporan berkaitan, termasuk laporan jabatan kimia.


Pada 15 Dis lepas, pegawai kanan polis berusia 44 tahun yang memandu kereta itu dipercayai merempuh pelajar sekolah berkenaan yang menunggang motosikal dan mengheretnya agak jauh di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh.


Muhammad Zaharif meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dada dan perut.



Tiada arahan kerajaan rakyat wajib ambil dos penggalak ketiga- DR ZULKIFLI




 Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan atau mewajibkan seluruh rakyat negara ini untuk mengambil suntikan dos penggalak susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.


Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.


"Ini sedikit salah faham yang berlaku akibat media sosial, sebelum kita sebar maklumat, tolong pastikan kandungan sebenar, kadang-kadang antara tajuk dan isi kandungan dia agak berbeza dan saya sarankan supaya kita teliti dahulu (kandungan), jangan terlalu mudah lihat screenshot tanpa lihat konteks berita," katanya kepada pemberita di Wisma Bernama, Kuala Lumpur hari ini.


Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Xinhua.


Hadir sama Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.


Fahmi berkata beliau juga akan memaklumkan kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menyarankan beliau mengadakan perjumpaan dengan pihak editor media supaya dapat diperjelaskan isu membabitkan dos penggalak tersebut.


Sebelum ini media melaporkan Dr Dzulkefly berkata KMM menyarankan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 terutamanya bagi golongan berisiko tinggi ekoran peningkatan kes sejak kebelakangan ini.


Beliau berkata bekalan vaksin masih mencukupi bagi melindungi orang ramai daripada jangkitan mutasi dan strain baharu Covid-19 untuk pelaksanaan dos penggalak ketiga.

Royalti minyak Kelantan: 'Pas gunalah cara berhemah, jangan menghentam'



Oleh: Abdullah Zaid


Isu royalti petroleum Kelantan yang ditimbulkan sekali lagi dalam kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud kelmarin menunjukkan Pas tidak berubah dalam pendekatan politiknya yang keras.


Menurut pemimpin KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kecaman Nassuruddin menuduh Pakatan Harapan (PH) mungkir janji manifesto untuk memberi royalti petroleum tidak wajar dikeluarkan pada ketika Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih mengambil sikap berunding dalam hubungan antara Persekutuan dan Negeri.


Katanya, pendekatan mengecam atau mengugut tidak sesuai menguruskan hal royalti hasil petroleum Kelantan yang tiada dalam peruntukan undang undang dan malah Pas yang pernah menjadi Kerajaan Persekutuan pada 2020 - 2022 juga tidak pernah memulakan Rang Undang Undang khusus untuk tujuan berkenaan.


Oleh itu, katanya, tuntutan hanya boleh dibuat secara berunding atau merayu kepada Kerajaan Persekutuan.


"Tuntut (keras) pendekatan sangat salah kerana kedudukan royalti perlu disemak dalam undang-undang Persekutuan yang sedia ada.


"Jadi pendekatan menggugut ini sangat tidak kena kerana ia mencerminkan cara yang tidak berhemah atau bijak untuk berurusan dengan kerajaan pusat," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Mengulas lanjut, Azan berkata, berbanding Terengganu, Kelantan tidak mempunyai rekod pemberian royalti, justeru beliau mengingatkan pemimpin Pas untuk lebih berdiplomasi bagi memastikan hasrat itu berjaya.


Katanya, cara 'menghentam' seperti dilakukan oleh pihak pembangkang itu sukar diterima oleh mana-mana pihak.


"Saya yakin tiada kerajaan dalam dunia akan melayan mana-mana pihak yang buat begini.


"Apatah lagi kerajaan Kelantan belum pernah menerima bayaran royalti berbanding Terengganu yang ada dalam perjanjian lama, tetapi (royalti) Kelantan tak pernah muncul," ujarnya.


Terdahulu, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus.


Hal itu katanya, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.


Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, memperuntuk RM 400 juta sebagai Wang Ihsan kepada Terengganu dan Kelantan.


Kelmarin, MB Kelantan sebagaimana laporan Harakahdaily, mempertikaikan janji PH untuk memberi 20% royalti petroleum. Katanya, janji PH itu dibuat melalui dokumen bertulis iaitu manifasto pilihanraya dan perlu ditunaikan. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 atau 15 yang mengandungi janji berkenaan.

Manifesto PRU 15 Pakatan Harapan sudah tentu tidak boleh ditunaikan kesemuanya kerana kerajaan yang terbentuk bukanlah kerajaan PH tetapi Kerajaan Perpaduan yang mengandungi 19 parti politik.