PRU-13 : PKR Sasar Rampas Tiga Kubu Kuat Umno Di Selangor




PETALING JAYA 10 JUN : Parti Keadilan Rakyat Selangor mensasarkan 11 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang termasuk 8 yang dimenanginya pada PRU lalu.

Tiga kerusi sasaran ialah di P093 Sungai Besar, P095 Tanjong Karang dan P113 Sepang.

Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin, mereka yakin mampu mempertahankan kemenangan dan akan berusaha lebih untuk merampas tiga kerusi Parlimen Umno di negeri itu.

Selain itu, Zuraida turut mensasarkan tujuh lagi Dewan Undangan Negeri bagi menambah 14 yang dimenangi Pakatan Rakyat pada 2008.

"Selain daripada itu KEADILAN Selangor bertekad membantu memenangi tiga lagi kawasan majoriti Melayu yang ditandingi oleh rakan Pakatan Rakyat di Parlimen Sungai Besar, Parlimen Tanjong Karang, Parlimen Sepang. Bagi kerusi DUN, KEADILAN Selangor akan mempertahankan 14 kerusi DUN yang telah di menangi dalam PRU 12 yang lalu dan akan menawan 7 lagi kerusi DUN dalam PRU akan datang.

Zuraida turut mengumumkan pelancaran program Jelajah Selangor (JELAS) fasa kedua untuk terus mematikan gerakan Umno di kubu kuat mereka sebelum ini.

Beliau turut yakin perjuangan dalam pilihan raya akan datang ini akan disambut oleh rakyat kerana asas perjuangan parti itu adalah mengembalikan hak rakyat dan memartabatkan kedudukan rakyat yang sekian lama terpinggir.

Fasa kedua sebanyak 19 siri akan berlangsung di seluruh pelusuk Selangor dengan pelancarannya akan dibuat Sabtu 12 Jun ini di tempat Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

"KEADILAN Selangor telah menyusun jentera yang dinamik untuk sebar maklumat kepada seluruh rakyat selangor Dengan gerak gempur JELAS - Tawan Malaysia yang akan dilancarkan Sabtu ini.

"KEADILAN Selangor memilih gerak kerja bermula di Tanjong Karang kerana kawasan Parlimen ini milik Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Sri Noh Omar. Kami yakin pelancaran ini akan memberikansatu tamparan hebat kepada beliau dan seluruh jentera Umno-BN khususnya yang masih bercakaran sesama sendiri," tegas Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei pula menyatakan sambutan fasa pertama JELAS amat baik dan boleh mendapat sokongan yang lebih sekiranya tidak terdapat kekangan dari pihak polis yang tidak mahu memberi permit di beberapa tempat.

"Hasil dari penelitian dan perkiraan, anggaran yang diberi paling minima sekitar 300 orang tapi yang banyaknya seperti di Dewan Hamzah Klang, lebih 2500 orang, di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya juga lebih 2500 orang dan kebanyakan mereka ini bukan ahli PKR tapi orang di sekeliling," kata beliau

No comments: