Nurul tetamu persembahan untuk Selamatkan MerdekaReview

Ahli parlimen Pantai Dalam, Nurul Izzah Anwar bakal menjadi tetamu dalam satu persembahan seni untuk "Selamatkan MerdekaReview". Antara pasukan muzik yang bakal terlibat dalam program "Rescue MerdekaReview to uphold independent Voice" ini termasuklah Fetus, Maharaja Commision, Seconds to Collide, Think! Tadpole! Think!, NAO, Carburetor Dung, Xerpent dan lain-lain lagi.

Program ini akan diadakan pada 2 Julai 2011 (Sabtu), antara jam 3 hingga 6 petang di MCPA Theater, Dewan Perhimpunan Kuala Lumpur-Selangor - bertujuan mengumpul dana untuk melanjutkan kelangsungan media internet, MerdekaReview. Sebelum ini, MerdekaReview berdepan dengan masalah kewangan untuk meneruskan operasinya. Bagaimanapun, dengan sokongan yang diberikan pembaca, MerdekaReview kini mampu bertahan untuk sementara waktu, pada masa yang sama merancang untuk mencari pelabur yang baru.

Sebagai media alternatif, MerdekaReview juga menerima sokongan daripada pertubuhan masyarakat sivil, malah media alternatif yang lain seperti Malaysiakini. Sebelum ini, Susan Loone, wartawan Malaysiakini telah menderma empat karya lukisannya untuk dilelong (auction) - tiga daripadanya dibeli oleh Encik Lee dengan harga RM10,000; sementara satu lagi dibeli oleh staf Malaysiakini sendiri dengan RM3,200 - kesemuanya diderma kepada MerdekaReview.

"Rescue MerdekaReview"

Badan bukan kerajaan (NGO) seperti jawatankuasa, pertubuhan dalam Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor juga mengambil inisiatif untuk mengadakan satu pertunjukan seni, dengan tujuan mengutip dana untuk MerdekaReview.

Dalam satu kenyataan media, Pengerusi Jawatankuasa Hak Civil, Liau Kok Fah berkata, komplot antara kuasa ekonomi dengan kuasa politik telah menyempitkan ruang bersuara, sehingga masyarakat semakin berjauhan dari kebenaran. Bagaimanapun, media alternatif memainkan peranannya untuk menjadi pemantau yang terbaik.

Beliau menambah, muzik yang independen bukan bermakna untuk memberontak, tetapi melambangkan pemikiran yang independen; bukan untuk menterbalikkan tradisional, tetapi untuk berkreatif. Ciri-ciri sedemikian seiring dengan MerdekaReview.

Jawatankuasa Hak Civil ialah penganjur utama program ini, menganggap sokongan muzik independen terhadap media independen sungguh memberi makna. Muzik mempunyai pengaruhnya untuk mengkritik apa yang tidak benar dalam masyarakat arus perdana; dan kini mereka sanggup menyokong media independen untuk mengekalkan suara alternatif dalam masyarakat.

Tiket program ini terbahagi kepada RM30 dan RM50 (T-shirt percuma), boleh dibeli melalui:

1. KL & Selangor Chinese Assembly Hall
1, Jalan Maharajalela, 50150 Kuala Lumpur, Malaysia.
Telefon: 03-2274 6645, Faks:03-2272 4089

2. Akaun Maybank Merdeka Review Sdn Bhd (Nombor: 514440123099)
Sila menyimpan resit, dan faks kepada 03-7960 9916. Nyatakan nama, nombor telefon dan bilangan tiket yang ingin dibeli, atau email "resit dalam bentuk soft copy" kepada admin@merdekareview.com, dan nyatakan nama, nombor telefon dan bilangan tiket.

3. Perlu diberi perhatian bahawa tiket dituntut di pejabat KL & Selangor Chinese Assembly Hall, sama ada ia dibeli terus, mahupun melalui cara sebagaimana yang dicatat di atas.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Encik Chia (012-6517282), atau Shane (0123778558).

Baca: MerdekaReview, kini media yang dimiliki wartawan

Baca: Jom labur di MerdekaReview untuk melakar masa depan!

Edar Video Seks : Tiada Perkembangan, Penangkapan



 KUALA LUMPUR 10 JUN : Polis masih belum mempunyai sebarang petunjuk baru atau membuat tangkapan berhubung pengedaran VCD lucah yang memaparkan aksi seks seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang seperti yang dipertontonkan oleh trio 'Datuk' kepada wartawan.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

"Tiada perkembangan baru atau tangkapan berhubung perkara itu.

