Hadi tidak faham undang-undang’

‘Ustaz Hadi tidak faham undang-undang’

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini mengendalikan banyak kes guaman membabitkan Pas, Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak tahu tentang undang-undang.
Mohamed Hanipa Maidin
Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) itu berkata demikian ketika mengulas reaksi Abdul Hadi berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kononnya saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat adalah campur tangan asing.
“Presiden parti Islam kata, campur tangan asing (dalam) saman DOJ. Dia faham atau tidak saman (sivil) ini? Dia ulamak dunia tapi dia bukan peguam. Dia tidak belajar undang-undang.
“Ustaz Hadi faham undang-undang? Tidak faham. Saya tahu dia tak faham. Saya dulu penasihat dia. Saya peguam dia. Saya tahulah.
“Mana kes Pas semua, saya yang nasihat. Tiba-tiba Ustaz Hadi kata campur tangan asing,” bidas mantan Pengerusi Biro Guaman Pas Pusat itu ketika berceramah di Machang, Kelantan semalam.
Untuk rekod, Abdul Hadi berpendapat campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara hanya akan membawa kerugian bermula dengan kejatuhan kerajaan Melayu Islam Melaka sehingga kepada tindakan DOJ Amerika Syarikat ke atas 1MDB.
Hadi melalui surat terbuka kepada semua parti politik hanya selepas dua minggu saman sivil dikemukakan DOJ turut melabelkan pihak yang mahu orang asing campur tangan dalam hal ehwal negara sebagai ‘tidak beriman dan budiman’ kerana dianggap mahu mendapat keuntungan politik.
DOJ dalam saman sivil pada 20 Julai 2016 bertindak mahu merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diperoleh dengan dana yang dicuri dari 1MDB.
Dokumen undang-undang yang diumumkan oleh Peguam Negara AS, Loretta Lynch itu turut memaklumkan Malaysian Official 1 (MO1) sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia dan memegang jawatan yang berkuasa dalam 1MDB.
Hanipa juga pada masa sama mengkritik reaksi Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tahun lalu yang dilapor berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berhubung mengenai hutang dan pelan rasionalisasi 1MDB.
“Tiba Tuan Ibrahim Tuan Man, dia faham isu 1MDB selepas dengar (penjelasan) dua jam. Dia faham apa?” soalnya sambil menegaskan beliau tidak mengutuk kekurangan pimpinan tinggi Pas untuk memahami hal berkaitan undang-undang.
Sehubungan itu, Hanipa mengingatkan orang ramai tidak menyangka bahawa pimpinan Pas memahami Islam kerana tidak semua mereka terbabit memahami Islam dalam erti kata sebenar.
“Jangan terpengaruh. Jangan ingat Pas saja, dia faham Islam. Tak semestinya,” tegas Ahli Parlimen Sepang itu.
Beliau menganggap pimpinan Pas mungkin boleh menipu pihak lain yang tidak pernah mempunyai pengalaman bergiat secara langsung dalam parti tersebut.
Sebaliknya, Pas tidak boleh berbuat demikian pada dirinya juga pimpinan tinggi AMANAH yang puluhan tahun berada dalam Pas sama seperti pimpinan Bersatu yang lebih tahu tentang Umno.
“Dia (Pas) mungkin boleh bohong orang lain tetapi tak boleh bohong kami. Kami lama dalam Pas. Saya sendiri membesar dalam keluarga Pas.
“Abang dan abang ipar pun masih Pas lagi. Orang bawah bagus tapi orang atas teruk. Tak boleh bohong saya, Salahuddin Ayub (Timbalan Presiden AMANAH).
“Kami tahu sangat pasal Pas ni macam Tun Mahathir tahu sangat tentang Umno. Macam juga Datuk Sazmi Miah (Ketua Bersatu Machang), sebab mereka pernah dalam Umno,” tegas Hanipa lagi.

PM MALAYSIA AKAN CURI PILIHAN RAYA? – THE ECONOMIST

SEMENANJUNG: PH 89 KERUSI PARLIMEN, BN 76 – INVOKE

5 SAMAN: HUSAM TAK SABAR NAK SAPINA EXCO KELANTAN KE MAHKAMAH

PENCAPAIAN 2008 – 2017: PH BERJAYA BINA 24,227 RUMAH DI P PINANG