TIADA LAYANAN ISTIMEWA BUAT ANGGOTA .

 




Harap Kerajaan dan KDN pastikan tiada layanan khas diberikan pada tertuduh. 


****************

Beberapa pengamal media mendakwa pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar berusia 17 tahun diberi layanan istimewa membolehkannya mengelak kerumunan wartawan dan kru video.


Menurut The Star, para wartawan terkejut apabila DSP Mohd Nazri Abdul Razak memasuki Mahkamah Majistret dari laluan lain yang membolehkan dia meloloskan diri daripada perhatian media.


Akhbar harian itu melaporkan Mohd Nazri dikepung oleh kehadiran polis yang ramai menghalang media daripada mendapatkan rakaman jelas terhadap tertuduh.


Sementara itu, Utusan Malaysia pula melaporkan kehadiran tertuduh, diiringi lima anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap.


Pada prosiding pendakwaan tersebut, Mohd Nazri  berbaju T berwarna putih dan berseluar hitam dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah dalam keadaan bergari dan kepala ditutup menggunakan kain hitam.


Laporan New Straits Times pula berkata, keadaan itu nyata berbeza dengan kes-kes pembunuhan lain, dengan media dibenarkan merakam dan mengambil gambar dengan mudah sewaktu ketibaan suspek di kompleks itu.


Selain itu, hanya seorang jurugambar Bernama dan seorang juruvideo Astro Awani dibenarkan mendapatkan rakaman visual manakala Nazri dibenarkan membalut sehelai kain hitam di seluruh bahagian kepala bagi menutup wajahnya.


Hanya seorang wakil daripada setiap organisasi media dibenarkan masuk ke bilik mahkamah untuk membuat liputan prosiding yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit.


Mohd Nazri kemudian dibawa masuk ke dalam pacuan empat roda berwarna gelap diiringi empat kenderaan lain.


Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Ipoh antara 12.05 tengah hari dan 12.40 tengah hari pada 15 Dis.


Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.


Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 7 Feb 2024, untuk sebutan kes sementara menunggu beberapa laporan berkaitan, termasuk laporan jabatan kimia.


Pada 15 Dis lepas, pegawai kanan polis berusia 44 tahun yang memandu kereta itu dipercayai merempuh pelajar sekolah berkenaan yang menunggang motosikal dan mengheretnya agak jauh di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh.


Muhammad Zaharif meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dada dan perut.



No comments: