KESIANNYA SAIFUL......

Kesiannya...
Menurut peguam UMNO, Saiful kini hidupnya menderita setelah mendakwa dirinya diliwat..
Derita lah sangat...
Like ·
·

Perubahan untuk rakyat lebih penting, pesan Anwar dari penjara


(Oleh Azuan Ab Rahman)

PETALING JAYA 6 MAC: Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua aktivis yang berkumpul setiap malam di hadapan Penjara Sungai Buloh.

Penghargaan tersebut disampaikan melalui Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Anwar 


“Kita dapat pesanan dari Datuk Seri Anwar di penjara baru-baru ini, beliau sampaikan penghargaan kepada semua terutama kepada aktivis yang berkumpul setiap malam di hadapan Penjara Sungai Buloh.
“Himpunan di luar itu telah merangsang semangat beliau, tetapi beliau beri nasihat jangan terlalu tumpu di penjara sungguhpun rakyat prihatin.

“Pesannya perjuangan di luar bagi menggerakkan perjuangan rakyat untuk bawa perubahan adalah lebih penting,” kata Tian pada sidang media di sebuah restoran di Petaling Jaya, hari ini.

Sehubungan itu jelas Ahli Parlimen Batu itu lagi, himpunan solidariti buat Anwar akan berakhir pada malam ini, namun sokongan terhadap Ketua Umum KEADILAN itu akan diperhebat dengan aktiviti lebih besar.

“Malam ini malam terakhir kita akan berhimpun di hadapan penjara, tetapi selepas ini kita akan buat banyak program di Sungai Buloh, mungkin dalam bentuk ceramah atau aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berharap pihak penjara dapat memperbaiki mutu layanan selain menyediakan kelengkapan sepatutnya kepada Anwar yang diketahui umum mengalami kecederaan ketika dipenjarakan sebelum ini.

“Ada sedikit peningkatan layanan pihak penjara kepada Anwar berbanding mula-mula beliau dipenjarakan, itu pun selepas kita desak, tetapi kita turut mengharapkan pihak berkuasa penjara dapat perbaiki keadaan terutama pengudaraan dan kebersihan sel di mana Anwar dipenjarakan,” tegasnya lagi.

Pukul, maki: Kepimpinan ulama PAS harus diteliti semula

Oleh: Jebon a.k.a Barua

Kejadian pukul terhadap Dr Dzulkefly Ahmad pagi ini mengukuhkan lagi dakwaan keadaan PAS kini lebih teruk berbanding 1982 ketika bekas presiden parti Islam itu Tan Sri Asri Muda ditendang daripada PAS, kata pemimpin PAS.

Bahkan, ia kini setaraf, kalau tidak lebih teruk, dibandingkan dengan apa berlaku dalam MIC atau Umno yang tidak mempunyai ideologi sedangkan PAS mengaku sebagai parti berasaskan Islam, kata penganalisis, pemerhati serta aktivis PAS sendiri.

PAS yang mengaku mengamalkan konsep kepimpinan ulama kini dilihat turut terlibat dalam kejadian ganas seperti memukul dan membakar harta benda membabitkan pimpinan parti selain menggunakan perkataan kesat dan kasar terhadap satu sama lain.

"Mereka (pemimpin PAS) selalu membaca surah Al-Hujurat yang bermaksud, 'apabila datang berita dari orang fasik, selidik dulu'. Tetapi ini tidak berlaku dalam amalan mereka," kata Profesor Datuk Dr Redzuan Othman, pakar sejarah dari Universiti Malaya.

Dzulkefly yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat ketika bercakap dengan The Malaysian Insider sebelum ini berkata, pemimpin PAS selama ini menyerang Umno dengan mendakwa hati pemimpin dan pengikut parti itu tidak bersatu.

Beliau berkata, bekas presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor selalu membaca sepotong ayat Al-Quran dari surah Al-Hashr yang bermaksud: "Mereka nampak bersatu tetapi hati mereka sebenarnya berpecah".

