KENYATAAN MEDIA BERKENAAN SITUASI COVID-19 DI SELANGOR


 


Kerajaan Negeri Selangor ingin memaklumkan tentang situasi terkini kes COVID-19 di Negeri Selangor. Sehingga hari ini, kes COVID-19 telah dilaporkan meningkat di peringkat global, termasuklah di Malaysia.


Adalah dijangkakan bahawa terdapat kemungkinan berlakunya lonjakan peningkatan kes susulan daripada pergerakan dan perjumpaan sanak-saudara dan sahabat-handai semasa musim perayaan Krismas, ditambah pula dengan musim cuti sekolah yang akan bermula pada 16 Disember 2023. 


Sehingga setakat Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023), terdapat peningkatan sebanyak hampir dua kali ganda dalam bilangan kes COVID-19 di Negeri Selangor yang mencatatkan sebanyak 4,326 kes, berbanding Minggu Epidemiologi 48/2023 yang sebelumnya, iaitu sebanyak 2,278 kes yang dilaporkan. Secara keseluruhan, peratus kadar kematian akibat COVID-19 di Negeri Selangor sejak 1 Januari 2023 sehingga 9 Disember 2023 pula adalah sebanyak 0.2%.


Oleh yang demikian, sebagai langkah berjaga-jaga, Kerajaan Negeri Selangor menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang berikut:


1) Elakkan daripada mengunjungi tempat sesak: sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Jika tiada keperluan, elakkan daripada mengunjungi tempat-tempat yang sesak atau yang menjadi pusat tumpuan orang ramai, terutama sekali sekiranya mengalami sebarang gejala.


2) Pemakaian Pelitup Muka: memakai pelitup muka, terutama sekali sekiranya berada di kawasan tertutup, sempit atau sesak. Amalan ini amat penting bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu yang menghidap penyakit kronik, mereka dengan sistem imun yang rendah, dan ibu hamil.


3) Penjagaan Kebersihan Diri yang Rapi: sentiasa menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi/pembersih tangan dengan kerap, terutama sekali selepas bersentuhan dengan permukaan yang sering disentuh orang ramai.


4) Amalan TRIIS: Sekiranya mengalami sebarang gejala, amalkan protokol TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek).

Konsultasi dengan Doktor: Jika gejala bertambah serius, segeralah mendapatkan nasihat dan pemeriksaan perubatan, khususnya bagi individu dalam kumpulan berisiko tinggi.


5) Pengambilan Vaksin: Orang ramai juga disarankan untuk mendapatkan dos primer dan dos penggalak vaksin COVID-19, terutama sekali mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi. Ini bertujuan untuk mengurangkan risiko, morbiditi, dan kematian akibat virus ini.


Justeru, Kerajaan Negeri Selangor menyeru kepada semua warga Selangor untuk terus mematuhi garis panduan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga. Orang ramai juga diingatkan dengan tegas untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.


YB PUAN JAMALIAH JAMALUDDIN

EXCO Kesihatan Awam & Alam Sekitar