MUSYKIL MENGAPA UMNO TAKUT GABUNGAN MAHATHIR – ANWAR?

SPRM JANGAN BERDIAM DIRI ISU PAJAK TANAH TENTERA – MAT SABU

DAP memang mahu sokongan Melayu, seperti UMNO mahu sokongan Cina


Menarik sokongan orang Melayu supaya mengundi DAP bukanlah benda baru. Malah usaha itu lebih jelas dilihat sejak tsunami politik 2008.
Pelancaran portal Roketkini.com, penerbitan akhbar The Roket berbahasa Malaysia, penubuhan Sekolah Demokrasi, penganjuran forum, dialog, majlis berbuka puasa dan sebagainya oleh DAP– semua ini adalah usaha bagi menyampaikan maklumat tepat tentang DAP dan perjuangannya.
Semua usaha DAP ini jelas, memang untuk menarik sokongan masyarakat Melayu yang selama ini dimomokkan dengan pelbagai karut-marut dongeng UMNO memburuk-burukkan parti roket ini.
Justeru, apabila terkeluar suara sumbang yang cuba memomokkan kononnya undi PKR sama dengan mengundi DAP; kononnya DAP pergunakan PKR untuk tarik sokongan Melayu – nampaknya dakyah sedemikian sudah makan tuan; ini benar-benar dakwaan kelakar.
Dakyah dangkal itu tidak lain cuba memanipulasi fakta kononnya DAP mahu menyelinap masuk ke dalam PKR semata-mata meraih sokongan pengundi Melayu lalu merebut kuasa dan menghakis segala keistimewaan. Ini juga satu tuduhan basi maha-kelakar. Jika ikutkan logik semacam ini, mana nak letak PKR, Amanah dan BERSATU?
PRU14 ini, DAP bukan sahaja memerlukan sokongan Melayu tetapi DAP juga memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum di negara ini. Begitu halnya dengan komponen HARAPAN yang lain. Kenapa pencacai UMNO – PAS terlalu benak untuk menerima kenyataan jelas ini?
Hakikatnya, undi PKR bukan sahaja untuk memenangkan DAP tetapi juga seluruh komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti Amanah, BERSATU, PKR malah termasuk rakan sekutu HARAPAN iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Nampaknya, keputusan penggunaan logo PKR yang diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini  bagi memberi tamparan hebat kepada lawan politik UMNO-BN termasuk PAS yang semacam tidak boleh menerima keterbukaan parti-parti komponen HARAPAN.
Niat mereka jelas, apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih gagal meluluskan gabungan HARAPAN secara rasmi, maka pembangkang akan lebih mudah berpecah belah. Namun, niat itu terbantut – HARAPAN malah semakin kuat.
Antara tuduhan liar lain yang sering dimomokkan ialah, kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempergunakan PKR demi meneruskan hayat politiknya – termasuk dakwaan kononnya keputusan itu adalah satu penghinaan kepada pejuang-pejuang era reformasi 98.
Pada masa yang sama, Mahathir juga dituduh dipergunakan oleh Lim Kit Siang supaya DAP berkuasa di Malaysia. Anehnya, di pihak MCA, pencacai mereka mendakwa DAP pula telah ditindas oleh Mahathir dan BERSATU.
Segalanya sudah jelas, UMNO-BN makin tertekan, takut dan mungkin mereka juga merasakan, PRU14 kali ini adalah penamat buat mereka, sebagaimana teori RAHMAN yang meletakkan huruf ‘N’ mewakili Najib sebagai penghujung pemerintahan parti cap dacing itu.
Ya, DAP memang perlukan sokongan Melayu untuk membawa perubahan kepada Malaysia bersama-sama Pakatan Harapan. Simbol PKR adalah faktor penyatu kemarahan rakyat Malaysia. Apa masalah ‘macai’ UMNO?
Dia pun bertanding pilihanraya guna lambang dacing untuk raih sokongan Cina.