"Ayat itu dulu digunakan Fadzil untuk Umno, kerana perpecahan dalam parti itu, tetapi sekarang ia pusing balik kepada PAS," katanya.

Bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar dalam ulasan spontan selepas apa yang berlaku kepada Dzulkefly yang dipukul dalam keretanya berkata: "Sebagaimana saya katakan, PAS sekarang sudah lebih teruk dari zaman Asri lagi."

Kamarudin yang kini ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat berkata, ia sangat menyedihkan dan melahirkan simpati yang amat sangat dengan apa yang menimpa rakannya itu.

"Mula-mula kereta Dr Hatta kena bakar, ini sekarang pukul Dr Dzul pula. Macam saya katalah, ini lebih teruk daripada zaman Asri," kata Kamarudin merujuk insiden kereta Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli dibakar pada 14 Februari.

Dzulkefly hari ini dipukul sekumpulan lelaki yang menyerang beliau dengan kayu di luar rumahnya di Shah Alam ketika beliau baru pulang selepas menunaikan solat subuh di masjid.

Beliau yang juga pengarah Pusat Penyelidikan PAS terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan selepas bibirnya pecah dan dahi kirinya bengkak.

Beliau membuat laporan polis di Shah Alam dan beberapa anggota polis datang ke rumahnya bagi membuat siasatan lanjut.

Dalam pesanan melalui Whatsapp selepas kejadian itu, Dzulkefly meminta semua rakannya berhati-hati dengan apa yang berlaku, "Be careful sahabat-sahabat semua".

Sebelum ini, Kamarudin berkata kepada The Malaysian Insider, beliau bimbang dengan keadaan PAS sekarang di mana budaya menangani perbezaan pandangan kini berubah.

Katanya, puak yang tidak sehaluan pendapat dalam PAS saling tegur menegur dengan cara yang tidak beradab.

Kumpulan ulama dalam PAS kini bersikap tidak boleh ditegur walaupun pada masa sama mereka bebas menegur kumpulan lain dengan mengeluarkan pelbagai istilah termasuk perkataan “babi” dan “syaitan”, katanya.

Pada 1982, allahyarham Asri yang ketika itu Yang Dipertua PAS Pusat (nama jawatan presiden PAS ketika itu), meletakkan jawatan dalam parti itu ketika muktamar tahunan berlangsung, selepas ucapan dasar beliau ditolak perwakilan.

Kejadian itu juga disertai ejekan terhadapnya oleh kumpulan yang membencinya.

Sebelum kejadian itu, sayap Pemuda PAS bermuktamar di tempat berlainan dan meluluskan usul agar PAS menerima konsep "Kepimpinan ulama".

Dengan peletakan jawatan Asri, PAS memulakan era kepimpinan ulama dan kepimpinan parti itu diambil alih Yusof Rawa sementara Majlis Syura Ulama dibentuk sebagai badan yang tertinggi dalam PAS.

Ketika itu, Kamarudin merupakan seorang pengkaji politik yang bertugas sebagai pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sejak zaman Yusof, jawatan presiden PAS tidak pernah ditandingi dan mereka yang terpilih akan menang tanpa bertanding.

Sekarang, kepimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tercabar di samping konsep kepimpinan ulama dalam PAS.

Pada muktamar tahun lepas di Batu Pahat, perwakilan Pemuda PAS yang memakai jaket menyokong kepimpinan Hadi bangun meninggalkan dewan ketika Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mahu memulakan ucapan perasmian.

Ketika perbahasan, pemimpin yang tidak sehaluan dicemuh dengan ejekan 'boo' manakala seorang yang bergelar ulama membaca doa dalam ucapannya, melaknat pimpinan PAS yang lain.

Dalam ucapan penangguhannya pula, Hadi menyifatkan dalam PAS ada barua dan meminta mereka yang tidak setuju dengan kepimpinannya "mencari tanah baru dan bina masjid baru dan jadi imam sendiri".

Ungkapannya itu disifatkan sebagai satu ucapan menghalau mereka yang tidak sehaluan agar keluar PAS.