"Kami memang sedari bahawa video itu sedang diedarkan di negeri ini dan mengklasifikasikan kes itu mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana mengedarkan barangan lucah,” katanya.

Sejak bulan lalu, semakin ramai pemimpin masyarakat mendakwa menerima video seks berkenaan.

Antara mereka termasuk ketua kampung di kebanyakan tempat di Selangor sebelum menular ke negeri-negeri lain.

Selain kampung-kampung Melayu, turut menjadi sasaran adalah kampung Cina dan India.

VCD lucah yang diposkan ke rumah mereka dikatakan berasal dari Shah Alam dan ada yang dari Melaka. Ini berdasarkan setem dan cop pos di sampul surat yang dihantar itu.

Awal hari ini, ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin membuat laporan polis di ibu pejabat daerah polis Ampang Jaya setelah menerima VCD di peti suratnya bersama surat palsu yang kononnya dikeluarkan oleh PAS.

Bahagian luar VCD itu memaparkan imej timbalan presiden PAS yang baru Mohamad Sabu, dengan judul 'Skandal Seks Mat Sabu'.

Skandal Seks Mat Sabu

“Sebaran VCD lucah fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah berleluasa ke seluruh negara. Sepatutnya pihak polis sudah boleh mengesan siapa dalangnya. Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini.

“Lebih melampau, saya sendiri telah menerima VCD dan risalah fitnah ini yang dihantar ke rumah saya semalam. Sampul surat yang dihantar mengandungi surat palsu yang menggunakan kepala surat PAS, VCD bertajuk 'Skandal Seks Mat Sabu' dan risalah yang memaparkan beberapa adegan dari VCD lucah...mula dicemarkan sehingga ke Ampang pula,” katanya.

Zuraida mendakwa penyebaran rakaman seks itu kerja Umno sebagai usaha mereka bagi memecah-belakan kerjasama parti-parti gabungan Pakatan Rakyat.

“Susulan dari laporan polis saya hari ini juga, saya meminta agar Unit Siasatan PDRM segera menyiasat perkara ini. Ini kerana apa yang berlaku jelas bermotifkan politik dan berkemungkinan turut melibatkan arahan dan penglibatan pihak atasan,” kata Zuraida.-Malaysiakini

Dr Lo' lo' : RUU Perbadanan Pembangunan Kampung Baru Perlu Dijelaskan Secara Teperinci




SHAH ALAM 10 JUN : Beberapa cadangan berhubung Pindaan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) perlu dijelaskan kepada penduduk sebelum ia dibentangkan di Parlimen, tegas Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ lo Ghazali.

Menurut Dr Lo' lo', beliau menyambut baik pembatalan pembubaran Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (Mas) dan enakmen Mas.

Bagaimanapun pihaknya mempersoalkan apakah status lembaga itu kini, kerana Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKKB) tetap bertindak sebagai pentadbir Kg Baru.

Katanya lagi, kemasukkan jawatan Timbalan Pengerusi dalam RUU dengan menyebut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan turut dipersoalkan kerana sebelum ini dalam Fasal 5(1) Keanggotaan Perbadanan ia mestilah dilantik daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru sendiri.

"Fasal 5(1) Keanggotaan Perbadanan telah dikurangkan dan ditambah dengan memasukkan Timbalan Pengerusi yang mana dalam RUU PPKB 2010 yang asal jawatan ini tidak ada manakala pelantikanya akan dibuat daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kg. Baru," katanya.

"Kenapa dalam Fasal 5(2) ini tidak disebut perlantikan mestilah di kalangan pemilik dan pewaris tanah Kg. Baru? Adakah ada helah di sebalik perlantikan ini? soal Dr Lo' lo' dalam satu kenyataan medianya, semalam.

Dr Lo' lo' berkata, Fasal 5(1) (f) dalam RUU PPKB 2010 yang asal menetapkan untuk melantik anggota perbadanan ia memerlukan dua pemilik tanah Kampung Baru, namun setelah ia diganti dengan fasal baru lembaga berkenaan mengkehendaki lima wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Adakah ini juga disebabkan lobi-melobi daripada Badan-badan Bukan Kerajaan yang diketahui mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu atau yang gilakan jawatan di dalam Perbadanan? Apakah signifikannya perlantikan mereka ini? soalnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai mekanisme pembangunan Dr Lo' lo' berkata beliau akan merujuk perkara tersebut mengikut RUU PPKB 2010 yang asal disebut penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 tetapi dalam pindaan yang dicadangkan, peruntukan itu telah dipotong.

Ujar Dr Lo' lo' lagi, sekiranya benar Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak mahu dan tidak akan digunakan kenapa ia tidak dimasukkan terus peruntukan yang spesifik bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan digunakan dalam pembangunan Kg. Baru?

“Jika begitu keadaannya, bagaimanakah pula bentuk rancangan pembangunan yang hendak dijalankan? Apakah ia akan melibatkan pemindahan penduduk sepanjang tempoh pembangunan tersebut ? Jika perlu dipindahkan, ke mana dan adakah sebarang pampasan atau gantirugi yang akan diberikan?,” soal beliau.

Tambah Dr Lo' lo', persoalan-persoalan berhubung RUU PPKB ini masih kabur kepada sebilangan besar penduduk Kg Baru dan perkara ini perlu diberikan penjelasan teperinci oleh pihak Kementerian.

Jelasnya lagi, perkara utama dalam perkara ini adalah dengan menarik semula pembentangan RUU yang dibuat pada Disember tahun lalu kerana segala pindaan yang dicadangkan itu tidak bermakna dan tidak akan menjadi sebahagian daripada undang-undang selagi mana RUU yang asal masih berada di Parlimen.



Tembak Mati Remaja : Ibu Bapa Mangsa Kesal Tindakan Terburu-buru Polis




PETALING JAYA 9 JUN : Hancur luluh hati seorang ibu apabila membayangkan saat terakhir anaknya sedang melutut dan merayu meminta nyawa sebelum ditembak dari jarak dekat di kepala dan dada begitu sahaja.

Apatah lagi si penembak merupakan mereka yang sepatutnya menjaga keamanan, keselamatan dan keadilan rakyat dan orang awam.

Dengan esak tangis, Norhafizah Mohd Ghazali menyatakan kekesalan dan hilang keyakinan terhadap Polis Di Raja Malaysia(PDRM) yang seolah cuba menyembunyikan hal sebenar berkaitan kematian anak beliau, Muhammad Syamil Hafiz bin Shafiei yang ditembak mati oleh anggota polis seminggu hari jadi ke 16 nya November tahun lalu.

"Selama hampir 7 bulan saya menunggu apa yang saya fikirkan selama ini menjadi kenyataan. Anak saya memang dibunuh. Kenapa dia dibunuh? Anak saya bukannya pembunuh. Dia cuba berumur 15 tahun. Di mana keadilan untuk anak saya? Saya hilang kenyakinan pada pihak polis. Saya nak tegakkan keadilan untuk anak saya. Saya nak orang yang bunuh anak saya dihadapkan ke mahkamah dan terima balasan setimpal,"

Malah katanya, beliau tidak faham mengapa Polis yang lengkap bersenjata tidak menangkap dan menghadapkan anaknya ke mahkamah jika ia benar-benar melakukan kesalahan tanpa perlu bertindak sedemikian rupa.

"Kenapa tidak dia ditangkap sahaja, kenapa dia harus dibunuh. Mereka tidak merasakan apa yang saya rasa, sebagai ibu saya tak dapat membayangkan anak saya merayu agar nyawanya tidak diambil," ujarnya.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Hairul Nizam Tuah, 20, mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi pada 13 Disember lalu.

Pihak polis sebelum ini turut mendakwa ketiga-tiga remaja berkenaan telah menyerbu anggatonya dengan bersenjatakan parang dan bagi mempertahankan diri mereka pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan sebelum ini, ketiga-tiga remaja terbabit juga baru sahaja selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1, Glenmarie dan bertembung dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

Bagaimanapun laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Jabatan Kimia Malaysia didapati ia bercanggah dengan kenyataan Thaiveegan itu.

Menurut laporan bedah siasat Hairul dan Syamil dan berdasarkan penemuan keluarga pada badan mangsa, Hanafi masing-masing mempunyai dua kesan tembakan iaitu di kepala dan dada.

Kata beliau, kesemua tembakan dilepaskan pada bahagian kepala dan dada manakala peluru-peluru pula keluar rendah dan badan mereka mengalami lebam dipercayai akibat dipukul.

Ia menunjukkan trajektori peluru pada badan Hairul juga menunjukkan penembak mangsa itu melepaskan peluru dari kedudukan yang tinggi.

