Rafizi: Dedah Perjanjian NFC Kepada Umum

SHAH ALAM, 10 FEB: Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Seri Muhyiddin Yassin diminta mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman RM250 juta itu kepada Umum.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata tindakan tersebut amat perlu supaya rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar.

Kenyataan beliau tersebut ekoran kenyataan Wan Shahinur Izmir Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif NFC yang mendakwa bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta yang dimeterai NFC dan Kerajaan Malaysia tidak menetapkan syarat bagaimana
wang tersebut boleh digunakan.

Menurut Wan Shahinur lagi, NFC menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi termasuklah mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.

Kata Rafizi kenyataan Wan Shahinur menimbulkan pelbagai persoalan antaranya;

1.Apakah hak menteri-menteri terbabit meluluskan pemberian wang sejumlah RM250 juta kepada keluarga menteri untuk dibelanjakan sesuka hati mereka?

2.Bagaimanakah dasar memberikan pinjaman yang longgar begini boleh menjamin projek negara seperti Pusat Fidlot Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan berkesan?

3.Berapa banyak lagi perjanjian-perjanjian pinjaman seperti ini yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada peminjam membelanjakan wang rakyat telah diberikan kepada syarikat-syarikat dan orang peribadi yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan?

4.Apakah pemilik dan pengurusan NFC yang terdiri dari kaum keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) dan mencagarkan harta peribadi mereka sebagai sebahagian dari syarat perjanjian pinjaman?

Katanya pendedahan yang dibuat Wan Shahinur tersebut mengukuhkan lagi gesaan Pakatan Rakyat bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC kerana penyelewengan dan kecuaian yang berlaku melibatkan pimpinan tertinggi negara.