AJK PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof dalam satu bukunya bertajuk "Menuju PAS baru" menulis, PAS memerlukan tema baru selepas lebih 30 tahun menggunakan tema "Konsep Kepimpinan ulama".

Ini kerana, katanya, setiap sesuatu perkara berlaku ada lengkok tersendiri dan beliau percaya PAS perlu mencari pendekatan baru kerana lengkok "Kepimpinan ulama" sudah mendatar dan bakal turun.

PAS merupakan parti serpihan Barisan Nasional satu ketika dulu. Ia meninggalkan Umno pada 1951.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dalam komen spontan melalui akaun Facebooknya menolak apa yang menimpa Dzulkefly angkara orang dalam PAS.

Sebaliknya beliau berpendapat ada pihak yang mahu mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku dalam parti Islam itu.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan membuat provokasi terhadap pimpinan PAS.

"Matlamat jahat mereka ialah memecahbelahkan PAS. Moga Allah membalas kejahatan mereka," kata Suhaizan.

Sebelum ini, ketika kejadian melibatkan kereta Dr Hatta, Dzulkefly juga berkata beliau yakin kejadian tersebut angkara orang luar yang berniat jahat menimbulkan konflik dalaman PAS.

"Saya yakin bukan ahli PAS terlibat, dan ia dibuat pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku," kata Dzulkefly kepada The Malaysian Insider.

Kejadian itu susulan tuduhan dalam satu demonstrasi di ibu pejabat PAS pada 8 Februari, mendakwa ahli Parlimen Kuala Krai itu menjadi dalang kepada usaha menjatuhkan Hadi.

DAP terus persoal kerjasama 1MDB, Petrosaudi

webmaster


Aset PetroSaudi International (PetroSaudi) bernilai AS$1.5 bilion yang disuntik dalam kerjasama dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 tidak wujud, dakwa DAP hari ini, malah syarikat pengurusan dana milik kerajaan tersebut mengetahui tentang perkara tersebut.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua berkata, walaupun 1MDB melabur sebanyak AS$1 bilion dalam kerjasama tersebut, yang dikenali sebagai 1MDB PetroSaudi Limited, PetroSaudi sebaliknya sekadar menggunakan lapangan minyak kepunyaan kerajaan Turkmenistan sebagai aset mereka.

Kerajaan Turkmenistan menandatangani Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) dengan Buried Hill Energy (Cyprus) Public Company Limited untuk mendapatkan lesen pencarian bagi membolehkan mereka membangunkan pesisir luar Blok 3, yang merangkumi Serdar Field di Laut Kaspian.

Buried Hill kemudiannya menandatangani perjanjian masuk dengan PetroSaudi pada 4 Julai, 2009 untuk membangunkan telaga minyak.

"Oleh itu, telaga tersebut tidak pernah menjadi hak milik PetroSaudi. Tambah lagi, 1MDB PetroSaudi, melalui anak syarikat PetroSaudi Turkmenistan 1 Limited menamatkan perjanjian masuk pada November 2009," kata Pua pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

"Ini bermakna 1MDB sedar selama ini bahawa ini semua adalah palsu,” katanya.

Hasilnya, PetroSaudi memiliki 60% saham dalam usaha sama itu, walaupun tidak mempunyai aset dan tidak perlu melabur satu sen pun di dalamnya, kata Pua.

Salinan surat 8 Julai, 2009 yang kononnya dihantar daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Buried Hill Roger Haines, kepada para pemegang saham firma itu diedarkan kepada media hari ini.

"Di bawah perjanjian yang kita tandatangani, Buried Hill akan kekal pengendali Blok III dan PetroSaudi akan menerima 50% faedah bekerja dalam PSA sebagai pulangan ke atas pembiayaan semua penilaian dan kos pra-pembangunan di Blok III," menurut surat itu.

Dalam surat berasingan, turut dikatakan dihantar daripada Buried Hill kepada PetroSaudi dan syarikat-syarikat subsidiarinya bertarikh 5 Mac, 2010 Buried Hill bersetuju membayar PetroSaudi Turkmenistan 1 Limited AS$7.099 bilion sebaik saja notis penamatan perjanjian masuk pada 24 November, 2009.