Laporan kimia pula menunjukkan ketiga-tiga mereka ditembak dari jarak dekat berdasarkan kesan serbuk pistol di badan mangsa.

Justeru bapa Hanafi, Omar Abu Bakar mempertikai kenyataan Polis yang seolah cuba menyembunyikan apa yang berlaku.

"Saya nak pertikaikan kenapa Polis tembak anak saya dari sebelah kanan. Dua butir di kepala dan dibahu. Pihak polis keluarkan laporan lain. Hospital keluarkan laporan betul. Dan kalau polis kata serang dari depan, kenapa tembakan dari kanan? soalnya.

"Saya tak puas hati dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor itu. Mengaburi mata rakyat untuk melindungi anggotanya. Apa standing orders untuk menenbak penjenayah bersenjata? Yang bersenjata api tembak, yang pakai parang pun tembak juga? Pistol boleh tembak dari jauh," tambahnya lagi.

PRU-13 : PKR Sasar Rampas Tiga Kubu Kuat Umno Di Selangor




PETALING JAYA 10 JUN : Parti Keadilan Rakyat Selangor mensasarkan 11 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang termasuk 8 yang dimenanginya pada PRU lalu.

Tiga kerusi sasaran ialah di P093 Sungai Besar, P095 Tanjong Karang dan P113 Sepang.

Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin, mereka yakin mampu mempertahankan kemenangan dan akan berusaha lebih untuk merampas tiga kerusi Parlimen Umno di negeri itu.

Selain itu, Zuraida turut mensasarkan tujuh lagi Dewan Undangan Negeri bagi menambah 14 yang dimenangi Pakatan Rakyat pada 2008.

"Selain daripada itu KEADILAN Selangor bertekad membantu memenangi tiga lagi kawasan majoriti Melayu yang ditandingi oleh rakan Pakatan Rakyat di Parlimen Sungai Besar, Parlimen Tanjong Karang, Parlimen Sepang. Bagi kerusi DUN, KEADILAN Selangor akan mempertahankan 14 kerusi DUN yang telah di menangi dalam PRU 12 yang lalu dan akan menawan 7 lagi kerusi DUN dalam PRU akan datang.

Zuraida turut mengumumkan pelancaran program Jelajah Selangor (JELAS) fasa kedua untuk terus mematikan gerakan Umno di kubu kuat mereka sebelum ini.

Beliau turut yakin perjuangan dalam pilihan raya akan datang ini akan disambut oleh rakyat kerana asas perjuangan parti itu adalah mengembalikan hak rakyat dan memartabatkan kedudukan rakyat yang sekian lama terpinggir.

Fasa kedua sebanyak 19 siri akan berlangsung di seluruh pelusuk Selangor dengan pelancarannya akan dibuat Sabtu 12 Jun ini di tempat Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

"KEADILAN Selangor telah menyusun jentera yang dinamik untuk sebar maklumat kepada seluruh rakyat selangor Dengan gerak gempur JELAS - Tawan Malaysia yang akan dilancarkan Sabtu ini.

"KEADILAN Selangor memilih gerak kerja bermula di Tanjong Karang kerana kawasan Parlimen ini milik Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Sri Noh Omar. Kami yakin pelancaran ini akan memberikansatu tamparan hebat kepada beliau dan seluruh jentera Umno-BN khususnya yang masih bercakaran sesama sendiri," tegas Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei pula menyatakan sambutan fasa pertama JELAS amat baik dan boleh mendapat sokongan yang lebih sekiranya tidak terdapat kekangan dari pihak polis yang tidak mahu memberi permit di beberapa tempat.

"Hasil dari penelitian dan perkiraan, anggaran yang diberi paling minima sekitar 300 orang tapi yang banyaknya seperti di Dewan Hamzah Klang, lebih 2500 orang, di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya juga lebih 2500 orang dan kebanyakan mereka ini bukan ahli PKR tapi orang di sekeliling," kata beliau

Nik Aziz : Negara Kebajikan Selari Dengan Islam




KOTA BAHARU 10 JUN : Konsep negara berkebajikan dibawa pakatan pembangkang adalah selari dengan kehendak Islam, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Menurutnya kedua-dua perkara itu membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial.

Berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat, katanya.