Dua gergasi berdamai, lutut siapa menggeletar



Biduk lalu, kiambang bertaut.
Mungkin pepatah Melayu itu paling sesuai menggambarkan puncak perdamaian dua gergasi politik yang sekian lama berseteru dan kembali berpadu tenaga mencapai satu tujuan Malaysia baru.
Tidak siapa pernah menyangka tindakan berlengah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk meluluskan penggunaan logo Pakatan Harapan membuka laluan baru semua komponen HARAPAN menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ia telahpun diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad pada siri jelajah HARAPAN yang berlangsung di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.
Menurut Mahathir, HARAPAN sudah menduga akan wujud halangan untuk mendaftarkan HARAPAN sebagai gabungan rasmi namun itu bukanlah jalan buntu.
“Tak boleh guna simbol Pakatan Harapan, tidak boleh menghalang kita guna satu simbol untuk empat parti.
“Bukan mudah nak suruh ahli dalam Pakatan Harapan menggugurkan simbol mereka. DAP sudah menggunakan simbol roket sejak berpuluh tahun lamanya.
“Kita bersetuju keempat parti hanya menggunakan satu simbol. Dengan segala sukacita, bahawa dalam PRU-14 keempat parti kami akan guna satu simbol iaitu Parti Keadilan Rakyat,” kata Mahathir.
Bagaimanapun, persetujuan semua komponen HARAPAN menggunakan logo PKR semakin memberi tekanan yang semakin kuat kepada Barisan Nasional (BN).
Mereka justeru terpaksa mencipta dongeng baru melaga-lagakan penyokong Anwar dan Mahatir kononnya bekas Perdana Menteri itu kini ‘mempergunakan’ logo PKR setelah sejak sekian lama berseteru dengan Anwar.
MCA malah cuba menjaja propaganda kononnya DAP telah menggadaikan prinsipnya apabila memilih untuk bertanding dengan menggunakan logo PKR.
Bukan sahaja itu, pihak-pihak yang diberi makan Barisan Nasional turut cuba mengelirukan orang ramai dengan mendakwa kononnya pimpinan DAP akan terpaksa lompat parti untuk bertanding menggunakan logo PKR.
Mereka barangkali lupa bagaimana Zulkifli Nordin, bertanding di Shah Alam dalam PRU ke-13 dengan menggunakan logo dacing Barisan Nasional, walaupun tidak menyertai mana-mana parti komponen gabungan tersebut.
Wakil-wakil PSM, Dr Nasir Hasim dan Dr Jeyakumar, turut bertanding di DUN Kota Damansara dan Parlimen Sungai Siput dengan menggunakan logo PKR pada PRU ke-13, tanpa perlu ‘lompat’ menyertai parti tersebut.
Apa yang BN menggelabah sangat?
Mengapa mereka terlalu gusar HARAPAN menggunakan logo PKR? Bukankah ROS sendiri yang melambat-lambatkan pendaftaran HARAPAN? Nah, sekarang rasakan akibatnya.

‘Undi Rabu’ mudahkan BN rampas Kelantan dari tangan PAS?