Sementara itu, Pua hari ini mendakwa laporan penilaian berjumlah AS$1.5 bilion tersebut bukannya disediakan Buried Hill ataupun kerajaan Turkmenistan, sebaliknya ia disiapkan sebuah syarikat swasta yang hanya memakan masa seminggu.

"Pada hari laporan penilaian itu dikeluarkan iaitu 29 September, ia juga hari yang sama perjanjian itu ditandatangani antara PetroSaudi dan 1MDB," katanya.

Apabila ditanya mengenai dakwaan Presiden 1MDB Arul Kanda, 1MDB sudah membuat keuntungan sebanyak AS$488 juta daripada perjanjian perniagaan dengan PetroSaudi, Pua menuntut beliau menunjukkan bukti keuntungan tersebut.

"Tunjuk kepada kami wang tersebut. Wang itu dipindahkan ke Kepulauan Cayman, kemudiaan diambil semula, tapi tiada siapa tahu di mana wang sebenar itu berada.

"Mereka enggan membawa pulang wang sehingga terdesak untuk mendapatkan wang hinggakan perlu meminjam wang daripada Ananda Krishnan dan meminta bailout sebanyak RM3 bilion daripada Kabinet," kata Pua.

Katanya, walaupun 1MDB berjaya membuat keuntungan daripada usaha sama itu, ia tidak membenarkan penipuan yang didakwa berlaku dalam keseluruhan perjanjian itu.

"Saya berharap untuk mendengar penjelasan Ketua Audit Negara tentang perkara ini, yang perlukan perhatian segera. Dokumen berada di luar sana dan saya pasti mereka yang terlibat akan cuba dengan pantas memadamkan bukti," kata Pua.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, yang turut serta dalam sidang akhbar hari ini menggesa pihak berkuasa segera menyiasat tuduhan melibatkan 1MDB.

Beliau berkata, jika tiada tindakan daripada pihak berkuasa dalam tempoh 24 jam, mereka akan membuat laporan polis esok.
 

.Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming mempersoalkan mengapa Datuk Seri Najib Razak tidak melantik wakil daripada Kementerian Kewangan ntuk menjawat jawatan pengarah dalam 1MDB.

Katanya, itu adalah amalan lazim bagi mana-mana syarikat di bawah kementerian tersebut untuk memastikan kepentingan mereka dilindungi.

"Tetapi masih tidak ada wakil daripada 1MDB. Adakah ini sesuatu yang perdana menteri sengaja tidak mahu, atau adakah ia bukti ketidakcekapan dalam menjalankan peranannya sebagai menteri kewangan itu," kata Ong.

Juruterbang MH370 emosi rentas Penang

webmaster


Beberapa hari sebelum genap setahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kapten kanan Boeing 777 dengan syarikat penerbangan utama mendakwa misteri penerbangan itu angkara juruterbang.

Teori Kapten Simon Hardy yang dilaporkan akhbar United Kingdom, Daily Mail hari ini mendakwa petunjuk utama ialah selepas pesawat merentasi sempadan Thailand dan Malaysia, pesawat berkenaan membuat pusingan U ke Pulau Pinang.

Hardy berkata, pesawat MAS itu dipandu secara emosional seperti penerbangan terakhir ke kampung halamannya ke Pulau Pinang.

"Penerbangan luar biasa ke Pulau Pinang mungkin satu-satunya petunjuk pelaku. Saya mengambil masa berbulan-bulan memahaminya.

"Petunjuknya ialah Ayers Rock," Hardy dilaporkan berkata merujuk kawasan berbukit di Australia.

"Saya melakukan perkara yang sama di sana. Melihat ke bawah menyaksikan pemandangan yang indah. Seseorang membuat tatapan emosi terakhir di Pulau Pinang,” katanya.

Pesawat MAS MH370 dipandu Kapten Zaharie Ahmad Shah yang berasal dari Pulau Pinang dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid dari Selangor.