"Islam ini dasar manakala berkebajikan adalah program Islam. Kebajikan bukan beri barang," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak kononnya PAS sanggup meninggalkan perjuangan asal parti untuk memenangi pilihan raya umum dan tindakan itu menurut mereka, menyebabkan sokongan terhadap PAS merosot.

Ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Ke-57 parti itu minggu lalu langsung tidak menyentuh mengenai penubuhan negara Islam dan pembentukan undang-undang hudud seperti mana sebelumnya.

Sebaliknya ahli parlimen Marang itu menumpukan perhatian kepada konsep membangun negara berkebajikan. -BERNAMA

Mat Sabu Sedia Jadi Sasaran Fitnah Umno


SHAH ALAM 10 JUN : Mohamad Sabu berkata beliau tidak gusar jika menjadi sasaran terbaru kecaman dan fitnah Umno, berikutan pelantikannya sebagai Timbalan Presiden baru PAS minggu lalu.

"Saya tidak mahulah diuji kerana umur pun sudah semakin meningkat, tetapi sekirannya datang ujian saya akan sabar menghadapi," kata Mohamad Sabu kepada
TVselangor.
Mohamad Sabu kerap dipandang oleh Umno sebagai penceramah utama parti Islam itu yang berupaya mempengaruhi pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan sikap
kesederhanaan beliau.
Ucapan-ucapan Mohamad Sabu mengenai rasuah dan penyelewengan kuasa dan kepemimpinan talam dua muka yang penuh sinis bukan sahaja mencuit hati hadirin di
ceramah tetapi turut menghantar mesej yang tajam kepada pemimpin-pemimpin Umno.
Pelantikan beliau sebagai orang kedua tertinggi dalam Jawatankuasa Pusat Parti awal bulan ini menjadikan Mohamad Sabu sebagai tonggak utama PAS, sekaligus
menjadikan beliau sasaran utama Umno.
Mohamad Sabu berkata beliau sudah lali dengan budaya fitnah yang diamalkan pemimpin-pemimpin Umno demi kelangsungan jangkahayat politik mereka.
Ditanya kemungkinan beliau diserang oleh Umno secara lebih hebat, seperti mana yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu berkata Umno akan
membuat kesilapan besar jika Anwar diheret ke penjara sekali lagi.
"Saya yakin mereka tidak mampu mengulangi perkara seperti itu, sebab pilihanraya yang bakal berlangsung ini. Mungkin mereka akan kehilangan kuasa kerana rakyat akan membuat perhitungan,"kata beliau.
Anwar dipenjarakan enam tahun setelah dipecat dari kerajaan dan Umno dan dibebaskan pada tahun 2005 setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau telah
disabit di atas tuduhan liwat dengan keterangan-keterangan rapuh dan dipaksa.
Kini beliau sekali lagi menghadapi pertuduhan liwat dengan keterangan-keterangan mencurigakan daripada saksi dan pengadu sendiri.
Anwar juga diaibkan dengan pengedaran video lucah dengan dakwaan-dakwaan Umno kononnya Ketua Pembangkang itu adalah pelaku dalam rakaman berkenaan.
Mengenai pemilihan PAS yang lalu, Mohamad Sabu berkata dakwaan Utusan Malaysia dan juak-juak Umno kononnya wujud perbalahan dalaman di PAS bersabit
perjuangan Negara Berkebajikan menyerlahkan budaya fitnah Umno.
Mohamad Sabu berkata dakwaan itu tidak logik dan hanya cubaan berterusan Umno untuk memburukkan PAS tanpa sebarang bukti atau hujah bernas.

"Macam mana mahu berbalah, bermesyuarat pun belum, selepas bermuktamar ada yang balik ke kampung masing-masing, ada yang mengambil cuti kerana letih, macam saya tiap-tiap hari dihubungi pihak wartawan, jadi bila masa kami berjumpa dan berbalah, bertemu pun belum," kata Mohamad Sabu kepada TvSelangor
Beliau mengulas laporan-laporan Utusan Malaysia yang cuba memberi gambaran kononnya PAS diambang perpecahan berikutan perjuangan parti itu menegakkan Negara
Berkebajikan yang turut didokong oleh parti komponen Pakatan Rakyat.
Utusan dan pemimpin Umno mendakwa langkah itu menunjukkan PAS mengabaikan perjuangan menubuhkan Negara Islam dan parti itu tidak lagi didokong oleh pimpinan ulama.

