Mudahnya Pas menganggap kritikan adalah fitnah



 
Oleh: Pukul Canang

Ahli parlimen Bukit Gantang yang juga Naib Presiden Pas, ustaz Idris Ahmad merupakan individu yang senang ditemubual oleh para wartawan. Beliau akan memberi komen mengenai apa sahaja pertanyaan.

Namun kebanyakan komennya, biasanya, bersifat retorik atau propaganda. Bagaimanapun apabila menjelaskan mengenai kritikan terhadap PAS, terutama dari puak profesional parti itu, beliau lebih memilih untuk menghukum kritikan sebagai fitnah dalam temubual bersama malaysiakini, baru-baru ini.

Idris juga melarang pengkritik Pas memfitnah almarhum Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat kononnya mereka tidak mengutamakan akhirat dalam perjuangan politik.

Ungkapan pelik

Persoalan sebenar yang ditimbulkan oleh puak profesional adalah ungkapan pelik ulama PAS; tidak mahu segera ke Putrajaya dan lebih memfokuskan keredaan Allah dalam perjuangan. Ungkapan itu menyebabkan Pas mahu bersama Umno meluluskan Hudud di Kelantan dan akhirnya menyebabkan Pakatan Rakyat pecah.

Idris bukanlah ulama yang baru keluar dari pondok dan terlalu naif menghadapi latar peristiwa yang menyebabkan perpecahan dahsyat dalam Pas hari ini. Idris amat maklum mengenai persetujuan Hadi Awang dalam mesyuarat Majlis Presiden terakhir Pakatan Rakyat pada Februari lalu. Dalam mesyuarat itu, Hadi berjanji untuk membentangkan Hudud terlebih dahulu kepada PR sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Mesyuarat tersebut juga memutuskan satu jawatan kuasa dibentuk bagi membincang Hudud di peringkat PR. Namun apa yang berlaku Hudud hanya diperlihatkan kepada pemimpin PR beberapa hari sebelum dibentangkan di Dun Kelantan. Kemudian tanpa merujuk kepada PR, sebaik sahaja menerima jaminan daripada pegawai Menteri Agama Umno, Hadi segera memberi notis untuk membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah di Parlimen pada sesi Mac.

Langgar janji
Perkara ini yang menjadi perbalahan. Pas telah melanggar janji. Bukannya ungkapan mendahulukan akhirat. Pelanggaran janji adalah perkara biasa yang meruntuhkan sesebuah ikatan.

Dan itulah yang berlaku kepada PR sekarang. Oleh itu, jika pemimpin dan ahli bawahan Pas tidak puas hati dengan sikap Hadi maka ia adalah lumrah alam. Hadi dan Idris boleh berhujah dengan pelbagai ayat Quran membenarkan Pas melanggar janji terhadap orang kafir misalnya, tetapi hukum politik pelbagai kaum di negara ini tidak sedemikian.

Jika Hadi berjanji akan membayar seseorang RM100 tetapi beberapa hari kemudian dia hanya membayar RM80 sahaja, maka dia tidak akan dipercayai. Apatah lagi dalam negara berbilang kaum yang mana parti sekular seperti DAP dibenar wujud oleh perlembagaan. Mereka tidak akan menerima kaedah agama, janji boleh ‘dilanggar’ dalam keadaan tertentu.

Alasan tubuh parti
Inilah yang diperjuangkan oleh puak profesional Pas. Dan inilah juga alasan untuk menubuhkan parti baharu. Bagi puak profesional, Pas tidak lagi realistik. Sekiranya Pas berpendirian orang Islam atau Melayu di atas segala-galanya, maka pandangan itu tidak akan memberi kemenangan kepada parti itu pada masa hadapan.

Kerangka perlembagaan negara tidak mengizinkan persepsi orang Islam adalah kelas satu dan bukan Islam kelas kedua. Adakah Pas akan bersekutu dengan Umno untuk meminda perlembagaan negara bagi merealisasikan impian untuk menjadikan Melayu bangsa kelas satu?

Cita-cita itu boleh dilakukan dengan penipuan persempadanan semula pilihan raya dan mewujudkan 80 peratus kerusi parlimen Melayu, yang mana 70 peratus ditandingi oleh Umno dan Pas. Namun ia tidak praktikal untuk dijadikan agenda perjuangan.

Pindaan perlembagaan dan merendahkan martabat kaum bukan Islam akan mencetuskan lebih banyak ketegangan dan orang Melayu moderat membenci suasana sedemikian.

Oleh kerana Pas tidak mahu lagi menerima pandangan golongan moderat dalam parti serta mahu bersikap tertutup maka tiada jalan lain untuk golongan yang tidak sehaluan dengan ulama parti itu selain meninggalkan perjuangan sedia ada.

Dakwah untuk non muslim

Perlu diingatkan, menurunkan darjat bukan Islam, walaupun ada hujah agama, bukanlah perjuangan Fadzil dan Nik Aziz. Kedua-dua tokoh Pas itu sering memperingatkan umat Islam sebagai yang terbaik di dunia tetapi mereka hanya menekankan dakwah ke atas bukan Islam agar menjadi sebaik orang Islam dan bukannya masuk ke dalam fahaman sempit Umno, iaitu Melayu Islam adalah bangsa kelas satu.

Dalam ajaran Nik Aziz, Ketuanan Islam menggantikan Ketuanan Melayu. Tidak wujud istilah menjentik, menyiku atau menendang kaum lain. Perjuangan seperti itu hanya wujud selepas kematian Nik Aziz dan Fadzil.

Perjuangan Pas tiba di persimpangan. Parti itu perlu bermuhasabah diri untuk menjadi kekal relevan memperjuangkan isu rakyat atau masuk ke dalam perjuangan ekstrem bersama Umno.