Juruterbang Britain itu mendakwa selepas "penerbangan terakhir" itu dibuat, pesawat MH370 itu sengaja membuat pendaratan di tengah Lautan Hindi menjawab mengapa pesawat malang itu tidak pernah dijumpai.

Katanya, pencarian semasa oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di selatan Lautan Hindi tersasar kira-kira 100 batu nautika daripada pesawat MH370 berada.

Teori Hardy itu turut disokong David Learmount daripada majalah Flight International, laman flightglobal dan pakar keselamatan penerbangan terkemuka di United Kingdom.

Learmount dipetik Daily Mail sebagai berkata: "Sejak Kapten Simon Hardy membuat pendedahan di Flightglobal/Flight International mengenai jangkaannya di mana MH370 berada, ATSB ketua pencarian MH370 berborak panjang dengannya."

Laporan itu menambah ATSB mendapati teori Hardy mempunyai kredibiliti.

Penerbangan MH370 hilang kurang sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur dalam perjalanan menuju ke Beijing 8 Mac tahun lalu. Kebanyakan daripada 239 penumpang pesawat itu adalah warganegara China.

Kerja pencarian pesawat MH370 meliputi kawasan Laut China Selatan, Selat Melaka, Lautan Andaman dan selatan Lautan Hindi melibatkan 65 pesawat, 95 kapal dan pakar dari 25 buah negara.

Kerajaan Malaysia menerusi Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Januari lalu mengisytiharkan pesawat MH370 "hilang dalam kemalangan melibatkan 239 penumpang dan anak kapalnya terbunuh".


UG kerjasama dengan Umno: Benarkah profesional PAS cair identiti?

 OLEH " JEBON

Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, PAS akan cair identitinya sekiranya tersalah langkah.

"Parti Istiqlal dilihat telah meninggalkan banyak dasar-dasar Islam apabila membiarkan pelbagai dasar bercanggah dengan Islam menjadi sebahagian dasar negara Maghribi terutamanya di era kompromi dengan parti sosialis membentuk kerajaan bersama dari tahun 1992 hingga 2007," katanya dalam program perkhemahan Mukhayyam Tarbawi anjuran Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Hulu Langat yang disiarkan dalam laman sosial Facebook Dewan Ulama parti itu.

Ungkapan berkomproni dengan parti sosialis ini mungkin boleh menjelaskan kepada rakyat siapakah yang menjadi dalang di sebalik ucapan Presiden Hadi kebelakangan ini, bahawa PAS adalah parti yang lain daripada lain. PAS tidak sama dengan PKR, Umno dan DAP.

Fahaman sempit

PAS pada era bekas Presiden Fadzil Noor tidak pernah membandingkan parti itu dengan lain-lain parti. Malah PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, NGO mahu pun pertubuhan politik demi perjuangan menumbangkan BN.

Fahaman sempit muncul sejak puak Unity Government (UG) diberi jawatan tinggi dalam PAS. Mereka mengasak Hadi dan mengepung beberapa ulama utama agar tidak lagi mengikut rentak perjuangan golongan profesional PAS.

Kumpulan inilah yang mendakyah kononnya puak profesional hanya inginkan kuasa politik dan tidak mahukan Islam. Puak inilah yang menyebabkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Amar membuat kenyataan PAS lebih utamakan  reda Allah  daripada menawan Putrajaya.

Kalau benarlah sejak sekian lama PAS hanya utamakan perjuangan Islam, maka lebih baik PAS dibubarkan dan ahlinya masuk jemaah Tabligh. Tabligh tak peduli politik. Siapa pun memerintah tidak menjadi masalah kerana Tabligh berdakwah di seluruh dunia. Tiada sempadan politik dan geografi. Malah Israel sekali pun membenarkan karkun Tabligh wujud dan melaksanakan program mereka.

Apa faedahnya PAS terlibat dalam politik Malaysia? Tujuan berpolitik sebagaimana yang digariskan oleh Ust Fadzil Noor ialah untuk menegakkan pemerintahan Islam sekadar yang boleh dilaksanakan.