"Media kawalan Umno ini kami cukup pelik, tiba-tiba mereka menunjukkan mereka begitu sayang kepada kepimpinan ulama, sedangkan mereka menyerang hebat dan
mencerca para ulama PAS dan kenapa mereka tiba-tiba sayang, ini semua rakyat boleh baca iaitu mereka hanya mahu melaga-lagakan sahaja bukan mereka sayang
kepada ulama," kata Mohamad Sabu.
Semalam Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan konsep Negara Berkebajikan adalah selari dengan Islam dan tidak timbul soal parti itu luntur dalam
perjuangan demi Islam.
Mohamad Sabu juga berkata Umno semakin terdesak dalam reaksinya terhadap pemilihan barisan kepimpinan Pusat PAS. Barisan depan parti Islam itu dilihat akan
memberi kesan kepada peluang Umno untuk menawan semula kerusi-kerusi yang hilang kepada PAS pada pilihanraya umum akan datang.
Utusan semalam mencadangkan Umno mewujudkan sayap Ulama dan menjemput ulama-ulama yang tewas pada pemilihan PAS menyertai Umno.

"Kalau Umno tergerak mahu mencadangkan untuk adakan majlis ulama sendiri, kami akan melihatlah bagaimana mereka mahu laksanakan dan peranannya serta termasuk dasar parti mereka, jangan hanya bercakap di peringkat cadangan sahaja," kata Mohamad Sabu.
Tambah Mohamed Sabu lagi, kenyataan sedemikian diada-adakan Utusan solah-olah menggambarkan parti kerajaan itu semakin akur bahawa riwayat hidupnya bakal beralih kepada menjadi pembangkang selepas pilihanraya umum ke 13.

"Dan barang kali mereka tahu yang mereka bakal menjadi pembangkang maka mereka bersedia seperti apa yang ada dalam pembangkang hari ini." katanya.

Asri : Umno Nampak Hipokrit Kecam Konsep Negara Kebajikan PAS




KUALA LUMPUR 10 JUN : Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Umno memperlihatkan sikap hipokrasi mereka dengan menentang pendirian terbaru PAS, yang minggu lalu mengetengahkan konsep negara berkebajikan.

Sehubungan itu kata Asri, Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) dan mewakili suara orang Melayu, seharusnya mengalu-alukan perubahan pendirian PAS yang sebelum ini dilabel sebagai konservatif dan fanatik.

“Saya tidak tahu apa pendirian Umno sebenarnya. Dulu Umno yang mengecam PAS kata dikuasai oleh golongan ulama, sekarang golongan profesional ada, mereka masih hentam.

“Saya lihat Umno macam hipokrit... dulu dia (Umno) yang mengatakan bahawa PAS ini (parti) jumud, jadi saya lihat ini sikap yang tidak betul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Kita tidak sepatutnya hentam mereka, sebaliknya perlu terbuka dan mengalu-alukan perubahan pendirian PAS ini... dulu bukan Islam takut dengan konsep negara Islam, sekarang PAS lebih terbuka, lebih ke depan daripada Umno... patut Umno alu-alukan dan bukannya mengkritik PAS,” kata beliau.

Tenaga akademik ini mengulas perkembangan kritikan ke atas PAS sejak pada Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.

Dalam komen balasnya semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata konsep negara berkebajikan dibawa Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah selari dengan kehendak Islam.

Katanya, konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Justeru kata Menteri Besar Kelantan itu, kedua-dua perkara tersebut membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial.

Kata Nik Aziz, berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat.

Ini pandangan kedua Asri mengenai pendirian PAS yang menyentuh konsep negara berkebajikan.

Sabtu lalu, beliau menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.

Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Kata Asri, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.

Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.

“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.

“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.

Dalam ulasan terbaru ini, Asri berkata, pendirian Umno seolah-olah menunjukkan bahawa “keadaan sudah terbalik” memandangkan parti itu ditolak ke belakang manakala PAS pula kelihatan dan menunjukkan sikap keterbukaan.

“PAS kini nampak lebih terbuka macam Umno dalam tahun 1980-an, patut Umno lebih mengalu-alukan perubahan sikap PAS... dulu mereka yang hentam ulama PAS, kononnya PAS ini fanatik... sekarang sudah terbalik keadaan,” kata Asri lagi.

“Sekarang PAS sudah berubah, Umno pula menentang. Saya pun tidak tahu apa yang Umno buat, saya rasa Umno sudah silap perhitungan,” katanya lagi.


(function() { var d = document, w = window; w

Anwar doesn’t rule out possibility of working with Umno