Wujud pertembungan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tentang keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari Rabu 9 Mei sebagai hari mengundi bagi PRU ke-14.
Di pihak Haji Hadi, SPR berhak untuk menentukan hari mengundi pada bila-bila masa ia suka, termasuklah pada pertengahan minggu; meski menyusahkan ramai pihak untuk mengambil cuti dan pulang ke kawasan mengundi.
“Jangan kata dia (SPR) buat begini, begitu. Kita tak mahu campur kerana itu hak dia. Dia nak adakan hari apa, kita tetap akan mengundi. Dia buat hari Jumaat sekalipun, bukan sepanjang masa kita solat Jumaat… boleh pergi mengundi,” katanya, dilaporkan Malaysiakini.
Berbeza dengan Tuan Ibrahim yang bingkas mengecam keputusan SPR tersebut.
Bagi beliau, tindakan SPR itu “bukan sahaja menyusahkan rakyat malah merompak hak mengundi rakyat yang berada diluar kawasan bagi membuang undi. Ini petanda BN telah menghidu tsunami rakyat menolak BN bertiup kuat sehingga susah dibendung lagi.”
Tuan Ibrahim nampak jelas muslihat di sebalik strategi undi hari Rabu. Walaupun ya lah kerajaan sementara yang ada boleh mengumumkan hari Rabu sebagai cuti umum. Namun bagi beliau, mengundi di pertengahan minggu adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
“Apakah kakitangan swasta akan sanggup mengambil cuti sehari sahaja untuk kembali mengundi? Ataupun mereka sanggup korbankan 3 hari untuk mengambil cuti agar bersambung dengan hari minggu untuk memudahkan perjalanan?
“Apakah majikan swasta akan mengizinkannya, terutamanya bagi semua perantau yang bekerja di Selangor dan KL dan luar negara?
“Apa masalah bagi SPR menjadikan hari Sabtu pada 1 atau 5 Mei sebagai hari pengundian kerana ia akan memudahkan semua pengundi?” tulisnya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.
Fikrah siasah Tuan Ibrahim sangat jelas. Sekilas ikan di air, sudah boleh dikenal jantan betina. Sama seperti reaksi orang ramai yang cepat menangkap niat SPR. Ternyata jauh berbeza dengan reaksi presidennya.
Mungkin Haji Hadi tidak perasan, bahkan tidak peduli; bahawa strategi undi hari Rabu adalah langkah yang cukup berkesan untuk merampas Kelantan dari tangan PAS.
Umum sedia maklum bahawa orang Kelantan ramai merantau ke seluruh negara untuk mencari rezeki. Bahkan ada bandar-bandar di Selangor yang sudah jadi seperti mini-Kelantan kerana ramainya diaspora negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Hatta ada yang mengusahakan untuk menerbangkan sarapan dari negeri Kelantan untuk anak-anak rantau di seluruh Malaysia.
Pokoknya, Kelantan mempunyai ramai pengundi luar. Ertinya mereka harus pulang dari perantauan untuk mengundi. Mereka tidak memilih untuk berpindah tempat mengundi, mungkin kerana sifat sayang ke negeri yang sangat menebal.
Foto kredit Twitter @aminlandak
Bagi kartunis Amin Landak, 29 tahun; mengundi di Kelantan adalah kewajipan yang mesti ditunaikan.
“Aku tak ada rumah di Kuala Lumpur, aku menyewa. Rumah keluarga di Kelantan, dan aku tak berniat untuk tinggal di KL selama-lamanya,” kata beliau.
“Kelantan lebih memerlukan undi aku,” ujarnya lagi.
Amin Landak mungkin antara minoriti yang faham tentang konsep satu orang, satu undi dan masalah perkadaran undi mengikut sempadan di kawasan-kawasan seluruh negara. Nilai undinya di Kelantan adalah lebih besar berbanding nilai undinya di Selangor, apatah lagi di Kuala Lumpur.
Contoh mudah kita bandingkan antara Putrajaya yang memiliki 17,925 pengundi dengan kawasan Parlimen Subang yang mempunyai 130,211 pengundi. Walaupun Subang mempunyai bilangan pengundi sebanyak tujuh kali ganda Putrajaya, ia hanya memilih seorang Ahli Parlimen, sama seperti Putrajaya.
Maka Amin Landak akan pulang mengundi di Kelantan, bersama ribuan lagi rakyat Kelantan di perantauan. Mereka akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman, sepertimana kelaziman pulang berhari raya.
Tetapi soalnya berapa ramai yang akan betul-betul sanggup menempuh perjalanan pulang pada pertengahan minggu?
Persoalan inilah yang menjadi pertaruhan Barisan Nasional, terutamanya di Kelantan; berhadapan PAS tanpa Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Dua hari selepas pilihanraya Mei 2013, Berita Harian menerbitkan suatu laporan dengan tajuk ‘Pengundi balik kampung bunuh BN’. Tajuk kecilnya pula berbunyi ‘Gelombang kebangkitan belum mampu ambil alih Kelantan’. Gambar Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Annuar Musa kelihatan kecewa dan mengalah menghiasi laporan tersebut.
United Malays National Organisation amat mengetahui bahawa faktor pengundi luar adalah penghalang besar kemenangannya di Kelantan. Justeru ia meraikan undi hari Rabu.
Presiden PAS mungkin belum mendapat nasihat yang tepat.

(function() { var d = document, w = window; w

ARAK TIMAH : KERAJAAN HARUS MENJAGA NAMA BAIK ISLAM

  1. Persoalan arak dalam kerangka sebuah pemerintahan perlu dilihat dari sudut hukum Syara’ dan panduan Siyasah Syari’eyah. Siyasah Syariey...