Prinsip pemerintahan juga mengikut kerjasama politik dan Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya perlembagaan dan sokongan politik tidak membenarkan, maka Negara Islam ditangguh sehingga suatu masa apabila rakyat setuju melaksanakannya.

Dengan memaksa rakyat untuk menerima sistem Negara Islam tanpa kompromi, dikhuatiri kuasa yang dipegang PAS juga akan hilang. Kehilangan kuasa menyebabkan PAS tidak mampu melaksanakan lebih banyak tuntutan syariah.

Erdogan sekular

Sekiranya jemaah PAS menolak memerintah negeri atau negara tanpa Hudud maka lebih mudah mereka mengamalkan pendekatan Tabligh, menyerahkan pemerintahan kepada Umno BN.

Begitu juga hujah kelunturan identiti PAS yang disamakan Zuhdi dengan AK Parti di Turki pimpinan Erdogan kelihatan sangat melulu dan tidak berdasar. Kononnya, ada calon wanita parti AK tidak memakai tudung dan menghampiri sekular. Dapat dimengerti Zuhdi  sangat anti Anwar yang rapat dengan Erdogan dan cuba memperkecilkan pengaruh Anwar dalam PAS.

Dalam hujah Zuhdi sebelum ini juga kelihatan arus fikiran yang sama. Zuhdi berteori kononnya gerakan untuk menjatuhkan Presiden Hadi bermula pada 1998. Sebelum itu, katanya, PAS tidak ada team. Bukankah ketika Nik Aziz, Fadzil, Mustafa Ali dan lain-lain menolak kepimpinan Asri Muda dahulu mereka juga berada dalam team yang berasingan dengan penyokong Asri?

Lebih membingungkan, Zuhdi mengambil tahun 1998 sebagai permulaan gerakan menjatuhkan presiden. Bukankah ketika itu presiden PAS Fadzil Noor, bukannya Hadi? Fadzil menjadi presiden sehingga 2002.

Politik bahaya

Adalah lebih senang sekiranya Zuhdi berterus terang mendakwa golongan Anwaris mahu menjatuhkan Hadi sejak 1998. Tidak perlu berbelit-belit. Tidak perlu membezakan calon PAS lebih islamik berbanding calon parti AK di Turki.

Corak politik seperti itu amat merbahaya untuk diamalkan PAS. Parti yang telah menjana keyakinan berbilang kaum ini akan tiba-tiba ditentang oleh Cina dan India jika mengambil pendekatan keras. Zuhdi dan puaknya hanya membicarakan sekitar Melayu Islam dan tidak mengambil kira lain-lain kaum yang menghuni Malaysia.

Sikap sebegini hanya wujud dalam Umno. Namun Cina dan India lebih senang dengan Umno kerana tahu golongan pelampau adalah macai- macai, pemimpin Umno semuanya hipokrit. Mereka memeluk Cina dan India. Sama-sama menonggang arak jika menyertai pesta bersama bukan Islam.

Namun pemimpin PAS jika dibiarkan bersikap ekstrem akan menjadi pelampau yang tiada kompromi. Golongan pelampau ini mungkin akan membawa PAS ke arah rasisme sekali gus. Mereka ini amat merbahaya jika terus dibiarkan menguasai presiden.

Teman rapat Hadi ketika bergandingan bersama Fadzil dahulu mengakui Hadi sudah banyak berubah. Hadi bukan yang dahulu setelah dikuasai dan dikepung oleh puak ekstremis. Hadi pada pandangan teman rapat beliau, seorang yang senang mendengar pendapat.

Hadi tidak seperti Fadzil yang mengkaji sendiri arus dasar politik.Hadi menumpukan kepada dakwah dan ceramah. Maka terserah kepada penasihat untuk membentuk pendiriannya. Amat malang apabila pemikir sempit menguasai presiden. Hadi terikut-ikut mengeluarkan pendapat rasis yang menimbulkan kemarahan sekutu mereka dalam PR.

