Warkah dari Pantai Sematan: Untuk Nurul Izzah dan Abun Sui – Jangan Jual Madani di Tanah Kami
YB Senator Tuan Senator Abun Sui dan YBhg. Nurul Izzah.
Salam dari Pantai Sematan, Sarawak — bumi yang telah lama merdeka dalam jiwa dan tindakannya, jauh sebelum ada orang fikir nak jual slogan "Madani" bagaikan pelekat kereta rasmi kementerian.
Kami terpanggil — atau lebih tepatnya, dipanggil rasa muak — bila membaca kenyataan kamu berdua yang tiba-tiba sibuk mendesak agar “penyukatan tanah NCR dilaksana segera, adil dan terbuka.”
Kamu berdua bercakap seolah-olah Sarawak ini masih kabur tentang sempadan tanah adat sendiri, seolah-olah kami belum celik dan masih perlu diajar oleh putera dan puteri bangsawan dari Malaya cara mengurus tanah pusaka kami.
Warkah ini ditulis bukan untuk meminta penjelasan, tetapi untuk memberi sedikit pencerahan. Sakit sikit, ya. Pedas pun perlu.
Fakta Bukan Fiksyen
➡️ Sejak 2010, Kerajaan Sarawak telah memulakan Program Penyukatan Tanah Adat Bumiputera (New Initiative NCR Land Survey).
➡️ Sehingga April 2025, sebanyak 1.2 juta hektar tanah adat telah pun disukat.
➡️ Dari jumlah itu, 935,760 hektar telah digazetkan di bawah Seksyen 6, dan 120,608 hektar disukat sebagai lot individu di bawah Seksyen 18, melibatkan lebih 101,000 pemilik tanah.
Jadi siapa sebenarnya yang baru buka buku?
Kami yang sudah menyukat, atau kamu yang baru nak belajar beza antara sempadan adat dengan sempadan politik?
ABUN SUI, DENGAR BAIK-BAIK.
Sedarlah, kamu bukan wakil rakyat.
Kamu bukan dipilih oleh rakyat Sarawak, kamu dilantik oleh Anwar Ibrahim, untuk mewakili suara siapa — rakyat atau Perdana Menteri?
Jangan sesekali jadi “Angin Malaya” — yang hanya bertiup ikut arah Putrajaya, walaupun ribut sebenar berlaku di kampung halaman sendiri. Jangan jadi jurucakap Putrajaya di Bumi Kenyalang, tetapi senyap ketika rakyat di pedalaman memerlukan suara lantang.
Apa sumbangan kamu dalam penyukatan tanah adat sejak kamu “dianugerah” kerusi senator itu?
Ada turun padang? Ada bantu pemetaan?
Atau cukup sekadar baca skrip yang dihantar melalui WhatsApp dari pejabat PM?
Kami tidak perlukan senator 'yes man', kami perlukan pemimpin yang berani menyanggah bila Putrajaya cuba langgar sempadan autonomi negeri.
NURUL IZZAH, KAMU ITU ANAK SIAPA?
Sejak bila kamu turun bermain lumpur?
Sejak bila kamu kenal erti tanah pusaka yang dipertahankan berkurun lamanya?
Kamu dilahirkan di atas tilam empuk politik — anak kepada bekas TPM dan kini Perdana Menteri. Sejak kecil, kamu hidup dalam dunia yang tidak pernah kenal surat tanah hilang, pelan ukur tidak diluluskan, atau pejabat tanah tutup awal.
Jadi tolong, jangan ajar rakyat Sarawak tentang keadilan tanah. Di sini, kami bukan minta belas kasihan dari anak bangsawan politik, kami cuma minta dihormati — seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kalau mahu main peranan, turun ke tanah sebenar — bukan sekadar buat kenyataan dari dalam kereta berpenghawa dingin atau meja mesyuarat di Pejabat Papa kamu.
Ini Tanah Kami. Bukan Padang Kempen Kamu.
Jangan datang ke Sarawak dengan niat menjual slogan Madani. Tanah, adat, dan kuasa negeri ini bukan untuk disadur dengan kilauan retorik Malaya.
Apa yang kami lakukan selama ini bukan untuk 'glamour', tapi untuk menjamin generasi anak negeri akan datang masih dapat warisi tanah yang kita pertahankan. Kamu mungkin sibuk ukur undi, kami sibuk ukur sempadan sawah, ladang, hutan, dan warisan.
Dan yang kononnya pejuang keadilan,
Tapi datang dengan naratif penuh penafian dan persepsi. Hanya menzahirkan satu perkara:
Bukan nak bantu rakyat — tapi nak kutip undi guna wayang simpati.
Akhir Kata:
Kepada Abun Sui — cukup-cukuplah jadi megafon orang lain. Jadilah suara untuk rakyat sendiri.
Kepada Nurul Izzah — sebelum bicara soal hak, hayati dulu susah payah orang yang tiada keistimewaan sejak lahir.
Dan kepada kedua-duanya — jika mahu berbicara tentang tanah, bawa peta, bukan drama.
Ini tanah yang telah kami jaga beratus tahun — bukan tempat kamu datang bawa skrip Madani lalu mahu diberi tepukan.
Yang benar,
gD