Namun puak penasihat berfikiran ‘tiga suku’ ini tidak pula menyediakan jalan keluar yang selamat buat PAS. Mereka gembira jika PAS bekerjasama dengan Umno. Namun akibatnya ulama PAS akan pening kepala mempertahankan pembaziran 1MDB, cincin berlian Rosmah, MRT, rasuah dan lain-lain.

Jihad langgar UG

Oleh itu, PAS sejak setahun kebelakangan ini seperti ‘demam tak kebah’ di dalam PR. Sekejap meroyan menentang PR dan apabila dicabar oleh DAP agar keluar gabungan, PAS sebaliknya meminta DAP terlebih dahulu meninggalkan PR.

Maka seruan yang paling utama kepada perwakilan yang akan menyertai muktamar pemilihan pada Jun ini ialah ‘berjihad kuburkan puak UG dan pro Umno’ dalam PAS. Perwakilan tidak perlu walak kepada mana-mana ulama sekiranya dasar mereka pro Umno dan merugikan PAS.

Walak hanya kepada perjuangan PAS yang digariskan oleh almarhum Fadzil dan Nik Aziz yang terbukti berjaya mengharumkan nama parti. Tiada faedahnya mendengar pendapat Zuhdi yang terang-terangan mahukan PAS berpecah dua seperti zaman Asri Muda sedangkan perpecahan itu didalangi oleh musuh PAS , iaitu Umno BN.

Ayuh kita kuburkan puak UG dalam Mukatamar Jun depan!

Ulama, profesional perlu adab menegur satu sama lain - Kamaruddin Jaafar

OLEH : BARUA

Budaya menangani perbezaan pandangan dalam PAS kini berubah dengan puak tidak sehaluan pendapat saling tegur menegur dengan cara tidak beradab, ini menyebabkan bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar melahirkan kekesalan dan kebimbangan dengan keadaan parti Islam itu sekarang.

Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, kumpulan ulama dalam PAS kini bersikap tidak boleh ditegur walaupun pada masa sama mereka bebas menegur kumpulan lain dengan mengeluarkan pelbagai istilah termasuk perkataan “babi” dan “syaitan”.

"Ada kawan menegur, kumpulan profesional kena beradab dalam menegur ulama, dan ada yang berkata, ulama juga kena beradab dalam menegur profesional," kata ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, katanya, sesuatu yang menyedihkan ialah, kumpulan ulama kelihatan seperti tidak boleh dikritik tetapi pada masa sama, mereka bebas mengkritik kumpulan yang bukan ulama.

"Ini amat membimbangkan," kata Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Kelantan, selama 4 penggal sejak 1999.

Beliau berkata keadaan itu berlaku ketika ini menjelang Muktamar PAS ke-61 Jun ini apabila pemilihan untuk jawatan tertinggi kepimpinan akan berlangsung.

"Saya tidak akan terkejut jika (peringkat) kawasan membuat pencalonan pelbagai nama untuk jawatan tertinggi parti, termasuk presiden, kali ini.

"Mungkin akan ada perkiraan daripada segi sama ada seorang perwakilan ada hak atau tidak untuk memilih secara terbuka jawatan tertinggi, misalnya presiden, timbalan dan naib," katanya.

Kamarudin berkata, daripada pemerhatiannya, wujud pemikiran yang jelas bagi menunjukkan PAS sebuah parti terbuka yang tidak sekali-kali menolak sebarang bentuk pertandingan.

"Ini dibolehkan, dan ahli mempunya hak dalam perlembagaan untuk menjadi calon dan memilih jawatan dalam jawatankuasa PAS pusat," katanya.

Sejak sekian lama, jawatan presiden PAS tidak dipertandingkan manakala bagi jawatan tertinggi lain seperti timbalan dan naib presiden, serta ketua dewan Pemuda dan Muslimat, menyaksikan perebutan.

Pada pemilihan 2013, hanya 1 kawasan saja iaitu Kulim Bandar Baru di Kedah yang tidak mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden, tetapi beliau tidak ditentang kerana lawannya hanya mendapat satu pencalonan.

Kamarudin berkata, dengan apa yang berlaku sekarang, muktamar kali ini masa paling kritikal untuk ahli dan pimpinan PAS menentukan hala tujunya selepas ini.

Ahli PAS dipercayai akan membuat pertimbangan penting sama ada parti Islam itu mahu kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dengan mempertahankan prinsip utama parti atau keluar daripada gabungan itu.

"Jika keluar, PAS boleh jadi bersendirian atau bersama parti lain," katanya.

Beliau berkata, budaya dalam parti itu kini sangat menyedihkan dan ia amat membimbangkan khasnya selepas penyebaran audio didakwa suara Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu baru-baru ini.

Kamarudin berkata, rakaman audio itu merupakan satu perbualan yang diadakan di kawasan tertutup dan terhad.

"Ini bukan lagi amalan parti yang biasa, di mana apa yang dibincangkan di peringkat dalaman akan kekal di dalam saja," katanya.

Beliau juga memetik kes kereta Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli yang dibakar selepas beliau didakwa menjadi dalang konspirasi menjatuhkan presiden.

"Kedua-dua kejadian ini membimbangkan, dan kita takut-takut ia dikaitkan dengan isu yang melanda dalaman PAS kini," katanya.

Kamarudin berkata keadaan sekarang lebih panas daripada apa yang berlaku menjelang Muktamar PAS 1982 apabila Tan Sri Asri Muda meletakkan jawatan sebagai presiden PAS (ketika itu digelar yang dipertua PAS Pusat).

“Mengikut kajian saya, zaman Asri tidak seteruk ini," katanya yang merupakan bekas pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia ketika krisis melanda PAS sehingga Asri meletakkan jawatan pada 1982.

Katanya, pada zaman Asri ada ketertiban dalam menguruskan parti dan ia berjalan dengan baik.

"Pernah sekali ada dakwaan berlaku silap kira dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat tentang Datuk Mohamad Nasir. Asri memanggil balik mesyuarat itu dan membuat kiraan semula.

"Beliau dilihat cuba menjaga maruahnya dan kepimpinan ketika itu," katanya.

Kamarudin yang pernah menjadi pengarah urusan Harakah menyertai PAS semasa era reformasi 1998 dan pernah bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Umno serta menjadi setiausaha politik bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba.

Beliau menjangka muktamar akan datang bakal menyaksikan perbahasan berhubung struktur parti, khasnya berkaitan pertandingan jawatan tertinggi parti apabila sesetengah pihak melihatnya sebagai penentangan kepada pemimpin tertentu.

Ini susulan perbahasan hangat dalam parti Islam itu yang mendakwa sesetengah pihak dalam PAS tidak wala' atau patuh kepada pemimpin tertinggi khasnya presiden apabila ada kritikan dan usaha untuk bertanding menentang beliau dalam pemilihan kali ini.

Dr Hatta didakwa sebagai dalang dalam konspirasi menjatuhkan presiden Hadi pada satu demonstrasi dan majlis penyerahan memorandum oleh ahli PAS di depan pejabat agung parti itu pada 8 Februari lalu.

Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu pula didakwa merancang menjatuhkan presiden PAS apabila suara mirip beliau kedengaran di rakaman audio tersebut mengatakan, “secara umumnya Hadi dianggap ulama hebat dan maksum, tetapi ia perlu dinafikan".

Kamarudin berkata, beliau berharap dalam muktamar kali ini akan berbincang isu yang sepatutnya PAS bincang, iaitu melibatkan kepentingan rakyat yang sejak kebelakangan ini tidak dibincangkan.

"Saya harap ahli akan memikirkan soal pengurusan dalaman parti dan pengurusan kerajaan negeri yang ditadbir seperti Kelantan, Pulau Pinang serta Selangor.

"Apakah pencapaian parti dan kedudukan Kelantan kekal baik seperti di bawah allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dulu dan sebagainya,” katanya.

Selain itu beliau mencadangkan PAS berbincang mengenai peranannya dalam Dewan Rakyat sebagai parti pembangkang, sama ada ia berkesan atau tidak.